Moving Forward As One

Dua Bangkai Kapal Karam Di Pulau Batu Putih Ditemui!

1,605

Pada 16 Jun lepas, pasukan Unit Arkeologi ISEAS-Institut Yusof Ishak (ISEAS) menemui dua buah bangkai kapal di perairan berhampiran Pulau Batu Putih (Pedra Branca), Singapura. Menurut pengarah Projek Arkeologi Maritim Dr Michael Flecker, terdapat banyak artifak menarik pada kedua-dua kapal yang dilihat berasal dari era berbeza.

Rajah 1: Dr Michael Flecker bersiap sedia untuk menyelam. Sumber: Gin Tay/The Straits Times.

Bangkai kapal pertama dikatakan berasal dari abad ke-14 semasa Singapura dikenali sebagai Temasik. Antara artifak yang ditemui ialah bilangan barangan tembikar China dan porselin seperti pinggan dan mangkuk Longquan serta serpihan mangkuk porselin biru-putih era Dinasti Yuan. Tambah Dr Flecker, menerusi penemuan itu, ia amat banyak berbanding mana-mana penemuan bangkai-bangkai kapal yang lain, unik dan jarang ditemui.

Rajah 2: Antara contoh pinggan Longquan yang ditemui di bangkai kapal pertama. Sumber: Gin Tay/The Straits Times.

Pasukan ini percaya kapal itu sezaman dengan bangkai kapal yang diekskavasi di Empress Palace pada 2015 dan penggalian sebelumnya di Taman Fort Canning. Kapal tersebut dijumpai kira-kira 100 meter ke barat laut Pulau Batu Putih pada 2015 susulan penemuan secara tidak sengaja beberapa artifak seramik oleh penyelam di situ.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Sementara kapal kedua pula dipercayai sebuah kapal Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) bernama Shah Munchah. Kapal dagang ini dikatakan karam semasa dalam perjalanan pulang ke India pada tahun 1796 selepas selesai berdagang di China. Pelbagai artifak seramik dan bukan seramik China ditemui termasuk aloi tembaga dan sembilan buah me.ri.am kapal.

Penemuan me.ri.am-me.ri.am ini dilihat mengesahkan identiti kapal sebagai milik SHTI. Ini kerana sudah menjadi lumrah bagi entiti perdagangan Inggeris itu meletakkan me.ri.am-me.ri.am pada kapal-kapal dagang mereka pada abad ke-18 dan awal abad ke-19. Ia bukan sekadar digunakan sebagai cara mempertahankan kapal daripada an.ca.man musuh seperti la.n.un tetapi turut digunakan sebagai alat memberi isyarat.

Bagi artifak seramik China, terlalu banyak artifak ditemui pasukan pengkaji ISEAS. Antara artifak yang ditemui ialah serpihan balang bermotifkan naga, itik tembikar, patung-patung kepala Guanyin dan patung-patung anjing dan makhluk laut Makara. Tambah Dr Flecker, sekiranya kapal ini bertahan selama 23 tahun lagi, ia sudah pasti akan berlabuh di pelabuhan yang dibangunkan Stamford Raffles sekaligus menggambarkan bentuk komoditi yang diperdagangkan ketika itu.

Rajah 3: Antara artifak yang ditemui dari bangkai kapal Shah Munchah. Sumber: ISEAS – Institut Yusof Ishak

Penemuan kapal ini dibuat pada tahun 2019 selepas usaha penerokaan kawasan dasar laut sekitar Pulau Batu Putih pada 2018 dan 2019. Ia ditemui kira-kira 300 meter di timur Pulau Batu Putih dengan kerja-kerja ekskavasi dan pengambilan artifak berjalan dari 2019 hingga pertengahan 2021.

Artifak-artifak yang ditemui akan menjalani proses pemuliharaan, kajian dan dokumentasi oleh pasukan penyelidik terlebih dahulu. Selepas selesai melalui semua proses yang dinyatakan, Lembaga Warisan Negara Singapura (NHB) merancang menjadikan semua artifak ditemui sebagai bahan pameran muzium pada penghujung tahun ini.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Bagi Pengarah Kajian dan Penilaian Warisan NHB, Yeo Kirk Siang, penemuan ini amat signifikan dan harus diketahui oleh seluruh warga Singapura. Ini kerana menerusi artifak-artifak ini, ia mendedahkan sejarah Singapura sebelum tahun 1819 dan menambah pemahaman mereka terhadap negara itu.

Bagi penulis, penemuan sebegini sememangnya signifikan kepada komuniti sejarah. Agaknya kalau keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memihak kepada Malaysia tentang Pulau Batu Putih bertahun-tahun sebelumnya, mungkin semua artifak ini mencetuskan kegilaan kepada para pengkaji sejarah di seluruh negara. Ah, nasi sudah jadi bubur…

RUJUKAN:

Berita Mediacorp. (2021). 2 bangkai kapal karam bersejarah berserta artifak ditemui di perairan Singapura.

Keng Gene, Ng. (2021). How the centuries-old shipwrecks in Singapore waters were discovered. The Straits Times.

Ruangan komen telah ditutup.