Libya. Syria. Nagorno-Karabakh. Dan terbaru Ukraine. Dron TB2 buatan firma pertahanan Turki, Baykar Aviation terbukti menjadi duri dalam daging kepada pihak musuh sehingga mengubah haluan peperangan memihak kepada pemiliknya.

Tetapi bagaimana semua ini bermula? Semuanya bermula gara-gara tindakan Amerika Syarikat melarang eksport dron ke Turki sekitar 2014. AS bimbang dron yang dieksport akan digunakan terhadap kumpulan pemisah Kurdis, PKK bukan saja di Turki tetapi di luar negara termasuk Syria dan Iraq.

Bukan sekali Presiden Recep Tayyip Erdogan yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri Turki melobi AS untuk menjual dron Predator kepada Ankara sejak 2009. Bagaimanapun, Kongres AS ketika itu bertegas untuk tidak meluluskan penjualan dron tersebut kepada Turki. Berang, Turki mula membangunkan program dronnya sendiri diketuai oleh CTO Baykar dan menantu Erdogan, Selcuk Bayraktar.

Keupayaan TB2 mula terbukti menerusi ujian penerbangannya pada Disember 2015. Menerusi ujian tersebut, TB2 berjaya melepaskan roket ke arah sasaran buat kali pertama melalui sistem penghantaran Hornet. TB2 juga turut dilengkapkan dengan senjata dan bom mini bertujuan untuk tidak memberi terlalu banyak beban kepada dron semasa penerbangan.

Sejak itu, dron TB2 mula menunjukkan prestasi memberangsangkan di setiap medan perang yang disertainya. Konflik Nagorno-Karabakh menyaksikan lebih 500 serangan Azerbaijan ke atas semua aset pertahanan Armenia buatan Rusia seperti kereta kebal, sistem pertahanan peluru berpandu dan artileri. Malah, wakil Republik Nagorno-Karabakh ke Amerika Syarikat, Robert Avetisyan turut mengakui Armenia kalah dalam konflik itu akibat kekuatan TB2.

TB2 menjadi duri dalam daging kepada Armenia setiap kali ia beroperasi. Walaupun ia terbang perlahan dan kipasnya mudah dilihat, Armenia seolah-olah tiada jawapan terhadap keberkesanan dron itu di medan Nagorno-Karabakh. Hal ini merungsingkan diaspora Armenia di luar negara terutama AS sehingga mendorong mereka melobi Kongres AS agar menghalang semua jualan komponen TB2 daripada diperoleh Baykar.

Hal ini sudah disedari oleh Baykar terutama selepas pendedahan akhbar The Guardian berkenaan TB2 pada 2019. Dalam kenyataan terbaru mereka di Instagram, firma Turki itu memberitahu 93% komponen dron kini dibuat secara domestik. Malah, jika ada sekatan sekalipun, ramai pakar pertahanan percaya langkah tersebut tidak berhasil berikutan sifat pembuatan dron yang modular dan boleh diganti dengan komponen lain.

Jika Rusia merasakan kejayaan TB2 di Nagorno-Karabakh didorong oleh nasib, semuanya berubah di Libya. Pada 2019, wujud konflik antara kerajaan sementara Libya yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Turki (GNA) dengan Jeneral Khalifa Haftar yang disokong Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kontraktor swasta Rusia, Wagner Group.

Pada awalnya, momentum memihak kepada Haftar dan sekutu-sekutunya terutama dengan sokongan dron buatan China, Wing Loong yang dikawal juruterbang-juruterbang UAE. Tetapi semua itu berubah apabila GNA membawa masuk dron-dron TB2 pada Disember 2019.

Sejak itu, TB2 bukan saja membantu tentera-tentera GNA mara malah menjadi duri dalam daging kepada aset-aset pertahanan Haftar termasuk sistem pertahanan anti-pesawat buatan Rusia, Pantsir-S1. Sekurang-kurangnya sembilan unit Pantsir-S1 musnah di tangan TB2. Bantuan TB2 turut membolehkan GNA merampas semula bandar-bandar Libya yang dikawal pasukan Haftar sebelum ini.

Ini turut menjelaskan mengapa Rusia mengamuk dengan Turki selepas Ukraine menggunakan dron tersebut dalam konflik Ukraine-Rusia. Puluhan kereta perisai dan artileri menjadi sasaran dron tersebut sejak konflik bermula. Malah, ramai penganalisis pertahanan percaya TB2 digunakan sebagai cara mengalihkan perhatian kapal perang Rusia Moskva sebelum ia dikaramkan dengan serangan peluru berpandu Neptune pada April lepas.

Setakat ini, tiada negara yang dapat mencapai apa yang diusahakan oleh Bayraktar. Bagi penasihat industri pertahanan yang berpangkalan di Turki, Arda Mevlutoglu, Bayraktar berjaya mencapai keseimbangan dari segi harga produk, teknologi dan prestasi di lapangan. Firma tersebut turut membantu menambahbaik pengeluaran dron pada kadar yang pantas dan mudah.

Secara tidak langsung, TB2 juga membantu mengukuhkan dasar luar Turki pimpinan Erdogan. Misalnya pada Mac 2020, gabungan dron TB2 dan Anka-S menakutkan angkatan tentera Syria yang dihantar ke Idlib. Serangan bertubi-tubi dua dron itu memaksa Syria bersetuju memeterai gencatan senjata yang kini memasuki tahun kedua.

Selain membekalkan dron, Turki turut menghantar juruterbang, tenaga pengajar dan jurutera diperlukan bagi melatih klien-klien Baykar menggunakan TB2. Baykar turut membina kilang-kilang TB2 di luar negara termasuk Ukraine. Tambah Mevlutoglu, dengan cara ini, ia mengeratkan lagi hubungan luar yang terjalin antara Turki dengan negara-negara klien dan mempengaruhi dasar luar di sesebuah rantau baik di Afrika, Timur Tengah atau Eropah Timur.

Dari segi ekonomi, tidak diketahui jumlah sebenar TB2 dijual di luar negara. Tetapi jika dijual sebahagiannya pun, ia amat menguntungkan kepada industri pertahanan Turki. Eksport industri senjata Turki telah meningkat dari AS$250 juta (RM1.1 bilion) pada 2002 kepada AS$3 bilion (RM13.15 bilion) pada tahun lepas. Dan ramai menjangkakan angka itu boleh mencecah AS$4 bilion (RM17.5 bilion) pada akhir tahun ini. Jualan TB2 bukan saja merangkumi jualan produk dan alat ganti tetapi juga dari segi latihan dan penyelenggaraan.

Walaupun eksport TB2 dikawal oleh kerajaan dan perlu mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan dan Pejabat Presiden Turki, hakikatnya ia boleh dibeli oleh mana-mana negara yang berminat. Selain Ukraine dan GNA, Maghribi, Poland dan Kuwait juga merupakan klien Turki untuk TB2. Cuma yang bezanya untuk dron-dron TB2 mereka ialah jenis sistem turet yang digunakan.

Sebelum ini, Baykar menggunakan sistem turet MX-15D buatan firma Kanada, Wescam. Tetapi akibat pendedahkan akhbar The Guardian pada 2019, sistem tersebut tidak lagi dibekalkan kepada mereka. Ini memaksa Baykar beralih kepada firma pertahanan Turki, Aselsan untuk membangunkan sistem CATS FLIR sebagai alternatif kepada MX-15D.

Tetapi bagi para klien Baykar, mereka lebih suka mendapatkan TB2 sebelum memasang MX-15D pada dron mereka. Ini kerana sistem tersebut lebih ringan daripada sistem CATS FLIR buatan Aselsan dan menunjukkan prestasi lebih baik di lapangan.

Contoh dron Akinci yang menjalani ujian penerbangan di barat laut Turki pada Ogos 2021. Sumber: Anadolu Agency

Dan kini, Baykar telah memperkenalkan generasi terbaru TB2 iaitu Bayraktar Akinci. Baru beroperasi sejak setahun lepas, ia berupaya terbang pada altitud yang lebih tinggi dan membawa lebih banyak roket dan bom berbanding TB2. Dan pada April lepas, Akinci digunakan buat kali pertama untuk operasi anti-PKK di Iraq.

Pengenalan Akinci dijangka akan menambah pening kepala Barat terhadap dron buatan Turki selepas TB2. Dengan TB2 telah mengubah haluan peperangan di seluruh dunia, ia bukan sekadar dron bersenjata di medan perang. Tetapi secara tidak langsung, ia turut menonjolkan semangat inovasi dan kelicikan dasar luar Turki dalam dunia yang semakin mencabar hari ini.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

RUJUKAN

Gatopoulos, A. (2020, 28 Mei). ‘Largest drone war in the world’: How airpower saved Tripoli. Al-Jazeera.

Daraghi, B. (2022, 28 Mei). Drone envy: How Turkey’s sought-after combat weapon wins wars but also risks starting them. The Independent.

Witt, S. (2022, 9 Mei). The Turkish Drone That Changed the Nature of Warfare. The New Yorker.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply