Dr Tan Seng Giaw: Legenda Sebenar Parlimen Kepong

0
1172
views

Dr Tan Seng Giaw bukanlah asing dalam arena politik negara. Selain dikenali kerana menjadi Ahli Parlimen (MP) Kepong Parti Tindakan Demokratik (DAP), beliau juga dikenali kerana sikapnya yang merendah diri dan tidak segan menyatakan pendiriannya pada sesuatu isu walaupun itu bermakna ia bertentangan dengan pendirian parti. Ciri-ciri inilah yang membantu Dr Tan mampu mengekalkan kerusi Kepong selama lapan penggal dari 1982 hingga tahun ini. Tetapi siapa sebenarnya beliau menurut lembaran sejarah?

Dr Tan merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan dan dilahirkan pada 26 Mei 1942. Selepas mendapat pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Kota Bharu dan Sekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Plymouth (Plymouth College) dan Universiti Leeds, England. Berikutan latar belakang Dr Tan yang menerima pengaruh pelbagai jenis budaya dari segi akademik dan sosial, ini menyebabkan beliau fasih berbahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Dan bagi yang gemar mengikuti perkembangan beliau di laman media sosial, pasti ramai mengetahui beliau juga berkebolehan menulis jawi.

Semasa beliau berada di England, Dr Tan amat aktif dalam aktiviti persatuan pelajar. Buktinya, beliau pernah dilantik sebagai wakil Sekolah Perubatan Leeds untuk Persatuan Perubatan Pelajar British selama lima tahun. Selain itu, Dr Tan juga merupakan antara pengasas Persatuan Cina di universiti sama dan pernah memegang peranan sebagai presiden persatuan tersebut. Beliau memegang peranan sebagai presiden antara tahun 1965 hingga 1966. Dr Tan menamatkan pengajian dengan meraih ijazah Sarjana Perubatan dan Sarjana Pembedahan. Antara pengalaman beliau ialah pernah berkhidmat sebagai doktor Tentera Darat Malaysia (TDM) dari tahun 1971-1972. Semasa berkhidmat bersama TDM, Dr Tan pernah ditempatkan di Kem Tentera Kinrara, Puchong dan Kem Terendak, Melaka. Pada tahun 1972, beliau berkahwin dengan seorang doktor pediatrik bernama Oon Hong Geok. Pasangan bahagia ini dikurniakan dua cahaya mata. Dan seperti Dr Tan, isterinya juga pernah aktif dalam arena politik dan pernah menjadi Adun Taman Aman, Petaling Jaya. Beberapa tahun selepas itu, beliau membuka sebuah klinik kulit swasta di Petaling Jaya dan menjadi perunding dermatologi di Hospital Pakar Tung Shin, Jalan Pudu pada tahun 1976. Pada tahun sama, beliau mendapat ijazah kehormat perubatan dari alma maternya, Universiti Leeds.

Karier politik Dr Tan bermula apabila beliau menjadi wakil kepada pengasas Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS), Tan Sri Dr Tan Chee Khoon pada tahun 1976 di Parlimen Kepong. Selepas Chee Khoon bersara dari arena politik pada tahun 1977, nama Dr Tan dipilih sebagai pengganti dan mengekalkan kerusi Kepong di bawah penguasaan PEKEMAS. Bagaimanapun, beliau kalah kepada calon Parti Gerakan, Tan Tiong Hong yang menang dengan majoriti 2,258 undi. Selepas PEKEMAS berpecah gara-gara pemergian pengerusinya, Ahmad Boestamam ke Parti Rakyat Malaysia dan kebanyakan penyokong mula beralih arah kepada DAP, Dr Tan menyertai DAP pada tahun 1979 dan dilantik sebagai pemangku Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP pada tahun 1981. Setahun selepas itu, beliau kembali semula ke Kepong dan berjaya merampas kerusi parlimen itu dari Gerakan. Dalam pilihan raya tersebut, Dr Tan mengatasi calon Gerakan, Ker Kim Tim @ Kerk Choo Ting dengan majoriti 1,205 undi. Dan selebihnya, ia menjadi sejarah di mana Parlimen Kepong terus kekal di bawah penguasaan DAP selama lapan penggal. Bilangan majoriti terbesar pernah direkodkan Dr Tan menerusi Pilihan Raya Ke-13 di mana beliau menang dengan majoriti 40,307 undi mengatasi calon Parti Progresif Rakyat (PPP), Chandrakumanan Arumugam.

Selain pernah menjadi Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Dr Tan juga pernah menjadi Pengarah Biro Politik Kebangsaan DAP dari tahun 1981 hingga 1985. Dan dari tahun 1982 hingga 1988, beliau turut memegang jawatan Pengerusi Kehormat Persatuan Murid Lama Chung Ling di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang. Pada tahun sama beliau memulakan langkah sebagai MP Kepong selama lapan penggal, Dr Tan pernah berkhidmat sebagai Adun Klang pada tahun 1982 dan Adun Kajang pada tahun 1995. Di peringkat parti pula, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan. Sementara di peringkat Parlimen pula, Dr Tan berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC).

Sepanjang perkhidmatan beliau di Parlimen Kepong, Dr Tan amat disenangi penduduk kerana sikapnya yang baik dan bagaimana beliau membawa dirinya sebagai pemimpin parlimen berkenaan. Dan ini mengundang persoalan bagaimana Dr Tan mampu mengekalkan kedudukannya selama ini. Rahsia beliau hanya satu iaitu tidak terlalu memikirkan soal pilihan raya. Sebaliknya, Dr Tan mahu meneruskan apa yang dilakukannya dari tahun 1982 iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kepong secara berterusan. Menurut beliau, amat penting bagi seorang MP menunjukkan kehadirannya dapat dirasai oleh penduduk kawasan yang diwakili mereka. Dan bagi Dr Tan, penduduk sudah tahu kehadirannya apabila beliau memandu kereta Toyota Hilux di mana bahagian belakangnya dilengkapi oleh pembesar suara.

Setiap kali memandu di kawasannya dan berjumpa dengan kelompok orang ramai, Dr Tan akan memanjat belakang keretanya dan mengumumkan kehadiran beliau melalui pembesar suara. Beliau juga tidak akan lupa membawa semua jenis borang sekiranya ada penduduk mahukan bantuan beliau. Di situlah, mana-mana pihak yang memerlukan bantuan akan berjumpa dengan Dr Tan dan dari situ, masalah tersebut akan diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Dan untuk memastikan aduan penduduk terus sampai kepada beliau, penduduk juga boleh menyampaikan aduan menerusi SMS.

Dalam kalangan anggota Parlimen dan parti, beliau amat dikenali sebagai seorang yang berhemah dan tidak segan menyatakan pandangannya pada sesuatu isu. Dan ini kadangkala menyebabkan Dr Tan berselisih pendapat dengan kepimpinan parti dalam sesetengah isu dari isu setempat hinggalah isu nasional.

Namun semua itu berakhir menerusi pengumuman DAP baru-baru ini tidak menyenaraikan nama Dr Tan sebagai sebahagian daripada calon pilihan raya parti tersebut. Alasan rasmi parti ialah sudah tiba masanya bagi parti tersebut mengemukakan calon baru yang lebih muda untuk terus mewakili mereka di Kepong. Berdasarkan pengumuman itu, MP Segambut, Lim Lip Eng dipilih sebagai calon parti untuk Parlimen Kepong sementara Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pula akan mengambil alih tempat Lip Eng di Segambut.

Walau apapun yang berlaku, tiada siapa boleh menafikan jasa Dr Tan bukan saja kepada penduduk Kepong tetapi juga kepada arena politik negara. Siapa sangka, rupanya beliau sudah berkhidmat sebagai ahli politik dan wakil rakyat selama 36 tahun. Moga keperibadian dan dedikasinya kepada rakyat menjadi contoh teladan kepada semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik demi memastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan yang baik daripada individu-individu bergelar wakil rakyat.

SUMBER

  1. Mohd Noordin, Ali Imran. (2018). The Malaysian Times. Farewell, Dr Tan Seng Giaw. http://www.themalaysiantimes.com.my/farewell-dr-tan-seng-giaw/
  2. Dzulkifly, Danial. (2018). The Malay Mail. Dropped as DAP candidate, Seng Giaw says will not defend Kepong. http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/dropped-as-dap-candidate-seng-giaw-says-will-not-defend-kepong

Previous articleDatuk Seri Mah Siew Keong: Bagai Phoenix Bangkit Dari Abu
Next articleOperation Oboe, Borneo 1945
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE