Dr Sheikh Muszaphar Shukor – Angkasawan Pertama Negara

201

Sebut angkasawan saja, kita akan selalu menyebut nama Neil Armstrong dan Edwin Aldrin. Yalah, mana tidaknya. Kedua-duanya merupakan orang pertama dan kedua yang menjejakkan kaki di bulan pada tahun 1969. Bagi warga Rusia pula, siapa tidak kenal Yuri Gagarin di mana beliau merupakan orang pertama di angkasa lepas selepas kapal angkasa Vostoknya berjaya mengelilingi bumi pada 12 April 1961. Malaysia juga harus berbangga kerana mempunyai angkasawan pertama bernama Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Dr Sheikh Muszaphar merupakan anak jati Kuala Lumpur berdarah Arab-Melayu dan dilahirkan pada 27 Julai 1972. Beliau pernah bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Muar dan berjaya meraih ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan dari Kolej Perubatan Masturba, Manipal, India. Sebelum dikenali sebagai angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar merupakan seorang pakar bedah ortopedik dan pernah berkhidmat di beberapa hospital seperti Hospital Seremban, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang. Dan seperti dinyatakan oleh agensi berita AFP, beliau juga pernah berkecimpung sebagai model sambilan.

Program Angkasawan

Untuk mengetahui bagaimana Dr Sheikh Muszaphar berpeluang sebagai angkasawan negara, kita kena lihat Program Angkasawan. Program ini diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa penggal pertamanya sebagai sebahagian daripada program bersama dengan Rusia. Projek ini merupakan projek kerajaan kepada kerajaan (G2G) yang terhasil melalui pembelian jet pejuang Sukhoi Su-30MK untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Melalui perjanjian ini, Moscow bersedia menanggung perbelanjaan melatih dua rakyat Malaysia untuk perjalanan angkasa lepas dan seorang calon yang terpilih akan dihantar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007.

Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diberi tanggungjawab memilih calon-calon yang berkelayakan untuk program ini. Calon yang layak kemudiannya akan dihantar menjalani Program Latihan Kosmonaut di Star City, Rusia selama 18 bulan. Matlamat utama program berkenaan ialah menaikkan lagi imej negara dan menyemarakkan minat generasi muda terhadap matematik dan sains. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, projek ini bukan sekadar menghantar anak Malaysia pertama ke angkasa lepas. Bahkan menurut beliau, ia bertujuan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai lebih banyak kejayaan dengan menceburkan diri dalam sains dan teknologi, memahami kepentingan sains dan teknologi serta membuka peluang ekonomi baru terutama dalam sektor angkasa lepas.

Pemilihan angkasawan ini menyaksikan ramai mendaftarkan diri dalam program berkenaan dan datang dari pelbagai latar belakang. Tetapi selepas melalui pelbagai peringkat saringan yang ketat, empat calon akhir dipilih untuk merebut dua slot individu yang akan berlatih di Star City selama 18 bulan. Selain Dr Sheikh Muszaphar, senarai berkenaan turut menyaksikan kelibat Dr Faiz Khaleed, Mohammad Faiz Kamaluddin dan Siva Vanajah. Selepas pihak jawatankuasa bermesyuarat, dua nama dipilih iaitu Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz. Star City menjadi rumah kedua mereka selama 18 bulan bagi memantapkan persediaan sebagai angkasawan ke angkasa lepas.

Jika ada yang perlekeh tugas tapisan ini nampak senang, sila rujuk ini:

Penapisan

Penapisan 1

  • Larian 3.5 km dalam 20 minit.
  • 27 Ogos dan 3 September 2005.
  • 435 mengambil bahagian, 199 layak.

Penapisan 2

  • Pemeriksaan Perubatan Asas berdasarkan Syarat Program NASA (termasuk pemeriksaan mata dan ujian air kencing).
  • 27 Ogos dan 3 September 2005.
  • 194 diuji, 59 lulus.

Penapisan 3

  • Aeromedical 1 (termasuk ujian darah, hidung dan telinga, sinar-X, ujian jantung (ECG)).
  • 25 dan 30 September 2005.
  • 59 diuji, 27 lulus.

Penapisan 4

  • Aeromedical 2 (termasuk tulang, rongga udara dan ujian centrifuge).
  • 16 dan 21 Januari 2006.
  • 27 diuji, 18 lulus.

Penapisan 5

  • Penilaian keseluruhan berdasarkan prestasi dalam Penapisan 1 dan 4 dan keupayaan psikiatri, psikologi, teknikal, ujian ikhtiar hidup laut dan darat.
  • 16 – 24 Januari 2006.
  • 10 diuji, lapan layak.

Penapisan 6

  • Pemeriksaan perubatan (termasuk Imbasan CT, endoskopi dan analisis darah).
  • 25 dan 26 Januari 2006.
  • 10 diuji, lapan layak.

Penapisan 7

  • Penilaian keseluruhan berdasarkan prestasi dalam semua acara merangkumi aspek kemahiran perhubungan, keperibadian, ketegasan dan kegigihan.
  • Februari 2006, lapan diuji, empat akan dihantar ke Moscow untuk pemeriksaan perubatan lanjut.

Penapisan 8

  • Pemeriksaan perubatan di Rusia termasuk neurologi (otak) dan penyesuaian tubuh dalam persekitaran mikrograviti.
  • Mac 2006, empat diuji, dua dipilih untuk menjalani latihan.

Penapisan 9

  • Latihan di Pusat Latihan Kosmonot Gagarin, Rusia. September 2006-Oktober 2007, seorang akan dipilih untuk terbang ke Stesen Angkasa Antarabangsa. Seorang lagi akan bertindak sebagai bantuan.

Latihan dan persediaan

Jika ada yang menganggap latihan angkasawan ini seperti kacang, sila telan balik semua kacang anda. Latihan pertama mereka sebaik menjejak kaki ke pusat tersebut adalah pendedahan terhadap segala bentuk teori dan navigasi angkasa serta mempelajari bahasa Rusia selama empat jam sehari. Mereka kemudiannya berdepan latihan fizikal yang agresif termasuk pernah menjalani ujian kemandirian diri dalam cuaca sejuk melampau di Siberia awal tahun 2007. Mereka juga turut dilatih bagaimana berdepan dengan suasana sejuk 30 darjah Celcius di bawah paras beku sekiranya kapsul yang membawa mereka pulang mendarat di kawasan itu. Dr Faiz dan Dr Sheikh Muszaphar juga perlu berhadapan dengan ujian kemandirian dalam air termasuk dicampak ke Laut Hitam, sebagai persediaan berdepan dengan risiko pendaratan kapsul yang sama. Mereka juga harus menjalani satu peringkat latihan terapung pada kedudukan graviti kosong dalam penerbangan parabolik di pusat latihan angkasawan tersebut.

Jika ini saja sudah mencabar, jangan cakap latihan harian pula. Seperti angkasawan lain, mereka perlu menjalani latihan rutin berenang dan berjoging sejauh lima kilometer setiap hari. Calon angkasawan negara turut menjalani latihan di dalam sebuah kolam yang dikenali sebagai hydrolab sedalam 15 meter dengan memakai pakaian khusus yang dipanggil ORLAN. Tujuan utama latihan yang perlu dijalani selama enam jam dalam satu sesi itu bertujuan mendedahkan angkasawan negara kepada persekitaran sebenar tanpa graviti ketika berada di ISS termasuk melakukan pergerakan di angkasa (EVA).

Pada penghujung September 2007, Dr Faiz dan Dr Sheikh Muszaphar telah berlepas ke Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Houston, Amerika Syarikat (AS), untuk mempelajari modul angkasa lepas NASA. Ini kerana sebahagian ISS diuruskan oleh Rusia manakala sebahagian lagi oleh AS dan angkasawan negara perlu berada di kedua-dua bahagian ISS semasa berada di sana. Selain saintis Rusia dan Amerika, kedua-dua calon angkasawan ini turut menjalani latihan bersama para saintis dari Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) di Jerman bagi mempelajari cara-cara untuk melaksanakan eksperimen saintifik di ISS.

Tempoh tiga bulan terakhir sebelum berlepas ke angkasa lepas dianggap saat paling mencabar memandangkan banyak latihan dilaksanakan. Nampak seperti satu penderaan tetapi hakikatnya ia bertujuan untuk mengekalkan kestabilan fizikal dan mental supaya prestasi dan kecergasan kedua-dua calon berkenaan tidak terjejas. Malah, sebulan sebelum berlepas ke angkasa lepas, kedua-dua calon angkasawan ini juga tidak dibenarkan keluar dari pusat latihan Yuri Gagarin berdasarkan peraturan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos). Penat lelah Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz bagaimanapun berbaloi apabila beliau dipilih sebagai angkasawan pertama negara dengan doktor gigi dari TUDM ini pula memainkan peranan sebagai angkasawan sokongan. Pemilihan ini diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada September 2007. Kos untuk program ini sebanyak RM105 juta atau $26 juta, satu angka yang dianggap membazir tetapi dipertahankan pihak kerajaan kerana ia merupakan sebahagian daripada pembelian Sukhoi.

ISS

Pada 10 Oktober 2007, Dr Sheikh Muszaphar bersama Yuri Malenchenko (Rusia), Peggy Whitson (AS) dan Yi So-yeon (Korea Selatan) berlepas ke angkasa lepas dengan misi Soyuz TMA-11. Semasa berada di ISS selama 10 hari, beliau menjalankan pelbagai eksperimen seperti mengkaji ciri-ciri dan pertumbuhan sel kanser dan leukemia serta mengkaji proses penghabluran pelbagai jenis protein dan mikrob. Eksperimen membabitkan sel kanser dan leukemia bertujuan memberi manfaat kepada bidang sains am dan penyeldikan perubatan. Manakala eksperimen penghabluran pelbagai jenis protein dan mikrob pula untuk melihat bagaimana ia dapat membantu industri tempatan. Untuk kelas pengajian secara langsung pula, Dr Sheikh Muszaphar turut membuat demonstrasi bagaimana cecair dan objek berpusing memberi reaksi bila ia berada dalam keadaan mikrograviti.

Memandangkan beliau merupakan seorang angkasawan Muslim dan masa yang dipilih kebetulan pula pada penghujung bulan Ramadan, Majlis Fatwa Kebangsaan turut menghasilkan sebuah buku panduan bagi angkasawan beragama Islam semasa berada di angkasa lepas. Buku panduan yang bertajuk Panduan Cara Beribadah di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa ini menerangkan perkara seperti bagaimana hendak bersolat dalam keadaan mikrograviti, bagaimana hendak mengesan arah kiblat dari ISS dan isu berkenaan berpuasa di ISS. Dr Sheikh Muszaphar menyambut Aidilfitri bersama krew ISS dan mengagihkan sedikit sate dan biskut raya untuk dikongsi bersama mereka pada 13 Oktober 2007.

Selepas berada di ISS selama 10 hari, beliau bertolak pulang bersama Soyuz TMA-10 bersama Yuri Kotov (Rusia), Fyodor Yurchikin (Rusia) dan Charles Simonyi (AS). TMA-10 bertolak dari ISS pada 21 Oktober tetapi berdepan sedikit masalah semasa hendak memasuki atmosfera bumi hingga memaksa ia mendarat di barat Arkalyk, 340 kilometer dari barat daya tempat pendaratan sebenar Kazakhstan. Apabila Suruhanjaya Siasatan menyiasat perkara tersebut, kemasukan ini berlaku berikutan kerosakan pada sebuah kabel pada panel kawalan kapal angkasa yang bersambung dengan panel kawalan yang mengawal peralatan penurunan Soyuz.

Legasi

Sejak kembali dari angkasa lepas, Dr Sheikh Muszaphar dianggap sebagai seorang selebriti. Tetap bagi beliau, status itu langsung tidak memberi sedikit kesan pun kepadanya. Ini kerana menurut beliau, pemergiannya ke angkasa lepas bertujuan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutama generasi muda untuk berjinak-jinak dengan bidang sains terutama angkasa lepas. Bukan sekali dua beliau dijemput memberi syarahan dan berkongsi pengalamannya semasa berada di angkasa lepas bukan saja dalam negeri tetapi juga di luar negara seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Brunei.

Dan minatnya terhadap dunia angkasa lepas masih menyala walaupun 12 tahun misinya ke ISS. Ini termasuk seruan beliau kepada pihak kerajaan untuk meneruskan program angkasawan kedua negara dan berharap sekiranya ia dapat diteruskan, rakan lamanya dari Star City iaitu Dr Faiz kembali dipertimbangkan untuk program itu. Pada tahun lepas, selepas mendengar rancangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang merancang hendak menghantar angkasawan negara ke angkasa lepas pada 2030, Dr Sheikh Muszaphar menyeru pihak kerajaan untuk berkolaborasi dengan China di medan berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama sebegini amat menguntungkan kepada kedua-dua pihak dengan beliau sendiri mempunyai hubungan baik dengan angkasawan mereka termasuk angkasawan pertama China Yang Liwei. Dr Sheikh Muszaphar juga berharap sekiranya program itu diteruskan, maka tidak salah jika seorang wanita dipilih sebagai angkasawan kedua negara. Ini kerana beliau berpandangan pemilihan sebegini memberi impak besar kepada kaum Hawa kerana individu tersebut sudah pasti akan menjadi sumber inspirasi wanita untuk berjaya.

Dr Sheikh Muszaphar juga tidak teragak-agak untuk memusnahkan semua mitos yang menjadi mainan geng konspirasi termasuk bumi rata. Dakwaan sebegini bukan sekali dua ditembak jatuh oleh ramai orang dari golongan cendekiawan sehinggalah penulis The Patriots sendiri tetapi ia masih berdegil untuk hilang. Terbaru, penyanyi Suhaimi Saad mencabar beliau membuktikan bahawa bumi itu sememangnya sfera. Ini mendorongnya berkongsi pengalaman semasa berada ISS di mana mereka mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari. Menurut beliau, setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000 km sejam. Kenyataan Dr Sheikh Muszaphar ini turut disokong oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato Seri Dr Zulkifli Muhammad al-Bakri dan penjelajah Grand Slam negara Muhamad Muqharabbin ‘Kobin’ Mokhtaruddin.

SUMBER

1. Baldwin, Chris. (2007). First Malaysian in space tells of bumpy ride back.  Reuters. https://www.reuters.com/article/us-space-malaysian-idUSL2342625120071023

2. Malaysiakini. (2018). Dr Sheikh: Work with China, send woman on 2030 space mission. https://www.malaysiakini.com/news/449759

3. Mei Zi, Tan. (2019). Challenged to prove Earth ‘not flat’, Angkasawan relates spiritual experience in space.  Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/02/15/challenged-to-prove-earth-not-flat-angkasawan-relates-spiritual-experience/1723351

4. Utusan Malaysia. (2007). Proses pemilihan dan latihan. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_07.htm

5. Jailani, Wan Amsyar. (2019). Qobin sangkal dakwaan Suhaimi bahawa bumi ini datar. Kosmo. http://www.kosmo.com.my/terkini/qobin-sangkal-dakwaan-suhaimi-bahawa-bumi-ini-datar-1.842783

6. AR, Zurairi. (2019). FT Mufti: Flat Earth conspiracy theory misguided, opposes irrefutable consensus. Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/02/18/ft-mufti-flat-earth-conspiracy-theory-misguided-opposes-irrefutable-consens/1724106

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.