Nama mungkin asing dalam kalangan orang kita tetapi bagi warga Penanti, beliau dianggap wira bagi mereka. Diberi kepercayaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, Dr Norlela berjaya menjalankan tugas dengan baik dan penuh dedikasi walaupun menghadapi cabaran yang bukan sedikit. Dan itu menjadikan beliau sebagai seorang wakil rakyat patut dicontohi oleh generasi kepimpinan seterusnya.

Adun Penanti dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini dilahirkan pada 5 April 1963. Jika ada yang ragu-ragu akan latar belakangnya, Dr Norlela bukan calang-calang orang sebelum berkecimpung dalam dunia politik. Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari Universiti Indiana, Bloomington, Indiana, Amerika Syarikat pada tahun 1984. Dua tahun selepas itu, Dr Norlela mendapat ijazah Sarjana Perniagaan (MBA) dengan pengkhususan Sains Perniagaan dari Universiti Texas Utara (University of North Texas), Denton, Texas. Dan pada tahun 2001, beliau mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti of Sussex, Brighton, England. Wanita hebat ini berkahwin dengan Haji Muhamad Pauzi Ramli dan dikurniakan empat cahaya mata.

Selepas mendapat ijazah Sarjana Perniagaan dari Universiti Texas Utara, Dr Norlela berkhidmat dengan alma maternya selama dua tahun dari 1987 hingga 1988 sebagai felo pengajar. Selepas berkelana di Amerika Syarikat, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dari 1990 hingga 1993. Beberapa tahun selepas itu, Dr Norlela menjadi pensyarah kanan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dari 1998 hingga 2001. Selepas mendapat ijazah Doktor Falsafah, beliau turut berkhidmat sebagai Profesor Madya di Universiti Nottingham, kampus Malaysia dari tahun 2007 hingga 2008. Selain berkhidmat dalam dunia akademik, Dr Norlela turut berkecimpung dalam dunia korporat. Antara pengalaman beliau ialah sebagai Pengurus Perunding Perkhidmatan Rundingan Industri Malaysia (PRIMA) Selangor dari tahun 2001 hingga 2002. Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Naib Presiden AIC Corporations dari tahun 2003 hingga 2007.

Dr Norlela mula terlibat dalam arena politik selepas menyertai PKR. Dan pada PRU 2013, beliau diberi kepercayaan oleh parti sebagai calon menggantikan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman. Datuk Dr Mansor sebaliknya dipilih sebagai calon PKR di Parlimen Nibong Tebal. Pada PRU itu, Dr Norlela berjaya menang dengan majoriti 2,339 undi mengatasi cabaran calon Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)/Barisan Nasional (BN), Ibrahim Ahmad.

Jika anda kata perjalanan beliau sebagai Adun nampak mudah, jawapan anda salah. Sebagai wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) di Penanti, beliau berusaha memperjuangkan nasib rakyat di situ dan memastikan rintihan mereka dapat didengar oleh kerajaan negeri. Buktinya, pada satu sidang DUN 2015, Dr Norlela menitiskan air mata kerana sedih melihat kawasan Penanti seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan negeri, satu perkara yang menimbulkan rasa kurang senang sesetengah Adun PR. Bagaimanapun, rintihannya didengari oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon yang juga Adun Pantai Jerejak dan berjanji perkara tersebut akan dibincangkan secara mendalam oleh kerajaan negeri.

Dan itu tidak terhenti di situ saja. Pada tahun 2017, tatkala isu kewujudan kilang haram di Sungai Lembu hangat diperkatakan, beliau menjadi antara individu bertanggungjawab memperjuangkan isu tersebut sehingga menarik perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Isu tersebut bukan sekali dua dibangkitkan kerana ia pernah dibangkitkan pada tahun 2015 kepada pihak berkuasa, sidang DUN dan juga jawatankuasa tindakan daerah berkenaan kerana dilihat mengancam kesihatan penduduk. Tetapi tiada sebarang tindakan diambil walaupun penduduk kampung di kawasan berkenaan sudah menghantar petisyen sebanyak 18 muka surat untuk mendesak tindakan diambil terhadap pengusaha kilang tersebut. Kemuncak kepada isu ini ialah penutupan kilang tersebut oleh Jabatan Alam Sekitar dan permohonan maaf Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana gagal bertindak terhadap isu berkenaan. Bagi Dr Norlela, ia satu kejayaan yang dilihat mengembalikan semula hak penduduk dan tidak hairanlah, ramai menyanjung wakil rakyat wanita berhati waja ini. Kecekalan wanita ini turut mendapat pujian ramai netizen.

Bagaimanapun, tindak-tanduknya itu juga sudah mencetuskan rasa tidak puas hati bukan saja kerajaan negeri tetapi juga kepimpinan parti Dr Norlela sendiri. Maka tidaklah mengejutkan mengapa beliau diuji dengan ujian seperti peruntukan kawasan disekat atau tanggungjawab mengagihkan bantuan diserahkan kepada kerajaan negeri dan bukan Adun seperti kebiasaannya. Namun itu tidak menghalang wakil rakyat Penanti ini terus bekerja dengan rakyat. Semasa Pulau Pinang dilanda banjir pada akhir tahun 2017, beliau menubuhkan Dana Bantuan Banjir Penanti. Dana tersebut diwujudkan kerana Dr Norlela melihat, ramai mangsa banjir lebih memerlukan bantuan wang tunai berbanding bantuan dari segi barangan. Penerima menerima bantuan antara RM200 hingga RM300 bergantung kepada tahap kerosakan yang dihadapi mereka dan setiap nama yang menerima akan dicatat bagi menunjukkan ketelusan pemberian bantuan.

Selain dana ini, ada satu anekdot menarik seorang pengguna Facebook bernama William Cheah. Beliau menceritakan semasa bertemu dengan Dr Norlela semasa musibah banjir melanda Pulau Pinang pada akhir tahun lepas, William cuba membahasakan beliau Yang Berhormat (YB) tetapi Dr Norlela lebih memilih dipanggil dengan namanya sendiri. Bagi aktivis ini, ia sesuatu yang mengagumkan dan menunjukkan beliau seorang ahli politik yang berbeza. Dr Norlela sentiasa berhubung dengan William dan rakan-rakannya untuk memastikan bekalan diperlukan mangsa banjir sampai dan ini tidak terhad kepada kawasan Penanti saja. Ini termasuk kawasan lain yang terkena musibah banjir walaupun hakikatnya, ia bukanlah termasuk dalam DUN Penanti. Satu lagi perkara menarik berkenaan Dr Norlela ialah beliau tidak pernah mengecam musuh-musuh politiknya atau membincangkan krisis yang berlaku dalam PR/Pakatan Harapan (PH). Sebaliknya, beliau lebih berminat membincangkan keperluan warga Penanti dan apa solusi pada setiap permasalahan yang dihadapi.

Untuk PRU kali ini, timbul ura-ura parti mahu mencalonkan beliau sebagai pengganti presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di DUN Kajang, Selangor. Walau bagaimanapun, Dr Norlela lebih berminat mempertahankan kerusinya daripada berpindah kerusi ke Kajang. Dan atas sebab integriti dan prestasi cemerlangnya sebagai Adun Penanti, maka tidak hairanlah mengapa kepimpinan parti peringkat negeri memutuskan untuk mengekalkan nama beliau sebagai calon PKR bagi Penanti untuk PRU kali ini.

SUMBER

  1. N12adunpenanti.blogspot.my. (2013). Profil Calon N11 DUN Penanti Dr Norlela Ariffin. https://n12adunpenanti.blogspot.my/2013/04/profil-calon-n11-dun-penanti-dr-norlela.html
  2. Utusan Malaysia. (2013). Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13: N12 Penanti. http://ww1.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PilihanRaya2013&pg=keputusan/PulauPinang_N12.htm
  3. Astro Awani. (2015). Rintihan tidak didengari kerajaan negeri, Adun PKR menangis dalam sidang DUN. http://www.astroawani.com/berita-politik/rintihan-tidak-didengari-kjaan-negeri-adun-pkr-menangis-dalam-sidang-dun-81608
  4. Dermawan, Audrey. (2017). New Straits Time. Norlela treads a lonely path. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/08/270753/norlela-treads-lonely-path
  5. Kaur, Balvin. (2017). New Straits Time. Norlela: I raised Sg Lembu illegal factory issue for the people, not to fight the gov’t. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/08/272741/norlela-i-raised-sg-lembu-illegal-factory-issue-people-not-fight-govt
  6. Utusan Malaysia. (2017). Kita berjaya tutup kilang haram – Norlela. http://www.utusan.com.my/mobile/berita/nasional/kita-berjaya-tutup-kilang-haram-norlela-1.520317
  7. Sekaran, R. (2017). The Star. Rep starts own fundraising drive. https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2017/11/13/rep-starts-own-fundraising-drive-some-flood-victims-lost-everything-and-need-cash-now-says-norlela/
  8. The Third Force. (2018). Dr Norlela Ariffin is a lousy politician. https://www.thethirdforce.net/dr-norlela-ariffin-is-a-lousy-politician/
  9. Theivadas, Logeiswary. (2018). The Star. Dr Norlela wants to stay in Penanti, not Kajang. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/04/09/dr-norlela-wants-to-stay-in-penanti-not-kajang/
  10. Theivadas, Logeiswary. (2018). The Star. Big surprise in Penang PKR list. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/04/25/big-surprise-in-penang-pkr-list-several-incumbents-including-state-speaker-and-deputy-speaker-droppe/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.