Dr Leonid Rogozov – Doktor Yang Membedah Dirinya Sendiri

897

Dr. Leonid Rogozov ialah seorang doktor am yang menyertai Ekspedisi  Antartika Ke-6 pada tahun 1960 hingga 1961. Dia merupakan satu-satunya doktor perubatan di dalam kumpulan 12 orang pengembara itu.

Dia ditempatkan di sebuah kem stesen yang baru sahaja dibina bernama Novolazarevskaya Station. Walau bagaimanapun, bermula pada bulan Mac 1961, komunikasi perbualan dan kenderaan keluar masuk ke Antartika terhalang kesan daripada ribut salji yang amat teruk pada tahun itu.

Pada 29 April 1961, Dr Leonid mulai berasa tidak sihat. Dia mulai demam, sakit-sakit sendi dan sakit perut. Kesakitan perutnya yang bermula di tengah, dan kemudiannya ke tepi menunjukkan gejala klasik penyakit apendiks akut. Satu-satunya rawatan penyakit ini adalah melalui pembedahan.

Pada awalnya, dia menggunakan rawatan perubatan yang terdiri daripada antibiotik dan penyejukan di bahagian abdomennya yang sakit, tetapi keadaannya semakin teruk. Suhu badannya mulai meningkat, dan dia mulai  muntah-muntah. Malangnya, keadaan ribut salji yang teruk menghalang penghantarannya ke hospital, dan tambah teruk apabila dia seorang sahaja doktor perubatan yang berada di situ.

Untuk pengetahuan anda, appendicitis, dalam bahasa Melayunya keradangan organ apendiks merupakan keadaan adanya jangkitan kuman atau apa-apa sisa makanan yang terpesong ke dalam bahagian apendiks. Akibat makanan yang tersangkut ini, kuman mulai membiak dan menyerang kawasan ini dan menjadikan bahagian yang bengkak di kawasan ini bertambah teruk.

Pada awalnya, kita sangkakan makanan seperti biji lada, biji buah jambu batu atau jagung mempunyai potensi menyebabkan penyakit ini, tetapi tidak. Tidak kira apa-ap jenis makanan sekalipun, walaupun yang sudah berjaya dicernakan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk tersumbat di saluran ini. Satu-satunya rawatan untuk sembuh adalah melalui pembedahan. Kelewatan pembedahan boleh mengakibatkan salur ini pecah, dan isi di dalam usus membanjiri peritoneum mengakibatkan peritonitis. Peritonitis membawa kadar kematian yang amat tinggi.

Kembali kepada cerita asal, pada 30 April, keadaan Dr Leonid semakin teruk. Apendiksnya yang mengalami keradangan mula menunjukkan tanda-tanda bahawa apendiksnya akan pecah. Dr Leonid tidak boleh tidur akibat kesakitan dan gejalanya semakin teruk.

Ubat-ubatan yang dimakan tidak menunjukkan apa-apa kesan. Sebuah lagi stesen dan kem milik Russia bernama Mirny terletak 1600 kilometer daripada kedudukannya. Setiap hari, cuaca amat teruk di situ di mana ribut salji selalu melanda menyebabkan apa-apa pengangkutan tidak boleh digunakan langsung.

Pada 1 Mei 1961, dia membuat keputusan untuk melakukan pembedahan membuang apendiks yang dinamakan sebagai appendicectomy pada dirinya sendiri. Dua orang rakannya, iaitu pemandu dan ahli kajian bintang menolongnya dengan memegang cermin dan memberikan instrumen kepadanya.

40 minit selepas pembedahan bermula, Dr Leonid terpaksa berhenti sebentar akibat sakit kepala dan susah untuk mengorientasikan dirinya memandangkan dia perlu memberi tumpuan yang penuh kerana dia melihat kawasan pembedahan itu melalui cermin. Segala pergerakannya akan menjadi ‘mirror image’.

Setelah dia berusaha dan sampai ke bahagian apendiksnya sendiri, dia terkejut melihatkan bahagian tersebut bengkak dan boleh bocor pada bila-bila masa. Dia segera memotong dan membuang bahagian tersebut, diikuti dengan sapuan antibiotik dan menutup semula ruang abdomennya. Pembedahan ini memakan masa sejam 45 minit.

Selepas pembedahan, dia semakin sembuh dan pada hari ke lima, dia tidak lagi demam. Seminggu kemudian, dia kembali sembuh dan dia membuang benang jahitan. 2 minggu kemudian, dia kembali pulih dan bekerja seperti biasa.

Dia dijulang sebagai seorang wira oleh warga Russia kerana sikapnya yang tidak berputus asa serta berani membuat pembedahan terhadap dirinya sendiri. Dia menerima anugerah Order of the Red Banner of Labour yang diberikan oleh kerajaan Russia.

Setahun kemudian, dia pulang ke Leningrad serta menerbitkan kertas-kertas kajian mengenai pembedahan, dan pada usia 60 tahun, dia meninggal dunia akibat serangan kanser paru-paru.

Hebatkan kisah beliau ini? Di hospital di Malaysia ini, hampir setiap hari para doktor bertungkus-lumus membuat pembedahan appecdicectomy. Pembedahan ini mengambil masa 20 – 40 minit. Zaman moden ini para doktor boleh membuat pembedahan dengan luka yang kecil dinamakan sebagai laparoskopik. Apakah  pendapat anda mengenai kes ini?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.