Dr Karen Wetterhahn: Dua Titik Yang Membawa Maut

1,386

Dr Karen Wetterhahn, berumur 48 tahun merupakan profesor dari bahagian kimia yang mempunyai kepakaran dalam kajian mengenai kesan toksik daripada bahan kimia terhadap manusia. Beliau merupakan salah seorang daripada segelintir sahaja manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Pada satu hari, beliau terpaksa mendapatkan bantuan kecemasan kerana mengalami gejala hilang keseimbangan, tidak mampu berjalan dengan betul serta tidak boleh bertutur dengan betul yang semakin teruk. Keadaan ini sebenarnya telah bermula beberapa minggu lepas, tetapi hanya menjadi semakin teruk pada hari beliau mendapatkan rawatan.

Semasa pemeriksaan fizikal, dia mengalami dysmetria (hilang keupayaan untuk menganggar jarak), serta hilang koordinasi dan kawalan tehadap badannya sendiri. Selain itu, beliau juga mengalami ataxic gait, iaitu hilang koordinasi untuk berjalan dengan betul, tidak boleh menulis dengan betul (dystaxic handwriting) serta percakapannya kurang jelas (slurred speech).

5 bulan lepas, semasa dalam satu eksperimen melibatkan bahan kimia, beliau secara tidak sengaja menumpahkan lebih kurang 2 titik bahan kimia bernama Dimethylmercury di atas sarung tangan getah yang dipakai. Sejurus kejadian itu, beliau terus membersihkan kawasan tersebut mengikut protokol pembersihan yang disediakan.

Beliau juga perasan, kedua-dua belah tangannya berpeluh akibat memakai sarung tangan getah terlalu lama, dan beliau yakin bahawa tiada sentuhan terhadap bahan tersebut mengenai kulitnya.

Beberapa minggu kemudian, beliau berasa agak pelik, dan seringkali hilang keseimbangan badannya ketika berjalan. Bukan itu sahaja, beliau juga hampir terlibat dengan kemalangan jalanraya, di mana akhirnya dia menyuruh suaminya untuk menghantar dia ke universiti setiap hari. Dalam tanggapan beliau, keadaanya sebegitu kerana terlalu penat dan kurang tidur.

Setelah melakukan pemeriksaan, para doktor menyenaraikan diagnosis keracunan merkuri, setelah mangambil kira kejadian yang berlaku, serta fungsi kognitif yang melibatkan saraf dan otak yang semakin rendah. Diagnosis Neurodegeneration secondary to mercury poisoning dibuat.

Ujian darah menunjukkan beliau mempunyai tahap merkuri melebihi 4000 micrograms per litter. (400 kali lebih tinggi daripada normal). Doktor berasa agak pelik, kerana dalam kes-kes keracunan akibat merkuri, gejalanya sepatutnya semakin elok mengikut masa, tetapi berbeza di dalam keadaan ini di mana keadaan beliau semakin lama semakin kritikal. Tetapi tidak untuk beliau.

Sedikit informasi mengenai dimethylmercury – Dimethylmercury merupakan bahan kimia organik, yang terdapat dalam bentuk cecair, dan amat mudah untuk meresap masuk ke dalam badan. Molekulnya bersifat lipophilic, iaitu suka kepada bahagian lemak. Apabila bahan ini terdapat di dalam badan, bahagian hati manusia akan menukarkan molekul dimethylmercury kepada methymercury, iaitu salah satu jenis molekul yang juga lipophilic.

Jadi, dalam kes sebegini, sudah tentu kita mahukan merkuri tersebut dibuang daripada badan pesakit bukan? Untuk membuat perkara sedemikian, para doktor perlu memberi sejenis ubat, bernama Succimer, dimana molekul tersebut akan mengikat methylmercury, seterusnya menukar sifat lipophilic kepada hydrophilic (suka kepada air). Molekul yang hydrophilic akan larut di dalam darah, dan seterusnya, dalam strategi rawatan yang dikenali sebagai chelation ini, molekul tersebut akan disingkirkan melalui buah pinggang

Walaubagaimanapun, setelah diberikan ubat tersebut, keadaan beliau menjadi semakin teruk. Fungsi kognitifnya mulai merosot, dan langsung tidak membalas atau memberi respon terhadap kata-kata suaminya. Ini adalah kerana walaupun ujian darah menunjukkan tahap merkuri di dalam badan beliau semakin rendah, namun kebanyakkan molekul bernama dimethylmercury ini sudahpun meresap ke otaknya.

Hal ini kerana otak mempunyai komposisi 60% lemak, dan molekul yang tidak berjaya diikat dengan succimer akan meresap ke bahagian otak. Mercuri akan merosakkan otak dengan memberikan oxidative stress kepada tisu menyebabkan sel-sel otaknya mulai mati. Bukan itu sahaja, bahagian saraf tunjang, serta saraf yang lain diliputi oleh satu lapisan lemak bernama myelin sheath, yang juga menjadi tempat peresapan molekul methylmercury ini

3 minggu berikutnya, keadaan beliau semakin teruk, di mana beliau gagal memberi apa-apa respon terhadap percakapan, sentuhan dan penglihatan. Refleks pupilnya juga perlahan. Beliau dilihat kadangkala membuka mata secara tiba-tiba, menjerit, menangis serta menggerakkan kedua-dua belah tangannya tanpa sebab. Beliau seseolah terperangkap di dalam badanya sendiri.

Ujian menunjukkan beliau sememangnya terdedah kepada tumpahan dimethylmercury tersebut pada awalnya, di mana setelah dikira, adalah sebanyak 1440mg. Tahukah anda, ikan salmon mempunyai 0.022 part per million merkuri. Untuk mendapatkan jumlah merkuri yang sama dengan beliau, anda perlu makan 65,000 kilogram ikan salmon sekaligus. Banyak kan?

Ujian juga mendapati bahawa jumlah dimethylmercury yang tertumpah di sarung tangan yang beliau pakai hanyalah sebanyak 2 titik, dan mereka juga mendapati bahawa dimethylmercury boleh meresap dan melintasi sarung tangan getah yang dipakainya pada hari kejadian.

Beberapa hari kemudian, beliau menghembuskan nafas terakhir. Autopsi dilakukan, mendapati terdapat banyak merkuri di bahagian otak beliau, di mana kebanyakkannya berada di bahagian frontal lobe, iaitu bahagian otak yang mengawal pergerakkan, occipital lobe, iaitu bahagian otak yang mengawal penglihatan serta temporal lobe, iaitu bahagian yang mengawal pendengaran. Hal Ini selari dengan gejala yang dialaminya.

Dalam dunia moden yang padat dengan informasi berkaitan teknologi dan sains, di Malaysia ini, masih ramai yang ingin mendapatkan jalan mudah untuk kononnya menjadi cantik, walaupun ada beberapa orang yang tahu akan kandungan merkuri yang digunakan dalam produk kecantikan.

Kes yang dialami Dr Karen Wetterhahn ini menunjukkan bahawa walaupun terdedah dengan 2 titik bahan ini, ianya cukup untuk membunuh seorang manusia. Bukan itu sahaja, gejala yang dialami amat menyeksakan serta penderitaan yang dialami amat lama, di mana beliau terperangkap dalam badan yang mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit. Adakah risiko untuk cantik berbaloi dengan gejala-gejala yang bakal berlaku sehingga mengorbankan satu nyawa? Fikir-fikirkanlah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.