Dr Ayman Al-Akiti: Melayu Pertama Lulus Phd Di Universiti Tertua Dunia

16,068

Jika ditanya tentang universiti yang masyhur dengan kecemerlangannya, pasti jawapan yang akan meniti di bibir masyarakat awam adalah nama-nama universiti barat antaranya seperti :-

University of Oxford, England (1096 Masihi)
University of Cambridge, England (1209 Masihi)
University of Harvard, Amerika (1636 Masihi)

Namun tahukah anda, jauh sebelum berdirinya universiti-universiti tersebut, umat Islam telah lama mempelopori dan mendirikan institusi-institusi pengajian tinggi. Lebih mengejutkan lagi, universiti-universiti tersebut terletak di benua Afrika yang kini kita anggap sebagai benua mundur.

Universiti milik umat Islam lebih tua kira-kira ratusan tahun dari apa yang dimiliki oleh bangsa Barat. Antara universiti agung terawal umat Islam adalah :-

Universiti al-Zaytuna, Tunisia (737 Masihi)
Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi (859 Masihi)
Universiti al-Azhar, Mesir (972 Masihi)

Oleh kerana berlakunya peperangan dan sebagainya, Universiti al-Zaytuna terpaksa ditutup sementara sebelum dibuka semula setelah dimodenkan pada tahun 1956. Oleh itu, hal ini menjadikan prestij dan status universiti tertua di dunia jatuh kepada Universiti al-Qarawiyyin. UNESCO dan Guinness World Records telah mengiktiraf Universiti al-Qarawiyyin sebagai “The oldest existing and continually operating higher educational institution in the world”.

Antara alumni terkenal Universiti al-Qarawiyyin ialah Ibn Khaldun (sejarawan yang menulis kitab al-Muqadimmah), Muhammad al-Idrisi (ahli geografi dan pelukis peta), Ibn Batuttah (ahli pengembara dan sejarawan) Ibnul Arabi (Qadhi Mazhab Maliki-Asyairah asal Sepanyol), Ibn Maimun (Tokoh Falsafah Yahudi), Abdullah al-Ghumari (Tokoh Hadis) dan ramai lagi.

Orang pertama dari Malaysia yang berjaya mendapat PhD di Universiti al-Qarawiyyin ini ialah Dr Ayman al-Akiti. Usah terkeliru dengan nama Dr Afifi al-Akiti iaitu Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak yang merupakan penerima PhD dari University of Oxford dan merupakan orang Melayu pertama menjadi pensyarah di University of Oxford yang berprestij itu.

Namun sebenarnya, Dr Afifi al-Akiti (PhD Oxford) itu ialah abang kepada Dr Ayman al-Akiti (PhD Qarawiyyin). Mereka berdua merupakan lepasan pondok yang akhirnya berjaya mencapai tahap pengajian yang tinggi di institusi yang masyhur. Tidak seperti di Malaysia, institusi pondok di Indonesia dipandang tinggi malah mempunyai sijil yang diakui. Pondok di Indonesia memiliki silibus yang holistik, pengurusan yang sistematik dan dipelihara kebajikannya oleh kerajaan.

Selepas UPSR, Dr Ayman berhenti dari sistem pengajian formal (sekolah menengah) di Malaysia pada usia 13 tahun untuk pergi menuntut ilmu agama di pondok-pondok yang terdapat di Jawa Timur, Indonesia atas minat yang begitu mendalam. Beliau mempelajari pelbagai ilmu Islam di pondok-pondok tradisional itu selama 7 tahun. Setelah lulus Sijil Aliyyah Pesantren dari Madrasah Nizamiyyah Pondok Pesantren Raudhatul Ulum di Kediri, beliau dilantik menjadi tenaga pengajar pula disana selama 6 tahun.

Pengalaman selama 13 tahun dalam sistem pengajian pondok ini membuatkan ilmu beliau begitu matang sehingga aktif bergiat dalam Majlis Bahtsul Masail iaitu sebuah forum intelektual atau muzakarah fatwa yang menjawab pelbagai persoalan umat Islam yang dikelola oleh Nahdlatul Ulama iaitu persatuan umat Islam yang paling besar di dunia.

Oleh itu, ini bermaksud Dr Ayman sepertimana abangnya Dr Afifi tidak memiliki sijil formal akademi di Malaysia seperti SPM/STPM/STAM kerana sijil pondok di Indonesia sendiri memiliki akreditasi yang diiktiraf. Dr Ayman al-Akiti menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah di Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Kediri.

Dr Ayman al-Akiti memulakan pengembaraan ilmunya ke Maghribi (Morroco) ketika menyambung pengajiannya pada peringkat Master di Universiti Hassan II di Casablanca dalam bidang Akidah & Agama. Tesis Masternya berjudul Usul al-Adillah al-Aqadiyyah inda Uthman al-Salaliji fi Kitabihi al-Aqidah al-Burhaniyyah.

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Akidah & Pemikiran Islam pada peringkat PhD di Universiti al-Qarawiyyin. Ini menjadikan Dr Ayman al-Akiti sebagai orang Malaysia pertama yang memiliki PhD dari universiti tertua dunia. Kesemua peringkat pengajian tersebut, berjaya beliau lulus dengan Kepujian Kelas Pertama.

Universiti al-Qarawiyyin begitu memelihara keaslian sistem pendidikan tradisional (turath) yang disebut sebagai al-Ta’limul Atiq. Hafazan teks asas (matan) serta mengkaji kitab-kitab lama untuk disesuaikan dengan konteks semasa (waqi’) menjadi fokus universiti ini.

Di Maghribi, Dr Ayman al-Akiti aktif mengajar mahasiswa mahasiswi dari Malaysia, Indonesia dan Thailand secara talaqqi dengan mengasaskan sebuah majlis taklim dengan nama Pondok Jawi Maghribi yang bertempat di Sale, Maghribi. Beliau juga aktif membentang kertas kerja dalam seminar-seminar antarabangsa di serata Maghribi, Nusantara dan Eropah.

Jika abangnya, Dr Afifi al-Akiti telah berjaya membuka mata masyarakat barat dengan kajian terhadap pemikiran Imam al-Ghazali di University of Oxford, kini tugas Dr Ayman al-Akiti adalah untuk terus menggali lagi manuskrip-manuskrip lama umat Islam untuk dipersembahkan ke pentas dunia. Manuskrip umat Islam banyak disimpan di pusat-pusat kajian yang terletak di barat.

Oleh itu, Dr Ayman al-Akiti aktif memulakan kajiannya terhadap manuskrip-manuskrip yang masih tersembunyi dalam dunia Islam sendiri dahulu sepanjang kembara ilmunya di Maghribi. Ini kerana Dr Afifi dan Dr Ayman ingin mengembalikan cara pandang alam mengikut kerangka Islam (Islamic Worldview) sepertimana manhaj Imam al-Ghazali sekaligus mampu meranapkan kerapuhan Western Worldview yang berasaskan kaca mata sekular. Cara pandang alam (Worldview) ini amatlah penting kerana ianya adalah asas kepada pembentukan gerak kerja tatacara dunia (World Orde).

Dr Ayman al-Akiti kini menjawat sebagai Assistant Professor di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama (Kuliyah of Islamic Revealed Knowledge & Human Sciences) di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Beliau merupakan Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan merupakan pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) cawangan Wilayah Persekutuan.

* Sebarang perbincangan lanjut, jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN
– http://www.guinnessworldrecords.com/world-records/3000/oldest-university
– http://whc.unesco.org/en/list/170
– https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/12/F507250/dr-ayman-al-akiti-terbuka-hati-dalami-agama-ketika-umrah

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.