Dr Amani Salim – Wanita Malaysia Dalam Program NASA

968

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pada tahun 2014, seorang wanita negara menempa sejarah sebagai salah seorang wanita Malaysia yang terlibat dalam program penghantaran penyelidikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke angkasa lepas. Wanita yang dimaksudkan ialah Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim.

Ketika itu berusia 36 tahun, Dr Amani turut berperanan sebagai penyiasat utama dalam pasukan yang turut dianggotai oleh jurutera, saintis dan pakar teknologi. Pasukan ini bertanggungjawab mereka peralatan pertama NASA ion luar sel yang wujud dalam situasi mikrograviti.

Projek itu kemudiannya dilancarkan ke angkasa lepas sebagai satelit nano bersama roket SpaceX sebagai sebahagian daripada misi NASA ke Marikh iaitu Journey to Mars. Tetapi bagaimana wanita hebat ini boleh menjadi sebahagian daripada pasukan yang dianggotai pakar-pakar berpengalaman ini?

Untuk mengetahui lebih lanjut, kita harus mengimbau zaman kecilnya. Dr Amani merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik dengan bapanya ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor. Beliau beruntung kerana dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan ilmu.

Semasa ditemubual akhbar Harian Metro, Dr Amani mengakui pada masa kecilnya dia tidak tahu tentang NASA, angkasa lepas dan sebagainya. Tetapi kerana rasa cintanya kepada ilmu dan rasa ingin tahu yang sangat menebal, wanita ini mula meneroka dunia angkasa perlahan-lahan.

“Kata ibu, saya seorang yang suka duduk di sofa dan berkhayal. Namun, dalam khayal itu saya selalu memikirkan cara menjadi orang berguna kepada masyarakat. Saya mahu membuat kajian yang memberi impak kepada manusia secara keseluruhannya.

“Apabila mencapai umur 17 tahun, saya berangkat menyambung pengajian di AS. Dalam tempoh hampir 20 tahun di sana, saya berjuang sebagai wanita bujang, bukan berkahwin. Hanya apabila pulang ke Malaysia saja saya dijodohkan dengan lelaki yang dikenali sejak usia remaja,” katanya.

Dr Amani mengakui merasa beruntung kerana kedua-dua ibu bapanya memahami, memberi dorongan dan menyokong usahanya untuk terus maju dalam bidang angkasa lepas.

Tambahnya, “Bayangkan, ketika orang lain menerima tekanan dan pertanyaan bila hendak berumah tangga serta memiliki anak, ibu saya bersikap sebaliknya. Setiap kali kami berhubung menerusi telefon ketika saya di AS dulu, tiga pertanyaan pertamanya adalah; sudah makan atau belum; sudah solat atau belum dan kerja bagaimana?

“Sebab itu, saya selalu berasakan kejayaan saya hari ini hasil sokongan padu ibu bapa. Mereka tahu betapa besarnya usaha, impian dan cita-cita saya dalam melaksanakan misi diberi NASA.”

Tidak ramai tahu perjalanan Dr Amani menceburi dunia sains roket bermula dengan menawarkan diri bekerja di makmal sebagai pencuci kanta mikroskop. Mungkin ada menganggap kerja tersebut membosankan tetapi bagi beliau, itu juga merupakan peluang untuk belajar. Berikutan hasil kerjanya yang baik, mereka bukan saja membayar khidmatnya tetapi juga memberi nasihat dan peluang.

Salah satu nasihat seorang profesornya ialah menyambung pembelajaran dalam Doktor Falsafah (PhD) bioteknologi. Dr Amani yang menyambung pelajaran di Universiti Minnesota, Minneapolis berjaya meraih ijazah sarjana muda dan sarjana dari universiti berkenaan.

Peluang kian cerah buat wanita ini apabila melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di Purdue University, pusat pengajian yang turut melahirkan angkasawan pertama menjejakkan kaki ke bulan, Neil Armstrong. Tambah Dr Amani, sepanjang pengajian, dia tidak pernah mengambil mudah setiap pekerjaan dan peluang yang tiba kepadanya. Jadi, apabila diberi kepercayaan memimpin projek NASA, dia melaksanakan sebaik-baiknya.

Kini, beliau merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selepas pulang dari berkelana, Dr Amani sentiasa bertanya apa cara yang boleh dilakukannya untuk membantu masyarakat dan tanah air.

“Saya pernah ke Kelantan ketika bencana banjir besar yang lalu. Saya bersama satu badan bukan kerajaan (NGO) ke lokasi paling teruk terjejas. Di sana, saya melihat orang tua mengangkat air yang keruh untuk dijadikan air minuman.

“Saya fikir, mengapa tidak saya cipta satu alat yang boleh membantu mengesan kehadiran bakteria dalam air? Alat ini nanti boleh digunakan semua dan ia sudah di peringkat akhir sebelum diperkenalkan kepada umum,” katanya.

Tambahnya lagi, dia sentiasa positif untuk menyumbang kepada negara, namun masih mencari sokongan pelabur untuk merealisasikan impiannya. “Saya lihat Malaysia memiliki ramai pakar yang mempunyai potensi dalam pelbagai bidang. Mereka ini ada pencapaian membanggakan di luar negara, dihormati dan disanjung, namun hilang punca apabila kembali ke tanah air.

“Bakat dan kebijaksanaan mereka tidak digunakan, apatah lagi dihargai atau diangkat menerusi projek mega yang ada. Sebab itu, saya mahu adakan satu organisasi khusus untuk menghimpunkan golongan pakar dan ilmuwan tempatan supaya mereka dapat menyumbang kepada kemajuan negara menerusi syarikat kelahiran anak Malaysia sendiri.

“Saya ambil Samsung sebagai contoh. Ia merupakan syarikat yang menghimpunkan kebijaksanaan dan kepakaran anak Korea Selatan dan kini dikenali di mata dunia. Ramai anak Malaysia kini disanjung di luar negara, jadi mengapa tidak kita buka ruang untuk mereka menyinar di negara sendiri?” katanya.

RUJUKAN:

Shahimi, Intan Mas Ayu. (2019). Impian besar Dr Amani. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/hati/2019/07/474258/impian-besar-dr-amani

Malaysiakini. (2018). Why Nasa scientist Amani chose M’sia over the stars. https://www.malaysiakini.com/news/411044

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.