Satu resolusi yang dinamakan sebagai United Nations Decade of Action on Nutrition yang bermula dari tahun 2016 hingga 2025 telah dilancarkan sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1 April 2016. Resolusi ini mempunyai beberapa agenda dan objektif utama dalam melaksanakan pelbagai tindakan proaktif bagi memerangi masalah kebuluran serta menghapuskan segala jenis masalah nutrisi (malnutrition) di seluruh dunia. Polisi ini secara asasnya telah menerangkan mengenai kewujudan masalah double burden malnutrition serta impak yang berlaku akibat daripadanya.

Apa itu double burden malnutrition? Masalah ini secara umumnya boleh dihuraikan sebagai kehadiran masalah kekurangan zat makanan (undernutrition) yang wujud bersama-sama dengan masalah obesiti dan berlebihan berat badan (overweight) dalam sesuatu populasi masyarakat sesebuah negara yang merentasi pelbagai taraf sosioekonomi. Dalam hal ini, ia bermaksud, kedua-dua keadaan malnutrisi ini iaitu kekurangan nutrien atau kekurangan zat makanan serta obesiti atau berlebihan berat badan yang wujud serentak dalam sebuah populasi yang sama.

Pada masa kini, masalah double burden malnutrition ini telah dianggap sebagai suatu cabaran dunia, di mana ia sebenarnya boleh berlaku dalam tiga peringkat utama. Pertamanya, keadaan ini boleh berlaku dalam individu, di mana individu tersebut boleh mengalami beberapa keadaan malnutrisi sepanjang hidupnya, sebagai contoh, pada usia kanak-kanak, individu ini menghadapi masalah kekurangan zat makanan, namun, setelah dewasa, dia mengalami masalah berlebihan berat badan. Keadaan ini adalah tidak mustahil kerana perubahan yang berlaku dalam keadaan sekeliling memungkinkan terjadinya dua keadaan malnutrisi yang berbeza sepanjang fasa kehidupan.

Keduanya, masalah double burden malnutrition juga boleh berlaku pada dalam sesebuah isi rumah (household). Ini menerangkan keadaan di mana beberapa orang ahli dalam sesebuah isi rumah yang sama, yang mengalami pelbagai masalah malnutrisi, contohnya obesiti dalam kalangan ibu bapa, dan anak-anak yang mengalami keadaan kekurangan zat makanan. Peringkat yang ketiga ialah masalah double burden manutrition yang berlaku dalam sesebuah komuniti, daerah atau populasi yang sama dalam sesebuah negara. Situasi yang berlaku pada peringkat komuniti dan populasi ini sebenarnya adalah lebih serius kerana ia melibatkan jumlah individu yang ramai dan memerlukan kepada suatu tindakan yang lebih menyeluruh.  

Penyebab kepada keadaan double burden malnutrition

Persoalannya, apakah penyebab dan faktor yang membawa kepada masalah double burden malnutrition ini? Para penyelidik dalam bidang pemakanan telah sependapat bahawa masalah ini sebenarnya berkait rapat dengan turutan perubahan epidemiologi, di mana ia terdiri daripada peralihan pemakanan, peralihan epidemiologi dan peralihan demografi.

  1. Peralihan pemakanan (nutrition transition)

Peralihan pemakanan ini meliputi perubahan yang berlaku dalam corak pemakanan, pengambilan makanan serta penggunaan tenaga daripada makanan yang berkaitan dengan perkembangan ekonomi semasa, iaitu berkisar dalam konteks globalisasi dan urbanisasi. Apa yang dimaksudkan di sini, ialah bagaimana berlakunya peralihan dalam aspek pemakanan (yang merangkumi corak dan gaya pemakanan) hasil daripada peningkatan atau penurunan dalam bidang ekonomi dalam sesebuah populasi.

  • Peralihan epidemiologi (epidemiological transition)

Peralihan dalam epidemiologi ini melibatkan perubahan yang berlaku dalam aspek epidemiologi, iaitu perubahan penyakit-penyakit yang berlaku dalam sesebuah populasi akibat daripada kemakmuran dan peningkatan yang dicapai dalam aspek ekonomi. Dalam keadaan double burden malnutrition ini, perubahan penyakit yang berlaku ialah daripada penyakit-penyakit berjangkit yang berkaitan dengan kekurangan zat makanan kepada penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases) seperti diabetes dan penyakit jantung. 

  • Peralihan demografi (demographic transition)

Dalam aspek peralihan demografi ini, ia melibatkan perubahan yang berlaku dalam struktur sesebuah populasi serta tempoh jangka hayat populasi yang semakin bertambah. Keadaan ini menerangkan situasi di mana perubahan yang berlaku dalam aspek kadar kelahiran serta kadar kematian sewaktu lahir yang melibatkan populasi yang lebih muda serta peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit (diabetes, hipertensi, kanser) dalam kalangan populasi yang lebih tua.

Sejak dua dekad yang lalu, ketiga-tiga faktor penyebab secara perlahan-lahan telah  membentuk suatu faktor risiko yang membawa kepada masalah double burden malnutrition di seluruh dunia. Perubahan ekonomi global, perkembangan dalam industri makanan dan pertanian, peningkatan populasi dunia serta perubahan iklim dan cuaca merupakan antara komponen yang terbentuk hasil daripada ketiga-tiga faktor penyebab berkenaan. Secara asasnya, double burden malnutrition ini sebenarnya suatu keadaan yang banyak dipengaruhi oleh gaya pemakanan akibat daripada perubahan-perubahan seperti yang dinyatakan di atas.

Dalam situasi ini, bagi negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana, tiga faktor ini sebenarnya berkembang dengan lebih cepat dan kesannya telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam kuantiti serta kualiti diet yang diambil dalam kalangan individu dan populasi di negara-negara tersebut. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pertindihan dalam kes-kes yang melibatkan kekurangan zat makanan serta masalah obesiti akibat daripada perubahan diet yang diambil oleh populasi. Contoh dalam kes ini ialah seseorang individu yang mengalami masalah kekurangan zat makanan pada waktu kanak-kanaknya akibat kesempitan hidup (kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan yang berkualiti dan mencukupi). Perubahan ekonomi dan taraf hidup yang dialaminya apabila dewasa telah memberikan individu berkenaan akses yang secukupnya kepada bekalan makanan dan terdedah kepada gaya pemakanan yang tidak sihat yang seterusnya membawa kepada masalah lain seperti penyakit diabetes, dan obesiti.

Keadaan inilah yang banyak terjadi di kebanyakan negara di Afrika di mana kadar kewujudan double burden malnutrition di negara-negara berkenaan berada pada tahap yang membimbangkan. Keadaan jaminan makanan (food security) yang tidak stabil di negara-negara tersebut menjadi punca utama yang memburukkan lagi situasi double burden malnutrition. Dalam kebanyakan hospital di Afrika, sebagai contoh di Gambia, ia adalah suatu pemandangan biasa dengan melihat satu wad yang dipenuhi dengan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan, manakala di wad yang lainnya terdapat ramai individu dewasa yang mempunyai masalah obesiti serta menghadapi pelbagai komplikasi akibat diabetes dan hipertensi.

Double burden malnutrition di Asia Tenggara

Meskipun kes-kes yang melibatkan keadaan double burden malnutrition ini banyak ditemui di negara-negara Afrika yang mempunyai pendapatan yang rendah, namun kini ia juga merupakan suatu masalah yang agak runcing dalam kalangan negara-negara membangun di Asia Tenggara. Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan di seluruh negara di Asia Tenggara, hasil telah menunjukkan bahawa peningkatan dalam banyak kes obesiti dan berlebihan berat badan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya bagi kawasan bandar (urban) di negara-negara berkenaan.

Namun begitu, WHO dan UNICEF juga turut melaporkan bahawa sehingga tahun 2016, peratusan tertinggi bagi kanak-kanak yang mengalami pertumbuhan terbantut (stunting) adalah di Asia Tenggara berbanding negara-negara lain. Laporan juga menunjukkan bahawa prevalens tertinggi bagi kes pertumbuhan kanak-kanak yang terbantut ini adalah di Myanmar, Cambodia, Laos dan juga beberapa bahagian di Indonesia dan Filipina. Terbaru, hasil kajian yang dijalankan oleh Rachmi, Li, & Baur (2018) telah menunjukkan bahawa prevalens bagi masalah double burden malnutrition ini adalah di antara 5% bagi Myanmar, dan mencapai prevalens tertinggi, iaitu sebanyak 29.8% bagi kes yang berlaku di Indonesia.

Dalam kalangan orang dewasa pula, prevalens adalah lebih tinggi bagi kes berlebihan berat badan dan obesiti dalam kebanyakan negara di Asia Tenggara. Ini menerangkan keadaan di mana kombinasi double burden malnutrition yang paling banyak ditemui di Asia Tenggara ialah kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan dengan pertumbuhan terbantut, manakala ibu bapa mereka mengalami masalah obesiti dan berlebihan berat badan. Malah, kajian di Malaysia sendiri turut menunjukkan prevalens sebanyak 12.5% adalah bagi kombinasi kes double burden malnutrition yang melibatkan kanak-kanak yang kekurangan berat badan dengan ibu mereka yang mengalami masalah obesiti dan berlebihan berat badan.  

Penyelesaian bagi double burden malnutrition

Persoalannya kini, apakah kaedah dan cara terbaik dalam menangani masalah double burden malnutrition ini? Dalam situasi kini, banyak polisi serta tindakan yang dilakukan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun di peringkat setiap negara adalah melibatkan kaedah bagi mengatasi masalah kebuluran, kekurangan zat makanan serta pertumbuhan yang terbantut terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Pihak WHO sendiri pada tahun 2017 telah meletakkan garis panduan dan kerangka strategi yang dinamakan sebagai double-duty actions yang khusus bagi menangani masalah double burden malnutrition ini.

Double-duty actions ini merangkumi pelbagai program intervensi dan polisi yang mempunyai potensi bagi mengurangkan risiko atau beban akibat kedua-dua keadaan, iaitu kekurangan zat makanan (penyebab kepada pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan) serta obesiti dan berlebihan berat badan (penyebab kepada diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser). Perlaksanaan kepada double-duty actions ini melibatkan negara-negara yang mempunyai risiko tinggi terhadap masalah double burden malnutrition. Antara tindakan dan polisi yang termasuk di dalam kerangka strategi bagi double-duty actions ini ialah:

  1. Mempromosikan serta melindungi hak penyusuan susu ibu secara eksklusif
  2. Tindakan bagi  perlaksanaan pemakanan sihat pada awal usia
  3. Pemakanan bagi ibu (maternal nutrition)
  4. Program penjagaan kesihatan bagi ibu mengandung
  5. Polisi dan program pemakanan di sekolah
  6. Penguatkuasaan bagi pemasaran
  7. Kaunseling pemakanan untuk remaja
  8. Peningkatan subsidi bagi akses kepada makanan dan diet sihat
  9. Cukai bagi mengurangkan makanan yang tidak berkhasiat
  10. Promosi penghasilan sumber makanan berkhasiat dan organik melalui taman/kebun di rumah
  11. Penguatkuasaan kepada keselamatan makanan

Secara asasnya, bukan semua negara mempunyai kemampuan dan akses bagi melaksanakan kesemua polisi dan tindakan seperti yang dinyatakan di atas. Malah, ada sesetengah negara hanya mampu untuk mengemukakan beberapa polisi yang bersesuaian dengan keadaan di negara mereka. Namun, apa yang paling penting adalah bagaimana proses perlaksanaan yang dijalankan bagi setiap polisi serta strategi berkenaan untuk menangani masalah double burden malnutrition.

Ramai penyelidik dalam bidang pemakanan menyatakan bahawa masalah double burden malnutrition ini merupakan suatu isu yang kompleks dan memerlukan kepada suatu integrasi polisi yang bukan sahaja melibatkan pemakanan sihat, malah turut melibatkan kawalan terhadap perkembangan ekonomi, perubahan iklim serta proses urbanisasi. Ini adalah kerana kesemuanya boleh mencetuskan pengaruh dalam sistem makanan yang seterusnya membawa kepada perubahan dalam jaminan dan keselamatan makanan. Apa yang pastinya, para penyelidik kini lebih memberi keutamaan untuk melihat masalah ini secara bersama, yang mana masalah kekurangan zat makanan (undernutrition) dan berlebihan berat badan (overnutrition) tidak harus dipandang sebagai dua masalah yang berbeza.

Bagi langkah penyelesaian yang efektif, semuanya harus bermula daripada peringkat awal kelahiran seseorang individu lagi. Disebabkan itulah, tiga strategi pertama yang digariskan dalam double-duty actions ialah dengan memberi fokus kepada aktiviti penyusuan susu ibu bagi bayi, perlaksanaan pemakanan sihat di awal usia serta kesihatan ibu itu sendiri. Kajian sendiri turut menunjukkan bahawa bayi yang tidak mendapat pemakanan yang sebaiknya bermula dari tempoh kelahiran hingga seawal usia dua tahun mempunyai risiko untuk menghadapi masalah berlebihan berat badan pada peringkat umur yang lebih tua nanti.

Selain itu, fokus juga diberikan kepada penyelesaian untuk akses bagi sumber makanan yang sihat dan berkhasiat. Dalam hal ini, ia sebenarnya melibatkan banyak aspek seperti perubahan ekonomi serta keadaan iklim bagi sesebuah kawasan. Penyelesaian kepada akses makanan sihat ini memerlukan kepada tindakan proaktif serta kerjasama yang diberikan oleh pasaran makanan bagi menawarkan produk dan bahan-bahan makanan yang lebih terjamin dari segi khasiat, keselamatan serta kemampuan untuk dibeli oleh para pengguna.

Apa yang paling penting dalam mencari langkah pencegahan dan penyelesaian bagi masalah double burden malnutrition ini ialah bagi semua pihak memahami keadaan yang berlaku bermula dari peringkat isi rumah (household) sehinggalah ke peringkat populasi yang lebih besar. Pelan tindakan haruslah diintegrasikan agar bersesuaian dengan setiap peringkat dan kerjasama antara semua pihak harus diambilkira bagi memastikan keberkesanan setiap tindakan dan strategi yang bakal dilaksanakan.

Kesimpulan

Double burden malnutrition merupakan suatu masalah global yang melibatkan banyak peringkat. Dalam hal ini, penyelesaian harus bermula dengan proses pengenalpastian kepada punca masalah dan seterusnya kepada perancangan bagi polisi tindakan yang sewajarnya bersesuaian dengan keadaan masalah yang berlaku bagi sesebuah populasi. Pendekatan bijak yang melibatkan kerjasama semua pihak harus mampu untuk mengurangkan risiko bagi masalah ini dan seterusnya secara perlahan-lahan menanganinya.

Rujukan

Delisle, H., & Batal, M. (2016). The double burden of malnutrition associated with poverty. The Lancet, 387(10037), 2504–2505. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(16)30795-4

Dietz, W. H. (2017). Double-duty solutions for the double burden of malnutrition. The Lancet, 390(10113), 2607–2608. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(17)32479-0

Haddad, L., Cameron, L., & Barnett, I. (2014). The double burden of malnutrition in SE Asia and the Pacific : priorities , policies and politics. Health Policy and Planning, 1–14. https://doi.org/10.1093/heapol/czu110

Prentice, A. . (2018). The Double Burden of Malnutrition in Countries Passing through the Economic Transition. Annals of Nutrition & Metabolism, 72(suppl 3), 47–54. https://doi.org/10.1159/000487383

Rachmi, C. N., Li, M., & Baur, L. A. (2018). The double burden of malnutrition in Association of South East Asian Nations (ASEAN) countries: A comprehensive review of the literature. Asia Pacific Journal of Clinical Nutrition, 27(4), 736–755. https://doi.org/10.6133/apjcn.062018.02


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.