Dalam artikel sebelumnya, kita sudah melihat bagaimana impak Serangan Doolittle (Doolittle Raid) bukan saja menaikkan moral tentera Bersekutu tetapi juga menjejaskan moral tentera Jepun yang berada di perbatasan. Dan serangan ini juga mencetuskan kemarahan tidak terhingga Jepun kerana serangan tersebut mendedahkan Maharaja Hirohito kepada bahaya serangan udara. Dan ini mencetuskan serangan balas dendam yang dikenali sebagai Kempen Jiangxi-Zhejiang ke atas mana-mana warga China yang melindungi anggota Tentera Udara Amerika Syarikat dalam serangan tersebut.

KEKELIRUAN

Seperti yang diketahui, operasi yang dirancang Leftenan Kolonel James Doolittle ini merupakan satu operasi rahsia yang hanya diketahui beberapa pihak saja. Malah bagi krew yang terlibat dalam serangan tersebut, mereka hanya diberitahu sebelum berangkat dari kapal pengangkut pesawat USS Hornet. Ada yang menyifatkan juga ia sebenarnya satu jenaka memandangkan mereka berlepas dari pelabuhan pada 1 April 1942. Malah ketua kerajaan China, Jeneral Chiang Kai-Shek tidak tahu-menahu berkenaan operasi Doolittle. Tindakan merahsiakan operasi ini mencetuskan perdebatan kerana mengikut pemahaman Jeneral Claire Chennault menyangka kedua-dua kepimpinan tentera China dan Amerika Syarikat sudah diberitahu pasal ini. Jika mereka diberitahu lebih awal, mereka boleh saja menyelamatkan majoriti atau kesemua krew pengeboman jika mereka mendarat di Chongqing. Sekiranya mereka berbuat demikian, mereka boleh menjadi sebahagian daripada pakatan udara Amerika Syarikat/China.

Dan ini menimbulkan masalah apabila krew-krew pengebom Doolittle selesai menjalankan misi mereka. Atas sebab yang tidak diketahui, Laksamana Madya William Halsey yang mengetuai USS Enterprise tidak menghantar mesej ke Washington untuk memberitahu China untuk menghidupkan isyarat mendarat bagi membantu mereka mendarat. Salah satu sebab yang boleh difikirkan ialah Halsey tidak mahu mesej yang dihantar akan mendedahkan kedudukan konvoi Enterprise dan kapal-kapal lain yang dalam perjalanan pulang. Ini bukanlah mengejutkan kerana selepas serangan berakhir, Tokyo sudah mengerahkan kumpulan kapal yang hendak bertolak ke Lautan Hindi berpatah balik dan mengejar kumpulan kapal Amerika Syarikat.

DENDAM

Dan apa yang dibimbangi akhirnya berlaku dan Jepun sudah berjanji akan menghukum mana-mana pihak yang terlibat dalam serangan ini termasuk China. Ini ditambah pula ketidakyakinan pegawai Amerika termasuk Doolittle sendiri bahawa tentera China tidak akan berupaya menangkis serangan ganas tentera Matahari Terbit. Bagi para mubaligh Kristian yang berada di kawasan sempadan China dengan wilayah China yang dijajah Jepun, mereka tahu tindak balas pastinya kejam dan tiada perikemanusiaan. Kisah pembunuhan beramai-ramai dan kejadian rogol membabitkan tentera Jepun di Nanking sudah bikin ramai kecut perut termasuk bagaimana warna sungai bertukar merah kerana dipenuhi darah orang terbunuh. Seorang paderi Amerika bernama Herbert Vandenberg bercerita, “Perkara pertama yang anda lihat ialah sekumpulan tentera berkuda. Penunggangnya memakai topi keledar dan but serta membawa sub-mesingan.”

Vandenberg sudah mendengar berita serangan Doolittle di kawasan misi di bandar Linchwan, sebuah bandar yang mempunyai populasi seramai 50,000 orang. Bandar tersebut turut mempunyai gereja Katolik terbesar di selatan China dan berupaya memberi perlindungan seramai seribu orang. Beberapa hari selepas serangan, Vandenberg mendapat tahu beberapa paderi tempatan di Poyang dan Ihwang memberi perlindungan kepada anggota krew yang terlibat. Beliau menambah, “Mereka datang kepada kami dengan berjalan kaki. Mereka amat letih dan lapar. Pakaian mereka rosak dan koyak akibat menuruni gunung selepas terjun dari pesawat. Kami memberi mereka makan ayam goreng. Kami basuh dan balut luka mereka serta membasuh pakaian mereka. Sementara biarawati pula menyediakan kek sebagai hidangan kepada krew. Kami turut memberi mereka tempat tidur.”

Pada awal Jun 1942, tentera Jepun datang membawa angin kemusnahan dan kesedihan kepada penduduk. Paderi Wendelin Dunker memerhatikan serangan Jepun ke atas bandar Ihwang, “Mereka menembak sesiapa saja, lelaki, wanita, kanak-kanak, lembu, khinzir, apa saja benda yang bergerak. Mereka merogol wanita yang berusia antara 10 hingga 65 tahun sebelum membakar bandar tersebut sampai hangus selepas selesai menjarah.” Dunker menambah, “Mayat-mayat yang dibunuh dibiarkan saja reput bersama bangkai binatang ternakan dan tidak mendapat sebarang bentuk penegbumian.”

Pada subuh 11 Jun, tentera Jepun mara ke bandar Nancheng dan mencetuskan satu insiden yang dipanggil Rape of Nancheng. Tempoh tersebut dianggap satu tempoh yang menyedihkan bagi para mubaligh yang berada di situ. 800 wanita ditangkap dan dikumpulkan di satu gudang di luar pintu timur. Reverend Frederick McGuire bercerita dalam catatannya, “Selama sebulan, tentera Jepun berada di Nancheng dan merayau di jalan-jalan penuh dengan runtuhan hanya memakai seluar dalam, dalam keadaan mabuk dan sentiasa mencari wanita. Wanita dan kanak-kanak yang tidak dapat melarikan diri dari Nancheng akan mengingati mereka untuk tempoh yang lama. Bagi kaum Hawa, mereka ingat kerana mereka dirogol berkali-kali oleh tentera Jepun dan menghidap penyakit kelamin yang dijangkiti daripada perogol-perogol mereka. Sementara kanak-kanak pula berkabung kerana bapa mereka dibunuh dengan kejam dengan tujuan membentuk orde baru Asia Timur.”

Pada akhir pendudukan mereka di Nancheng, bandar tersebut dimusnahkan secara sistematik dan dijarah sampai habis. Semua radio di situ dirampas sementara bekalan perubatan dan peralatan pembedahan turut dicuri dari hospital tempatan. Pasukan jurutera bukan saja merosakkan loji elektrik tetapi juga mencuri besi landasan keretapi kawasan tersebut. Kemudian, pihak Jepun turut menghantar pasukan pemusnah pada 7 Julai dengan hasrat membakar bandar tersebut dari sebelah selatan selama tiga hari demi memastikan ianya hangus sama sekali.

Dunker menulis selepas melihat kemusnahan Nancheng, “Tentera Jepun seperti belalang juta, mereka tidak meninggalkan apa-apa melainkan kemusnahan.” Selain menjarah bandar dan kampung, mereka tidak segan-silu mencuri madu dan memusnahkan sarang lebah, menyembelih semua binatang ternakan, merosakkan sistem pengairan dan saliran serta membakar tanaman penduduk. Mana-mana penduduk yang didapati membantu krew pengebom Doolittle akan ditangkap, diseksa dan dibunuh. Di Nancheng, tentera Jepun memaksa sekumpulan penduduk yang membantu dipaksa makan najis sebelum dipaksa beratur 10 orang daripada mereka. Tentera ini akan bermain permainan menembak di mana mereka akan mengira berapa ramai dapat ditembusi dengan sebutir peluru apabila mereka mula menembak. Sementara di Ihwang pula, Ma Eng-lin yang memberi perlindungan kepada juruterbang Harold Watson dibungkus dengan selimut dan diikat pada sebuah kerusi sementara pihak tentera menuang minyak tanah ke atasnya. Setelah itu, isterinya dipaksa membakar Eng-lin sampai mati.

Reverend Charles Meuss pula menulis, “Krew Doolittle tidak sedar semua hadiah yang diberi mereka sama ada payung terjun, sarung tangan, duit syiling dan pek rokok akan menjadi bukti kehadiran mereka di situ dan membawa kepada kematian orang yang membantu mereka.” Jika anda mahu lihat skala kemusnahan yang dibawa mereka, boleh lihat statistik yang dikumpul Reverend Bill Mitchell dari United Church of Canada. Berdasarkan pemerhatiannya dan disokong dengan data yang disediakan penduduk tempatan, mereka melancarkan 1,131 serangan ke atas Chuchow yang membunuh 10,246 penduduk dan meninggalkan 27,456 penduduk kehilangan tempat tinggal. Mereka turut memusnahkan 62,146 rumah, mencuri 7,620 lembu dan membakar 30% tanaman penduduk. Di Yushan pula, 2,000 penduduk mati dibunuh dan 80 peratus rumah penduduk musnah. Bandar yang pernah memberi perlindungan kepada Davy Jones dan Hoss Wilder ini menyaksikan kebanyakan rumah penduduk musnah dan sukar mencari mana-mana rumah yang tidak terjejas daripada operasi ini.

PERANG BIOLOGI

Pada Ogos 1942, Jepun menggerakkan Unit 731, satu unit bertanggungjawab untuk perang biologi serentak dengan pengunduran tentera Jepun dari bandar-bandar yang diduduki. Unit ini bertanggungjawab mencemarkan perigi, sungai dan ladang-ladang dengan harapan ia mengakibatkan populasi penduduk dan tentera China jatuh sakit. Antara kaedah yang digunakan ialah wabak, antraks, kolera dan tifoid di mana ia disebarkan melalui semburan, kutu dan pencemaran air. Di Nanking, unit tersebut mengisi bakteria dalam satu botol besi dan dibaling ke dalam perigi, paya dan kawasan kediaman. Mereka turut menyediakan makanan yang dicemari dengan tifoid dan diberi kepada tawanan perang China yang kelaparan. Mereka kemudian dibenarkan pergi dengan tujuan menyebarkan wabak tifoid dalam kalangan penduduk. Unit tersebut turut bertanggungjawab membuat 400 biskut yang dicemari dengan tifoid dan sengaja meletakkan di tempat mudah dijumpai seperti pokok dan pagar bagi menggoda penduduk yang kelaparan makan.

Kemusnahan di wilayah itu menyebabkan sukar bagi sejarawan dan pengkaji mengira berapa ramai yang sakit dan kenapa mereka sakit. Ini kerana tindakan Jepun yang memusnahkan hospital dan klinik, ribuan mayat dan bangkai yang menyumbat perigi dan memenuhi kawasan runtuhan turut mencemarkan sumber air minuman penduduk. Kemusnahan turut memaksa penduduk membuang air dalam lubang tanah yang digali, memudahkan ia terdedah kepada ancaman jangkitan penyakit. Catatan golongan mubaligh dan wartawan turut menunjukkan ramai penduduk jatuh sakit akibat malaria, disenteri dan kolera sebelum Unit 731 beroperasi.

Pada Disember 1942, bandar Luangshan di wilayah Chekiang terpaksa diserang dengan wabak kolera. Pada musim bunga berikutnya, bandar tersebut terpaksa dikuarantin kerana diserang wabak epidemik yang dahsyat. Dan ironinya, sesetengah mangsa Unit 731 ialah tentera Jepun sendiri. Hampir 10,000 tentera Jepun dijangkiti dengan penyakit semasa kempen di Chekiang. Ini berdasarkan pendedahan seorang tentera Jepun yang ditawan pada tahun 1944 kepada pihak Amerika. Laporan perisikan Amerika melaporkan, “Kebanyakan penyakit yang dihadapi ialah kolera tetapi penduduk turut terkena disenteri dan kutu. Mereka dibawa ke hospital terutama Hospital Tentera Hangschow tetapi kebanyakan mangsa kolera yang lambat mendapat rawatan mati. 1,700 tawanan perang turut mati akibat kolera. Jumlah sebenar kematian jauh lebih tinggi tetapi menjadi amalan biasa untuk tidak menyatakan jumlah sebenar kematian.”

Kempen kejam Unit 731 Jepun di Chekiang dan Kiangsi menimbulkan kemarahan ramai pemimpin tentera Jepun termasuk Kai-shek sendiri. Beliau melaporkan kekejaman pihak Jepun ke atas warga China melalui mesejnya ke Washington, “Tentera Jepun menyembelih lelaki, wanita dan kanak-kanak di kawasan tersebut. Biar saya ulangi, tentera Jepun menyembelih lelaki, wanita dan kanak-kanak di kawasan tersebut.” Sementara akhbar-akhbar utama Amerika seperti Los Angeles Times dan New York Times menyelar tentera Jepun sebagai binatang dan motif kekejaman mereka bersandarkan kepada sikap pengecut empayar itu sendiri. Cerita tersebut bagaimanapun tidak mendapat sambutan dan kempen-kempen kejam ini lama-kelamaan dilupakan.

Bagaimanapun selepas perang, dalang operasi seperti Jeneral Shunroku Hata ditahan dan dibicarakan atas jenayah perang dan konspirasi melancarkan perang ganas. Akibatnya, Hata dihukum penjara seumur hidup. Tetapi jeneral itu diberi parol pada tahun 1954 dan meninggal dunia pada tahun 1962. Sementara bagi perancang Unit 731 pula, tidak ramai yang dibicarakan atas jenayah perang dan kemanusiaan kerana ironinya, kedua-dua Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet mengadakan perjanjian dengan mereka. Perjanjian yang dimaksudkan ialah maklumat eksperimen berkenaan senjata biologi Jepun sebagai tukaran kepada imuniti atau hukuman ringan.

SUMBER

  1. Tow, Don M. (2012). Don Tow’s Website. The Doolittle Raid: Mission Impossible and Its Impact on the U.S and China. http://www.dontow.com/2012/03/the-doolittle-raid-mission-impossible-and-its-impact-on-the-u-s-and-china/
  2. Scott, James M. (2015). Smithsonian Magazine. The Untold Story of the Vengeful Japanese Attack After The Doolittle Raid. https://www.smithsonianmag.com/history/untold-story-vengeful-japanese-attack-doolittle-raid-180955001/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.