Ajaran Shinto merupakan suatu kepercayaan penduduk Jepun berkenaan alam semulajadi, manusiawi, alam ghaib dan perkaitan antara ketiga-tiga aspek tersebut. Kepercayaan ini telah sekian lama wujud dalam lapisan sejarah Jepun dan kira-kira 80 peratus daripada penduduk Jepun menganut ajaran Shinto.

Ajaran Shinto mempunyai persamaan dengan kepercayaan animisme dan shamanisme. Namun begitu, tahukah anda bahawa ajaran Shinto pernah ditetapkan sebagai doktrin kebangsaan Jepun?

1. Era Pemulihan Meiji

Semasa akhir Zaman Edo, Jepun telah diasak oleh armada tentera laut Amerika Syarikat yang jauh lebih canggih dan moden berbanding tentera Jepun ketika itu. Lantaran itu, pemerintah Jepun terpaksa mengalah dan menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan dasar ketertutupan Jepun serta membenarkan aktiviti perdagangan dengan negara-negara luar. Dari sinilah, kerajaan Jepun mulai mencontohi negara-negara Barat dalam usaha untuk memajukan negara mereka.

Maka, bermulalah fasa baharu bagi Jepun iaitu fasa Pemulihan Meiji pada tahun 1868. Bagi memodenkan negara, Jepun telah beralih daripada asalnya sebuah negara agraria kepada sebuah negara industri.

Namun begitu, kerajaan Jepun berdepan dengan satu krisis agak besar dalam proses modenisasi tersebut. Hal ini kerana kerajaan Jepun perlu mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Barat supaya usaha pemindahan idea dan teknologi moden dapat diteruskan.

Salah satu cara bagi berbuat demikian adalah dengan membenarkan mubaligh-mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama Kristian di negara mereka. Kerajaan Jepun pada mulanya enggan untuk membenarkan kebebasan beragama kerana dasar tersebut bertentangan dengan kepercayaan Shinto yang meletakkan maharaja Jepun berasal daripada keturunan dewa-dewi.

Lantas, apakah yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan krisis tersebut?

2. Solusi ‘Pintu Belakang’

Bagi meneruskan hubungan yang baik dengan negara-negara Barat, Kerajaan Jepun terpaksa memberikan kebebasan beragama kepada seluruh rakyat Jepun pada tahun 1871. Dengan ini, para missionari Kristian dapat menjalankan kegiatan mereka tanpa sebarang halangan. Walaupun begitu, Kerajaan Jepun mempunyai satu muslihat yang tersembunyi di sebalik langkah tersebut.

Agama-agama asing terutamanya agama Kristian telah dikategorikan sebagai ‘shuukyou’ yang bermaksud agama peribadi yang terhad pada aspek-aspek spiritual sahaja. Ajaran Shinto pula tidak dikategorikan sebagai agama. Hal ini kerana menurut kerajaan Jepun, ajaran Shinto disokong oleh sumber-sumber bertulis yang banyak mempersembahkan mitologi-mitologi sebagai kononnya peristiwa-peristiwa bersejarah Jepun.

Sebagai contohnya, mitologi kewujudan Maharaja Jimmu yang dikatakan pemerintah manusia pertama Jepun dan zuriat lelaki bagi Dewi Amaterasu dan Dewa Susan’oo telah diajarkan sebagai fakta sejarah di sekolah-sekolah. Dengan ini, ajaran Shinto telah dilihat sebagai suatu ideologi yang berdasarkan fakta-fakta nyata, bukannya berdasarkan unsur-unsur ghaib yang tidak dianggap sebagai fakta-fakta yang nyata.

Maka, pihak kerajaan telah berjaya memperlihatkan polisi kebebasan beragama tapi pada masa yang sama, memaksa seluruh rakyat Jepun untuk mengamalkan ajaran Shinto atas alasan kononnya Shinto bukan berbentuk keagamaan. Mempelajari ajaran Shinto dianggap sebagai usaha mempelajari dan menghayati sejarah dan identiti Jepun.

3. Pemerkasaan doktrin Negara Shinto

Selalunya, pusat-pusat ibadat bagi sesuatu agama berfungsi sebagai tempat suci di mana penganut-penganutnya menjalankan aktiviti kerohanian atau ibadat-ibadat tertentu. Tapi tidak bagi ‘kuil-kuil’ Negara Shinto. Ritual menziarahi ‘kuil’ tersebut dan menunduk hormat kepada gambar maharaja Jepun hanyalah untuk memupuk semangat patriotisme dan cinta akan negara.

Melalui dasar baru ini, ajaran Shinto tidak lagi merangkumi kepercayaan akan kehidupan selepas mati atau alam ghaib. Sebagai contohnya, rakyat Jepun mulai beralih daripada upacara pengebumian Shinto kepada upacara pengebumian mengikut ajaran Buddha selepas ajaran Shinto melalui proses sekularisasi. Sehingga ke hari ini, upacara-upacara pengebumian dijalankan sebegini bagi penganut-penganut ajaran Shinto.

Namun begitu, tidak semua rakyat Jepun bersetuju dengan dasar perubahan tersebut. Salah seorang intelektual Jepun ketika itu iaitu Fukuzawa Yukichi pernah mengatakan bahawa dasar perubahan tersebut adalah suatu perbuatan yang sia-sia. Sebilangan besar rakyat Jepun juga risau akan kesan perubahan ini yang telah menghapuskan unsur-unsur spiritual dalam ajaran Shinto.

Selepas itu, ‘kuil-kuil’ Negara Shinto telah didirikan dan terdapat guru-guru khas untuk mengajarkan doktrin-doktrin Negara Shinto kepada pelajar-pelajar sekolah. Natijahnya, peranan kuil-kuil Shinto asal berserta pendeta-pendetanya menjadi semakin kurang relevan dalam kalangan masyarakat Jepun.

Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Jepun turut melarang para pendeta Shinto daripada menjalankan tugas-tugas spiritual mereka. Hukuman berat akan dikenakan terhadap mana-mana pendeta yang enggan untuk menuruti arahan tersebut.

Tambahan pula, gerbang-gerbang Torii yang menandakan tempat-tempat suci Shinto telah diharamkan untuk dipacakkan di kuil-kuil Shinto asal. Hanya ‘kuil-kuil’ Negara Shinto sahaja yang dibenarkan untuk memacakkan gerbang-gerbang tersebut. Sedikit demi sedikit, kuil-kuil Shinto asal semakin diancam kepupusan.

Dalam urusan-urusan rasmi, pihak kerajaan telah mewujudkan sebuah jabatan khas untuk ajaran Shinto, yang ditetapkan berasingan daripada sebuah lagi jabatan yang menguruskan hal ehwal agama-agama lain (termasuk agama Buddha).

Sekali lagi, hal ini telah mewujudkan banyak kerenah birokrasi yang menyusahkan rakyat Jepun untuk terus mengamalkan ajaran Shinto yang asal.

4. Pengharaman doktrin Negara Shinto

Doktrin Negara Shinto hanya mampu untuk bertahan sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua sahaja.  Sejurus Jepun menyerah kalah terhadap pihak Berikat, tentera Amerika Syarikat telah bertindak menduduki seluruh negara Jepun.

Melalui satu tindakan eksekutif yang dikenali sebagai ‘The Shinto Directive’, doktrin Negara Shinto telah diharamkan atas sebab doktrin tersebut telah merosakkan struktur ajaran Shinto yang sebenar. Atas faktor tekanan yang kuat oleh pihak Berikat, maharaja Jepun turut mendedahkan dirinya sebagai manusia biasa dan tidak mempunyai sebarang sifat ketuhanan.

Walaupun doktrin tersebut tidak lagi diamalkan sekarang, namun impaknya telah memberi kesan yang amat mendalam terhadap ajaran Shinto. Sehingga kini, kebanyakan rakyat Jepun tidak memandang ajaran Shinto sebagai agama dan ritual lawatan ke kuil-kuil Shinto yang sedia ada hanyalah sekadar formaliti atau tradisi setempat.

Dalam hal berkenaan ajaran Shinto, rakyat Jepun juga telah berpecah kepada dua iaitu golongan konservatif dan liberal. Golongan konservatif Jepun mahu menerapkan semula ajaran Shinto ke dalam kerajaan serta menjadikan maharaja mereka sebagai figura utama dalam ajaran tersebut. Golongan liberal pula mahu mengurangkan lagi peranan maharaja dalam sistem pemerintahan negara mereka.

Gambar 1: Era Pemulihan Meiji
Gambar 2: Gerbang Torii

RUJUKAN:

i. State Shinto: A Religion Interrupted
https://www.tofugu.com/japan/state-shinto/

ii. Hardacre, Helen (1991). Shintō and the state, 1868–1988

iii. Shimazono, Susumu (2005-12-01). “State Shinto in the Lives of the People: The Establishment of Emperor Worship, Modern Nationalism, and Shrine Shinto in Late Meiji”

iv. Encyclopaedia Britannica. (2009, January 02). State Shinto. Retrieved August 13, 2019, from https://www.britannica.com/topic/State-Shinto


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar di UPM. Pencinta sejarah, falsafah dan sains. Percaya bahawa masyarakat perlu kembali kepada pembudayaan ilmu untuk memajukan agama, bangsa dan negara

Comments are closed.