Di Sebalik Penyatuan Singapura-Malaysia

83

Memang sejak dari mula Tunku tidak berminat dengan Singapura. Idea Tunku pada mulanya ialah menyatukan Malaya+Borneo Utara+Sarawak+Brunei. Alasan Tunku konsisten iaitu Singapura akan membawa kepada ketidakseimbangan kaum. Dan Tunku sangat berminat dengan saiz Sarawak yang besar.

Sementara itu di Singapura, David Marshal telah pergi ke London untuk mendapatkan kemerdekaan bagi pulau Singapura. Tapi ditolak oleh British. Kata British, ‘we have another plan for Singapore’. Marshal pulang dengan hampa lalu meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Singapura.

Bila pilihanraya diadakan, parti PAP telah menang, Kuan Yew dilantik. Beliau sangat berminat dengan idea Malaysia, beliau berjanji kepada rakyat Singapura bahawa kemerdekaan pulau itu akan dipercepatkan melalui penyatuan dengan Malaysia.

Sementara itu, pegawai British di Utara Borneo sangsi dengan idea Tunku itu. Kesangsian pegawai British itu berasas kepada sikap tergesa-gesa Tunku. Di London, PM Britain dilihat melambat-lambatkan permintaan Tunku itu. Surat-surat Tunku ke London sebanyak dua kali tidak dibalas. Kali ketiga barulah London membalas apabila Tunku mengugut bahawa akan berlaku ancaman komunis jika idea Malaysia tidak segera direalisasikan.

Sementara itu, di Brunei. Sultan Omar memberi syarat kepada Tunku bahwa jawatan Yang diPertuan Agong mestilah diserahkan kepada baginda. Tunku menolak cadangan itu kerana mahu Sultan Brunei mengikut turutan.

Dan Tunku menganggap Sultan Brunei cuba menggunakan kekayaannya untuk mendapat kedudukan. Brunei menarik diri saat akhir bila AM Azahari mempengaruhi Sultan Omar dan rakyat Brunei untuk menolak idea Malaysia. Dikatanya Malaysia satu bentuk neo-kolonialisme.

Tunku mula menerima penggabungan Singapura apabila dipujuk oleh Kuan Yew. Hujah Kuan Yew antaranya jika Singapura tidak bergabung dengan Malaysia maka pulau itu akan dikuasai komunis, mahukah Tunku berjiran dengan negara komunis? Dipendek cerita, maka Tunku pun menerima kemasukan Singapura dengan syarat:

1. Kerusi Parlimen dari Singapura terhad kepada 10 kerusi saja.

2. Singapura diberi autonomi dalam bidang pelajaran saja. Sementara bidang keselamatan dibawah tadbir Kuala Lumpur.

Dua syarat ini sebagai langkah berhati-hati Tunku yang masih lagi bimbang dengan penyatuan Singapura. Dan Tunku sangsi dengan helah Kuan Yew untuk bergabung dengan Malaysia.

Pada 31 Ogos 1963, secara rasminya Singapura masuk dalam persekutuan Malaysia bersama-sama Sabah dan Sarawak. 16 September pula dipilih sebagai hari Malaysia.

BACAAN LANJUT.

Mohd bin Shamsudin. 2016. Malaysia Cabaran. UKM

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.