Seniman NORDIN AHMAD & Seniwati LATIFAH OMAR adalah pasangan pelakon paling serasi sekali di dalam sejarah filem Melayu klasik. Gandingan mereka berdua mencetuskan satu fenomena baru dalam perkembangan filem-filem Melayu keluaran CATHAY KERIS PTD. Disebabkan oleh keserasian gandingan itu, mereka berdua pernah digelarkan sebagai “LOVING COUPLE ON SILVER SCREEN”.

NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR mula berlakon di dalam satu filem melalui filem PANGGILAN PULAU (1954) arahan S.RAMANATHAN tetapi tidak ada babak bersama. Filem PANGGILAN PULAU merupakan filem pertama LATIFAH OMAR diperkenalkan membawa watak penting di Shaw Brothers. Sebelum itu LATIFAH OMAR pernah muncul di dalam filem DAHLIA dan KERANA KAU tetapi sebagai pelakon tambahan.

Apabila kedua-kedua mereka berhijrah ke CATHAY-KERIS pada penghujung tahun 1957, NORDIN AHMAD memulakan kerjayanya disana dengan berlakon di dalam filem ORANG MINYAK, manakala LATIFAH OMAR pula berlakon di dalam filem SELINDANG DELIMA. Di dalam filem SERANGAN ORANG MINYAK yang diterbitkan pada tahun 1959, mereka berdua telah berlakon bersama di dalam filem itu tetapi tidak digandingkan sebagai pasangan utama. Begitu juga di dalam filem RADEN MAS, mereka berlakon bersama tetapi tidak dipasangkan sebagai hero dan heroin.

Kemuncak gandingan NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR hadir pada tahun 1961 apabila HUSSAIN HANIFF dilantik menjadi pengarah dengan mengarahkan filem pertama beliau iaitu HANG JEBAT. Di dalam filem inilah buat kali pertamanya NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR digandingkan sebagai pasangan hero dan heroin di dalam filem. Ternyata apabila menonton filem ini telah terbit keserasian antara mereka berdua dalam menterjemahkan watak masing-masing

Setelah gandingan mereka berjaya di dalam HANG JEBAT, mereka sekali lagi disatukan di dalam filem LANCHANG KUNING arahan M.AMIN pada tahun 1962. Nama NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR sudah mula meniti dibibir peminat filem Melayu di zaman itu. Sehinggakan ramai pengarah filem di studio CATHAY-KERIS berlumba-lumba untuk mengambil mereka berdua berlakon di dalam filem arahan mereka. Pihak pengurusan studio beranggapan gandingan NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR adalah satu aset penting kepada perkembangan studio mengeluarkan filem-filem yang bermutu disamping gandingan mereka berdua juga pasti memberi jaminan sesuatu filem yang diterbitkan mendapat kutipan pecah panggung. Ini juga adalah satu strategi pihak CATHAY-KERIS untuk menyaingi filem-filem keluaran Shaw Brothers.

Selepas gandingan mereka sekali lagi berjaya di dalam filem LANCHANG KUNING, nama NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR sudah tidak perlu lagi dipertikaikan tahap lakonan mereka. Berjayanya filem LANCHANG KUNING sekaligus berjaya mengangkat reputasi M.AMIN sebagai pengarah filem. Pasca LANCHANG KUNING, M.AMIN sekali lagi mempertaruhkan gandingan NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR di dalam filem klasik yang sangat tinggi mutunya dalam sejarah filem Melayu iaitu CHUCHU DATOK MERAH. Filem ini boleh dikatakan filem terbaik arahan M.AMIN dari sudut naratif dan cinematografi. Di dalam filem ini NORDIN AHMAD telah memperlihatkan kewibawaannya sebagai seorang pelakon yang mempunyai daya penghayatan yang sangat tinggi disamping lakonan agresif yang ditonjolkan oleh beliau. Begitu juga dengan LATIFAH OMAR yang banyak bermain emosi dalam menterjemahkan wataknya untuk filem CHUCHU DATOK MERAH.

Di dalam kehidupan sebenar NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR bukanlah semesra seperti yang digambarkan di dalam filem-filem lakonan mereka. Mereka jarang bercakap bersama. Pernah satu ketika mereka berdua tidak bertegur selama 6 bulan atas sebab sebab tertentu. Tetapi apabila digandingkan mereka tetap memberikan lakonan yang terbaik seperti yang pernah kita tonton di dalam filem. Nilai professional mereka sangat tinggi tanpa menghiraukan permasalahan di antara mereka. Ketika penggambaran filem LAILA MAJNUN (1962) hubungan mereka sebenarnya sedang dingin. Tetapi apabila kita menonton filem berkenaan ternyata banyak babak romantik yang mereka lakonkan. Tetapi hubungan yang keruh diantara mereka dapat dipulihkan setelah mereka berlakon di dalam filem LANCHANG KUNING apabila NORDIN AHMAD telah menyelamatkan LATIFAH OMAR dalam satu tragedi yang hampir meragut nyawanya semasa penggambaran filem berkenaan apabila tali pengikat replika lanchang yang digunakan dalam filem berkenaan telah putus. Ini menyebabkan NORDIN AHMAD bersama krew filem yang ada dilokasi itu berteriak melihat kejadian itu lalu berusaha menyelamatkan LATIFAH OMAR. Disebabkan tragedi itu LATIFAH OMAR dikatakan telah mengalami trauma sehinggakan penggambaran filem itu terpaksa ditangguhkan selama beberapa hari.

Apabila NORDIN AHMAD dilantik menjadi pengarah pada penghujung tahun 1963, beliau kerap mengambil LATIFAH OMAR sebagai pelakon utamanya. WAN PERKASA adalah filem pertama arahan NODRIN AHMAD yang diterbitkan pada tahun 1964. Di dalam filem ini NORDIN AHMAD memberi peranan utama kepada LATIFAH OMAR bergandingan bersama M.AMIN. Selepas itu LATIFAH OMAR sering menjadi pilihan NORDIN AHMAD di dalam filem-filem lain arahannya seperti KASEH IBU dan NAGA TASEK CHINI.

Penulis pernah menemubual LATIFAH OMAR satu ketika dahulu dan beliau pernah berkata dan mengakui bahawa NORDIN AHMAD adalah hero filem Melayu yang paling terbaik di kalangan yang terbaik yang pernah ada di dalam sejarah filem Melayu klasik. Kenangan berlakon dan bergaul bersama NORDIN AHMAD adalah satu perkara yang tidak dapat dilupakan di dalam hidup beliau dan ianya tetap akan menjadi sebagai satu kenangan manis yang menggamit memori. Semasa menerima berita kematian NORDIN AHMAD melalui berita radio. LATIFAH OMAR ketika itu sedang berada di Kuala Lumpur yang baru selesai penggambaran filem PUTUS SUDAH KASEH SAYANG (1971). Beliau seolah-olah tidak percaya dengan berita kematian itu lalu menangis. Setelah pemergian NORDIN AHMAD, LATIFAH OMAR tidak lagi menonton filem-filem lakonan mereka berdua. Menurut LATIFAH OMAR, beliau akan rasa sedih apabila mengenangkan kenangannya bersama NORDIN AHMAD sehingga pada tahun 90-an barulah beliau ada keberanian untuk menontonnya semula tetapi tetap diiringi dengan airmata.

Kini kedua-kedua pelakon legenda ini sudah tidak ada lagi didunia ini. Mereka telah pergi menemui Maha pencipta-Nya. Allahyarham NORDIN AHMAD meninggal dunia pada tahun 1971 manakala Allahyarhamah LATIFAH OMAR pada tahun 2013 setelah 42 tahun pemergian NORDIN AHMAD.

Untuk info, NORDIN AHMAD dan LATIFAH OMAR telah bergandinggan bersama sebagai watak utama di dalam tujuh buah filem iaitu HANG JEBAT, LAILA MAJNUN, LANCHANG KUNING, CHUCHU DATOK MERAH, GUL BAKAWALI, PATONG CHENDANA dan GURINDAM JIWA. Manakala filem yang mereka berdua pernah berlakon bersama tetapi tidak bergandingan sebagai hero dan heroin adalah seperti filem PANGGILAN PULAU, BERNODA, SERANGAN ORANG MINYAK, RADEN MAS dan GADO-GADO.

Sumber :

Allahyarhamah seniwati Latifah Omar

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

1 Comment

  1. Terima kasih Hudir Ali Razali dgn article nya mengenai Almarhum Seniman Nordin Ahmad & Almarhumah Seniwati Latifa Omar…
    Mereka memang legenda dlm Film MeLayu Yang Tiada ganti nya…
    Semoga Roh2 mereka diCucuri Rahmat الله SWT…

Leave A Reply