Disebalik Filem 3 Abdul

0
2282
views

Boleh dikatakan ramai di antara kita sudah menonton filem 3 Abdul. Filem komedi tersebut mengisahkan perebutan harta di antara tiga orang adik beradik kandung. Filem ini merupakan filem terakhir arahan dan lakonan P. Ramlee di Singapura sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Filem ini dibarisi oleh hampir kesemua seniman dan seniwati yang terkenal di Jalan Ampas ketika itu seperti Sarimah, Dayang Sofia, Mariani, Haji Mahadi, S. Kadarisman, Ahmad Nisfu dan M. Babjan.

Sewaktu filem 3 Abdul ditayangkan di panggung buat kali pertama pada Jun 1964, P. Ramlee telah berpindah ke Kuala Lumpur dua bulan sebelumnya. Oleh sebab itu, beliau hanya sempat menonton filem itu di sebuah panggung di Kuala Lumpur.

Jetpack Langkawi

Filem 3 Abdul juga tidak lari daripada kritikan-kritikan yang cuba disampaikan oleh P. Ramlee seperti unsur feudalisme, nepotisme, kekeluargaan dan kasih sayang. Artikel ini bukanlah sebuah kritikan filem. Apa yang cuba disampaikan ialah bagaimana P. Ramlee mendapat ilham untuk membuat filem ini.

Sebelum filem 3 Abdul diselenggarakan, pihak Shaw Brothers pernah menawarkan P. Ramlee untuk membikin sebuah filem yang berjudul Seniwati di Hong Kong. Pihak Shaw Brothers telah menyerahkan skrip tersebut dan meminta P. Ramlee membuat tiga buah skrip lagi untuk difilemkan di studio milik Shaw yang terletak di Clearbay Water. Dalam kepala P. Ramlee sudah ada beberapa filem yang beliau ingin arahkan termasuklah sekuel Bujang Lapok – Bujang Lapok Di Hong Kong dalam bentuk warna warni dan berbidang luas (Shawscope).

Apabila pihak union di studio Jalan Ampas mendengar perkhabaran itu, mereka telah membuat tututan bayaran kerja yang tinggi. Apabila permintaan mereka tidak ditunaikan, mereka telah membuat bantahan projek filem di Hong Kong itu. Mereka beranggapan jika P. Ramlee pergi ke Hong Kong, ia boleh memecahbelahkan para pekerja studio dan filem yang akan dilaksanakan di Hong Kong tidak menampakkan ciri-ciri kemelayuan secara total. Hal ini membuatkan pihak Shaw Brothers membatalkan terus projek tersebut dan P. Ramlee berasa sangat kecewa tentang perihal itu.

Ilham untuk membuat filem 3 Abdul datang pasca mogok yang berlaku pada tahun 1963. Peristiwa berikut terjadi berikutan beberapa pelakon menuntut hak mereka dalam soal gaji dan kontrak. Mereka mendesak agar kontrak yang sebelum ini disambung semula dan gaji mereka dinaikkan. Mogok ini diketuai oleh beberapa orang seniman ketika itu. Malah, salah seorang seniman tersebut pernah cuba untuk mengoyakkan kontrak sebagai tanda protes terhadap majikan.

Dalam tahun 1962-1964 juga, P. Ramlee juga sudah kurang membuat filem berikutan beberapa undang-undang baru telah digubal. Undang-undang tersebut termasuklah waktu bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja. Hal ini sudah tentu menyusahkan P. Ramlee untuk berkarya kerana untuk menyediakan set sahaja sudah mengambil masa hampir satu jam, belum lagi proses make-up, rehearsal dan sebagainya. Selain itu, sudah tentu gaji yang diterima oleh pelakon-pelakon lain sedikit kerana kebanyakan daripada mereka menerima gaji mengikut jam. Sebelum undang-undang ini dikuatkuasakan, para pelakon bebas bekerja dari siang hingga ke malam.

Jika kita lihat dengan teliti, P. Ramlee tidak putus-putus mengenakan beberapa individu. Mengapa ini terjadi? Hal ini kerana mereka inilah terlibat di dalam peristiwa mogok tadi. Bak kata pepatah, “siapa yang makan  cili, dialah yang terasa pedasnya”. Oleh sebab tindakan union kelihatan terburu-buru, maka dengan itulah P. Ramlee terasa berat hati untuk berkarya dalam tempoh tersebut.

Sewaktu P. Ramlee menjadi pengerusi union, beliau telah memberi banyak kesenangan dan kebebasan kepada para pelakon seperti kelonggaran dalam etika pemakaian dan sebagainya. Namun, apabila orang lain mengambil alih jawatan tersebut, beliau mengubah apa yang telah dilakukan oleh P. Ramlee. Ini membuatkan P. Ramlee berasa terkilan dan seterusnya membuatkan beliau memilih untuk berpindah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Studio Merdeka.

Ketika babak akhir 3 Abdul, kita dapat lihat, Abdul Wahub lakonan P. Ramlee bermaaf-maafan bersama seluruh ahli keluarganya. Ini menandakan walaupun P. Ramlee sudah menghentam mereka, namun beliau juga tidak lupa untuk meminta maaf atas salah lakunya. Itulah sifatnya P. Ramlee, insan hebat yang masih tiada galang gantinya hingga ke hari ini. Walaupun jelas P.Ramlee meminta maaf kepada mereka semua pelakon di dalam filem tersebut, ada seorang pelakon yang beliau tidak meminta maaf dan dimaafkan. Mengapa?

Itulah sedikit sebanyak kisah di sebalik filem 3 Abdul. Siapa sangka, di sebalik hilai tawa dan lawak jenaka yang terkandung dalam filem itu, ia dihasilkan ketika seniman agung ini sedang berduka dan hatinya bagai dihiris sembilu. Meskipun ada orang-orang yang cuba menjatuhkan beliau, namun beliau tidak pula membalas perbuatan mereka.

Sumber

  • Kelab Filem Muzik Melayu Klasik.
  • Singapore Newspaper Archieve.
  • Tengku Zakaria PRamlee.
  • Membedah P.Ramlee, Daniyal Abdul Kadir.
  • Keluarga Artis-Artis Legenda.