Herod merupakan anak kepada Antipater, Pembesar utama Hycranus II berbangsa Edom dan ibunya ialah Cyprus, puteri Raja Nabatea. Baginda dilahirkan pada tahun 73 SM. Semasa perang saudara antara Hycranus II dan Aristobulus II sekitar tahun 63 SM, Kaisar Rom iaitu Pompei Yang Agung telah menakluk Palestin dan diletakkan di bawah Wilayah Roman Syria. Pompei telah memihak kepada Hycranus II dan meningkatkan lagi prestij Antipater yang sebenarnya berkuasa di Judah.  Kerajaan Hasmonean pada masa itu hanyalah kerajaan boneka kepada Antipater.

Rajah 1: Gambaran Herod Yang Agung. Sumber: Wikimedia

Semasa perang saudara dalam kerajaan Rom antara Pompei dan Julius Caesar, Hycranus dan Antipater menyokong Caesar. Selepas kejayaan Caesar mengalahkan Pompei dan membunuh Pompei di Mesir pada tahun 48 SM, Antipater dan Hycranus II bersama 3000 tentera Judah telah membantu Caesar dalam menewaskan tentera Ptolemy XIII. Setelah Mesir berjaya dikalahkan oleh Caesar dan Cleopatra pada tahun 47 SM, Antipater dianugerahkan kerakyatan Rom dan dilantik menjadi Procurator Rom di Judah.

Antipater mempunyai hak mentadbir dan memungut cukai bagi pihak Rom. Antipater adalah pemain real politik yang hebat di zamannya dan baginda telah mengasaskan Dinasti Herod. Setelah menjadi Procurator Rom dan Hycranus II kekal sebagai ethnarch sahaja, Antipater melantik anaknya, Herod I sebagai Gabenor Galilee dan Phasael sebagai Gabenor Jerusalem. Herod I yang dilantik menjadi gabenor telah melancarkan perang terhadap penyamun menyebabkan Herod menjadi popular dalam kalangan penduduk Galilee. Namun, dia dibenci oleh Sanhedrin (Majlis Para Rabbi Yahudi).

Pada tahun 44 SM, Julius Caesar dibunuh oleh Cassius dan Brutus. Octavian, anak saudara Caesar dan Mark Anthony, Jeneral yang paling berkuasa di zaman Caesar menaiki takhta Rom. Mereka melancarkan perang terhadap pembunuh Caesar. Cassius dan Brutus sempat melarikan diri ke Wilayah Timur Rom. Cassius mengarahkan semua daerah dan jajahan di Timur memberikan duit kepada mereka demi membiayai perang menentang Octavian dan Mark Anthony. Judah perlu membayar 15,000 kg perak.

Antipater terpaksa membuat pemerasan kepada rakyat jelata dan akhirnya, baginda dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Pada tahun 43 SM, Antigonus II cuba merampas kembali kuasa setelah kemangkatan Antipater, namun dia dikalahkan oleh Herod. Herod berjaya meningkatkan legitimasinya sebagai penguasa setelah mengahwini puteri kepada Hycranus II iaitu Mariamme.

Setahun kemudian, Octavian dan Mark Anthony berjaya mengalahkan Brutus dan Cassius di Philippi, Macedonia. Semasa Mark Anthony berkunjung ke Palestin, Herod berjaya meyakinkan Mark Anthony bahawa mereka memihak kepada Caesar, namun dipaksa oleh Cassius untuk membantu membiayai perangnya. Mark Anthony berjaya diyakinkan, baginda menganugerahkan gelaran Tetrarch Galilee kepada Herod, sebagai wilayah vassal kepada Rom.

Phasael pula dilantik menjadi Tetrarch Jerusalem manakala Hycranus II kekal sebagai Raja Yahudi, raja atas nama sahaja. Pelantikan Herod telah mewujudkan ketegangan dalam masyarakat yahudi. Herod bukanlah berdarah yahudi seperti mereka. Orang-orang Yahudi di Galilee percaya mereka adalah bangsa terpilih sehinggakan orang-orang Yahudi Samaria juga dipandang rendah oleh mereka. Lebih parah lagi, Herod lahir dari rahim bangsa Nabatea (Arab). Mengikut tradisi Yahudi, hanya orang yang lahir dari rahim wanita Yahudi sahaja yang layak dipanggil Yahudi.

Justeru itu, pada Tahun 40 SM, Parthia berjaya menewaskan Rom di Timur dan kebanyakan orang Yahudi menyokong Parthia. Antigonus II menyokong Parthia dan diangkat menjadi Raja Judah. Hycranus II ditangkap dan dibawa ke Babylon, manakala Herod berjaya melarikan diri ke Ibukota Rom. Anggota Senat Rom mengangkat Herod menjadi Raja Judah dengan Gelaran Basileus, gelaran tertinggi Raja bawahan Rom.

Rom berjaya menewaskan kembali Parthia dan Herod kembali pada Tahun 37 SM untuk menuntut takhta Judah. Baginda berjaya menyerbu dan menakluk Kota Jerusalem. Antigonus II berjaya dikalahkan dan Herod I terus  ditabalkan menjadi Raja Judah. Pemerintahan Herod bergantung terus kepada Rom dan banyak pemberontak Yahudi yang dibunuh di zamannya.

Baginda menghantar konvoi ke Parthia untuk memohon dikembalikan Raja Hycranus II. Raja Hycranus II berjaya dibawa balik ke Judah. Namun, Hycranus II terlalu tua untuk menjadi Pendita Agung kembali. Walau bagaimanapun, kewujudan Hycranus meningkatkan lagi kedudukan Herod sebagai penguasa Judah.

Rajah 2: Peta penguasaan Rom di bawah Caesar Augustus (Octavian). Sumber: https://www.ancient.eu/uploads/images/4334.jpg?v=1485681636

Herod mendapat gelaran Yang Agung kerana program pembangunan yang dilaksanakannya. Bermula dengan pembinaan tembok baharu Jerusalem yang diruntuhkan oleh Pompei semasa perang saudara Aritobulus II dan Hycranus II. Kubu Utama (Citadel) juga dibina bagi melindungi Haikal dan dinamakan sebagai Kubu Antonia, sempena nama Mark Anthony. Duit syiling Herodou Basileos diperkenalkan dalam urusniaga dalam negara Judah dan Herod sentiasa menghadiahkan Empayar Rom dengan pelbagai hadiah bagi mengekalkan hubungan yang baik antara Judah dan Empayar Rom dan Mesir (Cleopatra).

Pada Tahun 31 SM, perang saudara tercetus antara Octavian dari Rom Barat dan Mark Anthony dari Rom Timur. Herod memihak kepada Mark Anthony, tetapi Mark Anthony dikalahkan oleh Octavian. Herod bijak bermain politik. Baginda menghukum Hycranus II dengan hukuman bunuh atas alasan bersekutu dengan Mark Anthony. Padahal, Herod mahu menghapuskan pesaing utamanya dalam takhta Judah. Selepas itu, baginda mengadap Octavian di Pulau Rhodes. Dalam ucapannya yang licik, Herod berjaya meyakinkan Octavian atas kesetiaannya kepada Empayar Rom. Herod juga dikurniakan Pantai Judah dan Samaria ke dalam kerajaannya. Apabila Mark Anthony dan Cleopatra membunuh diri, Octavian menjadi Kaisar Rom dengan gelaran Caesar Augustus. Kaisar Augustus mengkurniakan Herod Kota Jericho dan Gaza, yang sebelumnya sebuah kerajaan yang merdeka.

Herod meneruskan pembinaan pelbagai bangunan mengikut citarasa Rom. Baginda membangunkan pasar baharu, ampiteater, teater, bangunan pentadbiran Sanhedrin, istana baharu dan Pembinaan Haikal baharu dimulakan pada Tahun 20 SM. Haikal baharu ini dinamakan Haikal Herod (Herod Temple). Herod membina kota baharu di Jericho dan Samaria, serta membina banyak kubu seluruh Palestin sebagai pertahanan. Antara kubu yang dibina ialah Kubu Herodion, Machareus dan Masada.

Kejayaan terbesar Herod ialah pembinaan Kota Pelabuhan Caesarea, sebagai menghargai kekaisaran Augustus (daripada nama Caesar). Kota Pelabuhan Caesarea berjaya menandingi kehebatan Kota Pelabuhan Alexandria di Mesir. Kota Caesarea dibina mengikut acuan senibina Rom dengan pembinaan Kuil-kuil pagan Dewa-dewa Rom, di mana Kaisar Augustus akan menyembah dewa mereka semasa berkunjunb ke Palestin. Dengan pembinaan dan pertahanan ini, Herod berjaya mengalahkan tentera Nabatea pada Tahun 31 SM dan 9 SM.

Rajah 3: Runtuhan Kota Pelabuhan Caesarea. Sumber: Livius.org

Pada Tahun 23 SM, Iturea dan Bukit Golan diserap ke dalam Kerajaan Herod. Herod berjaya melebarkan lagi Kerajaan Judah ke seluruh pelosok Palestin menyebabkan Palestin menjadi sebuah negara yang kaya-raya dan makmur dengan perdagangan dan keamanan yang berjaya dikecapi selama puluhan tahun. Walaupun Herod berjaya memakmurkan Palestin, baginda dibenci oleh orang-orang Yahudi Ortodoks kerana senibina di Palestin banyak dipengaruhi oleh senibina Rom dan Yunani. Parti-parti politik Yahudi (Sadducees, Pharisees dan Essenes) kebanyakannya menentang dasar Herod kerana menghapuskan tradisi lama kerajaan Hasmonean serta cukai yang dikenakan terlalu tinggi. Herod lebih cenderung kepada Rom dan kepercayaan Yahudi juga dicemari dengan berlakunya asimilasi keagamaan pagan Rom dalam agama monoteisme Yahudi.

Rajah 5: Haikal Herod dan tembok-tembok yang dibina selepasnya.

Selepas kemangkatan Herod The Great, Rom memecahbelahkan Palestin kepada beberapa wilayah dan pentadbiran di antara anak-anaknya, adik perempuannya dan gabenor yang dilantik oleh Rom. Gabenor (Procurator) Rom menduduki Decapolis setelah memisahkan Galilee dengan Perea di bawah pemerintahan Raja Herod Antipas. Herod Archelaus pula memerintah Samarra, Herod Philip II memerintah Palestin Utara dan adik perempuan Herod The Great iaitu Ratu Salome pula memerintah di tengah dan Selatan Palestin. Herod disemadikan di Kubu Herodium, berhampiran Kota Suci Baitul Maqdis.

Dinasti Herod adalah keluarga diraja Edom dan Nabatea. Kedua-duanya merupakan kerajaan Arab di Selatan Palestin. Justeru itu, kerajaan Herod bukanlah kerajaan yang boleh dijadikan hujah oleh orang Yahudi untuk mengembalikan Tanah Palestin kepada mereka, malahan Yahhudi ketika itu dijajah oleh Rom dan Herod sebagai Raja yang berkhidmat kepada Augutus.

Rujukan:

Jacob de Haas (1934), History Of Palestine – The Last Two Thousand Years, New York, The Macmillan Company, Muka surat 20-28

Flavius Josephus (Kemaskini 2017), BOOK XIII. Containing The Interval Of Eighty-Two Years.—From The Death Of Judas Maccabeus To The Death Of Queen Alexandra (Antiquities of The Jews), Translated by William Whiston, Project Gutenberg (kemaskini terakhir pada 9 Ogos 2017), Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation

John P. Bradley dan John Quinlan (1970), Understanding The Bible: The New Testament, Gastonia, North Carolina, Good Will Publishers, Inc., Muka surat 1-17, 115

Jona Lendering (2018), Herod The Great, diambil daripada http://www.livius.org/articles/person/herod-the-great/, dilayari pada 17 Oktober 2018

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.