Sesudah berakhirnya Zaman Tiga Kerajaan Akhir (892-936 M), Dinasti Goryeo muncul berkuasa pada kurun ke-10 sehingga kurun ke-14 Masehi, justeru secara tidak langsung sejarahnya amat berkait rapat dengan kelangsungan tamadun China yang sepanjang tempoh itu mengharungi tiga dinasti berbeza; iaitu Dinasti Song (960-1279 M), Dinasti Yuan (1279-1368 M), dan Dinasti Ming (1368-1644 M).

Era pemerintahan Dinasti Goryeo selalunya dianggap sebagai zaman keemasan Buddhisme di Korea. Hal ini kerana ia diangkat sebagai agama rasmi dinasti. Tripitaka Koreana misalnya, dihargai sebagai salah satu pencapaian paling signifikan dalam sejarah penyebaran agama Buddha di Korea.

Nama Korea, yang diderivasi daripada Goryeo, adalah kependekan daripada nama Goguryeo. Sememangnya, nama Dinasti Goryeo diambil bersempena kerajaan Goguryeo yang wujud pada kurun pertama Sebelum Masehi hingga kurun ke-7 Masehi.

Menyentuh serba ringkas perihal Goguryeo, ia merupakan salah satu dari tiga kerajaan yang bere.but hegemoni di Semenanjung Korea sepanjang tempoh itu (di samping Baekje dan Silla). Justeru, zaman tersebut disebut sebagai Zaman Tiga Kerajaan. Wilayah kekuasaannya merangkumi bahagian utara dan tengah semenanjung, serta timur laut China dan wilayah selatan Primorsky Krai, Russia.

Sejarah penubuhan Dinasti Goryeo dikembalikan kepada seorang tokoh bernama Wang Geon. Beliau dipercayai lahir di Songak (kini Gaeseong) pada tahun 877 Masehi. Bapanya bernama Wang Yung, seorang pembesar yang mengetuai hubungan perdagangan dengan China. Berikutan kekayaan yang dimilikinya, Wang Yun dipandang tinggi sebagai orang kenamaan.

Pada lewat kurun ke-9 Masehi, Kerajaan Silla Bersatu yang mendominasi lanskap politik di Semenanjung Korea mengalami ketidakstabilan politik. Banyak pembe.ron.takan berlaku. Salah satunya diketuai oleh Gung Ye (869-918 M) yang meram.pas wilayah timur laut daripada kuasa pusat sekali gus membuatkan ramai pembesar tempatan tunduk kepadanya. Antara yang tidak terkecuali ialah Wang Yung.

Wang Geon, pengasas Dinasti Goryeo

Wang Yung malah menumpahkan khidmatnya kepada Gung Ye, diikuti oleh anaknya Wang Geon. Tidak lama, Wang Geon berjaya menempa nama sebagai pemimpin ten.tera yang cekap. Kedudukannya di sisi Gung Ye makin lama makin mantap.

Menjelang tahun 901 Masehi, Gung Ye menubuhkan Kerajaan Hugoguryeo (901-918 M). Wang Geong pula terus mencurahkan khidmat sebagai panglima utamanya, sekali gus bertanggungjawab mengepalai segala kempen keten.teraan ke atas mu.suh-mu.suh Gung Ye. Pada tahun 913 Masehi, Wang Geon dilantik sebagai perdana menteri Hugoguryeo.

Namun tahun demi tahun, sisi ti.ra.ni Gung Ye makin terserlah. Rakyat jelatanya ramai yang mende.ri.ta akibat dasar pemerintahan beliau yang za.lim. Justeru, empat orang panglima atasan Hugoguryeo berpakat untuk menggu.lingkan Gung Ye dan menggantikannya dengan Wang Geon.

Rancangan tersebut dilaksanakan pada tahun 918 Masehi, dengan Gung Ye dibu.nuh berhampiran Cheorwon, ibu kota kerajaan Hugoguryeo. Wang Geon lantas ditabalkan sebagai raja dan diberi gelaran Taejo. Kerajaan yang ketika itu dipanggil sebagai Taebong pula ditukarkan namanya menjadi Goryeo sekali gus bermulalah sejarah Dinasti Goryeo.

Pada waktu itu, Semenanjung Korea masih terbahagi antara tiga buah kerajaan; iaitu Goryeo, SIlla Bersatu, dan Hubaekje. Wilayah naungan Silla Bersatu bertempat di tenggara semenanjung, manakala Hubaekje pula menguasai timur laut. Justeru tahun-tahun pemerintahan Wang Geon banyak ditumpukan pada usaha menyatukan Semenanjung Korea.

Tahun 927 Masehi, ibu kota Kerajaan Silla Bersatu, iaitu Gyeongju, dise.rang dan dita.wan oleh Gyeon Hwon si pengasas Hubaekje. Raja mereka, Gyeongje, ditang.kap lalu dibu.nuh oleh Gyeon Hwon. Takhta beliau lantas digantikan oleh seorang raja boneka yang bernama Gyeongsun.

Kemelut ini dilihat oleh Wang Geon sebagai peluang untuk menak.luki kedua-dua kerajaan tersebut. Lantas, ten.teranya pun digerakkan bagi menghambat pasukan Hubaekje yang sedang dalam perjalanan pulang. Namun, Wang Geon kalah pe.rang. Mujur, beliau sempat menyusun semula kekuatannya dan mempertahankan kerajaan saat Gyeon Hwon melancarkan se.rangan balas.

Peta Semenanjung Korea sewaktu awal penubuhan Goryeo

Lapan tahun kemudian (935 M), Gyeongsun si raja boneka Kerajaan Silla Bersatu bertindak menyerahkan kerajaannya kepada Wang Geon. Baginya, mustahil untuk beliau membela untung nasib kerajaannya sendiri, apatahlagi mengembalikan zaman kegemilangannya. Justeru, lebih baik jika ia diserahkan kepada tokoh selayaknya.

Pelawaan tersebut diterima oleh Wang Geon. Sebagai imbalan, beliau mengurniakan gelaran putera kepada Gyeongsun. Salah seorang puteri Gyeongsun turut dikahwini demi memperat hubungan antara kedua-duanya. Perkahwinan tersebut berkesan dalam membantu Wang Geon memperoleh sokongan pembesar-pembesar Kerajaan Silla Bersatu.

Sementara itu di pihak seterunya, Gyeon Hwon mengalami masa-masa sukar. Pada tahun sama Wang Geon memperoleh Kerajaan Silla Bersatu, bapa kandung Gyeon Hwon berpaling tadah kepada Kerajaan Goryeo.

Tidak cukup kehilangan bapanya, Gyeon Hwon malah terpaksa berhadapan dengan putera sulungnya, Singeom. Takhta beliau diram.pas. Segalanya kerana beliau menamakan putera lain sebagai pewaris. Gyeon Hwon lantas dipen.jarakan di sebuah kuil Buddha. Namun, tuah masih sudi berbudi kepadanya. Beliau berjaya melarikan diri dan membawa nasib ke Goryeo. Kedatangannya dilayani dengan baik oleh Wang Geon, walaupun mereka telah lama saling bermu.suhan.

Keadaan ini mendorong kepada kejayaan Wang Geong dalam menyatukan Semenanjung Korea setahun kemudian (936 M). Pada tahun itu, beliau melancarkan kempen terakhir ke atas Hubaekje yang diperintah oleh SIngeom. Penen.tangan awal yang diberikan Singeon langsung tidak menunjukkan keberhasilan, justeru beliau pun menyerah. Hubaekje akhirnya tunduk di bawah telunjuk Goryeo.

Peristiwa tersebut menandakan titik penting dalam sejarah Korea. Untuk tempoh yang panjang, ia berjaya disatukan di bawah satu pemerintahan tunggal – sehingga tahun 1948, tahun di mana Korea berpecah menjadi Korea Utara dan Korea Selatan.

Pemakaian pada zaman Dinasti Goryeo

Wang Geon sendiri terus memerintah Goryeo sehingga mang.kat pada tahun 943 Masehi. Dinasti Goryeo yang ditubuhkannya bertahan sehingga tahun 1392 Masehi, di mana ia digantikan oleh Dinasti Joseon. Sepanjang tempoh kekuasaan Goryeo, ia mengharungi pelbagai rintangan di sebalik kejayaan.

Antara tahun paling mencabar buat mereka adalah tahun 993 Masehi. Pada tahun tersebut, sempadan barat laut Goryeo dicero.bohi suku nomad Khitan yang memerintah Empayar Liao. Angkatan ten.tera yang dibawa mereka mencecah sehingga 800,000 orang ramainya.

Empayar Liao merupakan kuasa ampuh yang memayungi utara Asia. Ia bermu.suhan dengan Dinasti Song di China. Justeru, sebaik sahaja Goryeo bersetuju untuk membubarkan hubungan baik dengan China, Khitan pun langsung sahaja mengundurkan angkatan ten.tera mereka dan menyerahkan wilayah timur Sungai Yalu kepada Goryeo.

Goryeo bagaimanapun meneruskan hubungannya dengan Dinasti Song dan membina kubu-kubu pertahanan untuk memperkuat wilayah utara yang baru diperolehinya itu.

Pada tahun 1010 Masehi, suku Khitan sekali lagi menye.rang Goryeo yang sedang mengalami keka.cauan politik. Tahun sebelumnya, raja Mokjong digu.lingkan dan dibu.nuh oleh salah seorang panglimanya, Gang Jo. Hyeonjong diangkat sebagai raja baru menggantikan Mokjong, namun kuasa sebenar berada dalam genggaman Gang Jo.

Buat seketika, Gang Jo berhasil melindungi Goryeo daripada se.rangan Khitan. Namun, beliau akhirnya tewas dan terbu.nuh. Hyeonjong pula terpaksa mengundurkan diri dari ibu kota. Keadaan meruncing ini bagaimanapun cuma seketika. Khitan tidak berupaya meneguhkan kedudukannya di Goryeo. Dek risaukan se.rangan balas daripada Hyeonjong, mereka pun akhirnya berundur pada tahun 1011 Masehi.

Mereka hanya menye.rang kembali buat kali ketiga dan terakhir pada tahun 1018. Dalam serangan tersebut, mereka membawa seramai 100,000 orang ten.tera. Namun, kekalahan teruk yang dialami mereka membuatkan Khitan hanya pulang membawa beberapa ribu orang ten.tera sahaja.

Empat tahun kemudian, Empayar Liao memeterai perdamaian dengan Goryeo. Kedua-duanya mengecapi tempoh aman.

Kira-kira satu kurun berikutnya, Jurchen yang bersempadan dengan Empayar Liao dan Goryeo bangkit berkuasa sebagai Dinasti Jin yang ditubuhkan pada tahun 1115 Masehi. Mereka melancarkan se.rangan ke atas dua jirannya itu. Khitan dihancurkan, sementara Goryeo dijadikan vassal yang dipaksa membayar ufti secara tahunan.

Gambaran Gaeseong, ibu kota Goryeo

Pada tahun 1231 Masehi, Goryeo berhadapan dengan satu lagi an.caman, iaitu Empayar Monggol. Ogedeo Khan menghalakan bala ten.teranya ke wilayah Goryeo ketika melancarkan kempen penak.lukan China. Goryeo memberikan penen.tangan selama 30 tahun, namun kemudian mereka bertukar dasar dan berdamai.

Perubahan dasar ini berlaku akibat pembu.nuhan Choe Ui si pemerintah dik.tator. Rejim ten.tera digantikan dengan faksi cendekiawan yang cenderung untuk menjalinkan hubungan mesra dengan Monggol.

Berikutan itu, Monggol mengalihkan sasaran kepada Jepun – se.rangan pertama dilakukan pada tahun 1274 dan se.rangan kedua pula pada tahun 1281. Dalam kedua-dua cubaan tersebut, Goryeo membekalkan sejumlah ten.tera kepada pasukan Monggol.

Tahun 1368 Masehi, Dinasti Yuan digantikan oleh Dinasti Ming. Dalam tempoh itu juga,Goryeo mengalami kemunduran. Namun masih, ia berupaya mengekalkan kekuasaan untuk beberapa dekad berikutnya. Tahun-tahun terakhir Goryeo banyak bersangkut-paut dengan sikap anggota istananya terhadap China.

Sejurus selepas kejatuhan Dinasti Yuan, Goryeo terbahagi dua di antara mereka yang menyokong Dinasti Ming dan mereka yang menyokong Dinasti Yuan. Ketika mula meneguhkan kuasanya, Dinasti Ming membiarkan Goryeo bersama nasibnya sendiri buat seketika.

Namun menjelang tahun 1388, mereka menghantar utusan yang menuntut sebahagian besar wilayah utara Goryeo. Faksi yang bersikap anti terhadap Ming membantah tuntutan tersebut dan serangan ke atas Semenanjung Liaodong pun dilakukan.

Cuma ironi, kempen keten.teraan tersebut dipertanggungjawabkan ke atas Yi Seongye yang merupakan pendokong kuat Dinasti Ming. Ibarat mengharapkan pegar untuk menjaga padi, Yi Seongye malah menye.rang ibu kota Goryeo. Justeru pada tahun 1392, Gongyang si raja terakhir Goryeo digu.lingkan dan Yi pun menubuhkan Dinasti Joseon.

Tidak seperti Dinasti Joseon yang menganut Konfusianisme sebagai ideologi rasmi, Dinasti Goryeo berpaut pada Buddhisme. Ia bahkan merintis zaman keemasan agama Buddha di Korea.

Tripitaka Koreana merupakan salah satu legasi Buddhisme utama dari Dinasti Goryeo

Legasi Buddhisme yang paling utama dari Dinasti Goryeo ialah Tripitaka Koreana yang disifatkan sebagai himpunan teks, perundangan, dan risalah ajaran Buddha yang paling lengkap di Korea, dengan keseluruhannya diukir pada 81,258 bongkah blok kayu cetakan.

Ia dihasilkan buat pertama kali pada tahun 1011 Masehi, sewaktu Goryeo dan Empayar Liao sedang berkon.flik antara satu sama lain. Penghasilannya dibiayai oleh raja Goryeo demi memohon perlindungan Buddha dari se.rangan suku Khitan.

Koleksi Tripitaka Koreana awal tersebut bagaimanapun han.cur di tangan Monggol. Justeru pada tahun 1236 Masehi, raja Goryeo menitahkan supaya salinan Tripitaka Koreana yang baru dihasilkan. Kerja-kerja tersebut mengambil masa selama 15 tahun dan disiapkan pada tahun 1251 Masehi.

Enam tahun selepas kejatuhan Dinasti Goryeo (1398 Masehi), Tripitaka Koreana dipindahkan ke Kuil Haeinsa yang terletak di Gunung Gaya dan masih berada di sana sehingga hari ini. Ia diwartakan sebagai Khazanah Negara, manakala Kuil Haeinsa pula diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

TERJEMAHAN
Wu Mingren. (17 April 2021). The Goryeo Dynasty: Buddhist Unifier of the Korean Peninsula. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.