Dildo Dan Hell, Nama Bandar Pelik Diluar Negara

1,238

https://bit.ky/kombowww

Semua tempat ada sejarah di sebalik nama yang diberi. Misalnya, nama Melaka dikatakan diambil dari sebatang pohon Melaka yang menjadi tempat Parameswara bersandar. Atau Baling, Kedah dikatakan berasal daripada peristiwa Raja Bersiong membaling taringnya selepas melarikan diri ke dalam belantara. Tetapi bagi sesetengah tempat, nama tempat kadang-kadang membawa petaka kepada penduduknya.

Dan ini dirasai oleh penduduk bandar Asbestos, tenggara Quebec, Kanada. Selama lebih seabad, bandar tersebut menikmati kemakmuran selepas pembukaan lombong asbestos seluas dua kilometer iaitu Lombong Jeffrey. Lombong tersebut bukan sekadar menjana pendapatan ekonomi setempat tetapi memberi identiti kepada penduduk tempatan.

Tetapi semua itu berubah pada tahun 1920-an apabila asbestos dikesan boleh membawa peny4k1t seperti mesotelioma dan k4ns3r paru-paru. Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 100,000 orang m4t1 di seluruh dunia akibat terdedah kepada asbestos. Pada tahun 2011, Lombong Jeffrey ditutup untuk selama-lamanya.

Sejak itu, bandar tersebut berusaha membentuk semula identiti bandar mereka sebagai destinasi pelancongan sukan dan pengembaraan tetapi tidak berhasil berikutan kebimbangan isu kesihatan. Ahli majlis perbandaran Asbestos, Caroline Payer menyifatkan disebabkan nama itu, bandar tersebut kehilangan banyak peluang ekonomi sekaligus peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Atas sebab itulah, 6,800 penduduk akan mengundi dari 14 hingga 18 Oktober ini nama baru bandar tersebut. Penduduk perlu memilih salah satu daripada enam nama ini iaitu L’Azur-des-Cantons, Jeffrey-sur-le-Lac, Larochelle, Phénix, Trois-Lacs dan Val-des-Sources. Proses ini memakan kos CAD$133,000 (RM419,535), satu kos yang dianggap mahal tetapi bagi Payer berbaloi demi masa depan bandar tersebut.

Bagi bandar Vandals, Metz pula, mereka asyik menyeranah kerana menjadi tumpuan tarikan pelancong atas sebab nama mereka. Para pelancong menyangka sekiranya mereka pergi ke Vandals, mereka bertemu dengan penduduk yang tahu mer0s4kkan harta benda awam.

Keadaan ini amat merimaskan penduduk terutama datuk bandar mereka, Claude Vellei. Vellei berkata, “Terlalu ramai orang datang dengan harapan dapat bertemu dengan orang-orang yang buruk perilakunya. Kami bukan per0s4k dan tiada sebab orang merujuk kami dengan konotasi sebegitu rupa.”

Rajah 1: Hell, Norway.

Tetapi ada pula yang popular walaupun nama yang diberi itu memberi konotasi buruk. Misalnya, mahukah anda bertandang ke satu tempat yang dipanggil neraka? Neraka yang dimaksudkan ialah perkampungan Hell (diambil dari perkataan Norse, hellir yang bermaksud gua tebing tinggi) di Norway.

Sejak nama perkampungan tersebut diketahui orang ramai, ia menarik kehadiran ramai pelancong. Malah, menerusi satu artikel The New York Times pada tahun 30-an, pelancong bergambar dengan papan tanda nama perkampungan bersebelahan papan tanda stesen keretapi dan membeli poskad berbunyi ‘neraka sudah membeku’. Hell juga menjadi lokasi pelbagai acara termasuk festival tahunan Hell Blues dan Kejohanan Dunia RallyCross.

Rajah 2: Dildo, Newfoundland

Begitu juga dengan pekan Dildo, Newfoundland. Nama pekan ini diambil dari pivot pendayung yang digunakan pada bot pendayung. Tetapi pada tahun 1980-an, selepas mengetahui dildo sebenarnya membawa maksud lain (alat permainan seks) sehingga menjadi bahan ketawa orang lain, ramai mahukan nama pekan tersebut diubah kepada Seaview atau Pretty Cove.

Bagaimanapun, majoriti memilih nama tersebut dikekalkan. Hasilnya, bandar tersebut menikmati peningkatan populariti sekaligus menjana industri pelancongan dan ekonomi tempatan. Ahli jawatankuasa daerah perkhidmatan tempatan Dildo Andrew Pretty berkata, “Kami tidak perlu memasarkan pekan ini, ia berlaku kepada kami. Sesetengah tempat membelanjakan banyak wang untuk promosi. Kami tidak perlu mengeluarkan satu sen pun.”

Nama Dildo terus dikenali apabila disebut oleh hos rancangan bual bicara terkenal, Jimmy Kimmel pada tahun 2019. Kimmel secara bergurau mengumumkan perlancaran kempen untuk menjadi datuk bandar pekan tersebut. Tambah Pretty, sejak itu, pekan berkenaan terus menjadi tumpuan ramai sehinggakan rangkaian telefon bimbit kawasan berkenaan tidak dapat menampung permintaan penduduk dan pelancong.

Begitupun, sekiranya Asbestos tetap mahu menukar nama mereka, perlu diingat ia tidak bermakna boleh memadamkan sejarah bandar tersebut. Menurut penyelidik Universiti Otago, New Zealand, Andrea Insch, mana-mana pelabur yang mahu bertapak di bandar berkenaan pasti akan mencari latar belakang tempat tersebut walaupun sudah diberi nama baru.

Rajah 3: Filem Ali G Indahouse yang memperlekeh bandar Staines memaksa majlis perbandaran mengubah nama mereka pada tahun 2012.

Satu tempat yang dianggap berjaya selepas menukar nama mereka ialah Staines-upon-Thames. Sebelum itu, bandar ini dikenali dengan nama Staines dan menjadi bahan jenaka dalam filem popular 2002 Ali G Indahouse.

Tidak mahu lagi dikaitkan dengan filem lakonan Sacha Baron Cohen itu, majlis perbandaran bersetuju menukar nama Staines kepada nama barunya itu pada tahun 2012 dan memfokuskan usaha menjadi hab bagi syarikat-syarikat baru yang bertapak berhampiran London.

Pertukaran nama tersebut dianggap satu kejayaan besar kepada bandar berkenaan. Antara tahun 2013 hingga 2014 menyaksikan pertambahan bilangan firma-firma baru per populasi 10,000 orang. Perubahan ini berlaku bukan sekadar disebabkan oleh pertukaran nama tetapi promosi berterusan majlis perbandaran tentang kelebihan bandar tersebut berjaya mengubah reputasi Staines-upon-Thames.

Bagi Payer, perubahan nama Asbestos dibuat demi generasi seterusnya. Dan perubahan ini dijangka dapat dilihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekaligus diharap membawa masa hadapan yang lebih cerah termasuk pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

RUJUKAN:

Cox, David. (2020). Why the Canadian town of Asbestos wants a new name. BBC Worklife. https://www.bbc.com/worklife/article/20201008-why-the-canadian-town-of-asbestos-wants-a-new-name

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.