Difteria, Toksin Dan Vaksinasi

261
views

Difteria adalah sejenis penyakit berjangkit akut, yang terjadi disebabkan oleh penghasilan exotoxin (toksin), dari bakteria yang dikenali sebagai Corynebacterium dyptheriae.

Kebiasaannya, ia akan memberi infeksi atau menyerang bahagian pharynx di dalam mulut atau mana-mana organ pada bahagian “upper respiratory tract”.

Kadangkala, dalam kes serius, ia turut mampu memberi komplikasi sistemik seperti radang jantung (myocarditis) serta paralisis atau kelumpuhan otot (polyneuropathy).

*Tahukah anda bahawa exotoxin yang dirembeskan oleh bakteria adalah antara bahan kimia yang paling berbahaya kepada manusia?

Contohnya Botulinum toxin. Ia adalah sejenis exotoxin yang dirembeskan oleh bakteria Clostridium botulinum. 1 mikrogram (jumlah lebih kecil dari setitik air) mampu untuk membunuh manusia.

Poster KKM mengenai Difteria

Etiologi

Bakteria Corynebacterium dyptheriae ini merupakan bakteria “gram-positive”. Morfologi nya adalah seperti berikut:

– Tiada kapsul.
– Non-motile (tidak bergerak)
– Bacillus yang tidak menghasilkan spora
– Berbentuk rod serta seakan kayu cota (club).
– Berada dalam kelompok (cluster), menyerupai huruf-huruf bahasa cina.

Isolasi bakteria Corynebacterium dyptheria ini dari manusia mungkin akan menemukan 2 jenis varian, iaitu sama ada phenotype yang tidak bertoksin (tox-), dan bertoksin (tox+).

Epidemiologi

Cara transmisi atau penyebaran utama bagi bakteria C.dyptheriae ini adalah melalui udara (water droplets) dari jarak dekat. Organisma ini akan kolonisasi saluran pernafasan serta berkebolehan untuk tidak menimbulkan sebarang simptom atau gejala.

Selain itu, dalam kes yang jarang berlaku, ia turut mampu tersebar melalui objek tercemar dengan cecair dari pesakit difteria sebagai contoh, alat mainan, tuala, serta sudu dan garfu.

Satu-satunya hidupan yang menjadi ‘gudang simpanan’ atau “reservoir” bagi bakteria C.dyptheriae ini adalah manusia.

Anda juga perlu sedar bahawa imuniti yang didapatkan daripada imunisasi vaksin difteria semasa kecil, akan berkurangan sendiri dengan berlalunya masa. Ini bermakna orang dewasa juga turut mampu untuk dijangkiti bakteria C.dyptheriae ini. Oleh itu, vaksin difteria ini perlu diberikan “booster” atau dos tambahan, bagi mengekalkan “antibody titer” tersebut pada tahap optimum (menghalang dari berlakunya gejala atau simptom berbahaya).

Selain daripada faktor umur dan tidak mendapat suntikan vaksinasi, terdapat beberapa faktor lain yang meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria C.dyptheriae dan ia adalah seperti berikut:

– Ketagihan alkohol
– Tahap sosioekonomi yang rendah
– Tinggal di kawasan yang padat

Contoh terburuk bagi peristiwa wabak epidemik Difteria, telah berlaku pada tahun 1990-an di negara-negara Kesatuan Soviet. Ketika itu, terdapat lebih 150,000 kes difteria telah dilaporkan dan lebih 5000 daripada kes itu, telah berakhir dengan kematian pesakit.

Peristiwa epidemik itu telah disebabkan oleh kegagalan institusi kesihatan di negara-negara tersebut, untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada populasi rakyat.

Pathogenesis

Seperti yang telah saya nyatakan di atas, bakteria C.dyptheriae ini mempunyai varian berbeza, sama ada yang bertoksin atau tidak bertoksin.

Oleh itu, toksin tersebut telah dihasilkan oleh varian bakteria C.dyptheriae bertoksin. Ia adalah faktor virulence utama dalam penyakit klinikal Difteria.

Toksin itu sendiri terdiri daripada dua buah komponen penting (Binding Subunit & Active Subunit), dan ia adalah seperti berikut:

– Binding Subunit adalah komponen berfungsi melekapkan toksin pada permukaan sel melalui “glycoprotein receptor”. *Selepas melekap, ia tidak dapat dihapuskan sekalipun dengan penggunaan antitoksin.

– Manakala Active Subunit adalah komponen yang berfungsi menyahaktifkan (EF-2), yang akhirnya menhalang sistesis protein, justeru menyebabkan kematian sel.

Bagaimana toksin berfungsi?

Pseudomemnranous lesion (berwarna putih) adalah salah satu ciri jangkitan difteria

Toksin ini dihasilkan oleh bakteria C.dyptheriae yang menetap di dalam “pseudomembranous lesion” (berwarna putih) pada bahagian pharynx di dalam mulut.

Toksin itu kemudiannya akan dilepaskan ke dalam saluran darah. Toksin yang berada di dalam darah itu seterusnya akan dibawa ke seluruh organ.

Apabila toksin itu berjaya melekapkan diri pada permukaan sel melalui “Binding Subunit”, ia seterusnya memasuki sel. Setelah toksin berjaya memasuki ke dalam sel itu, “Active Subunit” pula bertindak menghalang sistesis protein sel yang akhirnya menyebabkan kematian sel.

^ Ini cuma mekanisme toksin di dalam sebuah sel. Bayangkan jika toksin tersebut berjaya menyerang sebahagian besar sel-sel yang membentuk sesebuah organ itu?

Kesimpulannya, mekanisme toksin inilah yang menyebabkan kegagalan organ yang akhirnya menyebabkan kematian pesakit.

Vaksin Difteria

Vaksin Difteria ini diperbuat daripada toksin bakteria Corynebacterium dyptheriae (toxxoid vaccine). Ia telah dilemahkan serta disucikan daripada elemen-elemen yang berbahaya kepada kesihatan.

Bermaksud, vaksin itu tidak mampu untuk memberi kemudaratan kepada tubuh badan penerima, namun cukup untuk merangsang penghasilan antibodi. Penghasilan antibodi tersebut kemudian akan dengan serta-merta memusnahkan terus ‘toksin lemah’ itu dan akhirnya, antibodi tersebut akan menjadi memori (ingatan).

Tetapi seperti yang saya nyatakan di atas, ‘ingatan’ itu tidak bertahan lama, dan masih memerlukan “booster” atau dos tambahan untuk memastikan tahap antibodi (antibody titer), dalam keadaan optimal.

*Analogi mudah macam anda belajar. Kalau anda dah tinggalkan pembelajaran itu dalam tempoh yang lama, anda mesti akan lupa. Oleh sebab itu anda diperlukan untuk baca dan baca berulang kali untuk ingat.

Seterusnya, jika anda diserang atau dijangkiti semula oleh bakteria ini SELEPAS menerima suntikan vaksin, bakteria Corynebacterium dyptheriae ini tetap akan menghasilkan toksinnya. TETAPI, kali ini badan anda sudah pun bersedia, kerana mempunyai antibodi memori yang ingat ‘wajah’ toksin yang dilepaskan.

Ini bermakna, antibodi tersebut akan terus dapat memusnahkan toksin yang dihasilkan oleh bakteria, dan melindungi anda daripada kegagalan organ dan kemungkinan tinggi kematian.

Walau bagaimanapun, anda masih akan dapat mempunyai simptom atau gejala ringan seperti demam, sakit tekak dan sebagainya. Tetapi, anda akan dirawat dengan ubatan antibiotik sahaja dan bukannya suntikan antitoksin (antibodi terhadap toksin) difteria.

Antitoksin diberikan kepada mereka yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.

Pencerahan tentang antitoksin difteria

Ia hanya mampu untuk menghapuskan toksin yang berada bebas (tidak bercantum dengan sel) di dalam darah. Kerana apabila toksin itu telah bercantum dengan sel, ia tidak dapat dihapuskan sama sekali.

Di sini anda pasti faham mengapa vaksinasi itu sangat penting. Kerana toksin ini bertindak sangat cepat dan mampu membunuh, dan vaksinasi itu berkesan dalam menghalangnya.

Kesimpulannya, Difteria ini adalah sebuah penyakit berjangkit dan sangat berbahaya serta boleh membawa maut jika anda tidak mendapatkan suntikan vaksin yang berfungsi menghapuskan toksin dilepaskan oleh bakteria.

Vaksin *DIFTERIA* tidak menjamin anda tidak akan dijangkiti oleh bakteria Corynebacterium diptheriae ini, ia cuma berfungsi meminimakan gejala atau simptom yang boleh membawa maut berbanding dengan individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.

*JOM TANDATANGAN PETISYEN!*

*SOKONGAN WAJIBKAN VAKSIN PROGRAM IMUNISASI KEBANGSAAN*

Petisyen atas talian kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

*Tandatangan di sini*
👉 http://chng.it/Nw4pZSdx 👈

Tolong sebarluaskan kepada ibubapa, suami/isteri, adik beradik, anak beranak, saudara mara, jiran tetangga, rakan sekerja, kawan-kawan, sahabat alam maya dan komuniti demi kemaslahatan dan kesihatan hidup bermasyarakat di Malaysia.

Rujukan:

Non-Spore-Forming, Gram Negative Rods. Retrieved from: Review of Medical Microbiology and Immunology by Warren Levinson.