Sejarah peradaban manusia mungkin antara perbincangan tertua yang manusia utarakan. Sejak umat manusia membentuk masyarakat setelah menetap di sesuatu kawasan, gaya hidup umat manusia telah berubah-ubah, dari satu tamadun ke satu tamadun, satu peradaban ke peradaban lainnya.

Sejarah dalam maksud yang ingin saya utarakan bukanlah berkisarkan kejadian-kejadian yang berlaku, tetapi tentang corak-corak dalam kejadian tersebut yang memberi makna dalam kemajuan Sejarah dan peradaban manusia.

Perbincangan atau dialektika tentang ketamadunan pada masa tersebut bukanlah diadakan secara diskusi ilmiah seperti yang berlaku zaman sekarang, tetapi perubahan yang berlaku pada sesuatu tamadun, itulah dialektika sejarah. Setiap kali peradaban berubah wajah – dijajah tamadun lain atau berlakunya revolusi sosial, turut mengikuti perubahan tersebut adalah sistem bermasyarakat.

Dialektika adalah pertembungan dua pendapat berlawanan, yang masing-masing dipanggil tesis dan antitesis, yang mana pertembungannya melahirkan buah fikiran ketiga, iaitu sintesis. Sintesis sendiri mempunyai ciri-ciri yang berlainan; ada sintesis yang menghampiri sifat tesis asalnya, kerana kekuatan hujah satu tesis ke atas antitesisnya, dan ada juga sintesis yang berlainan terus dengan tesis dan antitesis, berkemungkinan disebabkan sintesis itu adalah titik tengah atau persilangan dalam dialektika tersebut. Itu serba sedikit asas kepada dialektika.

Umum menggunakan dialektika sebagai wacana kepada idea, mencari percanggahan dalam sesuatu tesis, untuk menghasilkan sintesis, tetapi G. W. F. Hegel (1770-1831) membawa dialektika ke ruang yang baharu – Sejarah. Ya, Sejarah dengan S berhuruf besar. Ini bagi membezakan sejarah, kata nama am bagi kejadian-kejadian, dan Sejarah, corak dalam kejadian tersebut yang memberi makna pada kemajuan peradaban manusia. Hegel merupakan seorang filsuf dari tradisi falsafah Jerman, malah antara yang terulung di Zaman Pencerahan.

Hegel mewarisi pemahaman beliau tentang kemajuan dalam proses Sejarah daripada seorang filsuf Jerman juga iaitu Immanuel Kant (1724-1804). Pentingnya kita memahami idea Kant kerana dialektika Sejarah yang dibawa Hegel dalam kitab ulungnya, Phenomenolgy of Spirit adalah impak kepada ciri-ciri Sejarah dari buah fikiran Kant sendiri.

Kant mengatakan Sejarah ada titik pengakhiran; bukan bermakna tiada lagi kejadian-kejadian akan berlaku, tetapi sistem sosial masyarakat akan terhenti pada satu tahap kerana telahpun menggarap satu cara hidup yang tidak wujud lagi percanggahan di dalamnya.

Percanggahan di sini tidak membawa maksud perbalahan antara individu dalam masyarakat, tetapi ciri-ciri dalam sistem tersebut yang a) mempunyai konflik antara prinsip idea masyarakat tersebut dengan gaya hidup sebenar ahli masyarakat atau b) wujudnya pengasingan antara seseorang dan haknya sebagai ahli masyarakat.

Percanggahan dalam sistem bermasyarakat menunjukkan kelemahan nyata dalam sistem tersebut yang akhirnya tumbang atau berubah secara sosial, dan mewujudkan sistem yang baharu. Monarki, aristokrasi, oligarki, autoritarian dan totalitarian – satu persatu tumbang akibat percanggahan yang asasi atau fundamental, yang wujud dalam sistem itu sendiri.

Konflik idea paling nyata dan kuat adalah apabila hak-hak ahli dalam masyarakat tidak diiktiraf, akhirnya menidakkan seseorang sebagai pemilik hak yang sama rata dalam sistem masyarakatnya.

Contohnya seperti dalam monarki berkuasa mutlak, seseorang ahli masyarakat bukanlah rakyat kepada negaranya yang mempunyai hak-hak seorang rakyat, tetapi subjek kepada rajanya, yang mana hak seorang subjek adalah tertakluk kepada kuasa dan ihsan rajanya. Wujud hak berbeza antara raja dan rakyat walaupun hidup dalam komuniti yang sama.

Secara mudahnya, percanggahan fundamental dan konflik idea ini adalah tesis dan antitesis dalam sistem masyarakat. Perubahan masyarakat ke peringkat seterusnya, sama ada melalui penaklukan tamadun lain atau revolusi sosial oleh dirinya sendiri, adalah permulaan wujud kepada sintesis. Inilah dialektika dalam perbincangan Sejarah Sejagat.

Berbalik kepada Hegel, beliau bersetuju dengan Kant bahawa Sejarah punya titik noktah, menjadikan perjalanan peradaban manusia sejak zaman yang lebih primitif akhirnya dapat difahami secara menyeluruh melalui sudut pandang masyarakat terakhir. Hegel melihat bahawa perubahan-perubahan sistem masyarakat dan tamadun adalah lebih normal dan menjadi kebiasaan, berbanding dengan satu tamadun hanya kekal istiqamah tanpa perubahan.

Malah, perubahanlah yang menjadi asas kepada kemajuan Sejarah. Namun, dalam kekalutan perubahan setiap tamadun ini, wujud perkara asasi yang kekal; beliau menggelarkannya sebagai Spirit.

Spirit menurutnya senantiasa mempunyai konflik dalaman yang akhirnya membawa kepada perubahan tamadun dan menghasilkan sintesis dalam bentuk sistem kemasyarakatan yang baharu. Spirit inilah yang menjadi pendorong kepada kemajuan sesuatu tamadun hingga membentuk masyarakat moden hari ini. Sifirnya mudah; ada percanggahan ertinya ada tesis dan antitesis, dan terjadilah dialektika Sejarah.

Perkara ini mungkin akan lebih mudah difahami jika diberikan contoh. Tamadun Yunani Kuno ketika dijajah oleh Rom Kuno contohnya. Sekalipun berlaku asimilasi antara masyarakat Yunani Kuno yang menerima kedatangan Rom Kuno, namun wujud nilai yang kekal tidak berubah, malah diserap pula oleh Tamadun Rom Kuno. Demokrasi adalah bukti besar nilai atau Spirit yang bertahan dari zaman Yunani Kuno, ke era Rom Kuno, hingga ke dunia moden. Rom Kuno sendiri merupakan contoh apabila jatuh diserang oleh suku Jerman, Visigoths yang dipimpin oleh Alaric.

Tamadun Rom Kuno mungkin jatuh secara fizikal, namun Spirit-nya wujud, dan memberi pengaruh pada penjajahnya. Buktinya adalah kewujudan ciri-ciri Tamadun Rom Kuno pada kerajaan-kerajaan selepasnya, seperti Empayar Suci Rom di Zaman Pertengahan, dengan hukum perundangan dan sistem sosial yang sepersisnya.

Ini adalah contoh dialektika sejarah yang berlaku akibat pertembungan dua tamadun, yang sintesisnya adalah sebuah tamadun yang ‘baharu’, dalam erti kata wujudnya kelansungan hidup nilai-nilai utama dalam tamadun-tamadun yang bertembung dalam tamadun yang ‘baharu’ ini.

Seperti yang disebut, wujud juga tamadun yang berubah cara dan nilai masyarakatnya, bukan kerana pertembungan, tetapi kerana revolusi. Menurut Hegel, “Spirit sentiasa berperang dengan dirinya sendiri”. ‘Peperangan’ ini masih berpunca dari konflik idea dalam sistem masyarakat itu sendiri. Ini boleh dilihat dalam kes Revolusi Perancis 1789 apabila sistem monarki digantikan dengan sistem Republik.

Percanggahan fundamental yang wujud dalam idea Monarki Perancis, atau mana-mana monarki berkuasa mutlak dalam dunia, adalah ketidakiktirafannya pada hak-hak ahli masyarakat tersebut. Ini menahan satu sifat semulajadi manusia yang diungkapkan oleh Plato sebagai thymos, atau gelojak perasaan yang ingin dirinya diiktiraf. Dalam konteks negara moden, pengiktirafan ini dinyatakan dalam bentuk hak-hak seorang rakyat yang jelas dalam perlembagaan.

Bagaimanapun, konteks ini adalah sangat baharu dalam peradaban dunia, dan sudah semestinya tidak dinikmati oleh masyarakat sebelum Revolusi Perancis 1789 dan Revolusi Amerika 1776. Apabila berlakunya revolusi, Spirit yang berkonflik tadi akhirnya membebaskan diri dan memanifestasikan dirinya dalam sistem sosial yang baharu.

Ini jelas kelihatan dengan bibit-bibit kemunculan demokrasi berpelembagaan pada 1789, sebagai Spirit yang menjadi sintesis yang kemudiannya disebarkan ke ceruk Eropah oleh Maharaja Napoleon, terutamanya melalui Pertempuran Jena 1806 dan diserap negara lain dalam bentuk perlembagaan setelah Revolusi 1848.

Perbincangan Dialektika Hegelian dalam Sejarah ini sangat bersifat metafizikal. Falsafah Sejarah Hegel ini kemudian dikutip oleh seorang lagi tokoh ulung falsafah, yang sering disalah erti, Karl Marx (1818-1883). Dalam perkara asas dialektika Sejarah, Marx bersetuju dengan Hegel.

3 perkara fundamental dalam perbincangan ini yang Marx bersetuju dengan Hegel adalah bahawa kemajuan dan perjalanan Sejarah itu satu dialektika dan Sejarah punya destinasi yang menghentikan segala evolusi peradaban apabila konflik idea dalam sistem masyarakat itu akhirnya diselesaikan. Dengan itu, selamat untuk kita katakan bahawa Marx bersetuju yang masyarakat sentiasa berevolusi. Namun, idea Marx mulai berbeza tentang punca dan natijah evolusi tersebut.

Weltanshauung Marx dipengaruhi oleh kejadian di zamannya, Revolusi Industri. Revolusi ini memberi makna baharu kepada materialisme, yang akhirnya menjadi asas bagi kebanyakan idea Marx. Jika Hegel melihat dunia ini didorong oleh Spirit dalam masyarakat yang ingin merungkaikan segala konflik, Marx berpendapat bahawa material adalah dorongan utama kepada evolusi masyarakat dan menjadi tujahan kemajuan Sejarah.

Maka dialektika berlandaskan fikiran Marx ini dipanggil Dialektika Materialisme dan dijelaskan oleh Marx dalam chef d’oeuvre beliau, Das Kapital. Marx melihat bahawa evolusi sistem masyarakat berubah dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan kehendak dan keperluan masyarakat tersebut.

Kita ambil contoh zaman Marx sendiri, Revolusi Industri. Kehendak masyarakat pada kelimpahan material membawa kepada wujudnya pembahagian kerja dan pembahagian kelas sosial moden, borjuis dan proletariat. Manusia yang asalnya bergiat dalam kerangka keluarga dan menjadikan keluarga sebagai tonggak utama masyarakat berubah menjadi masyarakat yang menjadikan kapital, pemilik-pemilik kilang dan tuan-tuan tanah sebagai pusat masyarakat.

Boleh kita katakan berdasarkan pemikiran Marx, bahawa segala dialektika Sejarah, konflik idea masyarakat, percanggahan dalaman yang fundamental; semuanya berpunca dari hubungan manusia dan material. Berbanding dengan Hegel yang mengutamakan hujah abstrak, Marx datang dengan hujah konkrit yang boleh dilihat dalam dunia secara empirikal.

Perbezaan ini akhirnya membawa kepada dua natijah yang berbeza tentang evolusi masyarakat. Hegel, bersependapat dengan tokoh-tokoh ideologi liberalisme, mengatakan bahawa Sejarah akan berakhir apabila konflik kebebasan masyarakat akhirnya terungkai. Masyarakat di peringkat terakhir evolusi sistem peradaban manusia akhirnya mencapai kebebasan bersosial, di mana sesebuah negara melindungi hak rakyatnya. Hak-hak yang dilindungi ini adalah penyelesaian kepada permasalahan thymos, gelojak perasaan yang ingin dirinya diiktiraf.

Pengiktirafan hak secara sama rata antara segenap ahli sesebuah masyarakat, dari pemimpin hingga rakyat ini tidak wujud dalam monarki berkuasa mutlak, atau aristokrasi, atau oligarki, atau autoritarian, atau totalitarian. Inilah konflik utama yang membawa kepada kejatuhan rejim-rejim tersebut dan inilah Spirit yang telah memjalani kelansungan hidup sejak zaman tamadun purba hingga ke masyarakat moden.

Marx membantah, alasannya dalam masyarakat yang bebas ini masih wujud sisa konflik; konflik antara kelas sosial. Ini bererti bahawa sintesis masyarakat bebas ini hanyalah tesis baharu yang masih punya antitesisnya, menjadikan ia bukan peringkat terakhir kehidupan bermasyarakat. Pada Marx, konflik kelas wujud akibat kapitalisme, yang membahagikan manusia kepada golongan borjuis dan proletariat.

Dialektika ini masih belum selesai. Masyarakat masih berkonflik kesan pengasingan manusia dari hak sama rata kerana golongan borjuis dan bangsawan semestinya mempunyai lebih kuasa keatas marhaen dan proletariat. Kesamarataan hak masih tidak terjamin selagi wujudnya sistem kapitalisme. Oleh sebab itulah, Marx mencadangkan idea terkenal beliau, komunisme sebagai peringkat akhir peradaban.

Hujahnya, dalam masyarakat tanpa kelas dalam sistem komunisme, konflik antara kelas tidak akan wujud. Ini natijah dari ketidakwujudan pemilikan persendirian – kerajaan memiliki segala wasilah pengeluaran. Kesudahannya, terungkailah segala konflik masyarakat, terhentinya dialektika Sejarah dan masyarakat akan hidup dalam sistem tanpa percanggahan.

Tambahan lagi, Marx merasakan bahawa idea Hegel bersifat terlalu idealis dan tidak akan menjadi penyelesaian kepada kemelut dunia sebenar seperti hubungan sosial dan permasalahan ekonomi. Marx, dalam hidupnya, bukan sekadar berfalsafah malah turut beraktivis dan beliau melihat bahawa perkara teoretikal tidak akan menyelesaikan masalah kemasyarakatan dalam umat manusia.

Hidup di abad ke 21 adalah sesuatu yang menguntungkan. Sebagai masyarakat moden, mudah untuk kita menilai idea Hegel dan Marx berkenaan teori dialektika masing-masing. Hegel, yang lebih cenderung kepada masyarakat bebas, hanya memerhati evolusi masyarakat setakat abad ke 19, ketika hak masyarakat dilindungi perlembagaan hanya ada di Perancis dan Amerika.

Marx juga tidak sempat untuk hidup dan menilai sendiri kehidupan masyarakat komunis yang hancur kesan daripada pemerintahan ala Stalin. Marx tidak melihat bagaimana penindasan dan percanggahan asasi masih wujud dalam sistem komunisme yang merupakan buah fikiran teragung beliau. Hakikatnya Hegel dan Marx adalah produk zaman mereka.

Pandangan mereka terhadap dunia dihadkan dengan kejadian-kejadian sewaktu hayat mereka; Revolusi Perancis 1789 bagi Hegel, dan Revolusi Industri abad ke 19 bagi Marx. Sebagai ahli yang hidup dalam masyarakat yang dihujahkan Hegel sebagai pengakhiran Sejarah, kita patut menilai sendiri – apakah kehidupan masyarakat kita pada hari ini bebas dari konflik dalaman atau percanggahan pada prinsip fundamental masyarakat kita? Atau mungkinkah sistem kita ini masih punya antitesisnya, yang bakal melahirkan masyarakat baharu pula, sebagai sintesis kepada dialektika Sejarah, di masa akan datang?

Artikel dikirimkan oleh Aliff Naif Mohd Fizam, Pelajar Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk The Patriots. 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.