Di Sebalik Jurus Pernafasan Hinokami Kagura – Demon Slayer

2,508

Sejak mula ditayangkan pada 6 April yang lalu, siri animasi Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba sering menitir di bibir para penggemar anime di seluruh dunia. Sebutan dan imej berkaitan kerapkali menghiasi dinding-dinding Facebook, ciapan-ciapan Twitter dan siaran-siaran di Youtube.

Menurut statistik kasar yang dikeluarkan oleh MyAnimeList setakat ini, siri tersebut meraih skor purata 8.76/10 hasil undian seramai 104 038 orang. Sebagai perbandingan, siri Yakusoku no Neverland memperoleh skor purata 8.72/10 dari 212 847 orang pengundi manakala siri Dororo yang melibatkan undian dari seramai 129 136 orang pula meraihkan skor purata 8.28/10. Menerusi undian kasar ini, sememangnya kita boleh simpulkan bahawa siri tersebut merupakan salah satu anime terbaik keluaran tahun 2019 sehingga mampu mencetuskan beberapa fenomena.

Dibina dengan premis penceritaan yang sangat dekat dengan kebudayaan Jepun, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba diperindahkan lagi dengan kualiti grafik daripada studi animasi Ufotable yang sangat-sangat memukau.

Kemudian, hadir pula garapan music latar bernada tradisional di samping alunan lagu-lagu yang mengasyikkan daripada LiSA, FictionJunction, dan Nami Nakagawa – kesemua faktor ini saling memainkan kefungsian dalam menambahkan keepikan anime berkenaan.

Untuk menceritakan secara ringkas, anime ini memerihalkan seorang remaja bernama Kamado Tanjiro yang kehilangan seluruh keluarganya angkara kekejaman Kibutsuji Muzan, bapa segala syaitan dalam siri ini.

Walaupun disisakan seorang adik perempuan yang terselamat dari tragedi itu, Nezuko ditakdirkan diubah menjadi syaitan oleh Muzan. Semenjak berlakunya peristiwa hitam itu, kehidupan Tanjiro sama sekali berubah – dari menetap di kawasan pergunungan sebagai penjual arang, kemudian menajdi ahli sebuah organisasi rahsia bernama Demon Slaying Corps atas bimbingan Giyu Tomioka dan Sakonji Urokodaki sebagai seorang pemburu syaitan.

Dengan setidaknya dua azam yang dipasang oleh Tanjiro iaitu untuk menyembuhkan adiknya Nezuko supaya menjadi manusia semula dan membunuh Kibutsuji Muzan demi menuntut bela atas kehilangan keluarganya, beliau mengharungi perjalanan hidup yang bukan kaleng-kaleng bersama rakan komrad yang lain.

Fenomena Kimetsu no Yaiba kian memuncak apabila arka pertarungan Kamado Tanjiro melawan seekor syaitan lelabah bernama Rui ditayangkan dalam episod ke-19 pada 10 Ogos yang lalu, lantaran begitu banyak elemen kejutan dihimpunkan di dalam satu babak pendek yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya merinding, sambil terbuai dengan alunan Kamado Tanjiro Uta (Lagu Kamado Tanjiro).

Walau bagaimanapun, dari sekalian elemen pada babak berkenaan secara khusus dan elemen-elemen lain yang mendasari Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba secara umum, dalam artikel ini penulis ingin menumpukan pada perkongsian tentang Hinokami Kagura – suatu elemen kebudayaan Jepun yang wujud semenjak kepulauan negara itu dibentuk (secara mitologi) lagi.

HINOKAMI KAGURA DARI KACAMATA KIMETSU NO YAIBA

Jika dilihat dari sudut yang dipersembahkan oleh anime ini, Hinokami Kagura merupakan jurus pernafasan yang hanya diketahui oleh keluarga Kamado, sebuah keluarga yang berkhidmat untuk Dewa Api sejak dahulukala, generasi demi generasi.

Sebagai kepilan nota, para pemburu syaitan dalam Kimetsu no Yaiba masing-masing menggunakan jurus pernafasan tersendiri. Antaranya seperti Jurus Pernafasan Air, Jurus Pernafasan Petir, Jurus Pernafasan Bunyi dan banyak lagi. Jurus-jurus pernafasan inilah yang menentukan gaya tempur setiap seorang daripada mereka.

Berbalik kepada jurus pernafasan yang lahir dari Hinokami Kagura, diceritakan bahawa jurus tersebut dipelajari oleh keluarga Kamado menerusi amalan tarian yang dipersembahkan kepada Dewa Api pada setiap tahun baru sebagai satu upacara ritual.

Upacara ini diadakan bagi menghindarkan penyakit mahupun bala bencana. Dalam penceritaan di garis masa yang lebih terkemudian (rujuk manga), dirungkaikan bahawa jurus Hinokami Kagura ini sebenarnya adalah Jurus Pernafasan Matahari iaitu jurus pertama yang wujud.  Dalam garis masa siri berkenaan. Dalam erti kata lain, jurus inilah yang melahirkan jurus-jurus pernafasan yang lain.

Elemen Hinokami Kagura (Tarian Dewa Api) setakat yang telah ditampilkan oleh Kimetsu no Yaiba sehingga kini sudah memadai untuk memberikan gambaran yang agak jelas tentang tata-budaya masyarakat Jepun sejak zaman mitosnya lagi. Untuk melihat dari sudut tersebut, mari kita telusuri mitos dewa api Jepun dan juga sejarah tradisi tarian kagura.

Jurus Pernafasan Tarian Api (Hinokami Kagura)

MITOS KAGUTSUCHI-NO-KAMI – DEWA API MASYARAKAT JEPUN

Seperti mitos penciptaan kebanyakan budaya di dunia, penceritaan mitos penciptaan Shinto turut dimulakan dengan memerihalkan bahawa alam ini pada mulanya diselubungi oleh suatu kemenjadian gelap yang dikenali sebagai chaos. Kemudian, berlaku pergerakan zarah-zarah tertentu sehingga membentuk alam para dewa yang dikenali sebagai Takamagahara. Lalu, dewa pertama yang dianggap sebagai sumber kepada alam semesta pun lahir.

Dewa ini dikenali sebagai Amenominakanushi. Kelahirannya disusuli oleh dua lagi dewa yang membentuk kumpulan yang dikenali sebagai zoka sanshin (tiga dewa penciptaan), iaitu Taka-mi-musuhi dan juga Kami-musuhi.

Ketiga-tiga dewa ini kemudiannya disusuli oleh dua dewa lain iaitu Umashi-ashi-kabi-hikoji dan juga Ame-no-toko-tachi. Kelima-lima dewa awal ini dikenali sebagai Kotoamatsukami. Disebutkan bahawa mereka tidak memiliki jantina dan tidak berpasangan justeru dikenali sebagai hitorigami. Memandangkan mereka menyembunyikan diri sebaik sahaja wujud, maka penceritaan mitos mereka pun terhenti setakat itu.

Mitologi penciptaan Shinto disambung dengan lahirnya dua lagi dewa yang bernama Kuni-no-tokotachi dan Toyo-kumono. Kedua-dua dewa ini memiliki ciri yang sama seperti dewa-dewa Kotoamatsukami, iaitu ciri hitorigami (tidak berjantina dsb). Hanya selepas tujuh dewa ini, barulah dewa-dewa Shinto yang seterusnya memiliki jantina dan pasangan di mana 5 pasangan dewata pun lahir. Mereka adalah:

  • Uhijini dan adik merangkap pasangannya, Suhijini.
  • Tsunuguhi dan adik merangkap pasangannya, Ikuguhi.
  • Otonojo dan adik merangkap pasangannya, Otonobe.
  • Omodaru dan adik merangkap pasangannya, Aya-kashiko-ne.
  • dan pasangan terakhir, Izanagi dan adik merangkap pasangannya, Izanami.

Ketujuh-tujuh generasi dewa bermula dari Kuni-no-tokotachi hingga ke Izanami dikenali sebagai Kamiyonanayo (tujuh generasi dewa). Seperti yang umum maklum, Izanagi dan Izanami merupakan pasangan dewata yang bertanggungjawab mencipta kepulauan Jepun dan mencambahkan dewa-dewa Shinto yang lain. Selain pasangan dewata ini, mitos bagi empat pasangan dewata lain sama sekali kabur dan tiada penceritaan lanjut.

Mitos dan sejarah Jepun sering dimulakan dengan penceritaan tentang Izanagi dan Izanami. Dewa-dewi masyhur seperti Amaterasu, Susano-o dan Tsukiyomi no Mikoto lahir daripada pasangan dewata inilah, atau lebih tepat, daripada Izanagi sekembalinya dewa itu dari Yami-no-kuni (Alam Kegelapan atau alam kematian).

Namun sebelum itu, yakni sebelum lahirnya tiga dewata masyhur itu, sebelum Izanagi pulang dari Yomi-no-kuni, dan juga sebelum Izanami mati lalu menghuni alam tersebut, pasangan dewata itu terlebih dahulu dikurniakan seorang dewa yang dikenali sebagai Kagutsuchi-no-kami si dewa api (Hinokami). Walau bagaimanapun, kelahiran dewa api ini mengakibatkan kematian Izanami dek kepanasan api yang dimilikinya. Lantaran itu, Izanami pun dihantar ke Alam Kegelapan buat selama-lamanya.

Berang dengan keadaan itu, Izanagi bertindak membunuh Kagutsuchi lalu berangkat ke alam kegelapan demi menemukan isterinya. Namun, takdir enggan menyatukan mereka buat kali kedua. Maka, Izanagi pun pulang ke alam nyata dengan penuh duka. Air mata yang menitis dari dewa itu melahirkan tiga dewata masyhur – Amaterasu si dewi matahari lahir dari mata kirinya; Tsukiyo no Mikoto si dewa bulan terbentuk dari mata kanannya; manakala Susano-o pula wujud dari hidung Izanagi.

Sementara itu, darah yang menitis dari pedang yang digunakan untuk membunuh Kagutsuchi pula melahirkan 8 dewa. Kebanyakannya adalah dewa pemahir pedang. Antara yang paling menonjol dalam kalangan mereka adalah Takemikazuchi si dewa pelindung seni bela diri; Futsunushi si dewa pedang; Kuraokami si dewa naga dan hujan; dan juga Amatsumikaboshi si dewa Bintang Zuhrah. Ini baru dewata yang lahir dari titisan darah Kagutsuchi.

Terdapat juga sebilangan dewa yang lahir dari jasadnya. Misalnya dari kaki kiri hingga ke celah kangkangnya, disebutkan lahir 8 dewa gunung yang mewakili bermacam-macam jenis gunung termasuklah gunung berapi dan gunung yang mengandungi hasil bumi berupa besi.

Ilustrasi Kagutsuchi dari mythology.wikia (kiri) dan koei (kanan)

Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa kisah berkenaan kejadian-kejadian yang terbentuk dari Kagutsuchi ini adalah penerangan-berbentuk-mitos bagi menjelaskan bagaimana besi dan beberapa logam lain boleh tiba di Jepun pada Zaman Yayoi (sekitar 300SM atau mungkin lebih awal, 1000-800SM), zaman yang membentuk salah satu kebudayaan tertua Jepun.

Mitos penciptaan ini adalah sebagaimana yang terkandung di dalam dua buah manuskrip abad ke-8M iaitu Kojiki (712M) dan Nihonshoki (720M). Menurut versi yang dihadirkan di dalam Engishiki (abad ke-19M) pula terdapat sedikit penambahan cerita.

Di dalam manuskrip tersebut, dicatatkan bahawa Izanami melahirkan tiga kejadian iaitu Mizuhame-no-Mikoto si dewa air, puteri tanah liat dan juga rumpai laut. Mereka ini diarahkan oleh Izanami untuk mendampingi dan menjaga Kagutsuchi. Jika keadaan memerlukan, mereka malah diminta untuk menenangkan Hinokami (Dewa Api) itu.

KAITAN ANTARA MITOS KAGUTSUCHI DENGAN HINOKAMI (KIMETSU NO YAIBA)

Menerusi mitos penciptaan yang telah diceritakan di atas, sedikit-sebanyak dapat memberikan gambaran kepada kita tentang beberapa perkaitan antara ciri Kagutsuchi dari sudut mitos Shinto dan ciri Hinokami Kagura dari sudut Kimetsu no Yaiba. Misalnya, Hinokami Kagura yang menjadi tradisi keluarga Kamado diungkapkan sebagai Jurus Pernafasan Matahari sementara dalam mitos Shinto, hinokami (dewa api) yang bernama Kagutsuchi merupakan adik-beradik kepada dewi matahari Jepun, iaitu Amaterasu.

Kenyataan bahawa jurus-jurus pernafasan lain yang lahir dari Jurus Pernafasan Matahari juga kelihatan mirip dengan hakikat bahawa dewata-dewata Shinto yang lain kesemuanya terbentuk setelah kematian Izanami – satu peristiwa yang memiliki kaitan langsung dengan Kagutsuchi.

Malah, dijelaskan bahawa Hinokami Kagura yang dipersembahkan oleh keluarga Kamado adalah untuk menghalau bala bencana dan penyakit. Dalam mitos dan sejarah Jepun, api dan kebakaran sememangnya menjadi satu mimpi ngeri sejak zaman-berzaman. Dari sudut mitos, kematian Izanami adalah berpunca dari melahirkan dewata api. Dari sudut sejarah pula, terdapat sejumlah peristiwa kebakaran besar yang membumihanguskan kota-kota hebat Jepun.

Misalnya di Zaman Edo (1603-1868M), berlaku sebuah kebakaran dahsyat selama tiga hari yang meragut lebih 100 000 nyawa. Dianggarkan kira-kira 60-70% kawasan ibu kota Edo habis musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pada tahun 1657 itu. Kisah kebakaran yang berpunca dari sepasang kimono puaka (berhantu) ini ada diceritakan secara terperinci di dalam Ancient Tales and Folklores of Japan karangan Richard Gordon Smith.

Lantaran itu, tidak hairanlah sekiranya sejak dahulukala lagi masyarakat Jepun mengadakan suatu upacara khusus buat Kagutsuchi si dewa api (hinokami). Upacara inilah yang dipamerkan oleh Kimetsu no Yaiba menerusi tarian tradisi keluarga Kamado. Oleh kerana tarian tersebut dipersembahkan kepada dewa api, maka ia dikenali dalam siri tersebut sebagai Hinokami Kagura (Tarian Dewa Api).

Apabila upacara ritual sebegitu diadakan oleh masyarakat Jepun, Kagutsuchi mula dirujuk sebagai Homusubi. Dalam beberapa keadaan lain, Kagutsuchi juga kadangkala disamakan dengan Atago Gongen, iaitu satu lagi kami api dan dianggap sebagai avatar bagi Jizo, iaitu satu figura tersohor dalam kepercayaan Buddha. Atago Gongen dikatakan berperanan sebagai pelindung api.

KAGURA – TARIAN KEBUDAYAAN JEPUN SEJAK ZAMAN MITOS

Istilah kagura boleh diterjemahkan sebagai ‘menghiburkan para dewa’. Persembahan kagura terdiri dari dua kumpulan iaitu maikata dan hayashikata. Maikata adalah individu yang menari sambil mengenakan kostum dan topeng muka sementara hayashikata pula adalah pemain alatan muzik tradisional seperti odaiko (gendang besari), kodaiko (gendang kecil), chochigane (sejenis simbal), dan yokobue (sejenis seruling).

Sekali lagi, manuskrip Kojiki turut memerihalkan sejarah kagura dari sudut mitologi Shinto. Menurutnya, kagura pertama kali dipersembahkan oleh para dewa khusus untuk Amaterasu ketika dewi matahari itu bersembunyi di dalam sebuah gua. Dikisahkan bahawa Amaterasu bersembunyi di dalam sebuah gua dan menutup mulut gua dengan sebongkah batu besar kerana beliau khuatir dengan sikap abangnya, Susano-o. Tindakannya yang bersembunyi itu mengakibatkan dunia diselubungi kegelapan sekaligus menimpakan kesengsaraan ke atas para dewa dan manusia.

Gambaran kagura pertama yang dipersembahkan di hadapan Amaterasu

Makanya, para dewa pun memasang helah untuk memancing Amaterasu supaya keluar dari gua. Sebelum memulakan rancangan, mereka terlebih dahulu menyiapkan sebuah cermin. Lantas, sebuah perkumpulan besar berhimpun di hadapan mulut gua tempat Amaterasu menyembunyikan diri.

Dalam kesempatan itu, Dewi Ame-no-Uzume mempersembahkan sebuah tarian (kagura). Seperti yang dirancang, busana yang dikenakan oleh dewi itu sengaja dirosakkan sehingga mengakibatkan buah dada beliau terdedah semasa membuat tarian. Lantas, suasana di hadapan pintu gua itu pun serta-merta digamit dengan dekahan ketawa para dewa.

Mendengar keriuhan itu, Amaterasu pun menolak bongkah batu yang menutup mulut gua lalu melontarkan persoalan kepada mereka, “Mengapa kalian semua ketawa besar sebegitu? Aku sangka kalian semua akan hidup dalam kesengsaraan (kerana dunia diselubungi kegelapan).” Persoalan itu dijawab, “Kami telah menemukan dewi yang lebih hebat berbanding kamu.”

Digamit rasa ingin tahu, Amaterasu lantas melangkah keluar dari gua persembunyiannya. Maka, terus sahaja para dewa itu menyuakan cermin yang telah disiapkan sebelum ini ke hadapan muka dewi matahari itu.

Tatkala melihat sosok tubuhnya yang jelita di dalam cermin, Amaterasu pun bersenang hati sehingga sanggup untuk menyandang semula tugas sebagai dewi matahari dan sekali lagi menerangi dunia dengan sinarannya. Kisah yang memperlihatkan persembahan tarian oleh Dewi Ame-no-Uzume bagi menghiburkan Amaterasu ini dianggap sebagai sejarah-mitos bagi tradisi kagura.

SEJARAH KAGURA MENURUT CATATAN RASMI

Selain sejarah berupa mitos, tradisi ini juga memiliki sejarah realiti yang tersendiri. Direkodkan bahawa tarian kagura dengan bentuk yang lebih formal (berbanding kini) bermula pada sekitar abad ke-8M dan diamalkan dalam kalangan penghuni istana. Terdapat sejarahwan yang berpendapat bahawa kagura berfungsi sebagai suatu bentuk pendidikan yang bertujuan untuk memelihara tradisi Shinto dari pupus memandangkan pada masa itu, Jepun mula menyerap ajaran Buddha dari Cina secara meluas.

Bermula dari lingkungan istana, amalan ini tersebar luas ke kelompok masyarakat petani di kampung-kampung terpencil. Gaya formal kagura yang diamalkan oleh golongan istana diubahsuai serba-sedikit sehingga kagura menjadi upacara tarian bagi meraikan hasil tuaian.

Walau bagaimanapun, mereka masih mengekalkan salah satu elemen tradisi kagura iaitu penari-penarinya adalah kaum wanita. Di istana, kagura dipersembahkan oleh dayang-dayang yang berkhidmat di kuil-kuil Shinto. Begitu juga tarian kagura di kampung yang melibatkan gadis-gadis. Namun menjelang Zaman Edo, kaum wanita dilarang untuk menarikan kagura sekaligus ia hanya dipersembahkan oleh kaum lelaki sahaja.

Gambar menunjukkan persembahan tarian kagura melibatkan maikata dan hayashikata

Memandangkan tradisi kagura tersebar ke serata tempat meliputi daerah dan kampung yang pelbagai, dan di setiap tempat pula penduduknya melakukan pengubahsuaian terhadap bentuk tarian kagura, maka lahir variasi gaya kagura mengikut tempat masing-masing. Misalnya, Kyushu dan Wilayah Shimane menempatkan tarian kagura yang dianggap memiliki gaya yang paling terperinci, sesuai dengan status kawasan tersebut yang mempunyai hubungan dekat dengan mitos dewa-dewa purba.

Di Kyushu, Takachiho di Wilayah Miyazaki dan Shonai di Wilayah Oita adalah antara kawasan  yang paling masyhur dengan tarian kagura. Hal ini agak munasabah memandangkan Takachiho terletak tidak jauh dari gua yang dipercayai tempat bersembunyinya Amaterasu sekaligus tempat berlangsungnya tarian kagura buat kali pertama yang dipesembahkan oleh Dewi Ame-no-Uzume. Shonai pula terkenal dengan gaya tarian kagura yang dikenali sebagai Iwami Kagura. Iwami merujuk kepada nama lama bagi kawasan yang membentuk wilayah timur Shimane. Iwami Kagura menonjol kerana memiliki ciri pencahayaan, warna, bunyi dan pergerakan yang lebih terampil berbanding kagura-kagura lain.

KAGURA WARISAN PENTING JEPUN

“Tanjiro, kalau tiada aral, pastikan kagura dan anting-anting ini diperturunkan kepada kamu,” janji Kamado Tanjuro kepada anaknya. Dalam Kimetsu no Yaiba, Jurus Pernafasan Hinokami Kagura sememangnya menjadi tradisi yang tidak pernah gagal untuk diwariskan kepada generasi mendatang dalam keluarga Kamado. Andai terhenti kitaran pewarisan itu, maka lenyaplah pengguna jurus pernafasan terulung tersebut.

Tarian kagura yang menceritakan tentang babak Susano-o bertarung melawan Yamato-no-Orochi

Dalam dunia realiti, kagura juga merupakan satu warisan yang sangat penting bagi masyarakat Jepun. Ketika Jepun menyerap ajaran Buddha secara intensif, kagura tampil sebagai pemelihara warisan Shinto yang sejak dahulukala lagi menjadi teras pegangan masyarakat Jepun. Kemudian menghampiri zaman moden, di mana Jepun menerima pengaruh Barat secara meluas, perhatian terhadap kagura sekali lagi dititikberatkan.

Pentadbiran Meiji sangat menekankan warisan budaya Jepun walaupun pada masa sama, negara itu mengalami perkembangan pada tahap kemuncak. Antara naratif lazim yang sering dipersembahkan dalam sesebuah tarian kagura adalah penceritaan tentang pertarungan antara Susano-o dan Yamato-no-Orochi.

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, kagura berasal dari istana dan tersebar luas ke serata daerah sehingga membentuk variasi gaya tarian. Lantaran khuatir bentuk asal kagura hilang, Meiji mengarahkan agar tarian kagura diselaraskan di seluruh Jepun. Buat beberapa tempoh, kagura yang berteraskan kedaerahan mula lenyap diganti dengan kagura yang lebih mencirikan Jepun secara bersepadu.

Hanya pada pengakhiran kependudukan pengaruh Barat di Jepun, barulah kagura yang berteraskan kedaerahan kembali hidup semula. Keadaan ini boleh dilihat sehingga ke hari ini terutama apabila mengunjungi kuil-kuil tertentu. Pun begitu, walaupun kagura merupakan satu tradisi yang menarik untuk disaksikan oleh para pelancong, ia tidaklah dipersembahkan sebagai tarikan pelancong. Kefungsiannya untuk menghiburkan para dewa, mensyukuri nikmat tuaian dan hasil tangkapan serta memohon agar dihindarkan dari bala bencana masih lagi sama semenjak ia mula diamalkan.

KESIMPULAN

Baik dalam dunia realiti mahupun dunia fantasi, hinokami kagura merupakan sebuah tradisi zaman-berzaman yang secara langsung memelihara khazanah budaya masyarakat Jepun. Di sebalik Jurus Pernafasan Hinokami Kagura yang dimasyhurkan oleh Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba ini, terkandung permata-permata berharga yang menjadi asas jatidiri bangsa Jepun. Lebih-lebih lagi, jatidiri yang cuba diterampilkan dalam siri ini adalah melibatkan satu dewa Shinto yang jarang sekali disebutkan namanya – iaitu Kagutsuchi-no-kami.

Dewa yang amat digeruni, namun didampingi oleh tiga beradik yang diutus oleh Izanami, si ibu yang terkorban saat melahirkannya – iaitu Mizuhame-no-Mikoto si dewata air, puteri tanah liat dan juga rumpai laut. Keadaannya saling tidak tumpah seperti Kamado Tanjiro yang di belakangnya terdapat Giyu Tomioka dan Sakonji Urokodaki si pemahir Jurus Pernafasan Air, di samping hubungan kekeluargaan yang akrab khususnya Nezuko yang memiliki elemen ‘Alam Kegelapan’, persis Izanami yang menghantar bantuan untuk anaknya Kagutsuchi dari Yami-no-kuni.

Selain elemen yang mendasari keepikan episod 19 Kimetsu no Yaiba sebagaimana yang telah dikongsikan di dalam artikel ini, siri ini secara keseluruhan turut dibina dengan teras dan latar belakang yang cukup kaya dengan mitos, legenda dan sejarah Jepun lainnya.

Misalnya, elemen Onmyoji yang mendasari organisasi Demon Slaying Corps, pengambilan latar zaman Taisho (1912-1926), serta legenda-legenda seputar yokai (hantu) yang membentuk ciri syaitan-syaitan di dalam siri ini. Bahkan, wajah feminin yang dimiliki oleh Inosuke Hashibara si pemakai topeng khinzir kelabu itu juga mempunyai asas dalam mitologi Jepun.

Justeru tidak hairanlah jika siri ini diperkirakan sebagai antara siri terbaik bagi tahun ini. Semoga perkongsian kali ini dapat menambahkan lagi pengetahuan tentang kebudayaan masyarakat Jepun di samping menambahkan lagi penghayatan semasa menonton siri animasi berkenaan.

RUJUKAN

Andrew Deck. (21 April 2019). Ichikawa Kagura: Saving the dances of the gods. Japan Times.
https://www.japantimes.co.jp/culture/2019/04/21/arts/ichikawa-kagura-saving-dances-gods/#.XXtleigzbIV

Basil Hall Chamberlain. (1882). The Kojiki [trans].  Global Grey Ebooks.
https://www.globalgreyebooks.com/kojiki-ebook.html

Johannes Schonherr. (n.d.). Kagura: Dances Sacred and Profane. Japan Visitor.
https://www.japanvisitor.com/japanese-culture/kagura

Mark Cartwright. (27 Jun 2017). Kagutsuchi. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Kagutsuchi/

N.S. Gill. (7 Jun 2018). Japanese Gods and Goddesses. Learn Religions.
https://www.learnreligions.com/japanese-gods-and-goddesses-117170

Web Japan. (n.d.). What Is Kagura?
https://web-japan.org/kidsweb/meet/kagura/kagura01.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.