Moving Forward As One

Dewa-Dewi Bulan Dalam Enam Tamadun Di Dunia

610

Sistem suria kita mempunyai lebih 150 buah bulan, dengan planet Zuhal memiliki paling banyak iaitu 82 buah, disusuli oleh Musytari (79 buah), Uranus (27 buah), dan Neptune (14 buah). Pluto, planet kerdil yang saiznya lebih kecil berbanding bulan bumi bahkan memiliki sebanyak 5 buah bulan.

Bercerita tentang bulan bumi, ia terbentuk sekitar 4.53 bilion tahun yang lalu hasil daripada perlanggaran antara bumi dan sebuah objek samawi yang dinamakan sebagai Thea. Saiz Thea adalah lebih kurang seperti Marikh, iaitu kira-kira 53% dari saiz bumi.

Perlanggaran tersebut mengakibatkan Thea h.ancu.r – sebahagian serpihannya bergabung dengan jasad bumi manakala sebahagian yang lain berputar mengelilingi bumi lalu lama-kelamaan bergumpal menjadi bulan.

Kehadiran bulan sebagai satelit semula jadi bumi memberikan sejuta manfaat buat penghuninya – ia menerangi bumi pada waktu malam, melindunginya dari hentaman asteroid, menyebabkan berlakunya pasang surut laut, dan menstabilkan kecondongan paksi bumi.

Bagaimana pun, pengetahuan tentang fungsi bulan ini hanya dicapai setelah ilmu astronomi mengalami perkembangan pada tiga milenium mutakhir.

Sebelum itu, khususnya sewaktu kepercayaan pagan masih berleluasa, manusia lebih cenderung menggunakan mitos bagi menjelaskan fenomena-fenomena alam, termasuklah fenomena berkaitan bulan. Justeru, hampir setiap tamadun memuja dewa-dewi bulan yang tersendiri dan artikel kali ini cuba berkongsi enam daripadanya.

TSUKUYOMI – JEPUN

Dalam kepercayaan Shinto, Tsukuyomi merupakan salah satu dari tiga dewa utama Jepun bersama Amaterasu (penguasa langit) dan Susano’o (penguasa lautan).

Ketiga-tiga beradik itu lahir saat Izanagi menyucikan diri sekembalinya dari yomi (alam kem.at.ian) – Amaterasu lahir dari mata kiri, Tsukuyomi dari mata kanan, dan Susano’o dari hidung.

Menurut legenda, Izanagi turun ke yomi demi mendapatkan semula isterinya, Izanami yang ma.ti setelah melahirkan Kagutsuchi si dewa api. Namun, usahanya itu gagal dan Izanagi perlu menjalani ritual penyucian yang melahirkan ramai dewa-dewi Shinto.

Amaterasu kemudian ditunjuk sebagai penguasa kesemua dewa-dewi tersebut. Dia memerintah bersama Tsukuyomi yang turut menjadi suaminya.

Walaupun namanya sering dibayangi, Tsukuyomi mempunyai satu mitos yang cukup masyhur iaitu mitos perpisahannya dengan Amaterasu.

Alkisah pada suatu hari, Uke Mochi si dewi makanan menjemput kesemua kami ke jamuan yang diadakan di istananya. Kebetulan, Amaterasu tidak dapat memenuhi undangan tersebut. Maka, dia pun mengutus Tsukuyomi sebagai wakil.

Saat tiba di sana, Tsukuyomi melihat Uke Mochi sedang menyediakan makanan. Menurut Tsukuyomi, caranya cukup meloyakan. Daging rusa, ikan, dan nasi – kesemuanya disediakan dari ludahan dan anggota badan Uke Mochi.

Tsukuyomi dikenali dengan sifatnya yang berpegang pada nilai etika. Dek kerana itu, dia enggan memejam mata. Lantas di situ juga Uke Mochi dih.uku.m. Cuma, hukumannya terlampau keras dan bahkan melanggar nilai etika itu sendiri. Uke Mochi dib.unu.h.

Peristiwa tersebut membangkitkan amarah Amaterasu. Dia mencemuh Tsukuyomi dan menyatakan bahawa adik merangkap suaminya itu tidak lagi layak memerintah Takamagahara bersamanya.

Semenjak itu, dewi matahari dan dewa bulan pun berpisah buat selamanya. Setiap kali Tsukuyomi cuba mendekat, Amaterasu akan lari jauh sekali gus menjelaskan (secara mitos) kejadian siang dan malam.

CHANG’E – CHINA

Legenda Chang’e berlangsung pada zaman Dinasti Xia. Ketika itu, matahari mempunyai sepuluh matahari. Keadaan tersebut membuatkan cuaca terlalu panas sehingga menj.eja.skan hidupan di muka bumi.

Untuk menanganinya, seorang pahlawan bernama Hou Yi melepaskan anak panah lalu menj.atu.hkan kesembilan-sembilan matahari yang ada – menyisakan cuma satu. Sebagai ganjaran kerana menyelamatkan hidupan di bumi, dewi Xiwangmu menghadiahkan ginseng panjag hayat buat Hou Yi.

Namun kerana ginseng tersebut cuma dapat digunakan oleh seorang, maka Hou Yi sekadar menyimpannya di bawah katil. Bagi beliau, lebih baik memilih hidup yang singkat bersama isterinya, Chang’e, berbanding hidup abadi bersendirian. Maka, ginseng tadi pun dibiar tanpa disentuh.

Apapun disebabkan jasanya itu, ramai yang datang berguru dengannya. Salah seorang dari mereka bernama Pang Meng.

Suatu hari, Hou Yi merancang untuk keluar berb.ur.u bersama murid-muridnya. Namun kerana Pang Meng mempunyai agenda lain, maka dia berpura-pura jatuh s.aki.t sebagai alasan untuk tidak ikut serta. Niatnya cuma satu; mahu dapatkan ginseng milik Hou Yi.

Maka sejurus selepas Hou Yi berangkat pergi, Pang Meng pun datang ke rumahnya dan mem.ak.sa Chang’e yang sedang sendirian untuk menyerahkan ginseng pemberian Xiwangmu. Chang’e enggan menyerahkannya, lantas ginseng itu pun ditelan.

Tanpa semena-mena, tubuhnya terangkat – terbang hingga ke bulan Sekembalinya dari berburu, Hou Yi mendapati isterinya sudah tiada buat selamanya.

Justeru bagi melepaskan rindu, setiap malam sehingga hari kema.tiannya, Hou Yi akan meninggalkan manisan kegemaran Chang’e di suatu ruangan khusus. Tradisi tersebut kemudian berkembang menjadi Perayaan Kuih Bulan yang disambut pada setiap tahun.

SOL DAN MANI – NORSE

Bergantung pada versi, latar belakang Sol dan Mani sedikit berbeza iaitu sama ada mereka lahir sebagai dewa ataupun manusia. Namun selain daripada itu, semuanya sama.

Mereka berdua ialah anak kepada Mundilfari. Cuma dek kerana sikap Mundilfari yang kertelaluan berbangga dengan ketampanan anaknya, Sol dan Mani diambil oleh Odin. Mereka diletakkan di langit dan ditugaskan sebagai pembawa pedati yang menolak bulan dan matahari; siang malam tanpa henti.

Namun, mitologi Norse berkaitan kejadian siang dan malam tidak sekadar terhenti di situ. Mereka juga mengaitkannya dengan kejadian k.iama.t atau Ragnarok.

Menurut legenda, setiap hari Sol (penuntun matahari) dan Mani (penuntun bulan) akan dikejar oleh dua ekor serigala bernama Hati dan Skol. Dalam erti kata lain, bagi masyarakat Norse, pergerakan matahari dan bulan di langit adalah kerana melarikan diri dari Hati dan Skol.

Kedua-dua serigala tersebut merupakan anak kepada Fenrir, serigala gergasi yang akan memb.aha.m Odin dan dewa-dewa Asgard pada akhir zaman nanti. Kononnya sewaktu berlakunya Ragnarok, Skol dan Hati berjaya menghambat Sol dan Mani sekali gus membuatkan seluruh dunia dilanda kegelapan total.

Bagaimana pun, masyarakat Norse percaya pada idea kitaran dunia. Setelah dunia hari ini m.usna.h akibat Ragnarok, dunia baru akan muncul bersama generasi dewa-dewi selanjutnya.

COYOLXAUQUI – AZTEC

Nama Coyolxauqui (sebutan: koy-ol-shauw-kee) membawa maksud ‘dia yang dilukis bersama loceng’. Mitos berkaitan Coyolxauqui berkisar tentang pert.eling.kahannya dengan Huitzilopochtli si penaung kota Tenochtitlan, sebagaimana yang diabadikan dalam relif tahun 1473 (era pemerintahan Axayacatl) yang terletak di kaki piramid Templo Mayo.

Pert.eling.kahan mereka bermula apabila Coyolxauqui mengumpulkan 400 orang adik-beradiknya untuk mem.era.ngi ibu mereka, Coatlicue si dewi bumi. Puncanya adalah kerana Coatlicue hamil dengan cara yang mencurigakan;

Ketika sedang membersihkan kuilnya di Gunung Coatepec, ada helaian bulu yang gugur dari langit. Bulu itu diambil oeh Coatlicue lalu diselitkan di pinggangnya. Tanpa semena-mena, tindakan tersebut membuatkannya hamil – anak dalam kandungan tersebut ialah Huitzilopochtli.

Rancangan Coyolxauqui bagaimana pun terbongkar apabila salah seorang daripada mereka membocorkan rahsia kepada Coatlicue. Rahsia itu turut didengari oleh Huitzilopochtli yang masih berada dalam rahim.

Lantas, dia pun meluncur keluar dalam keadaan sempurna dan lengkap bers.enja.ta, persis seperti kelahiran Athena yang keluar dari kepala Zeus.

Dengan menggunakan senjata bernama xiuhcoatl (sinaran matahari), Huitzilopochtli pun mem.engg.al kepala Coyolxauqui dan melemparkannya ke langit lalu ia pun menjadi bulan.

MAWU – AFRIKA BARAT

Bagi suku-suku asli di Afrika Barat, Mawu dipuja sebagai dewi pencipta dunia dan manusia. Ia juga dianggap sebagai dewi bulan, dewi malam, dewi kebahagiaan, dewi keibuan, dan dewi pengetahuan.

Dia dipuja bersama dua dewa utama lain, iaitu Liza si dewa matahari dan Nana Buluku si dewa pencipta alam semesta. Masing-masing merupakan suami dan bapa kepada Mawu.

Menurut legenda, seusai Mawu mencipta bumi dan seluruh hidupan di atasnya, dia berasa khuatir kalau-kalau isi bumi terlalu berat. Maka, dia pun memerintahkan Aido Hwedo si ular azali supaya melingkarkan tubuhnya di bawah bumi sekali gus menampungnya di ruang angkasa.

Kemudian setelah semuanya berkeadaan rapi, Mawu pun kembali ke singgahsananya untuk hidup dengan aman harmoni.

Cuma, masa-masa sebegitu tidak tahan lama. Manusia mula berg.adu.h sesama sendiri. Mereka juga lupa tentang Mawu, dewa yang menciptakan dan membekalkan keperluan mereka.

Oleh kerana itu, Mawu memerintahkan seekor monyet bernama Awe untuk turun ke bumi dan mengingatkan manusia tentang pemberiannya.

Namun, Awe naik kepala. Dia dengan bongkak mendabik diri sebagai sama tinggi dengan Mawu. Katanya, dia juga boleh mencipta dan memberikan nyawa kepada manusia. Demi membuktikan dakwaan tersebut, Awe pun menebang sebatang pokok lalu mengukirnya sehingga bentuknya menjadi seperti manusia.

Manusia termakan dengan helahnya lalu Awe pun dipuja.

Mawu bagaimana pun enggan membiarkan hal tersebut berlalu. Saat Awe naik ke langit, Mawu mencabarnya supaya meniupkan roh ke dalam patung tadi. Awe cuba berkali-kali namun tanpa hasil. Dia pun mengakui kesilapannya dan berjanji yang dia akan kembali ke bumi untuk membetulkan semula dakwaannya.

Namun, Mawu tahu benar yang semuanya itu cuma omong kosong. Awe tetap akan berlaku sewenangnya. Maka, Mawu pun menyediakan semangkuk bubur. Kononnya, sebagai alas perut sebelum Awe turun ke bumi. Dalam bubur tersebut, Mawu bubuh biji kem.at.ian yang jika dimakan, akan menyebabkan Awe kelu untuk menipu. Dengan itu, manusia kembali diingatkan tentang kewujudan dan pemberian Mawu kepada mereka.

NANNA – MESOPOTAMIA

Nama Nanna muncul buat pertama kali pada tahun 3,500 SM, iaitu sekitar tempoh tulisan kuneiform mula diperkenalkan.

Teks-teks purba sering menyifatkannya sebagai dewa bulan, dewa pemberi rezeki, dan dewa penyatuan. Antara teks yang menyebut tentangnya ialah Epik Gilgamesh, Pengembaraan Nanna ke Nippur, Inanna Mencemar Duli, dan Ternakan-Ternakan Nanna.

Dalam panteon Mesopotamia, Nanna dilihat sebagai putera kepada Enlil dan Ninlil. Bersama isterinya, Ningal si dewi kesuburan, Nanna mempunyai anak bernama Utu-Shamash si dewa matahari. Sebahagian teks malah menamakan Inanna/Ishtar (dewi cinta), Ereshkigal (dewi alam kematian), dan Ishkur (dewa ribut) sebagai adik-beradiknya.

Bagi sebilangan sejarawan, kedudukan Nanna (dewa bulan) sebagai bapa kepada Utu-Shamash (dewa matahari) dilihat unik. Ia seakan menggambarkan betapa bulan lebih penting bagi masyarakat Mesopotamia berbanding matahari.

Pemujaan Nanna menebar luas semasa era pemerintahan Sargon (2334-2279 SM), raja yang membina empayar pertama di dunia, iaitu Empayar Akkad. Ia bahkan mempunyai dua buah kuil utama di Harran dan Ur.

Signifikasi Nanna sebagai salah satu dewa utama Mesopotamia jelas terbukti apabila raja teragung Empayar Akkad, iaitu Naram-Sin (2261-2224 SM) mengambil gelaran bersempena dengannya (Sin adalah nama lain bagi Nanna).

Nanna turut dikenali dengan beberapa nama seperti Asimbabbar/Ashgirbabbar (yang memperindah), Namrasit (yang menyinari), dan Inbu (bebuahan).

Pemujaan Nanna berterusan hingga ke zaman Babylon (1830-1531 SM) dan Neo-Assyria (746-609 SM). Ia bahkan menjangkau sehingga kurun ke-3 Masehi, iaitu saat rantau Syria berada di bawah naungan Empayar Rom.

RUJUKAN

Cartwright, Mark. (11 February 2016). Coyolxauhqui. World History Encyclopedia.

Greenberg, Mike. (21 December 2020). Who was Tsukuyomi in Japanese Mythology? Mythology Source.

Greenberg, Mike. (30 November 2020). Who were Sol and Mani in Norse Mythology? Mythology Source.

Hamilton, Mae. Chang’e. Mythopedia.

Jiang, Fercility. (18 March 2021). Chinese Mid-Autumn Festival Stories. China Highlights.

Journeying to the Goddess. (26 April 2012). Goddess Mawu.

Mark, Joshua J. (8 February 2017). Nanna. World History Encyclopedia.

Ruangan komen telah ditutup.