Demokrasi Terpimpin: Niat Baik Yang Tersasar

1113
views

Bagi yang menonton filem 3 Abdul arahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pasti pernah mendengar istilah ‘Demokrasi Terpimpin’. Istilah ‘Demokrasi Terpimpin’ pertama kali digunakan oleh Presiden Indonesia pertama Soekarno. Ironinya, menurut Amir Muhammad dalam buku 120 Malay Movies, penggunaan isitilah ‘Demokrasi Terpimpin’ dalam filem 3 Abdul merupakan sindiran  kepada mantan presiden Indonesia tersebut. Apa sebenarnya Demokrasi Terpimpin ini? Mengapa Soekarno perkenalkan Demokrasi Terpimpin? Apa kesan Demokrasi Terpimpin di Indonesia? Semuanya akan dirungkai dalam artikel ini.

Definisi Demokrasi Terpimpin

Demokrasi Terpimpin secara kasar dan praktikalnya boleh difahami dengan sistem demokrasi dengan pemusatan kuasa terletak pada pemimpin tertinggi Indonesia dan harus difahami bahawa kuasa presiden juga tidak terhad kepada eksekutif sahaja tetapi termasuk legislatif dan kehakiman. Dalam erti kata lain, presiden seolah-olah mempunyai kuasa mutlak.

Dalam definisi yang formal dan bertulis, Demokrasi Terpimpin telah tertulis dalam dokumen Majlis Permusyawaratan Rakyat Sementara (MPRS) No. VII/MPRS/1965 yang berbunyi “Demokrasi Terpimpin adalah kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan dama permusyawaratan/perwakilan yang berintikan musyawarah untuk mufakat secara gotong-royong diantarasemua kekuatan nasional yang progresif revolusioner dengan beporoskan Nasakom”. Tiada perkataan yang pelik kecuali Nasakom. Nasakom merupakan akronim yang tertidiri daripada 3 perkataan iaitu Nasionalisme, Agama, dan Komunisme. Hal ini demikian kerana Soekarno mempercayai bahawa 3 paksi tersebut merupakan paksi utama dalam politik Indonesia.

Tidak hairanlah Soekarno disindir oleh P. Ramlee dalam filemnya kerana sistem Demokrasi Terpimpin dari segi praktikal dan teorinya merupakan demokrasi yang cacat. Walaupun begitu, ada beberapa sebab mengapa Soekarno memperkenalkan sistem Demokrasi Terpimpin.

Disebalik Demokrasi Terpimpin

Sebelum tahun 1959, Indonesia juga seperti Malaysia mempunyai sistem Demokrasi Berparlimen  dan mempunyai jawatan Perdana Menteri yang memimpin kabinet. Namun begitu, Soekarno berpendapat bahawa sistem Demokrasi sedemikian tidak menjamin kestabilan politik dan membantutkan pembangunan negara. Hal ini boleh dilihat melalui munculnya banyak pemberontakan dalam negara dan sering berlakunya pertukaran kabinet menyebabkan Soekarno termotivasi untuk memusatkan kuasa pemerintahan kepada beliau sebagai

Indonesia Dibawah Demokrasi Terpimpin

Kita faham bahawa alasan Soekarno membawa sistem Demokrasi Terpimpin kerana ingin mengembalikan kestabilan politik di Indonesia. Niat Soekarno merupakan niat yang murni dan harus dipuji. Oleh sebab kuasa presiden yang sangat dominan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan terhadap prinsip Pancasila dan Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 1945) oleh Soekarno. Niat Soekarno yang ingin mengembalikan kestabilan politik rupa-rupanya memburukkan lagi keadaan. Namun begitu,  sistem yang dibawa oleh Soekarno telah membawa beberapa kesan negatif.

Antaranya ialah campur tangan dalam cabang kehakiman. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, sistem kehakiman merupakan badan yang bebas dan tiada kaitan dengan politik. Hal ini bagi menjamin keadilan dalam keputusan yang dibuat. Namun begitu, dalam sistem Demokrasi Terpimpin, Soekarno telah menodai kebebasan sistem kehakiman. Dalam Undang-Undang Republik Indonesia  No. 19 Tahun 1964 menyatakan bahawa presiden berhak mencampuri urusan kehakiman demi kepentingan revolusi. Perkara ini sangat bertentangan dengan undang-undang yang ditulis sebelumnya dalam UUD 1945. Oleh sebab presiden mempunyai kuasa mencapuri urusan kehakiman maka ramailah musuh-musuh politik yang dihukum.

Bukan setakat kuasa kehakiman disalahgunakan, kuasa eksekutif yang terlalu memusat kepada presiden menyebabkan hak rakyat dalam politik dikekang. Sebelum zaman Demokrasi Terpimpin iaitu sebelum 1959,  keputusan-keputusan kerajaan akan dibincangkan dalam parlimen atau istilah digunakan di Indonesia Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Namun begitu, sejak Demokrasi Terpimpin diperkenalkan, presiden membuat keputusan tanpa melalui DPR.

Demokrasi Terpimpin di Indonesia juga telah mengakibatkan pengaruh komunis berleluasa. Hal ini jelas denga diiktirafnya fahaman komunis oleh Soekarno sendiri dalam dokumen MPRS yang dijelaskan sebelum ini bahawa demokrasi terpimpin yang berpaksikan Nasakom (Nasionalisme, Agama, dan Komunisme). Bukan itu sahaja, pembentukan Front Nasional turut dimanfaatkan oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) untuk membentuk negara Komunis di Asia Tenggara.

Berakhirnya Demokrasi Terpimpin

Matlamat Soekarno untuk menstabilkan politik Indonesia melalui sistem Demokrasi Terpimpin tidak kesampaian. Huru-hara kesan daripada Demokrasi Terpimpin bermula dengan adanya huru-hara yang dicetuskan oleh Gerakan 30 September (Gestapu) yang melibatkan PKI dan Angkatan Tentera Indonesia. Soekarno dianggap telah gagal untuk menyeimbangkan pengaruh tentera dan komunis ketika itu sehingga berlakunya pemberontakan.

Akhirnya, sistem Demokrasi Terpimpin di Indonesia  jatuh secara rasminya melalui Surat Perintah 11 Mac 1966 atau lebih dikenali sebagai Supersemar. Isi kandungan Supersemar antaranya ialah memberi kuasa kepada Jeneral Soeharto untuk melakukan apa jua tindakan untuk mengembalikan semula keamanan. Akhirnya kepimpinan Soekarno berakhir dengan naiknya Jeneral Soeharto sebagai Indonesia dan bermulalah zaman Orde Baru.

Pengajaran Untuk Rakyat

Demokrasi Terpimpin merupakan istilah indah yang dicipta oleh seorang pemimpin karismatik dan popular. Demokrasi terpimpin bukan sahaja istilah yang indah malah mendapat sokongan rakyat Indonesia ketika itu. Namun akhirnya, sistem yang didendang indah dibibir pemimpin rupanya membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara. Oleh itu, rakyat harus mengkaji segala nyanyian dan dendangan pemimpin dan tidak menelan bulat-bulat apa yang mereka sajikan. Perah otak anda untuk memikirkan kesan-kesan yang tidak disebut oleh pemimpin kita atau sekurang-kuranya bacalah pandangan alternatif dari pihak lain. Hal ini agar maksud demokrasi itu sendiri tercapai untuk tujuan semak dan imbang terhadap pemimpin negara. Tanpa semak dan imbang, pemimpin kita akan terus diulit mimpi indah diatas kamar kuasa.

Bibiliography

Amin, S. M. (1967). Indonesia dibawah rezim” demokrasi terpimpin”. Bulan Bintang.

Karim, M. R. (1983). Perjalanan partai politik di Indonesia: sebuah potret pasang-surut. Rajawali.

Feith, H., & Soekarno. (1995). Soekarno militer dalam demokrasi terpimpin. Pustaka Sinar Harapan.