Demokrasi: Pemilik Kedai Manisan Atau Doktor?

0
466
views

Apabila kita memikirkan mengenai “Demokrasi”, kita sudah tentu akan terfikir mengenai kerajaan silam Yunani atau lebih spesifik lagi, Kerajaan Athens Purba yang mana tamadun inilah yang telah mewariskan sistem ini kepada kita, kerana melalui Kerajaan Athens Purba inilah, buat pertama kalinya dalam sejarah manusia rakyat telah terlibat secara langsung di dalam proses pembentukan kerajaan.

Umum juga tahu selain daripada sistem demokrasi, satu lagi sumbangan dan pencapaian dalam peradaban manusia yang turut kita warisi daripada tamadun Yunani aka Greek Kuno ini adalah dalam sudut ilmu falsafah.

Siapa yang tak kenal nama-nama tokoh falsafah seperti Socrates (“Bapa Falsafah Barat”), Plato (pengasas akedemi falsafah, pengarang karya “Republik”-negara harus diperintah oleh ilmuwan dan ahli falsafah), Aristotle (murid Plato, guru kepada Alexander the Great, membincangkan cara berfikir dengan teratur dalam karyanya “Politics”), ataupun Epicurus dan Zeno yang telah memperkenalkan teori ‘Asal Mula Negara” pasca kejatuhan Alexander the Great.

*Kalau tak kenal boleh semak semula buku sejarah form 4*
.

Cumanya, sama ada anda tahu atau tidak, bahawa kedua-dua pencapaian dan warisan ini jarang sekali duduk sebumbung dan sebenarnya “Falsafah” adalah sangat curiga terhadap pencapaian yang lagi satu ini iaitu “Demokrasi”.

Sebagai contoh, “Pengasas Falsafah Yunani” ataupun juga dikenali sebagai “Bapa Falsafah Barat”, – Socrates – telah digambarkan, dalam dialog Plato, sebagai seorang yang sangat pesimis dengan keseluruhan konsep demokrasi itu sendiri.

Dalam Buku ke-Enam karya “Republik”, Plato telah menceritakan mengenai perbualan Socrates dengan seorang watak yang bernama Adeimantus dan yang mana Socrates telah cuba menerangkan kelemahan dalam system demokrasi dengan memberikan sebuah analogi mudah dengan menyamakan masyarakat sebagai sebuah kapal.

“Jika anda sedang menaiki kapal laut untuk melayari sebuah perlayaran, Siapakah yang akan anda putuskan untuk menjadi pihak yang bertanggungjawab mengemudi kapal anda? Adakah sesiapa sahaja? Ataupun anda mahukan orang yang memang mempunyai pendidikan dan pengetahuan untuk memenuhi peraturan dan permintaan sesebuah pelayaran?”

Tanya Socrates.

“Mestilah yang kedua, itu sudah pasti!” – Jawab Adeimantus.

“Jadinya, kenapakah kita harus befikir bahawa mana-mana orang tua adalah sesuai untuk menghakimi dan mengadili akan siapa yang harus diangkat untuk menjadi pemerintah sebuah negara?” balas Socrates.

Kesimpulan atau hujah yang cuba dibawa oleh Socrates sebenarnya adalah –

Pengundian di dalam sebuah pemilihan mahupun pilihanraya adalah kemahiran, bukannya sekadar intuisi rawak.

Dan seperti mana-mana kemahiran yang lain, ianya perlu diajar secara bersistematik kepada orang ramai.

Waqaf Saham

Membiarkan rakyat mengundi tanpa pendidikan dan pengetahuan adalah sebuah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana ianya seolah-olah meletakkan mereka (golongan yang tidak bergetahuan) untuk bertanggungjawab “membawa sebuah Trireme (kapal perang greek kuno) pergi belayar ke Samos dalam keadaan rebut taufan.”
.
.
Socrates juga percaya bahawa hanya yang berfikir sesebuah isu-isu secara rasional dan secara mendalam yang seharusnya dibiarkan untuk mengundi.

Dan nampaknya, kita masyarakat hari ini seolah-olahnya telah melupakan perkara penting ini.

Akan kewujudan perbezaan diantara demokrasi intelektual dan demokrasi oleh hak tidak kiralah hak kelahiran mahupun kewarganegaraan.

Dimana kita telah memberikan hak mengundi ini kepada semua, tanpa meletakkan ‘essence’ kebijaksaan dan pengetahuan didalamnya.
.
.
Malah Socrates sendiri pernah menyebut dan meramalkan perkara ini dengan tepat di mana apabila hak ini telah diberikan kepada semua, ia akan membawa kita kepada sebuah sistem yang dikenali sebagai “demagoguery” – iaitu sebuah sistem yang mana politik berunsurkan populis,menghasut dan eksploitasi keinginan manusia untuk sebuah jawapan mudah.

Socrates pernah meminta kita untuk membayangkan perdebatan pilihanraya di anatara 2 orang calon yang mana seorang adalah doktor dan seorang lagi adalah pemilik kedai manisan.

Dimana Pemilik kedai manisan akan berkata tentang calon saingannya:

“Orang ini, telah melakukan banyak kejahatan pada anda. Dia menyakitkan kamu, memberikan ramuan ubatan yang pahit dan juga memberitahu kamu untuk jangan makan dan minum apa sahaja yang anda suka.

Dia tidak akan menjamu kamu makan ataupun menyediakan pesta makanan yang ‘manis-manis’ macam yang saya akan buat jika saya dipilih kelak.”

Maka Socrates telah mewujudkan sebuah pertanyaan kepada kita untuk untuk mempertimbangkan tindak balas penonton dengan memberikan sebuah persoalan:

“Adakah anda fikir doktor akan dapat menjawab hujah pemilik kedai manisan itu secara efiktif?”

Seperti memberi jawapan yang sebenar contohnya – “Saya telah menyusahkan anda semua dan telah melawan keinginan dan kehendak anda semua hanyalah untuk membantu anda”

Bukankah jawapan sebegini akan menyebabkan kemarahan dan kebencian orang ramai dan pengundi itu sendiri?
.
.
Lebih tragis lagi, Socrates sendiri adalah diantara individu yang terkesan akibat kebodohan pengundi dari sistem demokrasi itu sendiri, kerana pada pada tahun 399 SM, ahli falsafah itu telah dibicarakan atas tuduhan palsu kononnya beliau telah merosakkan belia Athens dengan idea-idea falsafahnya.

500 warga Athens ketika itu telah dilantik menjadi juri untuk menimbang kes itu dan akhirnya dengan margin 48%-52%, Bapa falsafah itu didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman mati dengan meminum tumbuhan beracun.
.
.
Secara kesimpulannya, kita semua pada hari ini seolah-olahnya telah terlupa akan peringatan-peringatan yang telah diberikan oleh Socrates mengenai “Demokrasi”, dimana kita lebih suka untuk memikirkan bahawa demokrasi adalah sebuah langkah atau cara yang terbaik dan muktamad dalam prinsip kenegaraaan.

Walhal ianya hanya akan berkesan sebagai sebuah sistem apabila ianya turut hadir dengan pendidikan, pengetahuan dan rasionaliti.

Kerana tanpa perkara diatas, kita mungkin sebenarnya telah dan akan lebih banyak memilih “pemilik kedai manisan” dan sedikit dari golongan “doktor” sebagai pemimpin kita.

Sekian.

Rujukan:

Intellectual democracy: Sweet-shop owners vs. Doctors
https://www.businessdayonline.com/exclusives/analysis-sub/article/intellectual-democracy-sweet-shop-owners-vs-doctors/

Why Socrates Hated Democracy
https://www.nikosmarinos.com/why-socrates-hated-democracy.html