Sejak akhir-akhir ini, topik ketidakseimbangan pengagihan ini menjadi hangat semula ekoran falasi-falasi yang mengutarakan ketidakseimbangan ini berpunca daripada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Penulisan ini bertujuan untuk mengupas sisi DEB berdasarkan statistik dan rujukan ilmiah supaya pembaca boleh menilai sendiri keberkesanan dasar ini.

DEB diperkenalkan dengan objektif serampang dua mata iaitu untuk mencapai perpaduan nasional melalui pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula sosial dalam mengurangkan dan akhirnya menghapuskan pengenalan bangsa yang berteraskan fungsi ekonomi. Ia diperkenalkan selepas tercetusnya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, yang mana ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum dan kekurangan peluang pendidikan di kalangan penduduk Melayu menjadi punca ketidakpuasan hati pencetus. Ketidakseimbangan ini diwarisi daripada pemerintahan kolonial British yang mengamalkan Dasar Pecah dan Perintah (Laporan MAGERAN, 1969).

Polisi pro-kemiskinan

Satu cabang utama DEB, adalah pembasmian kemiskinan, memandangkan dasar pro-kemiskinan adalah ciri utama dalam pertumbuhan inklusif. Di bawah DEB, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan 20 tahun dalam perangkaan struktur untuk menyamakan peluang ekonomi untuk semua rakyat dengan penghapusan fungsi ekonomi berasaskan kaum. Objektif penstrukturan semula DEB direka bagi membolehkan Bumiputera meningkatkan pegangan aset koperat daripada kadar 4.3% pada tahun 1970 kepada 30% menjelang tahun 1990, berbanding dengan peruntukan 40% kepada bukan Bumiputera dan 30% kepada warga asing. Demi mencapai matlamat ini, kerajaan telah merancang dan melaksanakan DEB sebagai dasar tindakan afirmatif dalam kerangka keistimewaan Bumiputera melalui pelbagai dasar pelindung, seperti subsidi, kuota, biasiswa, dan perlesenan dan konsesi perdagangan.

Agenda pembangunan Malaysia di bawah DEB boleh dianggap sebagai pro-kemiskinan, di mana data menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan semakin berkurang semenjak pengenalan DEB. Walaupun berlaku peningkatan populasi sehingga 3 kali ganda sejak tahun 1970, peratusan rakyat yang hidup dalam kemiskinan berkurang berbanding dengan peratusan kemiskinan yang direkod lebih empat dekad lalu (Rajah 1).  Sementara itu, hampir separuh daripada populasi berada di dalam kemiskinan pada tahun 1970, kadar kemiskinan ini mecatatkan penurunan secara mendadak kepada 6% pada tahun 2002 dan 0.4% pada tahun 2016. Perbandingan dengan negara-negara luar pula menunjukkan kadar rasmi kemiskinan di Malaysia pada tahun 2015 dianggap rendah dan terkawal (Rajah 2).

 

Rajah 1

Sumber rujukan: Insiden Kemiskinan; Populasi, EPU

Rajah 2

Sumber rujukan: Nisbah kependudukkan miskin berdasarkan populasi nasional, Worldbank

Pengurangan kadar kemiskinan ini jelas merentasi semua kumpulan etnik (Rajah 3). Kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera mencatatkan penurunan daripada 65% pada tahun 1970 kepada 0.5% pada tahun 2016. Pengurangan yang pesat juga berlaku di kalangan penduduk Cina dan India, di mana kadar kemiskinan masing-masing mencatatkan penurunan kepada  0.1% masing-masing pada tahun 2016. Sepanjang tempoh perlaksanaan DEB (1970-1989), kemiskinan di kalangan kaum India dan Cina mengalami kemorosotan yang pesat sehingga hampir 80% pengurangan, manakala kaum Bumiputera mengalami kemerosotan mencecah 64% pengurangan. Ini menunjukkan berjuta-juta rakyat telah keluar daripada kemiskinan, malah tanggapan bahawa dasar ini hanya memberi manfaat kepada sekumpulan kecil adalah tidak benar sama sekali. 

Rajah 3

Sumber rujukan: Insiden kemiskinan, EPU

Perkembangan ekonomi  pada dekad lalu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan melalui peningkatan dalam pendapatan isi rumah penduduk. Dari tahun 1970-2016, purata pendapatan isi rumah meningkat sebanyak 7.3% setiap tahun. Perbandingan mengikut kelas pendapatan  pula menunjukkan, kelas pendapatan (Bottom 40%, B40) mencatatkan pertumbuhan yang tertinggi (Jadual 1). Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan kelas B40 ini mencatatkan 7.86% lebih tinggi berbanding 5.6% kelas pendapatan(Top 20%, T20) dan 6.63% bagi kelas pendapatan (Middle 40%, M40).

Berdasarkan kumpulan etnik pula, kadar pertumbuhan pendapatan penduduk miskin B40 adalah yang tertinggi bagi semua kaum berbanding dengan kadar pertumbuhan pendapatan penduduk sederhana M40 (kecuali kaum India), dan kadar pendapatan penduduk kaya T20 mencatatkan pertumbuhan paling perlahan. Kadar pertumbuhan pendapatan penduduk golongan miskin B40 bagi tempoh 1970-1989 (perlaksanaan DEB), adalah peningkatan yang tertinggi iaitu pada kadar 9.35%. Sehubungan itu, hujah bahawa dasar ini hanya menguntungkan  Bumiputera, atau hanya golongan Bumiputera kaya yang mendapat keuntungan dengan mengorbankan golongan miskin Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah tidak benar sama sekali.  Purata pertumbuhan pendapatan Bumiputera miskin B40 dari 1970-2016  adalah pada kadar 10.12% lebih tinggi berbanding dengan kadar pendapatan Bumiputera kaya T20. Namun, adakah peningkatan pertumbuhan pendapatan di kalangan golongan miskin ini menjadikan Malaysia negara yang adil?

Jadual 1

Sumber rujukan: Purata pendapatan isi rumah, EPU          *pertumbuhan dikira melalui anggaran kompaun tahunan, Compound Annual Growth Rate (CAGR)

Kesamarataan

Data pekali Gini dari tahun 1970-2016 menunjukkan peratusan penurunan 21% dari 0.51 ke 0.40. Perbandingan dengan negara-negara serantau, kadar ketidaksamaan (inequality) di Malaysia walaupun tinggi tetapi masih terkawal. Malah, kadar inequality di Malaysia berada di trend penurunan berbanding dengan data pada tahun 1990. Ini bertentangan dengan hujah bahawa inequality di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau ini, data pekali Gini menunjukkan sebaliknya (Rajah 4).  

Perbandingan di kalangan kumpulan etnik di Malaysia pada tahun 2016, inequality di kalangan kaum Cina mencatatkan nilai tertinggi pada 0.41, diikuti oleh Bumiputera dan India pada kadar 0.38 masing-masing (Rajah 5). Walaubagaimanapun, pengurangan inequality adalah yang paling ketara pada kadar  17.3% pengurangan di kalangan kaum India, diikuti oleh Cina 10% pengurangan dan Bumiputera 7.9% pengurangan pada 1970-1989 (tempoh perlaksanaan DEB).

Rajah 4

Sumber: IMF

                                              

Rajah 5

Sumber rujukan: Pekali Gini, EPU

Analisis jurang pendapatan antara-etnik juga menunjukkan pengurangan yang besar (Rajah 6). Jurang pendapatan  antara Cina-Bumiputera telah mengalami pengurangan kira-kira 39%, dari tempoh 1970-2016, manakala jurang antara India-Bumiputera menurun sebanyak 35%. Terdapat peningkatan jurang pendapatan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera pada tempoh 1992-1997 dan 2009-2012, di mana peningkatan jurang pendapatan Cina-Bumiputera sebanyak 6% dan  3.2%, manakala India-Bumiputera pula mencatat peningkatan sebanyak 12.3% dan 6.4% masing-masing pada tempoh yang sama.

Rajah 6

Sumber rujukan: Purata pendapatan isi rumah, EPU

Pengagihan pertumbuhan

Sisi lain yang menyumbangkan kepada ekonomi adalah pengagihan pertumbuhan. Pengagihan ini perlu dikongsi dan dirasai oleh setiap lapisan kaum. Berdasarkan Jadual 1, purata kadar peningkatan pendapatan Bumiputera B40 pada sepanjang tempoh 1992-2012 adalah sebanyak 8.72%, tidak jauh beza berbanding peningkatan pendapatan kaum India 7.51% dan Cina 7.28%. Kadar peningkatan pendapatan isi rumah ini disumbangkan oleh penyertaan pekerjaan. Kadar penyertaan pekerjaan pada tempoh 2005-2014 di kalangan Bumiputera mencatatkan 37% peningkatan, kaum Cina pula 19% peningkatan manakala India meningkat sebanyak 17% (Rajah 7). Kadar pengangguran pula merosot sekitar 20% dalam tempoh yang sama (Jadual 2). Terdapat peningkatan  yang ketara dalam pemilikan aset merentasi semua kumpulan etnik sepanjang tempoh perlaksanaan DEB. Pegangan ekuiti Bumiputera meningkat daripada 4.3% kepada 19.3% pada 1971-1990 (tempoh perlaksanaan DEB), manakala pegangan ekuiti bukan Bumiputera pula meningkat daripada 34% kepada 46.8% pada tempoh yang sama (Rajah 8).  Walaubagaimanapun, bahagian ekuiti warga asing pula mengalami penyusutan   sehingga 2 kali ganda sepanjang tempoh yang sama. Pengangan ekuiti ini meningkat sedikit selepas tahun 2000.

Rajah 7

Sumber rujukan: Penyertaan perkerjaan mengikut Etnik, DOSM

Jadual 2

Sumber rujukan: Tenaga kerja; Bekerja; Penganggur; Luar tenaga kerja; DOSM *jumlah ( dalam ribu)

Rajah 8

Sumber: Hak Milik Modal Saham, RMK4 – RMK10                     

Konklusi

Berdasarkan statistik-statistik yang dilampirkan, maka tidak wajar menunding  ke arah perlaksanaan DEB semata  sebagai punca ketidakseimbangan pengagihan. Malah perlaksanaan DEB berjaya mebawa keluar rakyat dari belenggu kemiskinan yang tinggi berbanding sebelum perlaksanaannya. Namun begitu, struktur pengagihan bantuan dan subsidi perlu ditambahbaik mengikut peredaran masa dan perkembangan populasi penduduk Malaysia. Saya berharap penulisan ini dapat merungkai salah faham berkenaan ketidakadilan dalam perlaksanaan DEB dan memberi manfaat kepada pembaca.

Rujukan:

[1] Mean Monthly Gross Household Income by Ethnic Group, Strata, State, 1970-2016 , EPU

[2] Mean Monthly Gross Household Income of Top 20%, Middle 40%, Bottom 40% by Ethnic Group, Strata, 1970-2016 , EPU

[3] Gini Coefficient by Ethnic Group, Strata and State, Malaysia, 1970-2016 , EPU

[4] Incidence of Poverty by Ethnic Group, Strata and State, Malaysia, 1970-2016 , EPU

[5] Population by state, EPU

[6] Employed persons by ethnic group, Malaysia/states, 1982 – 2017 , DOSM

[7] RMK4 – RMK10, EPU

[8] Regional Economic Outlook: Asia and Pacific, IMF

[9] Poverty headcount ratio at national poverty lines (% population), Worldbank

[10]Malaysia: 30 years of poverty reduction, growth, IMF

Artikel disumbangkan oleh Fara untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.