Daniel Day Lewis, yang memegang watak sebagai Abraham Lincoln di dalam filem Lincoln dilaporkan telah menghantar mesej kepada orang lain sebagai ‘Commander-in-Chief’ dan membahasakan dirinya sebagai Abraham Lincoln pada setiap perbualan telefonnya. Robert DeNiro pula menghabiskan masanya selama berminggu-minggu dengan membawa teksi di sekitar New York sebelum dia menjalani penggambaran untuk filem Taxi Driver.

Manakala mendiang Heath Ledger pula telah mengurung dirinya sendiri selama sebulan di dalam bilik hotel hanya demi wataknya sebagai Joker dalam filem The Dark Knight. Apa yang dipaparkan melalui para pelakon ini ialah bagaimana usaha dan dedikasi yang mereka lakukan semata-mata untuk menyelami dan menghayati pembawaan watak yang mereka lakonkan di dalam filem. Malah, ramai pelakon yang sanggup melakukan apa sahaja demi kejayaan watak yang mereka pegang.

Namun, apakah yang berlaku kepada para pelakon ini setiap kali pengarah mengucapkan ‘Cut!’ dan penggambaran ditamatkan? Adakah mereka mampu untuk kembali kepada diri mereka yang sebenarnya dan meninggalkan watak yang telah mereka bawa itu? Ini merupakan masalah yang sering dialami oleh para pelakon di mana setelah mereka berusaha untuk menyelami setiap watak yang dibawa, mereka hampir tenggelam di dalam watak tersebut. Tenggelam di dalam watak ini boleh ditafsirkan sebagai terperangkap di dalam watak yang telah dibawa oleh para pelakon dan akhirnya mereka menjadi seumpama watak itu sendiri.

Jad, bagaimanakah caranya untuk pelakon ini kembali kepada diri mereka sendiri yang sebenarnya? Dalam bidang terapi drama (dramatheraphy) dan psikodrama (psychodrama), teknik de-roling digunakan bagi membantu para pelakon untuk kembali kepada diri mereka yang sebenarnya setelah selesai sesuatu persembahan lakonan yang mereka lakukan. Istilah de roling ini digunakan bagi menunjukkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam sesi terapi untuk membantu para pelakon ‘membuang’ watak fiksyen yang berada dalam diri mereka.

Sumber: https://allabouttheatre.org/calendar/acting-movement-for-young-actors/

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Gualeni, Vella, & Harrington (2017), tujuan teknik de-roling ini dijalankan adalah bagi menstrukturkan kembali perubahan daripada satu realiti iaitu imaginasi yang dizahirkan sewaktu persembahan lakonan kepada suatu realiti yang lain, iaitu diri sendiri. Penekanan yang diberi sewaktu proses de-roling ini ialah untuk menguruskan situasi di antara ‘saya dan bukan diri saya’ bagi mengelakkan para pelakon terperangkap dengan watak yang mereka bawa.

Menurut Sally Bailey, iaitu seorang professor teater di Kansas State University, seseorang pelakon cenderung untuk mengalami perubahan personaliti akibat daripada watak yang dipegang di dalam drama ataupun filem, lebih-lebih lagi sekiranya watak yang dibawa itu merupakan suatu watak yang ekstrim dan memerlukan penghayatan yang mendalam. Beliau berkata, setiap pelakon mempunyai jiwa yang halus dan sensitif, dan proses de-roling ini adalah penting bagi mengelakkan mereka mengalami sebarang masalah psikologi akibat daripada watak yang mereka bawa. Selain daripada perubahan personaliti, masalah psikologi lain yang mungkin dialami sekiranya para pelakon ini tidak menjalani teknik de-roling ialah depresi, kemurungan serta keresahan.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk teknik de-roling ini dijalankan? Terdapat banyak kaedah yang boleh diaplikasikan dalam melakukan de-roling ini, di mana ia boleh melibatkan aktiviti secara fizikal, verbal, penggunaan ruang dan kostum.

  1. Teknik fizikal
  • Kebiasaannya, teknik fizikal ini akan digabungkan bersama teknik verbal secara berulang-ulang. Antara teknik de-roling secara fizikal yang sering dilakukan dalam terapi drama ialah dengan menggunakan dua buah kerusi, yang menjadi petunjuk kepada dua personaliti yang harus dibezakan oleh seseorang pelakon. Dua buah kerusi ini dinamakan sebagai ‘saya’ dan ‘watak’, di mana pelakon haruslah dapat membezakan siapakah dirinya yang sebenar dan apakah watak yang dibawanya. Proses ini melibatkan perubahan dari segi fizikal, emosi dan kognitif pelakon atau klien tersebut.
  • Selain daripada itu, teknik fizikal ini juga boleh melibatkan proses brushing off the role, iaitu suatu tindakan fizikal menggunakan sebelah tangan atau objek ringan, meliputi seluruh badan, dengan menetapkan pemikiran dan perspektif bahawa sesuatu watak itu akan dibawa keluar. Dalam proses ini, seseorang pelakon perlu menjarakkan dirinya dengan pakar terapi dan membawa dirinya sendiri untuk keluar daripada watak yang dipegangnya.
  1. Teknik verbal
  • Teknik de-roling secara verbal ini banyak membantu dan menyokong para pelakon untuk kembali kepada diri mereka yang sebenar, melalui pendedahan kognitif. Sebagai contoh aktiviti yang dijalankan dalam teknik verbal ini ialah dengan mengarahkan pelakon untuk menyebut nama mereka yang sebenar, dengan sepenuh hati dan menyatakan dengan jelas apakah perbezaan diri mereka dengan watak yang mereka bawa.
  1. Penggunaan ruang
  • Kaedah ini sebenarnya banyak melibatkan penggunaan ruang atau lokasi yang menjadi tempat di mana bermulanya watak yang dipegang oleh para pelakon tersebut. Teknik de-roling melalui ruang boleh dilakukan sendiri oleh pelakon, contohnya dengan mengucapkan selamat tinggal atau meninggalkan terus tempat yang menjadi ruang istimewa bagi watak mereka.
  1. Penggunaan kostum atau peralatan/prop
  • De-roling melalui kostum ini adalah sama dengan penggunaan ruang, di mana seseorang pelakon harus meninggalkan atau membuang segala peralatan dan kostum yang berkatan dengan watak yang dibawa oleh mereka. Meninggalkan kostum dan peralatan ini memberi petanda bahawa mereka telah bersedia untuk keluar daripada watak imaginasi tersebut.

Kesimpulan

Proses dan teknik de-roling adalah penting kerana ia merupakan kunci dalam perubahan psikoterapi yang dijalankan bagi membantu para pelakon. Secara asasnya, tiada manual rasmi yang boleh dijadikan rujukan dalam proses de-roling ini, dan sebahagian besarnya bergantung kepada inisiatif pakar terapi dan kehendak yang ditunjukkan oleh para pelakon itu sendiri. Apa yang paling penting ialah pelakon itu sendiri ingin mencari penyelesaian dan membebaskan dirinya daripada belenggu watak yang telah mereka bawa.

Rujukan

Gualeni, S., Vella, D., & Harrington, J. (2017). De-Roling from Experiences and Identities in Virtual Worlds. Virtual Worlds Research, 10(2), 17.

Lassken, S. (2016). Persona Non Grata: A Theoretical Exploration of De-Roling in Drama Therapy. Drama Theraphy Review, 3(2), 165–180. https://doi.org/10.1386/dtr.3.2.165

Radmall, B. (2011). The Use of Role Play in Dramatheraphy. Dramatheraphy, 17(1–2), 13–26. https://doi.org/10.1080/02630672.1995.9689388


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.