Dadah: Penjara, Bebas Atau Rawat?

1,084

Dalam artikel saudara Ahmad Faezal baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bimbang ke atas hasrat Kerajaan untuk melaksanakan dekriminalisasi (nyahjenayah) penggunaan d4dah. Kebimbangan rakyat Malaysia, termasuk saudara Ahmad Faezal sendiri, tentang gesaan supaya pengguna-pengguna d4dah tidak lagi dipenjarakan atau dihantar ke pusat serenti sudahpun dijangka.  Sudah pasti ramai yang takut keselamatan masyarakat akan terganggu, dan makin banyak getah-getah paip yang akan hilang dari laman rumah.

 Penggunaan d4dah amat sinonim dengan salah laku jenayah. Percubaan untuk dapatkan duit untuk membeli d4dah hingga mencederakan orang lain sudah sekian lama menjadi modal dalam drama TV dan iklan-iklan menjauhi d4dah. Naratif-naratif sebegini sudah berpuluh-puluh tahun menjadi paksi perbualan masyarakat kita apabila bercakap tentang penggunaan d4dah dan kesan buruknya.

Berita dekriminalisasi memang menggemparkan. Tiba-tiba sahaja amalan tradisi penangkapan dan pemenjaraan seseorang kerana memiliki d4dah kini ingin diubah. Strategi dekriminalisasi ini jelas sekali mencabar prinsip serta cara kita berfikir dan melihat d4dah. Jadi, tak hairanlah rakyat berasa terganggu dengan pengumumuman dekriminalisasi ini.

Namun, jika dinilai dari sudut berbeza, adakah penjara atau pusat serenti benar-benar membuatkan seseorang insaf dan dapat menghentikan penggunaan d4dah? Kajian yang diterbitkan di Jurnal Lancet menunjukkan bahawa pengguna-pengguna d4dah di Malaysia kembali menggunakan d4dah (relapse) hanya selepas 31 hari keluar dari pusat serenti. Hal ini terbalik dengan individu-individu yang mendapatkan rawatan secara sukarela, di mana mereka kembali menggunakan d4dah selepas 352 hari (hampir setahun clean!) Strategi pemenjaraan atau penangkapan masuk ke pusat serenti tanpa rawatan dan sokongan sosial tertentu jelas tidak mengurangkan penggunaan d4dah.

 Apa yang dilihat di sini adalah masalah penggunaan d4dah, khususnya kebergantungan kepada d4dah (atau bahasa lain, penagihan) merupakan masalah disease (penyakit) yang memerlukan rawatan komprehensif (menyeluruh), dan bukannya dihukum atau dibataskan pergerakkannya. Kebergantungan kepada d4dah adalah penyakit kronik yang berulang. Jika seseorang berjaya tidak menggunakan d4dah pada hari ini, tak mungkin dia berjaya juga pada keesokkannya. Penggunaan d4dah sebagai suatu penyakit perlu dikenalpasti dan dirawat.

Sektor pemenjaraan tidak mempunyai kapasiti untuk menyaring tahap kebergantungan seseorang itu terhadap d4dah dan tidak dapat memberikan rawatan sewajarnya kerana institusi penjara secara asasnya bukan dicipta untuk itu.  

Berbeza dengan persepsi rakyat, dekriminalisasi tidak menghalalkan penggunaan d4dah. Jauh sekali untuk menjulangnya. Juga bukan ikut-ikutan bagi mencontohi budaya barat. Dekriminalisasi juga mengenalpasti bahawa penggunaan d4dah adalah memudaratkan, termasuk risiko untuk overdose, psychosis dan mendapat jangkitan HIV.  Jadi dimanakah logiknya pengguna d4dah dihantar ke penjara atau pusat serenti untuk menjalankan hukuman untuk suatu jangka masa tertentu sebelum dibebaskan, dan bukannya untuk mendapatkan rawatan atau sokongan sosial yang sepatutnya?

Bila ditimbang baik buruk, kemudaratan dipenjarakan adalah jauh lebih besar daripada dekriminalisasi.

Satu, bagi pengguna-pengguna first timer yang mungkindipenjarakan kerana ganja, di sinilah mereka bersuai kenal dengan individu-individu lain yang menggunakan d4dah lebih tegar (hard-core) seperti heroin atau kokain. Daripada hanya bermula dengan ganja, di sinilah mereka mendapat maklumat tentang d4dah-d4dah yang lebih berbahaya dan lebih menagihkan (addictive).  Daripada tidak tahu di mana boleh mencari bekalan (supply), di sinilah mereka mula membina jaringan. Daripada tidak tahu menyuntik d4dah, di sini jugalah mereka mengenali individu lain yang mampu mengajar.

Kedua, United Nations Office on Drugs and Crime sendiri dah berkali-kali menyatakan bahawa usaha untuk menumpas pengeluaran dan pengedaran d4dah telah gagal. Pemenjaraan penggunaan d4dah kerana memiliki dan mengguna d4dah telah menyumbang kepada masalah kesesakan (overcrowding) penjara. Overcrowding menggalakkan lagi penularan penyakit berjangkit seperti HIV, TB dan Hepatitis C, yang kemudian akan disebarkan kepada masyarakat umum, terutama ahli keluarga.

 Penjara-penjara di seluruh dunia semakin padat dengan pengguna-pengguna d4dah, terutama sekali mereka yang benar-benar memerlukan rawatan.  Kekangan perkhidmatan medikal dalam penjara, seperti akses kepada metadon bagi mengurangkan kebergantungan kepada heroin TIDAK membantu menyelesaikan masalah penggunaan d4dah. Kekurangan perkhidmatan medikal dalam penjara ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah sebahagian besar negara-negara di dunia juga mengalaminya.

Pengguna-pengguna d4dah akan dibebaskan setelah tamat hukuman tanpa didedahkan kepada rawatan yang sepatutnya. Tambah lagi, tiada strategi khusus dalam bentuk sokongan sosial yang dapat membantu mereka memulakan hidup baru setelah bebas nanti. Di sinilah masalah-masalah besar lain akan timbul. Mereka kembali menggunakan d4dah. Mereka susah dapat pekerjaan kerana rekod jenayah. Mereka tertekan. Mereka berdepan dengan gangguan emosi dan mental.

Ketiga, pengguna d4dah yang dipenjarakan kebanyakkannya terdiri daripada golongan yang susah. Yang kaya biasanya akan diikat jamin oleh keluarga yang kaya. Maka secara tidak langsung, apa yang kita buat selama ini adalah kita memenjarakan yang miskin kerana mereka miskin, bukan kerana mereka menggunakan d4dah. Pemenjaraan juga meletakkan label banduan pada mereka, lalu menyukarkan mereka yang memang sedia terhimpit untuk dapatkan pekerjaan. Ketidaksamarataan ini amat menyedihkan.  Polisi d4dah itu sendiri yang memacu putaran kemiskinan di kalangan pengguna d4dah.

Poin terakhir, keruntuhan institusi kekeluargaan berlaku akibat pemenjaraan ayah selaku ketua keluarga, ibu selaku tempat bermanja dan anak selaku penyejuk mata.  Pemenjaraan menjarakkan hubungan kekeluargaan. Sekali lagi, pemenjaraan menyebabkan sesebuah keluarga menjadi lebih terhimpit dengan kemiskinan kerana lumpuhnya fungsi pencari nafkah (bread winner) dalam keluarga. Anak-anak yang lahir dalam keluarga yang berpecah belah (broken) di mana ibu atau ayah sering keluar masuk penjara akan sentiasa terabai dan cenderung untuk mengambil d4dah juga.

Dekriminaliasasi tidak bererti pengguna-pengguna d4dah bebas dan terlepas tanpa sebarang penalti. Individu-individu yang ditahan dengan d4dah akan dirujuk kepada suatu jawatankuasa kecil yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai kebajikan (social worker) dan pengurus kes (case manager). Jawatankuasa ini akan meneliti kes secara terperinci dan seterusnya merujuk pengguna d4dah ini ke saluran sepatutnya – jenis rawatan ataupun sokongan sosial yang bertepatan dengan individu tersebut.

Usaha ini dijangka dapat mengurangkan beban negara ke atas pemenjaraan. Kos pemenjaraan bagi seorang banduan di Malaysia adalah sebanyak RM20,690 setahun, manakala bagi rawatan metadon, kos yang dibelanjakan hanyalah sebanyak RM6,560 setahun bagi seorang individu. Jurang perbezaan kos kedua-dua strategi, satu yang melibatkan pemenjaraan dan satu lagi yang melibatkan pendekatan kesihatan awam (public health approach), sangatlah besar.

Contoh Svetoslav Stoykov yang digunakan oleh saudara Ahmad Faezal dalam artikelnya juga agak berat sebelah. Naratif-naratif ini bersifat menakut-nakutkan rakyat dan boleh menghalang usaha dekriminalisasi. Bagaimana pula kisah-kisah kejayaan (success stories) pengguna d4dah yang kebergantungan d4dah mereka berjaya dikurangkan dengan rawatan dalam komuniti seperti metadon? Di Malaysia sendiri, kajian menunjukkan bahawa rawatan metadon yang dimulakan oleh kerajaan dahulu telah mengurangkan penggunaan d4dah di kalangan penerima. Tambahan lagi, rawatan ini telah membantu pengguna d4dah mendapat pekerjaan tetap dan berfungsi secara normal dalam masyarakat.

Namun, usaha ini masih tak cukup. Pengguna d4dah masih lagi ditahan dan dipenjarakan atas kesalahan memiliki d4dah. Rawatan metadon terganggu akibat proses kehakiman dan pemenjaraan yang panjang.

Kenyataan bahawa dekriminaliasi penggunaan d4dah adalah tidak adil kepada pencuri-pencuri yang dipenjarakan kerana kesempitan hidup juga tidak benar. Mencuri hak orang lain tetap salah. Merompak, membunuh dan mencederakan orang lain juga tetap salah. Mengedar d4dah juga salah. Sekiranya seseorang individu pengguna d4dah ditahan atas kesalahan lain selain memiliki dan mengguna d4dah untuk diri sendiri, by all means, hukumlah individu tersebut dengan hukuman yang selayaknya.

Kejayaan model dekriminalisasi Portugal telah disebut dalam artikel yang ditulis oleh saudara Ahmad Faezal. Beliau juga menyatakan bahawa rejim Antonia Salazar yang bersifat tertutup kepada dunia luar telah menutup akses kepada  d4dah. Rakyat tidak mengenali d4dah sehingga kejatuhan rejim tersebut sekitar tahun 1970an. Ketika itulah, Portugal terbuka kepada dunia luar dan masalah penggunaan d4dah meningkat secara mendadak.

Dalam dunia yang sempurna (perfect world), penutupan akses kepada negara luar mungkin berkesan untuk menutup terus laluan d4dah. Tapi realitinya, kita hidup dalam zaman yang bergerak pantas. Mahu atau tidak, manusia bergerak dan berhubung sesama sendiri di seluruh dunia. Polisi d4dah juga haruslah relevan dan beredar mengikut kepantasan dunia bergerak.

Perasaan takut dengan ganja, heroin dan kokain serta d4dah-d4dah lain kerana stigma yang dipupuk sekian lama telah menyekat diri kita untuk berfikir di luar kotak. Sebagai rakyat Malaysia yang mampu berfikir dengan waras dan dibesarkan dengan didikan agama, isu dekriminalisasi ini memberikan kita peluang untuk menilai semula cara kita menghukum pengguna-pengguna d4dah dari sudut yang berbeza.

Memetik kata-kata salah seorang pakar perubatan di sebuah klinik kecil di Kuala Lumpur, “tak semua daripada kita bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang beriman dan berilmu.”

Artikel ditulis bersama dengan Iqa Mohd Salleh daripada Department of Social and Preventive Medicine, Universiti Malaya

RUJUKAN:

  1. “Syed Saddiq berhenti menyahjenayahkan penagihan d4dah.” Ahmad Faezal (2019) https://www.thepatriots.asia/syed-saddiq-berhenti-menyahjenayahkan-penagihan-d4dah/
  2. Wegman, Martin P., et al. “Relapse to opioid use in opioid-dependent individuals released from compulsory drug detention centres compared with those from voluntary metadon treatment centres in Malaysia: a two-arm, prospective observational study.” The Lancet Global Health 5.2 (2017): e198-e207.
  3. Degenhardt, Louisa, et al. “Illicit drug dependence.” Mental, Neurological, and Substance Use Disorders (2015): 109.
  4. Altice, Frederick L., et al. “The perfect storm: incarceration and the high-risk environment perpetuating transmission of HIV, hepatitis C virus, and tuberculosis in Eastern Europe and Central Asia.” The Lancet 388.10050 (2016): 1228-1248.
  5. Culbert, Gabriel J., et al. “Confronting the HIV, tuberculosis, addiction, and incarceration syndemic in Southeast Asia: lessons learned from Malaysia.” Journal of Neuroimmune Pharmacology 11.3 (2016): 446-455.
  6. Ali, Norsiah, et al. “Evaluation of methadone treatment in Malaysia: findings from the Malaysian methadone treatment outcome study (MyTOS).” Substance use & misuse 53.2 (2018): 239-248.
  7. Kementerian Dalam Negeri, 2015; Jadual 8.
  8. Domoslawski, Artur, and Hanna Siemaszko. Drug policy in Portugal: the benefits of decriminalizing drug use. Warsaw: Open Society Foundations, 2011.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.