Piala Dunia 1998 yang diadakan di Perancis merupakan satu kejohanan istimewa bukan saja untuk pasukan kebangsaan Perancis tetapi juga perubahan detik bagi tiga pemain yang layak diangkat sebagai legenda. Tiga legenda yang saya katakan ini ialah bekas kapten England David Beckham, bekas perancang Les Bleus Zinedine Zidane dan bekas penyerang Brazil Ronaldo. Ketiga-tiganya mempunyai kenangan berbeza terhadap kejohanan tahun tersebut tetapi mereka akan dipertemukan semula di bawah satu bumbung: Real Madrid dengan label Galacticos. Justeru, mari kita mulakan dengan Beckham.

Anak jati London ini dilahirkan pada 2 Mei 1975 dan merupakan anak kedua dari tiga adik-beradik. Kedua-dua ibu bapanya, Ted dan Sandra Beckham merupakan penyokong tegar Manchester United, satu minat yang diwarisi beliau untuk tahun-tahun kemudian. Sebelum menyertai akademi Red Devils, Beckham pernah menjalani ujian pemilihan bersama Leyton Orient dan menyertai sekolah kecemerlangan Tottenham Hotspur. Namun pada tahun 1991 semasa berusia 14 tahun, beliau menandatangani kontrak sebagai pelatih di kelab pujaannya, Manchester United.

Beckham menjadi sebahagian daripada generasi pemain muda berbakat Red Devils yang dilatih oleh jurulatih legenda, Eric Harrison. Di bawah pemantauan beliau, selain Beckham, muncul juga pemain lagi seperti Gary dan Phil Neville, Nicky Butt, Ryan Giggs dan Paul Scholes. Generasi pemain ini bertanggungjawab membantu kelab memenangi Piala FA Remaja 1992 dan berikutan permainan hebatnya dalam pasukan remaja, pengurus United ketika itu, Sir Alex Ferguson memberi peluang kemunculan pertamanya sebagai pemain senior dengan menggantikan Andrei Kanchelskis dalam perlawanan Piala Liga (kini Piala Carabao) semasa melawan kelab Brighton and Hove Albion. Selepas menandatangani kontrak profesional pada tahun 1993, Beckham membuat kemunculan pertama kesebelasan utama untuk perlawanan Piala Liga melawan kelab Port Vale pada September 1994 sebelum membuat kemunculan pertama di pentas Liga Juara-Juara Eropah menentang kelab Turki Galatasaray pada Disember tahun sama. Walaupun berjaya menjaringkan satu gol dan membantu kelab menang dengan keputusan 4-0, United menduduki tempat ketiga di peringkat kumpulan kejohanan tersebut.

Selepas dipinjamkan seketika ke Preston North End, Beckham membuat kemunculan pertama Liga Perdana Inggeris semasa mereka seri tanpa jaringan dengan musuh ketat, Leeds United pada April 1995. Selepas musim sebelumnya menyaksikan United gagal memenangi sebarang kejohanan utama sejak tahun 1989, Ferguson memutuskan untuk menggantikan pemain-pemain utama yang semakin malap seperti Kanchelskis dan Paul Ince dengan generasi muda yang dibangunkan Harrison termasuk Beckham. Walaupun digosipkan dengan ramai pemain hebat seperti Roberto Baggio dan Marc Overmars, beliau tidak melakukan sebarang pembelian pada musim itu dan ini mengundang kritikan ramai termasuk dari legenda Liverpool, Alan Hansen. Bagi mana-mana peminat United, anda pasti sudah biasa dengar kenyataan Hansen, “Anda tidak boleh menang apa-apa dengan budak-budak (pemain akademi).” Tetapi mereka membuktikan ramai orang salah terhadap keupayaan Fergie’s Fledglings dan membantu Red Devils memenangi kejuaraan liga mengatasi kelab utara, Newcastle United. Dan apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah.

Semasa di Unitedlah, Beckham menjadi pilihan pertama di bahagian kanan jentera tengah dan mula dikenali orang ramai melalui jaringan menakjubkan semasa mereka melawan kelab Wimbledon. Jaringan yang saya maksudkan ialah jaringan dari garisan tengah padang di mana bola terangkat di atas penjaga gol dan terus masuk dalam gawang. Pada musim 1996-1997, Beckham membantu United mengekalkan kejuaraan liga dan Piala FA dan diangkat sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA musim sama. Bagaimanapun pada musim berikutnya, mereka gagal mengekalkan kejuaraan liga kerana dipintas oleh Arsenal yang dibimbing pengurus baru mereka ketika itu, Arsene Wenger.

Pada musim panas 1998, Beckham menjadi sebahagian daripada pasukan England yang dibimbing oleh legenda Glenn Hoddle. Bagaimanapun, pada awalnya beliau tidak diturunkan pada dua perlawanan awal kerana dituduh gagal memberi perhatian kepada permainan. Selepas diturunkan pada perlawanan ketiga melawan Colombia, Beckham membantu England menang 2-0 dan menjaringkan gol pertama untuk pasukan kebangsaan dengan jaringan sepakan percuma dari jarak 30 meter. Namun pada pusingan kedua kejohanan ketika melawan Argentina, Beckham dikecam ramai selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil akibat menendang Diego Simeone dan menjadi punca England tersingkir dari kejohanan tersebut. Dan seperti apa yang berlaku kepada penjaga gol Liverpool, Loris Karius yang menerima ugutan bunuh akibat kesilapannya semasa final Liga Juara-Juara Eropah, keadaan sama turut berlaku kepada Beckham dan kemuncaknya apabila Three Lions kalah 3-2 dengan Portugal semasa Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2000. Walaupun membantu mencipta dua gol, ramai penyokong mengejeknya sehingga mendorongnya menunjukkan jari tengah sebagai tanda protes. Untuk mengelak situasi menjadi lebih buruk, media Britain ketika itu menggesa pembaca dan penonton mereka tidak mengecamnya.

Kegagalan Piala Dunia 1998 menjadi pendorong kepada Beckham untuk melakukan yang lebih baik untuk Manchester United. Pada musim 1998-1999, beliau membantu Red Devils memenangi tiga kejuaraan iaitu Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah. Semasa final Liga Juara-Juara Eropah musim tersebut, dua sepakan sudut beliau membolehkan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer menjaringkan dua gol penting untuk mengalahkan Bayern Munich 2-1. Untuk tahun-tahun berikutnya, Manchester United berjaya mengekalkan kejuaraan liga sebelum sekali lagi kecewa kehilangan gelaran juara liga pada Arsenal pada musim 2001-2002.

Pada musim panas tahun 2002, ramai menyangka Beckham tidak akan disenaraikan dalam pasukan England untuk kempen Piala Dunia 2002 selepas mengalami kecederaan semasa perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dengan Deportivo La Coruna. Dan ada menyifatkan kekasaran yang dilakukan Aldo Duscher ke atasnya disengajakan memandangkan England diletakkan dalam satu kumpulan sama dengan La Albiceleste. Bagaimanapun, Beckham sempat pulih dan kembali cergas menjelang kejohanan. Beliau diturunkan semasa perlawanan menentang Sweden dan berjaya membalas dendam kekalahan England empat tahun sebelumnya dengan menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan penalti semasa melawan Argentina. Three Lions berjaya mara ke suku akhir sebelum disingkirkan oleh Brazil.

Namun, pada awal dekad 2000, hubungan beliau dengan Ferguson dilihat semakin renggang berikutan statusnya sebagai selebriti dan komitmennya di luar padang lebih-lebih lagi selepas berkahwin dengan bekas anggota kumpulan Spice Girl, Victoria Adams. Kemuncak kepada krisis ini ialah tindakan Ferguson menyepak but ke arah Beckham dan terkena pada bahagian keningnya. Insiden tersebut mencetuskan gosip perpindahan Beckham ke pasukan ternama seperti Real Madrid. Pada musim 2002-2003 yang juga musim terakhirnya dengan United, beliau membantu mereka merampas semula gelaran liga dari Gunners.

Pada musim panas 2003, Beckham menyertai Real Madrid dengan yuran perpindahan 25 juta paun sterling dengan kontrak empat tahun. Beliau menjadi pemain ketiga Inggeris yang menyertai Los Blancos selepas Laurie Cunningham dan bekas pemain Liverpool, Steve McManaman. Perpindahan tersebut memperlihatkan statusnya sebagai gergasi dalam dunia bola sepak dan dipertemukan dalam satu pasukan hebat yang turut menampilkan Zidane, Ronaldo, Roberto Carlos dan Raul Gonzalez. Bagaimanapun tempohnya di Real boleh dianggap berkecamuk kerana terlalu banyak pertukaran jurulatih dan kegagalan pasukan yang mempunyai nama besar merealisasikan potensi mereka sebagai pemenang di atas padang. Namun itu tidak menghalangnya membantu Los Vikingos memenangi Piala Super Sepanyol (2003) dan Liga Primera Sepanyol (2006-2007). Selepas kontraknya tidak disambung oleh presiden kelab Ramon Calderon, Beckham berhijrah ke Los Angeles Galaxy pada Julai 2007. Semasa kempen Piala Dunia 2006, Beckham berjaya membantu England layak ke suku akhir tetapi tewas di tangan penggantinya di United, Cristiano Ronaldo dan Portugal. Selepas kejohanan itu, Beckham melepaskan lilitan kapten England dan gelaran itu disandang bek tengah Chelsea, John Terry.

Semasa bersama Los Angeles Galaxy, ia boleh dianggap sebagai satu langkah pemasaran bukan saja untuk memasarkan jenama Beckham tetapi juga mempromosikan liga itu sendiri iaitu Major League Soccer (MLS). Tidak seperti hari ini di mana MLS dibarisi oleh pemain-pemain legenda seperti Kaka dan Didier Drogba, nama-nama besar boleh dianggap kurang di Amerika Syarikat ketika itu. Kehadiran beliau inilah yang merintis jalan kepada kemunculan pemain-pemain lain di sebelah Atlantik. Semasa di Galaxy, beliau berpindah beberapa kali secara pinjaman ke A.C Milan pada tahun 2009 dan 2010. Walaupun ramai menganggap langkah ini sebahagian daripada caranya mengekalkan kecergasan untuk kempen kelayakan England dan Piala Dunia 2010 serta satu lagi langkah pemasaran jenamanya, tetapi pengalamannya bersama pasukan bimbingan Carlo Ancelotti membantu Milan menduduki tempat ketiga Serie A pada tahun 2009.

Namun pengalaman pinjaman ini menimbulkan kemarahan penyokong dan melabelnya sebagai pemain separuh masa di Galaxy. Atas sebab itulah, Galaxy mahukannya kekal untuk musim penuh bersama mereka. Pada tahun 2011, beliau membantu Galaxy memenangi Piala MLS dan Perisai Penyokong dua kali berturut-turut. Pada tahun 2012, Beckham sekali lagi membantu kelabnya mengekalkan gelaran Piala MLS. Perlawanan tersebut juga merupakan perlawanan terakhirnya dengan Galaxy kerana pada Januari 2013, Beckham menandatangani kontrak jangka pendek dengan gergasi Perancis, Paris St. Germain. Sepanjang tempohnya di Parc des Princes, keseluruhan gajinya disumbang kepada satu badan kebajikan tempatan. Beckham hanya membuat 10 penampilan dan pada akhir musim mengumumkan inilah musim terakhirnya dalam sukan bola sepak. Pada perlawanan terakhirnya, Beckham dijadikan kapten dan membantu Blaise Matuidi menjaringkan gol pertama pasukan dari sepakan sudut. Pada minit ke-80 perlawanan, beliau dikeluarkan dan mendapat penghormatan dari penyokong dan pelukan rakan-rakan pemain dan pengurus.

Karier antarabangsanya juga turut menyaksikan kemerosotan Beckham. Walaupun bertanggungjawab membantu England layak ke Piala Dunia 2010 tetapi kecederaan yang dialami semasa bermain di Milan menyebabkan beliau terlepas menyertai kejohanan tersebut. Sepanjang penampilannya dengan pasukan kebangsaan, Beckham meraih 115 penampilan dan menjaringkan 17 gol. Beliau kurang 10 penampilan untuk menyamai rekod penampilan terbanyak yang dipegang penjaga gol legenda Leicester City, Peter Shilton yang memegang rekod 125 penampilan.

Siapa sangka, detik insiden kad merah yang dialami David Beckham menjadikannya sebagai ikon yang kita kenali hari ini. Ia mungkin satu detik pahit tetapi itu membawanya kepada lebih banyak kejayaan bersama Manchester United, Real Madrid, Los Angeles Galaxy dan Paris St. Germain. Dan itu menjadikannya sebagai salah satu gergasi dunia bola sepak yang kita kenali hari ini.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.