“Bismillahirrahmanirrahim, Beta, Sultan Muhammad Ke-V bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya Beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini, Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”

Usai baginda Tuanku bertitah melafazkan Warkah Ikrar di atas sebagai SPBYDPA semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-XV pada 24 April 2017 yang lalu, laungan ‘Daulat Tuanku’ dari segenap hadirin menggemakan seluruh Balairong Seri Istana Negara.

‘Daulat Tuanku’ bukan dilafaz dengan semata-mata menandakan junjungan duli atas naungan baginda raja atau sultan yang bertakhta. Ia bukanlah juga wajar dianggap cuba menggantikan Allahuakbar atau sebaliknya. Daulat Tuanku tidak layak menggantikan kalimah Allah Maha Besar yang setiap hari dan setiap waktu solat kita ucapkan.

Namun ia lebih besar maknanya dari sekadar laungan taat setia semata-mata. Tidaklah juga seperti yang segelintir anggap menyalahi syarak dengan lafaz ‘Daulat Tuanku’ ia mengagung-agungkan pula baginda Tuanku melebihi keesaan Nya, Allah, Tuhan yang satu.

Perkataan ‘daulat’ di dalam lafaz Daulat Tuanku adalah berasal dari perkataan Arab iaitu “دوْلة” (daulah) yang membawa maksud literalnya sebagai negeri, jajahan atau kawasan naungan.

Namun dari segi figuratifnya, ‘daulat’ atau ejaan Jawinya iaitu ‘داولت’ di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud bahagia dan bertuah.

Ini menjadikan bahawa ‘Daulat Tuanku’ di dalam Bahasa Melayu membawa maksud ‘Berbahagialah Tuanku’, satu bentuk doa yang ditujukan bagi memohon kesejahteraan baginda Tuanku agar terus sihat sejahtera dan berbahagia dalam memayungi rakyat jelata.

Mantera yang dipanjatkan khusus sebagai doa ini adalah supaya kebahagiaan dan keamanan yang dikecapi Tuanku atas izin Nya akan dizahirkan oleh Baginda supaya dapat terus menerus memerintah dengan aman dan dikurniakan kesihatan, agar dapat mentadbir rakyat jelata dengan adil dan saksama.

Ia adalah manifestasi Raja dan rakyat berpisah tiada, di mana Raja adalah pohon, manakala rakyat pula akarnya.

Walaupun pada suatu ketika setelah kedatangan Islam, titah raja adalah titah yang mutlak, kerana ketika itu baginda jugalah yang menjadi hakim dan menjalankan hukuman. Daulat Raja Melayu ketika itu adalah perlambangan kuasa mutlak yang tiada saingan.

Tidak dinafikan, sebelum dan ketika awal kedatangan Islam, perkataan Daulat Tuanku itu suatu ketika dahulu semata-mata menuntut taat setia dan memaparkan kegerunan akan kuasa mistik yang dikatakan pernah dimiliki oleh Raja-Raja Melayu suatu ketika dahulu. Ia sama makna dengan ‘tulah’ atau andeka yang kita tahu, kuasa mistik yang dimiliki Raja-Raja Melayu.

Raja Melayu pada ketika itu mengukuhkan daulatnya melalui konsep daulat yang jika dilanggar, maka ‘tulah’ akan menghambat atas perbuatan derhaka tersebut. Raja Melayu ketika itu menggunakan konsep ini untuk memastikan rakyat jelata tidak menderhaka dan taat setia tanpa berbelah bahagi.

Selain cerita-cerita lisan akan daulat Raja-Raja Melayu, Sejarah Melayu ada mengisahkan bagaimana Sang Rajuna Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah atas daulatnya, atau seperti sumpahan Seri Tri Buana yang mengatakan bahawa rakyat yang derhaka akan “dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas”.

Namun sekalipun daulat adalah pegangan Raja Melayu ke atas hamba rakyatnya, yang paling ditakuti rakyatnya adalah raja yang zalim, kejam serta tidak berlaku adil terhadap hamba rakyatnya. Maka kerana itu Daulat Tuanku sentiasa dilaungkan sebagai ingatan bukan sahaja untuk rakyat jelata, namun turut menjadi peringatan kepada baginda akan kepercayaan dan penyerahan diri rakyat kepada Raja adalah sumpahan dua hala rakyat-raja sebagaimana yang pernah Demang Lebar Daun dan Seri Tri Buana lafazkan.

Dengan ini dapat difahami bahawa Daulat Tuanku adalah lafaz yang dilaungkan supaya baginda Tuanku terus berbahagia menaungi kerajaan tetapi dalam masa yang sama memberi peringatan kepada baginda Tuanku akan kepentingan menjaga naungan hamba rakyatnya.

InsyaAllah, kini, ‘Daulat Tuanku’ kekal menggambarkan kehormatan baginda Tuanku yang dipilih Allah untuk memiliki keistimewaan menduduki takhta dan rakyat sentiasa mengingatkan baginda bahawa Allah jualah yang menzahirkan keistimewaan baginda atas singgahsana dengan laungan tersebut.

“Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Ali Imran : 26)

Kini, selain lafaz taat setia, mendoakan akan kebahagian baginda SPBYDPA, Daulat Tuanku juga adalah manifestasi tanggungjawab baginda Tuanku ke atas negeri dan wilayah naungannya, sebuah negara dengan nama Malaysia, tanah bertuah dan makmur. Betapa bertuahnya kita dikurniakan Baginda Tuanku selaku Ketua Kerajaan dan Negara yang bijaksana dan berpekerti mulia, elok paras rupa dan cantik titah serta budi bahasanya.

Dengan Daulat Tuanku, teruslah kita mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Baginda Tuanku supaya dapat terus memimpin kita dengan kesihatan yang berpanjangan dan buah fikiran yang bijaksana demi agama, bangsa dan negara kita ini.

Dirgahayu Tuanku. Sempena semalam detik 9 September 2018 bersamaan 28 Zulhijjah 1439 Hijrah, patik dengan penuh rasa syukur dan ta’zim, dengan berkat limpahan rahmat Allah SWT, atas keesaanNya mengurniakan kepada kami, Tuanku selaku Ketua kepada Kerajaan Malaysia ini, patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan mengucapkan selamat menyambut Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XV, Sultan Muhammad V.

Taat setia tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.