Datuk Seri Mah Siew Keong: Bagai Phoenix Bangkit Dari Abu

0
704
views

Bagi sesetengah orang, Datuk Seri Mah Siew Keong hanyalah seorang lagi ahli politik biasa yang membarisi Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Namun jika kita perhati lebih dekat, beliau sebenarnya seorang pemimpin tempatan yang amat dekat dengan komunitinya dan sentiasa berjuang untuk mereka walaupun kalah dua kali pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelumnya. Walaupun sudah diangkat sebagai Pengerusi Parti Gerakan dan dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Industri Komoditi, Teluk Intan tetap dekat di hati beliau.

Anak kelahiran Teluk Intan ini dilahirkan pada 17 Jun 1961. Memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Methodist Horley, beliau kemudian menyambung pembelajaran sekolah menengah di Teluk Intan. Setelah itu, Datuk Seri Mah meneruskan pengajian di luar negara. Beliau mengambil jurusan sains pengurusan di Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London (LSE) hingga tahun 1981. Selepas itu, Datuk Seri Mah melanjutkan pengajian Master dalam Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti  Bandaraya London (University of City London). Pada tahun 1991 pula, beliau mendapat ijazah perundangan dari Universiti London Timur (University of East London).

Penglibatan Datuk Seri Mah dalam dunia politik bermula apabila beliau menyertai Gerakan pada tahun 1993. Antara sebab beliau memilih Gerakan berbanding parti-parti lain ialah tertarik dengan perjuangan Gerakan yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan dalam negara Malaysia yang dicintai ini. Secara perlahan-lahan, Datuk Seri Mah mula mendapat tempat dalam parti dan diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan dalam parti sama ada di peringkat cawangan, negeri atau kebangsaan. Satu dekad selepas penyertaannya dalam parti, ahli akar umbi memilih beliau sebagai Ketua Pemuda Gerakan dan Pengerusi Gerakan Cawangan Teluk Intan. Pada tahun itu juga, pengerusi parti ketika itu, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik melantik Datuk Seri Mah sebahagian daripada anggota jawatankuasa kerja pusat. Selain itu, beliau turut diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Gerakan Negeri Perak dari tahun 2005 hingga 2008.

Pada pemilihan parti tahun 2008, Datuk Seri Mah dipilih delegasi parti sebagai salah seorang daripada tiga naib presiden Gerakan. Beliau mendapat 1,153 undi diikuti oleh Datuk Dr S. Vijaya Ratnam (678 undi) dan bakal pemimpin Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan (537 undi). Selepas PRU 2013, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Gerakan menggantikan penyandang sebelumnya, Teng Chang Yeow. Pada tahun sama, Datuk Seri Mah menewaskan Teng dengan peratusan 73% untuk jawatan pengerusi parti dengan Cheah Soon Hai sebagai timbalan pengerusi. Sementara Dr Asharuddin Ahmad, A. Kohilan Pillay dan Teo Eng Twe pula dilantik sebagai naib pengerusi parti.

Permulaan beliau sebagai ahli politik bermula di kampung halamannya, Teluk Intan. Pada tahun 1995, parti mencalonkan beliau sebagai calon DUN Pasir Bedemar, salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Teluk Intan untuk PRU 1995 melawan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chong Tat Chong dan calon bebas, Chelvarajah @ Selvarajah a/l Ponniah. Datuk Seri Mah tidak menghampakan Gerakan apabila menang dengan majoriti 3,172 undi. Pada PRU 1999 pula, beliau dicalonkan untuk kerusi Teluk Intan melawan calon DAP, Raj Nallaiya. Hasilnya, beliau menang dengan majoriti 2,783 undi. Keputusan sama berulang pada PRU 2004 apabila Datuk Seri Mah berjaya mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan dan calon DAP, Wu Him Ven dengan majoriti 10,041 undi. Namun pada PRU 2008 dan 2013, beliau kalah masing-masing dengan M. Manogaran (2008) dan Seah Leong Peng (2013), kedua-duanya dari DAP dengan majoriti 1,470 undi (2008) dan 7,313 undi (2013). Walaupun kalah, beliau tetap mengekalkan pusat khidmat rakyat di Teluk Intan dan terus berbakti kepada penduduk tanpa mengenal putus asa. Tetapi selepas kematian wakil rakyat itu akibat kanser pundi kencing pada 1 Mei 2014, satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan untuk memilih wakil baru Teluk Intan. Barisan Nasional (BN) sekali lagi memilih beliau sebagai calon sementara DAP pula mengambil risiko memilih bekas Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud. Pada PRK tersebut, Datuk Seri Mah berjaya mengatasi Dyana dengan majoriti 238 undi, sekaligus membantu beliau membuat kemunculan semula dalam arena politik selepas tiada selama tujuh tahun.

Dan sebagai ganjaran berjaya membantu BN merampas kerusi Teluk Intan daripada DAP, beliau diberi jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Selepas rombakan kabinet pada tahun 2016, Datuk Seri Mah diberi kepercayaan menerajui Kementerian Perladangan dan Industri Komoditi. Bagi beliau, ia satu kenangan pahit manis kerana kementerian tersebut pernah disandang oleh mendiang Tun Dr Lim dan ia diibaratkan seperti saat kembali semula ke rumah. Sebelum memegang peranan sebagai menteri penuh, Datuk Seri Mah juga pernah memegang peranan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengerusi MATRADE.

Selepas menjawat jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Industri Komoditi, beliau berusaha meningkatkan nilai tambah tanaman komoditi dan memperluas lagi pasaran bagi komoditi tersebut. Antara komoditi yang mendapat perhatian beliau ialah kelapa sawit. Bagi yang mengikuti penulisan The Patriots, pasti ada yang sedia maklum isu Kesatuan Eropah (EU) yang mahu menyekat eksport komoditi itu ke Eropah pada tahun 202- berdasarkan usul yang dibuat pada Parlimen Eropah awal tahun ini. Dan isu ini benar-benar menimbulkan kemarahan ramai termasuk Datuk Seri Mah kerana dianggap satu usaha mendiskriminasi negara-negara pengeluar kelapa sawit utama seperti Malaysia dan Indonesia.

Sebagai tindak balas, beliau mewakili kerajaan Malaysia menghantar surat bantahan kepada EU dan turut mengadakan pertemuan dengan beberapa negara seperti Sweden dan Belanda. Hasilnya, beberapa negara Eropah tidak menyokong usul tersebut. Dan disebabkan itu juga, ini mendorong Datuk Seri Mah mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk meluaskan lagi pasaran eksport ke negara-negara lain untuk mengelak masalah sama berulang. Isu ini akhirnya selesai apabila EU bersedia menerima eksport kelapa sawit dengan syarat semua ladang dan kilang pemprosesan kelapa sawit diberi sijil pengiktirafan mapan menjelang akhir tahun 2019. Selain itu, rakan eksport utama Malaysia, China turut memberi jaminan tidak akan mengenakan sekatan ke atas minyak sawit seperti mana yang dilakukan kepada produk minyak soya. Menurut Datuk Seri Mah, jaminan ini menunjukkan Beijing mengiktiraf amalan pertanian baik negara.

Sementara bagi komoditi getah pula, Datuk Seri Mah melihat komoditi tersebut boleh dikomersialkan untuk lebih banyak pasaran termasuk kejuruteraan. Buktinya, ia boleh saja digunakan untuk membuat bering bangunan dan boleh memberi hasil lumayan dari segi eksport. Pada tahun 2016 saja, nilai eksport bering ini mencecah RM14.14 juta berbanding RM10.38 juta pada tahun 2015. Selain itu, eksport sarung tangan getah juga mencecah nilai tinggi dan hasrat kementerian ialah mensasarkan eksport produk itu mencecah 65% menjelang tahun 2020. Dan bagi merancakkan lagi industri berkaitan getah, Datuk Seri Mah turut memberi jaminan sekatan eksport kayu getah masih kekal bagi membantu pengusaha perabot. Dan bagi merancakkan lagi peningkatan permintaan getah, kerajaan turut merancang menggunakan getah sebagai bahan membuat jalan raya. Jika ini diteruskan, ia boleh meningkatkan permintaan domestik sebanyak 10%. Dan tidaklah mengejutkan di mana bahan ini mula digunakan iaitu di Kampung Sungai Kerawai, Teluk Intan. Dan jalan ini turut mencatat sejarah sebagai jalan raya pertama di negara ini dan dunia yang menggunakan teknologi longgokan asfalt diubahsuai (CMA).

Teluk Intan Dahulu Dan Sekarang

Dedikasi beliau kepada rakyat tidak dapat dinafikan dan ia tetap diteruskan walaupun selepas bergelar menteri penuh. Datuk Seri Mah berusaha memastikan kehendak rakyat di Parlimen Teluk Intan terus ditunaikan dan bertambah sejahtera. Antara projek yang sedang dilaksanakan di Teluk Intan ialah sebuah lebuh raya baru iaitu Lebuh Raya Pantai Barat yang bermula di Banting dan berakhir di Taiping. Menurut Datuk Seri Mah, pembinaan lebuh raya ini akan mengurangkan masa perjalanan ke lokasi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebanyak 30 hingga 45 minit dan menghubungkan Teluk Intan dengan bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Kuala Lumpur. Ini sekaligus dapat menarik lebih ramai pelancong melawat Teluk Intan yang dikenali bukan saja sebagai lokasi Menara Condong tetapi juga dikenali sebagai syurga makanan.

Selain itu, pembinaan kampus kedua Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Teluk Intan seperti dijanjikan dalam manifesto PRK Teluk Intan juga sedang berjalan. Projek RM177,4 juta ini bakal menempatkan 2,000 pelajar dan 1,000 bakal pengajar dalam bidang vokasional dan teknikal. Projek ini dijangka membuka banyak peluang pekerjaan dan menjadikan kampus tersebut institut penyelidikan dan inovasi latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET). Menurut Datuk Seri Mah, pembangunan infrastruktur-infrastruktur ini menjadikan Teluk Intan lebih menarik sebagai tempat tumpuan para pelabur sama ada dalam atau luar negara.

Waqaf Saham

Manifesto-Manifesto Yang Dijanjikan

Manifesto pertama berkenaan Teluk Intan ialah keinginan Datuk Seri Mah mengubah situasi ekonomi Teluk Intan ke arah lebih baik. Untuk mencapai agenda tersebut, beliau mahu menjadikan Teluk Intan sebagai hub perindustrian terutama membabitkan sektor hiliran komoditi seperti kelapa sawit dan getah. Apabila itu berlaku, ia sebenarnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama golongan graduan. Ini ditambah pula dengan pembukaan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Teluk Intan membawa kehadiran 3,000 pelajar dan tenaga pengajar kampus berkenaan. Sementara projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan pada 18 April lepas membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi pendudk tempatan. Untuk manifesto kali ini, Datuk Seri Mah menjanjikan khidmat bimbingan kepada mana-mana peniaga tempatan yang berminat menjalankan perniagaan kenderaan saji (food truck) dan jualan motor bergerak. Selain itu, para peniaga terutama golongan belia turut mendapat bimbingan perniagaan atas talian dan akses kepada Skim Pinjaman Mikrokredit tanpa faedah.

Kedua, cuba menyelesaikan masalah pemilikan rumah mampu milik. Penduduk Teluk Intan sudah sedia maklum pelancaran projek PR1MA yang akan siap dibina menjelang tahun 2020 bersebelahan kampus UPSI Teluk Intan. Projek tersebut bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan sederhana (M40). Bagaimanapun ia tidak terhenti di situ saja. Pada majlis PR1MA sama, beliau berharap kerajaan dapat membina lebih banyak rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Dan ini direalisasikan menerusi janji pembinaan 500 unit PPR untuk projek Fasa 2 dan Fasa 3 serta memastikan kelancaran pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik PR1MA.

Menyedari kualiti hidup turut mempengaruhi kegembiraan penduduk di sesebuah kawasan, ini menjadi teras ketiga manifesto ‘Majulah Teluk Intan’. Menerusi manifesto yang digariskan, Datuk Seri Mah berjanji akan menunaikan janji membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa melawat Perak pada pertengahan April lepas. Sekiranya ini dapat direalisasikan, ia bakal memudahkan urusan penduduk tempatan dengan agensi-agensi kerajaan. Selain itu, jika diberi mandat mewakili Teluk Intan, penduduk bakal menyaksikan permulaan perkhidmatan bas mini antara bandar, penaiktarafan dan perluasan bas Rapid. Dan untuk memastikan laluan trafik berjalan lancar terutama waktu malam, Datuk Seri Mah berjanji akan menambah bilangan lampu jalan di Jalan Changkat Jong, Pasir Bedamar dan Jalan Maharajalela. Manifesto ini turut menjanjikan penaiktarafan Hospital Teluk Intan bagi memastikan hospital tersebut terus memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk.

Melihat kepada janji Datuk Seri Mah yang mahu memastikan semua penduduk tanpa mengira bangsa, agama atau umur mendapat perhatian sewajarnya, maka tidaklah mengejutkan mengapa ia menjadi teras keempat manifesto. Datuk Seri Mah mahu meneruskan bantuan kepada golongan ibu dan bapa tunggal serta bantuan kepada mana-mana penduduk yang layak memohon Baucer Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan mengemaskini permohonan mereka. Selain itu, kadar Bantuan Am Kebajikan turut dinaikkan antara RM300 hingga RM500. Sementara Bantuan Asas Bencana akan diberi kepada mana-mana warga Teluk Intan yang ditimpa musibah di mana bantuan tersebut dinaikkan kepada RM300. Bantuan membaiki rumah-rumah usang turut diteruskan selain janji memberi 38 meter padu air percuma kepada penduduk miskin dan 90 meter padu air percuma kepada rumah-rumah ibadat.

Dari segi pendidikan pula, Datuk Seri Mah mahu melihat penduduk sentiasa mendapat peluang pendidikan yang sama. Ini akan dicapai dengan menyediakan kelas tambahan percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Selain itu, bantuan pakaian seragam uniform sekolah kepada semua pelajar sekolah rendah diteruskan seperti yang dilakukan pada penggal pertama beliau sebagai Ahli Parlimen (MP) Teluk Intan. Pemberian baucer makanan tambahan kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan juga akan diteruskan sekiranya beliau kekal sebagai wakil rakyat Teluk Intan.

Isu masalah banjir merupakan antara situasi biasa yang dihadapi penduduk Teluk Intan. Dan bila isu ini timbul, maka seperti biasa, perang lidah tercetus antara pihak pembangkang dan parti pemerintah siapa seharusnya bertanggungjawab selesaikan isu ini. Bagi Datuk Seri Mah, beliau tidak berminat mengikut jejak langkah penyandang-penyandang sebelumnya dan lebih fokus kepada penyelesaian isu tersebut secara kekal. Menerusi manifesto ini, beliau mahu meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 2 dan Fasa 3 bagi melengkapi projek RTB Fasa 1. Projek RTB ini tidak hanya tertumpu kepada tebatan banjir semata-mata, sebaliknya ia bakal menyaksikan pembinaan Pusat Rekreasi Riverfront Sungai Perak. Ini sekaligus bakal memacu industri pelancongan di Teluk Intan dan memberi manfaat kepada 150,000 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Perak.

Manifesto ini turut mencari solusi masalah banjir kilat yang melanda Changkat Jong untuk jangka masa panjang dan menambah baik sistem peparitan sedia ada. Sebagai komitmen kepada penyelesaian ini, kerajaan BN Perak dengan kerjasama Datuk Seri Mah dan calon Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)/BN DUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin melancarkan Projek Baikpulih dan Menaiktaraf Sistem Peparitan di Kampung Bahagia, Changkat Jong pada 1 Mei lepas. Ia memberi kelegaan kepada 2,000 penduduk yang menghadapi masalah banjir kilat selama 15 tahun.

Dari segi keselamatan pula, Datuk Seri Mah mahu memastikan Parlimen Teluk Intan terus terpelihara daripada ancaman jenayah. Ini akan dicapai menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan berisiko berlakunya aktiviti jenayah.  Selain itu, keupayaan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela diperkasakan. Dan untuk memastikan keamanan penduduk terus terjaga, Datuk Seri Mah turut mencadangkan penyediaan lebih banyak pondok polis di kawasan kejiranan.

Akhir sekali demi meletakkan Teluk Intan dalam peta pelancongan Perak, Datuk Seri Mah turut mencadangkan beberapa langkah dalam manifestonya. Melihat Menara Condong merupakan satu monumen bersejarah penduduk tempatan, beliau mahu memohon pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) untuk mengiktiraf menara tersebut sebagai tapak warisan UNESCO. Selain itu, perancangan membina Laluan Warisan Anson dan Muzium Warisan Teluk Intan juga sebahagian daripada manifesto beliau jika dipilih sebagai MP Teluk Intan untuk penggal kedua.

Kesimpulan

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, banyak sikap beliau yang patut dicontohi para pemimpin pelapis tanpa mengira bendera parti mana yang dikibarkan. Satu perkara yang diingatkan Datuk Seri Mah ialah membuat keputusan yang bersifat jangka sederhana dan jangka panjang dan bukan bersifat jangka pendek dan populis. Ini berdasarkan refleksinya berkenaan isu Perjanjian Perkongsian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) yang hangat satu masa dulu sehingga jadi bahan kempen PRU 2013. Menurut beliau, mengambil pandangan yang bersifat jangka sederhana dan panjang ini sebenarnya lebih banyak memberi keuntungan kepada negara untuk jangka masa panjang. Ini kerana sifat terburu-buru dalam membuat keputusan dan suka mengambil pendirian populis bukan hanya menjejaskan kedudukan ekonomi negara tetapi juga menjejaskan prestij dan maruah negara. Dan bila kita merenung sikap terburu-buru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam beberapa isu termasuk perang dagang dengan China, nyata nasihat beliau ini ada benarnya.

Melihat kepada status beliau sebagai pemimpin utama parti komponen BN, maka tidaklah mengejutkan mengapa DAP berusaha mencalonkan pemimpin hebat mereka sebagai pencabar kerusi Parlimen yang disandang oleh Datuk Seri Mah. Antara nama yang diwar-warkan akan bertanding melawan beliau ialah M. Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP) dan Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Taiping (DAP). Tapi beliau tidak gentar dan menerima sesiapa yang mahu mencabarnya. Dan seminggu lepas, Nga dipilih untuk mencabar Datuk Seri Mah di Teluk Intan. Bagi beliau pula, sekiranya kalah pada PRU kali ini, sebarang tawaran senator untuk mengisi jawatan kabinet akan ditolak. Perkara ini bukan sesuatu yang baru kerana Datuk Seri Mah pernah menolak tawaran sama pasca-PRU 2013. Walaupun sedar bakal berhadapan tugas sukar mengekalkan kerusi Teluk Intan, beliau bersikap optimistik ia masih boleh dicapai.

SUMBER

  1. Yuk Peng, Lee dan Kong, Lester. (2008). Gerakan elections: Ko Youn wins deputy post (updated). https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/10/11/gerakan-elections-ko-youn-wins-deputy-post-updated/
  2. El Sen, Teoh. (2013). Astro Awani. Mah is new Gerakan boss. http://english.astroawani.com/malaysia-news/mah-new-gerakan-boss-24566
  3. Su-Lyn, Boo. (2014). The Malay Mail. 10 things about: Mah Siew Keong, the comeback kid. http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/10-things-about-mah-siew-keong-the-comeback-kid
  4. Tong, Matthew H. (2017). Paultan.org. Teluk Intan first to get rubberised roads in Malaysia. https://paultan.org/2017/10/13/teluk-intan-first-to-get-rubberised-roads-in-malaysia/
  5. Tee Ching, Ooi. (2017). New Straits Time. M’sian rubber industry shifting to high-value engineering: Mah Siew Keong. https://www.nst.com.my/business/2017/07/259665/msian-rubber-industry-shifting-high-value-engineering-mah-siew-keong
  6. The Star. (2018). Mah: More must be done to disseminate facts on palm oil. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/02/10/mah-more-must-be-done-to-disseminate-facts-on-palm-oil/
  7. The Sun. (2018). Stronger ringgit will not harm furniture exports, says Mah. http://www.thesundaily.my/news/2018/03/08/stronger-ringgit-will-not-harm-furniture-exports-says-mah
  8. The Star. (2018). Good news for Malaysian palm oil. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/03/20/good-news-for-msian-palm-oil-mah-mpso-certification-will-ensure-its-entry-into-eu-market/
  9. Free Malaysia Today. (2018). UPSI campus to be ready in Teluk Intan by the end of 2018. http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/01/04/upsi-campus-to-be-ready-in-teluk-intan-by-end-of-2018/
  10. Li Leen, Chan. (2018). The Star. New highway set to be a boon to Teluk Intan. https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2017/12/04/new-highway-set-to-be-a-boon-to-teluk-intan-west-coast-expressway-will-cut-travel-time-to-kuala-lump/
  11. Nambiar, Predeep. (2018). Free Malaysia Today. Mah: I won’t accept a senatorship if I lose in Teluk Intan. http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/04/05/mah-i-wont-accept-a-senatorship-if-i-lose-in-teluk-intan/
  12. Hasnan, Harits Asyraf. (2018). Astro Awani. Nga Kor Ming pertaruh nasib di Teluk Intan. http://www.astroawani.com/berita-politik/nga-kor-ming-pertaruh-nasib-di-teluk-intan-173119