Datuk Seri Johari Ghani: Ahli Ekonomi Bijaksana

0
1313
views

Semasa Datuk Seri Johari Abdul Ghani mula naik sebagai Ahli Parlimen Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)/Barisan Nasional (BN) Titiwangsa pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, beliau kelihatan seperti seorang ahli politik biasa-biasa saja. Tetapi siapa sangka, sikapnya yang amat mencintai komuniti tempatan dan amat tegas dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan II memenangi hati ramai pihak. Maka tidak hairanlah, ada menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang patut dicontohi.

Datuk Seri Johari merupakan anak jati Kampung Pandan dan dilahirkan pada 6 Mac 1964. Beliau mendapat pendidikan formal pertama di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Pandan (kini dikenali Sekolah Rendah Kebangsaan Tun Hussein Onn) dari 1971 hingga 1976. Setelah itu, Datuk Seri Johari meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Aminudin Baki di Kampung Pandan dari 1977 hingga 1981. Beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1982 hingga 1985 dan mendapat Diploma Perakaunan. Datuk Seri Johari melanjutkan pengajian perakaunan di United Kingdom dan menjadi anggota Persatuan Berkanun Akauntan Bertauliah pada tahun 1991.

Selepas tamat pengajian, beliau mula bekerja di sebuah firma perakaunan antarabangsa, Peat Marwick & Co. (kini dikenali KPMG). Setelah itu, Datuk Seri Johari diberi peluang memegang pelbagai jawatan senior di pelbagai syarikat senarai dan bukan senarai awam. Antara peranan yang pernah dipegang beliau ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan KFC Holdings dari 4 September 2001 hingga 26 Jun 2007 dan Pengarah Eksekutif QSR Brands Bhd dari 27 Disember 2001 hingga 7 Jun 2006. Beliau turut berkhidmat sebagai pengarah CI Holdings Bhd dari 29 November 2002 hingga 29 Julai 2015 dan bekas pengerusi UDA Holdings Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pembangunan bandar. Selain aktif di peringkat korporat, Datuk Seri Johari amat aktif dalam segmen kebajikan dan khidmat komuniti. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemakanan Negara untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, anggota Lembaga Pelawat Hospital Kuala Lumpur dan anggota Jawatankuasa Badan Amal dan Aduan Rakyat Wilayah Persekutuan.

Penglibatan Datuk Seri Johari dalam bidang politik sudah bermula sejak tahun 1988 lagi. Sepanjang 24 tahun penglibatannya dalam UMNO dan BN, beliau sudah memegang banyak jawatan di peringkat cawangan Titiwangsa termasuk sebagai Pemangku Ketua UMNO Cawangan Titiwangsa dan Pengerusi Penyelaras BN di parlimen tersebut. Sebelum bergelar Ahli Parlimen lagi, Datuk Seri Johari menunjukkan inisiatif dengan membuka pusat khidmat sendiri, menggaji kakitangan sepenuh masa dan berada di pusat itu pada setiap hari Rabu. Walaupun wakil rakyat ketika itu ialah wakil Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr Lo’ Lo’ binti Mohd Ghazali, itu tidak menghalang beliau berkhidmat kerana inilah peluangnya untuk kembali menyumbang kepada kampung kelahirannya. Antara isu yang menjadi perhatian beliau ialah isu kemiskinan, penempatan setinggan, infrastruktur dan peniaga kecil. Dan inilah apa yang diperjuangkan Datuk Seri Johari selepas menang di Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 866 undi.

Selepas mendapat mandat sebagai wakil rakyat Titiwangsa, Datuk Seri Johari berusaha memperjuangkan semua isu yang dibangkitkan dan mengambil kira maklum balas orang ramai. Dan ini kadangkala menimbulkan konflik dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih-lebih lagi sekiranya isu itu tidak memberi solusi bersesuaian kepada penduduk tempatan. Misalnya, isu Pasar Datuk Keramat di mana tapaknya dijual pada sebuah syarikat pemaju tanpa mengambil kira suara penduduk dan wakil rakyat. Kebimbangan beliau di sini ialah tidak mahu melihat peniaga-peniaga Melayu dihalau keluar dari tapak tersebut dan alternatif yang diberikan tidak memberi keuntungan sama sekali kepada para peniaga Melayu. Begitu juga dengan aspek pembangunan Kampung Bharu di mana ianya perlu diurus secara holistik dan tidak terburu-buru demi memastikan kepentingan semua penduduk kawasan tersebut terpelihara. Ketegasan Datuk Seri Johari amat dikagumi ramai dan menunjukkan betapa tingginya semangat komuniti dalam diri Menteri Kewangan II ini.

Melihat pengalaman luas beliau dalam dunia korporat, maka tidaklah mengejutkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan nama beliau sebagai sebahagian daripada nama baru yang menyertai Kabinet selepas rombakan yang dijalankan pada 28 Julai 2015. Datuk Seri Johari dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan menerusi rombakan itu. Pemilihan beliau dibuat atas sebab mahu membantu kerajaan menjana pendapatan lain selain petroleum, mengawal perbelanjaan mengurus kerajaan dan menyakinkan agensi-agensi penarafan kredit seperti Moody’s dan Fitch untuk tidak memberi gred rendah kepada negara. Setahun selepas itu, satu lagi rombakan Kabinet dilakukan di mana beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan II menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang berundur atas sebab peribadi. Dan di sinilah, Datuk Seri Johari mengorak langkah sebagai seorang ahli ekonomi yang berkaliber.

Selepas diberi mandat sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebelum dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh, pelbagai pencapaian telah dicapai dalam kementerian tersebut. Walaupun sepanjang tempoh 2015-2016 menyaksikan mata wang Ringgit turun, itu tidak menghalang kerajaan menurun defisit daripada 3.2% kepada 3.0%. Sementara nisbah hutang turun daripada 52.7% kepada 50.8%. Sementara semua agensi penarafan di atas pula memberi penarafan A- dan A3 kepada bon kerajaan Malaysia.

Selain itu, pelbagai laporan dari pelbagai agensi seperti Bank Dunia dan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) turut memberi gambaran ekonomi negara sebenarnya berjalan rancak dan bukannya muflis seperti dijaja sesetengah pihak. Dan sikap proaktif beliau mematikan pelbagai berita tidak benar berkenaan aspek ekonomi negara turut memberi keyakinan kepada para pelabur untuk melabur dalam negara. Buktinya, setiap tahun negara menerima pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM40 bilion setiap tahun dan ia membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Untuk tempoh tiga tahun saja, FDI membuka peluang 1.1 juta pekerjaan baru sementara industri kecil dan sederhana (IKS) pula menyumbang sebanyak 65% peluang pekerjaan atau 6.8 juta pekerjaan.

Walaupun sibuk dengan tugasan kementerian, sesuatu yang diketahui mengenai beliau ialah tabiat Datuk Seri Johari sentiasa meluangkan masa di pusat khidmatnya di Desa Pandan pada setiap Jumaat dari 2.00 petang hingga lewat petang. Di situ, beliau akan cuba menyelesaikan masalah penduduk tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama. Ini menunjukkan dedikasinya sebagai seorang wakil rakyat dan sekaligus, membuang tanggapan politikus yang hanya muncul semasa pilihan raya.

Manifesto-Manifesto Sekiranya Dipilih Semula

Waqaf Saham

lima perkara yang digariskan Datuk Seri Johari dalam manifesto beliau amat menepati kehendak pengundi Parlimen Titiwangsa. Lima perkara itu ialah menangani isu kos sara hidup dan perumahan, menjana pendapatan dan menambahbaik situasi ekonomi setempat, menyayangi komuniti, memantapkan aspek kemahiran dan pendidikan serta mengukuhkan lagi aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Isu kos sara hidup dan perumahan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ini dihadapi di kebanyakan tempat di negara ini. Dan selalunya yang menjadi mangsa belasahan rakyat yang terbeban dengan isu ini ialah pihak kerajaan. Bagi Datuk Seri Johari sendiri, cara terbaik untuk menangani kenaikan kos sara hidup ialah menerusi pengenalan Baucer Rakyat 1Malaysia (BR1M). BR1M merupakan hasil buah fikiran bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz semasa Belanjawan 2012. Menurut beliau, BR1M merupakan idea terbaik untuk bantu rakyat berpendapatan rendah tangani kos sara hidup. Kelompok ini mendapat manfaat segera dengan penambahan pendapatan boleh guna dan peningkatan kuasa beli barang keperluan. Selain itu, ia turut merancakkan pertumbuhan ekonomi di peringkat domestik dan menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS). Pemberian sebegini bukanlah satu perkara asing kerana turut dilakukan oleh beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Thailand.

Datuk Seri Johari turut melihat sudah tiba masanya Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengkaji semula bentuk bantuan yang dihulurkan kepada kelompok miskin bandar. Ini kerana menurut beliau, perbezaan kos sara hidup penduduk miskin bandar dan luar bandar amat berbeza. Justeru, garis panduan dan kriteria penerima bantuan sedia ada perlu dirombak dan ditambahbaik bagi memastikan penerima yang layak mendapat bantuan sepatutnya tatkala berusaha keluar dari kepompong kemiskinan.

Dari segi perumahan pula, ini satu cabaran bagi mana-mana calon termasuk Datuk Seri Johari sendiri. Ini kerana ia satu situasi yang rumit yang sudah berlaku sejak era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed. Contohnya di Kampung Baru, sebarang bentuk pembangunan yang dijalankan hendaklah tidak menggadai rizab Melayu yang berada di situ. Ini ditambah pula dengan hasrat waris yang berbeza-beza berkenaan pemilikan rumah dan apa rancangan mereka terhadap rumah tersebut. Menurut Datuk Seri Johari, sebarang pembangunan yang dibuat seperti kondominium dan lot kedai akan dibuat oleh orang Melayu dan bersifa tersusun. Selain itu, projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) juga akan diteruskan demi memastikan penduduk mendapat kediaman yang selesa. Dan ini sesuatu yang mahu diteruskan beliau sekiranya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen (MP) Titiwangsa pasca-PRU 2018.

Manifesto seterusnya melibatkan menjana kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan penduduk tempatan. Bagi Datuk Seri Johari, isu ini sudah diperjuangkan sejak bergelar MP Titiwangsa pasca-PRU 2013 dan ini sesuatu yang mahu diteruskan beliau sekiranya mendapat mandat pasca-PRU 2018. Ini kerana menurutnya, kelompok Melayu bandar perlu dibantu meningkatkan lagi keupayaan mereka menjana pendapatan. Bagi kelompok profesional dan ada pendidikan tinggi, mereka boleh saja berkecimpung dalam sektor-sektor kritikal, perniagaan dan IKS sementara yang tiada pendidikan sebegini, mereka berniaga di gerai-gerai, pasar dan warung. Mereka ini hidup di bandar, ada pendapatan dan jadi usahawan kecil-kecilan. Kelompok sebegini harus dibantu bukan saja dari segi inisiatif kewangan tetapi juga sokongan infrastruktur dan kerajaan untuk membolehkan mereka terus berkembang dan meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Dari segi komuniti pula, Datuk Seri Johari melihat mandat yang diberi jika dipilih sebagai MP Titiwangsa sebagai peluang untuk terus berbakti kepada rakyat dan meningkatkan kemudahan komuniti sedia ada. Salah satu agenda beliau semasa kempen PRU kali ini ialah membina dan menaiktaraf masjid dan surau di Parlimen Titiwangsa. Antara masjid dan surau terlibat ialah Masjid Jamek Kampung Bharu, Masjid Ar-Rahimah Desa Pandan, Masjid Alam Shah Pudu, Surau PPR Cochrane Perkasa dan Surau Taman Maluri. Menerusi proses penambahbaikan dan penaiktarafan ini juga, masjid-masjid dan surau-surau yang terlibat akan mendapat permaidani baru menggantikan permaidani lama yang sudah lusuh, pemasangan sistem pendingin hawa dan pembelian sembilan van jenazah untuk kegunaan kariah masjid di parlimen itu. Datuk Seri Johari turut berjanji membiayai guru-guru agama dan kelas khas agama serta bantuan keperluan sekolah-sekolah agama dalam kawasan Titiwangsa. Walaupun beliau menekankan soal pembangunan institusi Islam di parlimen itu, tidaklah bermakna keperluan masyarakat bukan beragama Islam dipinggirkan begitu saja. Malah Datuk Seri Johari turut beri jaminan keperluan mereka akan terus terpelihara seiring dengan prinsipnya yang menghormati dan toleransi terhadap agama-agama lain. Beliau juga tidak teragak-agak akan menyokong rancangan penduduk yang dilihat boleh memberi manfaat kepada komuniti sekitar Parlimen Titiwangsa.

Dari segi pendidikan, ini merupakan cara terbaik untuk meningkatkan taraf hidup seseorang dan itu disedari Datuk Seri Johari sendiri berdasarkan pengalaman hidupnya. Melihat kepada manifesto parti peringkat pusat, itulah janji yang akan terus dipegang sekiranya diberi amanah sebagai MP Titiwangsa. 

Kesimpulan

Untuk PRU kali ini, Datuk Seri Johari bersedia mempertahankan kerusi yang dimenangi pada tahun 2013. Walaupun wujud suara-suara nakal yang mahukan penduduk memberi peluang kepada mereka, beliau tidak merasa tercabar. Sebaliknya, Datuk Seri Johari mahukan penduduk membuat pilihan yang terbaik bagi memastikan mandat yang diberikan setiap empat atau lima tahun tidak disia-siakan begitu saja.

Untuk terus kekal relevan di mata rakyat, seseorang pemimpin haruslah sentiasa berdedikasi dan bersedia mendengar permasalahan rakyat. Pendekatan sebegini sebenarnya membuatkan penduduk merasa yakin dengan wakil yang dipilih dan ini yang dilakukan oleh Datuk Seri Johari sepanjang lima tahun sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa. Jika generasi pemimpin pelapis seterusnya mahu terus kekal relevan, maka contohilah pemimpin-pemimpin sebegini dalam mendepani masalah rakyat.

SUMBER

  1. Shazli, Nazrul. (2015). Astro Awani. Rombakan Kabinet Malaysia 2015 – Siapa baru, siapa digugurkan. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/rombakan-kabinet-malaysia-2015-siapa-baru-siapa-digugurkan-67595
  2. Maslih, Kamil, Mustapha, Mohd Asron dan Baharom, Sofian. (2016). Utusan Malaysia. Senarai rombakan kabinet. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/senarai-rombakan-kabinet-1.347651
  3. Hamid, Hafizahril dan Ahmad Termizi, Amizul Tunizar. (2018). Utusan Malaysia. Tohmahan pembangkang logikkah? http://m.utusan.com.my/rencana/utama/tohmahan-pembangkang-logikkah-1.639099
  4. Titiwangsa Watch. (2018). Johari Ghani for Titiwangsa. http://titiwangsa-watch.blogspot.my/2018/04/johari-ghani-for-titiwangsa.html?m=1
  5. Astro Awani. (2018). Dorongan politik matang asas pembangunan Kampung Bharu. – MAS. http://www.astroawani.com/berita-politik/dorongan-politik-matang-asas-pembangunan-kampong-bharu-mas-172247
  6. Astro Awani. (2018). Melayu perlu fokus – Johari Abdul Ghani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/melayu-perlu-fokus-johari-abdul-ghani-172847
  7. Musa, Idris. (2018). New Straits Time. Titiwangsa clubs, NGOs declare support for Johari Ghani. https://www.nst.com.my/news/politics/2018/03/350447/titiwangsa-clubs-ngos-declare-support-johari-ghani
  8. Astro Awani. (2018). ‘Syed Badli jangan campur urusan dalaman UMNO Titiwangsa’ – Azizul Rahman. http://www.astroawani.com/berita-politik/syed-badli-jangan-campur-urusan-dalaman-umno-titiwangsa-azizul-rahman-171415

 

Previous articleDato Seri Amar Diraja Abdul Rahman – Permata Johor
Next articleDatuk Seri Mah Siew Keong: Bagai Phoenix Bangkit Dari Abu
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE