16 Mei 2018 merupakan tarikh bersejarah bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana pada tarikh itu, beliau bukan saja dibebaskan dari penjara sebulan lebih awal selepas mendapat pengampunan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang diusahakan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan. Malah pembebasan dari penjara itu juga membuka peluang kepadanya kembali ke arena politik dan sekaligus, mempunyai peluang sebagai Perdana Menteri menggantikan penyandang ketika ini, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa bersesuaian. Tetapi siapa sebenarnya tokoh senior dalam pakatan baru kerajaan ini?

Anak jati Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini dilahirkan pada 10 Ogos 1947. Bapanya, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman merupakan bekas Ahli Parlimen (MP) Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Seberang Perai Tengah dari tahun 1959 hingga 1969 dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan. Sementara ibunya, Che Yah Hussein merupakan seorang surirumah dan bergiat aktif untuk pergerakan akar umbi UMNO di Pulau Pinang. Beliau pernah mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian Kajian Melayu di Universiti Malaya.

Selepas ditahan pihak berkuasa menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengetuai demonstrasi pelajar di Baling antara tahun 1974 hingga 1975, Datuk Seri Anwar meneruskan pengajian Sarjana Kesusasteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia semasa dalam tahanan. Beliau berkahwin dengan pakar mata dan bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dikurniakan enam orang cahaya mata. Anak sulung mereka, Nurul Izzah merupakan seorang ahli politik dan pernah berkhidmat sebagai MP Lembah Pantai (2008-2018) dan kini berkhidmat sebagai MP Permatang Pauh selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Semasa mudanya, beliau amat aktif dalam pergerakan pelajar dan merupakan pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Datuk Seri Anwar juga merupakan presiden kedua organisasi tersebut antara tahun 1974 hingga 1982. Bagi yang sudah arif dengan ABIM, pasti ramai berpandangan kebanyakan ahli dan pemimpinnya akan cenderung menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Antara pemimpin PAS yang dikenali bermula dari ABIM ialah Allahyarham Datuk Dr Fadzil Nor, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun, beliau memecah tradisi dengan menyertai UMNO pada tahun 1981.

Selepas menyertai UMNO, Datuk Seri Anwar pernah menjadi Menteri Budaya, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984) dan Menteri Pendidikan (1986). Semasa tempoh beliau sebagai Menteri Kewangan (1991), Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dan ini membawanya tersenarai dalam senarai empat teratas menteri kewangan Euromoney dan Menteri Kewangan Terbaik Tahunan oleh Asiamoney pada tahun 1996. Antara sebab beliau berjaya ialah penekanan kepada aspek kebertanggungjawaban, menyokong prinsip pasaran bebas dan enggan menjamin syarikat bermasalah. Maka tidak hairanlah pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa.

Pada tahun 1993 semasa sesi pemilihan UMNO, beliau berhadapan dengan penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Selepas berjaya mengalahkan beliau, Datuk Seri Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri baru. Hubungan beliau dengan Tun Dr Mahathir dianggap seperti hubungan bapa-anak dan atas sebab itulah, semasa beliau hendak bercuti selama dua bulan, Datuk Seri Anwar dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri pada tahun 1997. Namun hubungan kedua-duanya mula renggang berikutan pendirian berbeza mengenai polisi negara termasuk dasar yang bersifat perlindungan (protectionism). Kemuncak kepada ketegangan hubungan Datuk Seri Anwar-Tun Dr Mahathir ialah pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri tahun sama. Akibatnya, beliau menggerakkan kempen Reformasi terhadap Barisan Nasional (BN) dan Tun Dr Mahathir.

Namun harga yang dibayar amat mahal apabila Datuk Seri Anwar ditahan pada September 1998 dan didakwa atas tuduhan liwat dan rasuah. Beliau dipenjarakan selama enam tahun untuk kesalahan liwat dan sembilan tahun untuk kesalahan rasuah tetapi bagi penyokong dan komuniti antarabangsa, ia sebenarnya satu manipulasi politik dengan tujuan menghukum mana-mana penentang kerajaan ketika itu. Selepas pertuduhan liwat ke atasnya dibatalkan mahkamah, beliau dibebaskan pada tahun 2004 tetapi tidak dibenarkan bergiat dalam politik selama lima tahun. Datuk Seri Anwar cuba merayu keputusan itu di mahkamah pada September 2004 tetapi tidak berhasil dan hanya dibenarkan kembali aktif pada April 2008.

Sementara menunggu tempoh tersebut tamat, beliau memegang pelbagai jawatan pengajar di peringkat institut pengajian tinggi. Antara beberapa institusi yang pernah menerima sentuhannya ialah Kolej St. Antony, Oxford, Sekolah Kajian Antarabangsa Lanjutan di Universiti Johns Hopkins dan Sekolah Perkhidmatan Luar di Universiti Georgetown. Pada tahun 2007, beliau turut menandatangani surat terbuka A Common Word Between Us and You dari para cendekiawan Islam kepada para pemimpin Nasrani yang menyeru ke arah keamanan dan persefahaman antara kedua-dua pihak.

Pada November 2006, Datuk Seri Anwar mengumumkan hasrat kembali bergiat dalam dunia politik dan dilantik sebagai Ketua Umum PKR, parti di mana isterinya, Datuk Seri Wan Azizah sebagai presiden. Beliau juga bertanggungjawab mengetuai perhimpunan Bersih 2007 yang mendesak pilihan raya yang adil dan bersih menjelang PRU12. Dalam PRU tersebut, PKR bersama dua lagi parti iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PAS menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat (PR) yang merampas lima negeri dan mendapat 1/3 kerusi di Parlimen. Datuk Seri Anwar membuat kemunculan semula di Parlimen dengan memenangi kerusi Permatang Pauh dalam satu pilihan raya kecil (PRK) mengatasi calon UMNO/BN, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Tempohnya di Parlimen pasca-PRU12 tidak lari dari kontroversi dengan dakwaan beliau akan membentuk kerajaan majoriti dengan syarat 30 MP BN mengalihkan sokongan kepada PR. Tarikh tutup bagi rancangan ini ialah 16 September 2008. Bagaimanapun selepas tarikh tersebut berlalu, tiada sebarang pertukaran kerajaan berlaku dan reputasi beliau sedikit sebanyak terjejas selepas rancangan tersebut gagal. Semasa tempoh ini juga, Datuk Seri Anwar turut diuji dengan satu lagi pendakwaan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan tetapi didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2012.

Menjelang PRU13, PR kembali semula ke gelanggang pilihan raya dengan beliau berikrar akan berundur dari dunia politik sekiranya mereka kalah. Pada PRU tersebut, walaupun berjaya mendapat tujuh kerusi tambahan Parlimen, PR hanya berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dengan Kedah dan Perak kembali di bawah penguasaan BN. Beliau tidak menyerah kalah dan menyifatkan PRU tersebut dicemari dengan unsur penipuan dan ini membawa kepada perhimpunan dan gerakan #Black505. 30 petisyen dilancarkan untuk membantah keputusan di 30 kerusi parlimen yang dipertikaikan tetapi semua ditolak oleh mahkamah atas alasan teknikal.

Insiden Langkah Kajang seharusnya membuka ruang untuknya melebarkan sayap untuk mendapatkan kerusi yang diidamkan, kerusi Perdana Menteri. Tetapi sebelum sempat ianya dapat direalisasikan, Datuk Seri Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan liwat dan dihukum penjara lima tahun. Beliau cuba merayu keputusan tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan dengan hukuman kesalahan itu dikekalkan. Keputusan itu menyebabkan Datuk Seri Anwar tidak boleh bertanding dalam PRK Kajang dan beliau digantikan oleh Datuk Seri Wan Azizah.

Dalam PRK tersebut, Datuk Seri Wan Azizah berjaya mengatasi calon Persatuan Cina Malaysia (MCA) Datin Paduka Chew Mei Fun. Langkah Kajang turut menyaksikan perubahan tampuk pentadbiran negeri apabila kerajaan PR mahukan Datuk Seri Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tetapi dibantah ramai termasuk salah satu parti PR, PAS. Selepas Sultan Selangor melantik Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor baru, baginda turut menarik balik darjah kehormatan Datuk Seri Anwar yang membawa gelaran Datuk Seri atas alasan mempersoal integriti pemerintah semasa krisis tersebut berlaku. Bagaimanapun, beliau masih boleh menggunakan gelaran Datuk Seri kerana darjah tersebut dikurniakan kepadanya oleh beberapa negeri di Malaysia.

Semasa dalam penjara, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca buku, menulis dan ada masanya, menjadi orang tengah sekiranya berlaku ketegangan antara kepimpinan parti. Pada akhir tahun lepas, Tun Dr Mahathir yang ketika itu sudah meninggalkan UMNO dan membentuk partinya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan perjumpaan dengan beliau dan daripada pertemuan ini, dua bekas musuh saling bermaafan dan bersedia melupakan kenangan silam demi agenda reformasi.

Kerjasama dua pemimpin ini dilihat menjadi pembuka jalan kepada pembentukan kepimpinan baru Pakatan Harapan dengan Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi dan beliau sendiri sebagai Ketua Umum. Dan ini juga secara tidak langsung menyumbang kejayaan mengejut Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 lepas di mana mereka berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Antara janji PH semasa kempen PRU mereka ialah mendapatkan pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar dan ia direalisasikan pada 16 Mei 2018.

Walaupun sudah dibebaskan dan dianggap calon bakal Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun, Datuk Seri Anwar memilih untuk membiarkan pentadbiran baru diketuai Tun Dr Mahathir melancarkan reformasi yang dirasakan perlu untuk menambahbaik dan menghilangkan kelemahan yang membelenggu kerajaan hari ini. Beliau mengisi masa dengan memenuhi jemputan sebagai speaker di beberapa negara seperti Britain dan Amerika Syarikat. Dan untuk memastikan pentadbiran PH berjalan lancar, ada masanya Datuk Seri Anwar turut dipanggil untuk menyelesaikan beberapa isu seperti isu perlantikan Peguam Negara baru-baru ini. Beliau sudah menjelaskan dari awal mahu menjadi rakyat biasa namun itu tidak menghalangnya menyeru rakyat memberi teguran dan kritikan membina kepada PH dalam agenda reformasi mereka.

Semasa ditemubual akhbar South China Morning Post, bila ditanya siapa inspirasi beliau, Datuk Seri Anwar menjadikan ikon kebebasan Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela sebagai inspirasi. Beliau melihat lebih baik rakyat mengingatinya atas apa yang diperjuangkan daripada dilupakan terus dan hilang dari catatan sejarah. Datuk Seri Anwar turut menjadikan Islam dan keluarga sebagai pendorong kepada agenda reformasi dan sentiasa kekal optimis walaupun situasi kadang-kadang tidak menyebelahinya. Dan sikap itu juga yang dilihat memberi harapan kepadanya bahawa PH berpeluang untuk menang walaupun dengan margin kecil. Dan apa yang berlaku pada 9 Mei 2018 sudah jadi sejarah.

SUMBER

  1. BBC. (2018). Anwar Ibrahim: Malaysia’s leader-in-waiting. https://www.bbc.com/news/world-asia-16440290
  2. Ibrahim, Zuraidah dan Jaipragas, Bhavan. (2018). South China Morning Post. ANWAR IBRAHIM Q&A: MALAYSIAN DEMOCRACY ICON ON PRISON, DISSENT AND THE CAUTIOUS APPROACH TO RACE. http://www.scmp.com/week-asia/politics/article/2148930/anwar-ibrahim-qa-malaysian-democracy-icon-prison-dissent-and

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.