Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan: Teknokrat Kebanggaan Kota Belud

0
358
views

Bagi anak-anak Sabah, pasti nama Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak asing dalam kalangan rakyat negeri tersebut. Ini kerana anak jati negeri Sabah ini sentiasa berusaha membawa pembangunan bukan saja kepada kawasan Parlimen Kota Belud tetapi juga kepada Negeri Di Bawah Bayu itu. Dan menerusi kapasitinya sebagai menteri, Datuk Seri Abdul Rahman turut tidak ketinggalan memperkenalkan pelbagai reformasi dalam kementerian yang diwakilinya iaitu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT) (2013-2016) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2016-kini).

Anak jati Kota Belud ini dilahirkan pada 24 November 1965 dan mempunyai tujuh adik-beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Johns dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Johns, Tuaran, beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Negeri Sonoma (Sonoma State University), California dalam jurusan ekonomi dan pengurusan. Datuk Seri Abdul Rahman mendapat ijazah dalam jurusan berkenaan pada tahun 1986. Beliau berkahwin dengan bekas personaliti stesen televisyen NTV7, Datin Seri Norzlina Awang Had dan pasangan bahagia ini dikurniakan tiga cahaya mata.

Semasa kecilnya, beliau dan adik-beradiknya sentiasa diajar bersederhana oleh bapa mereka, Allahyarham Datuk Haji Dahlan dalam kehidupan. Allahyarham yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tuaran sentiasa menekankan menjaga hubungan silaturahim termasuk dengan ahli keluarga. Didikan beliau memberi kesan besar kepada kehidupan mereka termasuk Datuk Seri Abdul Rahman sendiri. Dan statusnya sebagai pemimpin masyarakat turut mendedahkan mereka kepada dunia politik secara tidak langsung.

Sebelum sampai di tahap yang kita ketahui hari ini, Datuk Seri Abdul Rahman bermula sebagai Ketua Pemuda Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (UMNO) Sabah. Beliau kemudian berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebelum dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Peringkat Pusat pada tahun 2004. Pengalamannya dalam organisasi dan pendedahan awal kepada dunia politik menjadikan Datuk Seri Abdul Rahman bersedia dengan sepak terajang dunia tersebut.

Atas sebab itulah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, beliau diberi kepercayaan oleh Datuk Seri Musa sebagai calon Parlimen Kota Belud menggantikan penyandang ketika itu merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak. Pemilihan Datuk Seri Abdul Rahman dianggap kontroversi pada ketika itu tetapi ia berjaya dimatikan dengan sokongan Datuk Seri Salleh dan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tampasuk merangkap Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Lawan beliau ialah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap bekas naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Saidil @ Saidi bin Simdi. Dalam pilihan raya itu, Datuk Seri Abdul Rahman berjaya mengatasi Saidil dengan majoriti 4,023 undi.

Selepas dilantik sebagai Ahli Parlimen (MP), beliau menjadikan Parlimen sebagai pentas menyuarakan masalah penduduk terutama isu pembangunan. Dan Datuk Seri Abdul Rahman tidak teragak-agak bersuara dalam mana-mana isu dan mempunyai pendirian tegas dalam mempertahankan polisi kerajaan. Semasa penggal pertama beliau sebagai MP Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman turut dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan menjadi Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC). Selain itu, beliau turut berikrar mahu mengubah imej Kota Belud sebagai pekan koboi.

Berikutan prestasi baik sebagai MP Kota Belud, nama Datuk Seri Abdul Rahman dikekalkan sebagai calon BN untuk Parlimen Kota Belud menjelang PRU 2013. Bagaimanapun, beliau berhadapan pertandingan lima penjuru iaitu masing-masing satu calon PKR dan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta dua calon bebas. Itu tidak menghalang anak jati Kota Belud ini mengekalkan kerusi yang disandangnya dengan majoriti 5,095 undi, dengan penambahan lebih seribu undi berbanding PRU sebelumnya. Kejayaan ini juga turut membuka peluang kepada beliau menyandang jawatan Kabinet sebagai Menteri KKBPKT menggantikan penyandang sebelumnya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Bagi Datuk Seri Abdul Rahman, ia merupakan sesuatu yang tidak dijangka sebenarnya. Ini kerana beliau menyangka hanya akan terus berkhidmat sebagai MP atau sekurang-kurangnya sebagai Timbalan Menteri jika dilantik ke Kabinet. Datuk Seri Abdul Rahman hanya percaya selepas mendapat panggilan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan perlantikannya itu. Semasa Datuk Seri Abdul Rahman menjawat jawatan tersebut, beliau menyifatkan kementeriannya itu bertindak sebagai kementerian koordinator atau sekretariat kerana tugasnya saling berhubung dengan kementerian-kementerian lain. Bagaimanapun, itu tidak menghalangnya bekerjasama dengan kementerian-kementerian atau agensi kerajaan berkaitan kerana kebanyakan isu jatuh dalam kementeriannya seperti isu perumahan, kos sara hidup dan pengangkutan bandar. Pada tahun sama, beliau turut bertanding dalam Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO dan berjaya dipilih sebagai anggota majlis tertinggi parti.

Antara reformasi yang diperkenalkan ialah membanteras gejala rasuah dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT). Datuk Seri Abdul Rahman sedar, sekiranya isu ini tidak ditangani dengan segera, pastinya ia tidak akan mengubah persepsi bahawa anggota PBT terlibat dengan gejala tidak bermoral itu. Atas sebab itu, beliau mahukan kementeriannya dan PBT menandatangani ikrar integriti dan tadbir urus baik serta bersedia meletakkan pegawai dilatih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika boleh, pegawai SPRM sendiri untuk memantau aspek integriti kementeriannya. Datuk Seri Abdul Rahman turut menjadikan PBT di negeri Melaka dan Kedah untuk terlibat dalam projek perintis ini.

Selain itu, beliau turut memantau projek-projek perumahan terutama membabitkan Program Perumahan 1 Malaysia (PR1MA). Walaupun PR1MA bukanlah di bawah penyeliaan KKBPKT kerana ia diselia oleh Kementerian Kewangan, agensi tersebut menyediakan kawasan perumahan bersesuaian dengan belanjawan warga kelas pertengahan. Sementara kementerian beliau memfokuskan kepada perumahan kos rendah untuk golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah. PR1MA dilihat membantu rakyat mendapatkan rumah dengan harga berpatutan dan 20% lebih rendah daripada apa yang ditawarkan di pasaran. Dan secara tidak langsung, agensi itu sebenarnya membantu menyelesaikan isu rumah mampu milik yang dihadapi warga Malaysia terutama golongan muda.

Bagaimanapun PR1MA bukanlah satu-satunya alat bagi kementerian berkenaan untuk menstabilkan pasaran perumahan dan membantu lebih ramai rakyat Malaysia. Semasa tempoh beliau di situ, Datuk Seri Abdul Rahman turut mempertimbang beberapa langkah lain termausk menaikkan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT), satu langkah yang dilaksanakan dalam Belanjawan 2014. Kadar cukai tersebut akan terus dikaji dari semasa ke semasa dengan mengambil kira input perbincangan dengan Bank Negara. Langkah tersebut membantu penurunan kadar purata kenaikan harga rumah apabila ia turun kepada 6.6% berbanding 11.6% pada tahun 2013.

Satu lagi inisiatif kementerian yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Abdul Rahman ialah inisiatif Local Agenda 21 (LA21). Inisiatif ini merujuk kepada pemeliharaan dan perluasan kawasan hijau di kawasan bandar. Inisiatif ini diperkenalkan dengan tujuan memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar, merancang dan menguruskan pembangunan mapan, menyeimbangkan alam dari segi bekalan oksigen dan tadahan hujan serta menyejukkan suhu bumi. Melalui inisiatif ini, KKBPKT turut memutuskan perlu wujud kawasan hijau untuk tujuan landskap dan rekreasi seluas dua hektar untuk setiap 1,000 orang di Malaysia menjelang tahun 2020. Untuk mencapai objektif tersebut, KKBPKT memilih lima bandar sebagai perintis landskap bandar iaitu Alor Setar, Batu Pahat, Pekan, Tawau dan Bintulu.

Waqaf Saham

Pada tahun 2016 selepas berkhidmat selama tiga tahun di KKBPKT, Datuk Seri Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggantikan penyandang sebelumnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Sementara jawatan lamanya diisi oleh Tan Sri Noh Omar. Ini berlaku susulan rombakan kecil Kabinet yang dibuat Perdana Menteri pada Jun 2016. Bagi Datuk Seri Abdul Rahman, ini merupakan satu penghormatan kepada negeri Sabah kerana diberi kepercayaan mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU), satu unit bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara ini.

Selepas menjawat jawatan tersebut, beliau berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini dan memberi banyak input untuk memperbaiki isu ekonomi termasuk penggangguran dan pembangunan industri. Dan kebanyakan program EPU dirancang agar ianya bersifat inklusif dan tidak terhad kepada golongan ahli ekonomi, ahli perniagaan dan penggubal undang-undang semata-mata. Selain itu, Datuk Seri Abdul Rahman turut menggunakan posisinya di EPU untuk mematahkan tohmahan negatif sesetengah pihak terhadap keadaan ekonomi negara ini. Berbekalkan data yang disediakan Jabatan Perangkaan Negara, negara menyaksikan pertambahan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.8% pada suku kedua tahun 2017. Sementara agensi-agensi penarafan dan organisasi seperti Fitch, Moody’s dan Bank Dunia turut memberi penarafan dan laporan positif terhadap status ekonomi negara. Maka tidak hairanlah dengan semua data dan laporan positif ini membantu Datuk Seri Abdul Rahman berjaya mengikat perjanjian pelaburan dengan syarikat Arab Saudi, Saudi Aramco sebanyak $7 bilion di Kompleks Integrasi Petronas di Pengerang, Johor.

Dan untuk memastikan rakyat sentiasa tahu akan perkembangan ekonomi semasa terutama membabitkan negeri-negeri, beliau turut mengaktifkan semula mesyuarat EPU Pusat dengan EPU peringkat negeri yang kali terakhir diadakan pada tahun 2012. Mesyuarat yang diadakan selama dua kali setahun ini amat penting kerana ia boleh memastikan pembangunan negara terus lancar dan berada di landasan yang betul. Antara tujuan mesyuarat ini ialah memperbaiki komunikasi kedua-dua unit dan agensi kerajaan lain, berkongsi pengalaman dan maklumat berkenaan pembangunan negeri-negeri masing-masing. Dan dengan lebih banyak projek besar sedang dijalankan seperti Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Laju Malaysia-Singapura (HSR), perlunya EPU dan agensi-agensi kerajaan lain bergerak seiring, memastikan kos berada di tahap terkawal dan memberi maklumat tepat kepada penduduk berkenaan projek yang dijalankan. Menurut beliau, terlalu banyak persepsi negatif terhadap projek-projek berkenaan disebabkan negeri-negeri tidak memahami apa yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dan sebaliknya. Malah Datuk Seri Abdul Rahman turut mendedahkan sesetengah MP yang ditemui beliau di Parlimen juga tidak faham akan polisi dan projek yang dilaksanakan kerana ketiadaan maklumat yang diperlukan.

Di peringkat Parlimen Kota Belud pula, apa yang dijanjikan untuk mengubah imej Kota Belud sebagai pekan koboi menjadi kenyataan. Sepanjang dua penggal berkhidmat di situ, pelbagai projek sedang rancak dijalankan. Pada tahun lepas sahaja, tiga projek Kerajaan Persekutuan berjaya disiapkan iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak 1,000 unit, 900 unit di Kampung Ulu Pirasan sementara 100 lagi dibina di Pulau Mantanani. Selain itu, beliau turut mengumumkan pembinaan jalan lencongan sepanjang 150 meter di pekan tersebut bagi mengurangkan gangguan pergerakan pengangkutan. Selain pembangunan fizikal, Datuk Seri Abdul Rahman turut fokus kepada pembangunan modal insan seperti program kemahiran dan kepimpinan membabitkan golongan belia Kota Belud. Ini ditambah pula dengan sikap beliau dan isterinya yang merendah diri dan tidak mementingkan protokol menyebabkan ramai warga Kota Belud menyanjung dan bangga dengan anak jati pekan tersebut.

Manifesto-Manifesto Beliau 

Antara perkara pertama yang akan dilaksanakan sekiranya bergelar wakil rakyat Sepanggar ialah penubuhan Majlis Perundingan Sepanggar. Selalunya majlis sebegini kita biasa dengar di peringkat kerajaan saja dan tidak pernah dilakukan di peringkat Parlimen atau DUN. Datuk Seri Abdul Rahman melihat majlis ini peluang bagi warga Sepanggar mengutarakan cadangan untuk mengubah ekonomi kawasan itu. Majlis perundingan ini akan bersidang setiap tiga bulan untuk melihat setiap syor yang mampu menaikkan lagi nama Sepanggar di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Kedua, menaiktaraf jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di kawasan Menggatal dan Inanam. Untuk mengurangkan kesesakan trafik, Datuk Seri Abdul Rahman akan meminta kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menyuraikan trafik, sekaligus memberi kelegaan kepada penduduk yang hendak bergerak terutama pada waktu puncak. Sementara bagi proses penaiktarafan jalan pula, peruntukan sebanyak RM15.4 juta sudah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk kerja-kerja penaiktarafan sistem jalan raya dan peparitan sekitar Parlimen Sepanggar.

Ketiga, semua tahu isu perumahan kos rendah dan mampu milik bukanlah sesuatu yang patut dipandang enteng. Dan ini satu masalah yang turut dihadapi penduduk Sepanggar. Sekiranya berjaya dipilih sebagai MP Sepanggar, Datuk Seri Abdul Rahman berusaha memastikan akses perumahan melalui inisiatif 50% projek perumahan kos rendah dan mampu milik yang dilaksanakan di Sepanggar diberi keutamaan kepada penduduk tempatan. Ini pasti memberi kelegaan kepada penduduk yang bimbang tidak mendapat kediaman yang selesa mengikut kemahuan mereka.

Jika ada menyangka bantuan pendidikan dan rumah ibadat bukan Islam akan hilang jika Datuk Seri Abdul Rahman naik sebagai wakil rakyat Sepanggar, usah bimbang. Ini berdasarkan ikrar pertamanya itu yang mahukan kesaksamaan hak, keadilan dan pembelaan bagi warga Sepanggar tanpa mengira bangsa atau agama. Beliau memberi jaminan bantuan pendidikan termasuk sekolah semua aliran akan diteruskan seperti biasa. Begitu juga bantuan kepada masyarakat bukan beragama Islam di mana pihak kerajaan akan terus memberi bantuan sebaiknya kepada kelompok ini. Ini juga boleh diaplikasikan kepada pembangunan agama Islam dan komuniti Bumiputera yang bersifat saksama tanpa meminggirkan institusi dan komuniti Bumiputera bukan beragama Islam.

Bagi kawasan kampung pula, sudah tiba masanya bagi kampung-kampung tradisi disusun semula dan diwartakan kedudukan mereka. Proses yang dirancang Datuk Seri Abdul Rahman sekiranya dipilih bertujuan mewujudkan suasana kehidupan yang lebih selesa untuk penduduk kampung. Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan pusat kecemerlangan belia, penubuhan dewan masyarakat di DUN Inanam dan Karambunai serta penubuhan cawangan DBKK di Menggatal. Tujuan di sebalik semua usaha ini ialah merapatkan lagi hubungan kerajaan dengan semua anggota komuniti tanpa mengira bangsa, agama atau umur. Selain itu, usaha-usaha ini juga dilihat mampu menyemarakkan aktiviti komuniti dalam Parlimen Sepanggar.

Manifesto seterusnya melibatkan soal penyelenggaraan jalan, masalah air dan pengangkutan awam. Menyedari sistem jalan raya sedia ada perlu diselenggara sebaiknya oleh syarikat konsesi berkenaan, ini salah satu ikrar Datuk Seri Abdul Rahman membabitkan pembangunan yang adil dan saksama. Beliau tidak mahu penyelenggaraan yang dibuat bersifat sambil lewa dan mudah rosak selepas beberapa minggu diselenggara kerana pengguna jalan raya di Sepanggar berhak mendapat perkhidmatan yang baik. Sementara bagi isu air pula, ia sudah mula menemui jalan penyelesaian apabila Datuk Seri Abdul Rahman mahu diberi taklimat oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri berkenaan isu itu. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, sekiranya isu tersebut masih berlaku, agak sukar bagi parti pemerintah yang beraspirasi membawa pembangunan di Sepanggar. Sementara bagi isu pengangkutan awam di Sepanggar, ternyata ia satu seruan tepat pada masanya. Ini berdasarkan laporan Kota Kinabalu-Teluk Sepanggar antara lapan wilayah dikategorikan sebagai wilayah perbandaran pesat yang sedang dan berterusan untuk tempoh 30 tahun akan datang. Dan pengangkutan awam yang baik dan lestari seperti dicadang bekas penyandang kerusi Kota Belud ini dilihat satu langkah ke arah yang tepat dari segi pengangkutan.

Dari segi ekonomi pula, Datuk Seri Abdul Rahman bercadang mewujudkan sebuah inkubator untuk industri kecil dan sederhana (IKS) dengan tujuan menggalakkan lagi kegiatan ekonomi dan keusahawanan di negeri Sabah. Beliau juga turut mencadang penubuhan pusat sehenti perniagaan atas talian untuk membantu usahawan parlimen itu mengakses maklumat berkenaan inisiatif dan insentif perniagaan yang ditawarkan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan. Ini bertepatan dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan pastinya beliau mahu anak-anak jati Sepanggar mendapat kelebihan apabila berkecimpung dalam industri atau perniagaan yang bersifat digital. Selaras dengan manifesto BN negeri yang mahu memperkenalkan produk-produk pelancongan berpotensi, ini juga menjadi aku janji Datuk Seri Abdul Rahman tetapi di peringkat Sepanggar. Sekiranya ia berlaku, ini pasti bukan saja merancakkan kegiatan ekonomi tempatan tetapi juga meletakkan Sepanggar pada peta pelancongan negeri. Selain itu, beliau juga akan berusaha menjana pelbagai peluang pekerjaan untuk golongan belia di Sepanggar dengan menarik pelaburan syarikat-syarikat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Kesimpulan

Sempena PRU 2018 yang akan berlangsung pada 9 Mei ini, pada awalnya, Datuk Seri Abdul Rahman mahu terus kekal di Kota Belud tetapi tidak menolak bertanding di Parlimen Sepanggar sekiranya diminta berbuat demikian oleh parti. Walau bagaimanapun, cintanya terhadap Kota Belud tidak pernah berubah kerana masih mempunyai sanak-saudara di situ dan setelah berkhidmat selama 10 tahun di parlimen berkenaan. Teka-teki sama ada Datuk Seri Abdul Rahman kekal atau tidak di Kota Belud akhirnya terjawab apabila beliau sah bertanding di Sepanggar sementara Datuk Seri Salleh pula mengambil alih kerusi Kota Belud. Walaupun wujud ura-ura perlantikannya sebagai calon kurang disenangi wakil UMNO/BN di situ, beliau mendapat sokongan daripada penyandang kerusi Sepanggar, Datuk Jumat Idris dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Raymond Tan. Malah warga Parlimen Sepanggar juga dilihat tidak mempunyai masalah menerima beliau sebagai wakil rakyat mereka sekiranya menang pada PRU 2018 kerana menyifatkan keazaman beliau membantu rakyat dan rekodnya sendiri semasa di Kota Belud.

SUMBER

  1. Vanar, Muguntan, Sario, Ruben dan Gollingai, Philip. (2008). The Star. Amir Kahar, Salleh axed but ‘controversial’ Bung included in Umno list. https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/02/22/amir-kahar-salleh-axed-but-controversial-bung-included-in-umno-list/
  2. The Star. (2008). Dropped Barisan leaders rally behind Rahman in Kota Belud. https://www.thestar.com.my/news/community/2008/02/27/dropped-barisan-leaders-rally-behind-rahman-in-kota-belud/
  3. Utusan Malaysia. (2008). Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabah P169, N6, N7 dan N8. http://ww1.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=pilihanraya2008&pg=kawasan/sabah_p169.htm
  4. Lay Chin, Koh. (2010). The Nut Graph. Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud). http://www.thenutgraph.com/mp-watch-abdul-rahman-dahlan-kota-belud/
  5. Sinar Harian. (2013). P169 Kota Belud. http://www.sinarharian.com.my/pru13/p169-kota-belud-1.59963
  6. The Star. (2013). Malaysia’s new Cabinet. https://www.thestar.com.my/news/nation/2013/05/15/malaysias-new-cabinet/
  7. Borneo Post. (2013). A mission to make people happy with Datuk Abdul Rahman Dahlan. http://www.theborneopost.com/2013/06/16/a-mission-to-make-people-happy-with-datuk-abdul-rahman-dahlan/
  8. The Star. (2013). Umno polls: Tok Pa secures top spot in supreme council race. https://www.thestar.com.my/news/nation/2013/10/19/umno-supreme-council-results/
  9. Haji Che Ros, Almaswa. (2013). Mingguan Wanita. Dato Abdul Rahman sudah terasuh pada politik sejak kecil.
  10. Sinar Harian. (2014). Spekulator diingat henti spekulasi hartanah. http://www.sinarharian.com.my/politik/spekulator-diingat-henti-spekulasi-hartanah-1.340409
  11. Sayang Sabah. (2015). Majoriti Penduduk Akui Kota Belud Nikmati Pembangunan Pesat. https://www.sayangsabah.com/majoriti-penduduk-akui-kota-belud-nikmati-pembangunan-pesat/
  12. Utusan Borneo. (2016). Wujudkan lebih banyak taman mini di bandar: Abdul Rahman. http://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20160307/281492160413603
  13. Rajagopal, Magendran dan Abdul Mutalib, Zahariah. (2016). Berita Harian. PM umum rombakan Kabinet. https://www.bharian.com.my/node/168839
  14. The Star. (2016). New team eager to further strengthen Government. https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/06/28/new-team-eager-to-further-strengthen-govt/
  15. The Star. (2016). Rahman Dahlan looks forward to implementing EPU programmes for the people. https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/06/27/rahman-dahlan-looks-forward-to-implementing-epu-programmes-for-the-people/
  16. The Star. (2017). I was at the right place and time to close deal, says Abdul Rahman. https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/26/i-was-at-the-right-place-and-time-to-close-deal-says-abdul-rahman/
  17. Abdul Majid, Noorsila. (2017). New Straits Time. Rahman Dahlan reactivates EPU, UPEN meet after 5 year hiatus. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/08/267790/rahman-dahlan-reactivates-epu-upen-meet-after-5-year-hiatus
  18. The Star. (2017). Govt reactivates meetings between EPUs and state EPUs. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/08/14/govt-reactivates-meetings-between-epus-and-state-epus/
  19. Indan, Johary. (2017). Berita Harian. 3 projek RM205.3 juta di Kota Belud siap ikut jadual. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/10/334872/3-projek-rm2053-juta-di-kota-belud-siap-ikut-jadual
  20. Dahlan, Abdul Rahman. (2017). The Malay Mail. Negara nak muflis? Tuduhan itu salah — Abdul Rahman Dahlan. https://projek.malaymail.com/projekmmo/pendapat/article/negara-nak-muflis-tuduhan-itu-salah-abdul-rahman-dahlan
  21. Joseph, Neil Brian. (2018). Kota Belud still close to my heart – Abdul Rahman. http://www.theborneopost.com/2018/03/09/kota-belud-still-close-to-my-heart-rahman/
  22. Joibi, Natasha. (2018). Rahman Dahlan for Sepanggar? https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/03/12/rahman-dahlan-for-sepanggar/
  23. Fong, Durie Rainer. (2018). Free Malaysia Today. Timbalan ketua menteri Sabah sokong Rahman Dahlan ke Sepanggar. http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/03/24/timbalan-ketua-menteri-sabah-sokong-rahman-dahlan-ke-sepanggar/
  24. Berita Harian. (2018). PRU-14: Senarai calon BN Sabah. https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/04/417215/pru-14-senarai-calon-bn-sabah
  25. Marzuki, Fifi Harteeny. (2018). Astro Awani. Rahman Dahlan bertanding empat penjuru di Parlimen Sepanggar. http://www.astroawani.com/berita-politik/rahman-dahlan-bertanding-empat-penjuru-di-parlimen-sepanggar-174036
  26. Free Malaysia Today. (2018). Rakyat Sepanggar yakin Rahman Dahlan mampu bawa pembangunan. http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/01/rakyat-sepanggar-yakin-rahman-dahlan-mampu-bawa-pembangunan/

Previous articleMembetulkan Pandangan Umum Mengenai Manusia Prasejarah
Next articleLima Cara Menjadi Wakil Rakyat Terbaik
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE