Bila kita berbicara berkenaan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pasti bagi sesetengah, hanya akan mengingatinya sebagai seorang lagi pemimpin parti politik di negara ini iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Hakikatnya, beliau juga sebenarnya seorang ulama, penulis dan pemikir ulung yang berwibawa sehingga dihormati dalam kalangan negara-negara dunia Islam. Tetapi ramai ingin tahu, siapa sebenarnya Datuk Seri Abdul Hadi pada mata sejarah?

Datuk Seri Hadi merupakan anak jati Kampung Rusila, Marang, Terengganu dan dilahirkan pada 20 Oktober 1947. Beliau merupakan anak kelima dari sembilan orang adik-beradik. Bapa beliau ialah Haji Awang Mohamad bin Abdul Rahman sementara ibunya ialah Hajah Aminah Yusuf. Kedua-duanya merupakan agamawan yang dihormati dalam kalangan masyarakat terutama di Kampung Rusila dan menjadi tempat rujukan mereka dalam soal hukum-hakam agama. Selain dikenali sebagai agamawan, Haji Awang juga merupakan antara aktivis politik Hizbul Muslimin di Terengganu. Selepas Britain mengharamkan Hizbul Muslimin atas alasan mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Haji Awang meneruskan perjuangan dengan menyertai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Dan beliau merupakan orang bertanggungjawab mengembangkan pengaruh parti tersebut di negeri Terengganu.

Semasa kecilnya, Datuk Seri Hadi mendapat bimbingan terus daripada bapanya sendiri dalam soal agama, Bahasa Arab dan ilmu siasah (politik). Pendidikan formal beliau bermula dengan menghadiri Sekolah Kebangsaan Rusila. Semasa di peringkat menengah, Datuk Seri Hadi meneruskan pembelajaran di Sekolah Agama Marang sebelum diberi peluang meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dari tahun 1965 hingga 1968. Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah dari tahun 1969 hingga 1973 dalam jurusan Syariah Islam. Selepas berkelana di Arab Saudi selama empat tahun, Datuk Seri Hadi menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam jurusan Sains Politik dari 1974 hingga 1976.

Sekembalinya beliau ke tanah air, Datuk Seri Hadi berkahwin dengan isteri pertamanya, Toh Puan Seri Hajah Zainab binti Awang Ngah. Ini disusuli pula dengan perkahwinan keduanya dengan Dr Norzita Taat. Hasil daripada kedua-dua perkahwinan ini, mereka dikurniakan 14 cahaya mata iaitu 11 orang anak dari perkahwinan pertama dan tiga dari perkahwinan kedua. Anak sulung Datuk Seri Hadi, Ustaz Muhammad Khalil menuruti jejak langkah bapanya dalam bidang politik. Ketika ini, beliau merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat menggantikan penyandang sebelumnya iaitu Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Selepas kematian bapanya, Datuk Seri Hadi meneruskan legasi bapanya iaitu menjadi imam dan memberi syarahan pada setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila. Pada mulanya, kehadiran jemaah yang mengikuti kuliah beliau hanya 200 orang namun bilangan tersebut semakin bertambah setiap minggu. Kepetahan Datuk Seri Hadi semasa bersyarah terutama dalam soal Al-Quran dan Hadis menyebabkan ramai mengagumi ketokohan anak muda itu. Dan ini menyebabkan ramai jemaah memanggilnya Tuan Guru.

Selain menyampaikan syarahan agama, beliau turut aktif dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antara tahun 1977 hingga 1978, beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai Yayasan Islam Terengganu dan Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan negeri Terengganu. Pada tahun 1978, Datuk Seri Hadi berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Institut Berakan (Maahad Tahfiz Wattarbiyah Darul Iman (MTT)) di Mengadang Akar, Kuala Terengganu. Semasa di ABIM inilah, beliau berhubung dengan bakal-bakal pemimpin PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah/PAN). Antara pemimpin yang aktif dalam ABIM ketika itu ialah bakal Presiden PAS, Allahyarham Tuan Guru Datuk Fadzil Noor, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa dan Presiden Amanah/PAN, Muhammad Sabu.

Pada tahun 1982, selepas pengerusi ABIM ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan menyertai UMNO, rakan-rakannya dalam ABIM memilih kekal bersama PAS seperti Datuk Seri Hadi, Allahyarham Datuk Fadzil, Datuk Nakhaie Ahmad dan Allahyarham Datuk Muhammad Daud Al-Iraqi. Pendirian sebegini bukanlah sesuatu yang baru kerana kebanyakan anggota ABIM ketika itu merupakan ahli PAS. Bagi Datuk Seri Hadi sendiri, penglibatan beliau dalam dunia politik bukanlah sesuatu yang asing kerana minat itu sudah wujud semasa berada di bangku sekolah menengah lagi. Pada tahun 1976, kredibiliti beliau sebagai pemimpin terserlah selepas dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Setahun selepas itu, Datuk Seri Hadi dipilih sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa PAS Pusat sebelum dilantik menjadi pemangku Naib Presiden PAS Pusat pada tahun 1978. Pada tahun 1980, beliau disahkan mengisi jawatan tersebut dan berjaya mempertahankan jawatannya pada tahun 1983 bersama Datuk Nakhaie. Selepas Allahyarham Datuk Fadzil meninggal dunia pada tahun 2002, Datuk Seri Hadi memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2003 sebelum dilantik sepenuhnya pada tahun 2005. Pada Muktamar PAS 2015, beliau dicabar buat kali pertama oleh bakal Penasihat Umum Amanah/PAN, Ustaz Ahmad Awang dan berjaya mengekalkan kedudukannya dengan majoriti undi 695 undi.

Penyertaan beliau secara rasmi dalam bidang politik bermula pada tahun 1978 apabila dipilih sebagai calon PAS di DUN Marang. Bagaimanapun, Datuk Seri Hadi kalah dengan majoriti 64 undi dengan calon Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)/Barisan Nasional (BN), Tengku Zahid Tengku Musa. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1982, beliau berjaya merampas kerusi Marang dengan menang majoriti 320 undi tetapi kalah di Parlimen Dungun dengan calon UMNO/BN, Haji Awang Jabar. Selain Marang, PAS berjaya menang kerusi Manir, Wakaf Mempelam, Batu Burok dan Jeram. Selepas proses persempadan semula, Datuk Seri Hadi bertanding di DUN Rhu Rendang (nama lama DUN Marang) pada PRU 1986 dan menang dengan majoriti 536 undi ke atas calon UMNO/BN, Abdul Latif Muda. Kerusi Rhu Rendang ini berjaya dikekalkan selama tujuh penggal dari tahun 1986 hingga sekarang.

Bagi kerusi Parlimen Marang pula, ia boleh dianggap ada pasang surutnya. Selepas kalah dengan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada tahun 1986, beliau berjaya menang pada tahun 1990 dengan majoriti 161 undi dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut selama dua penggal iaitu pada tahun 1995 dan 1999. Namun pada tahun 2004, Datuk Seri Hadi kalah pada Datuk Abdul Rahman dengan kelebihan 163 undi. Tetapi beliau berjaya merampas semula kerusi Marang pada tahun 2008 dengan majoriti undi 2,747 undi dan mengekalkan kerusi itu pada tahun 2013 dengan majoriti undi lebih besar iaitu 5,124 undi.

Selepas PAS berjaya membentuk kerajaan pasca-PRU 1999, Datuk Seri Hadi diangkat sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan penyandang sebelumnya, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad. Semasa pentadbiran beliau, banyak reformasi diperkenalkan kepada negeri Terengganu. Antara reformasi yang diperkenalkan ialah pengukuhan sektor pendidikan membabitkan institusi formal dan bukan formal dalam negeri, penambahan pungutan zakat, pengurangan premium tanah dan pengurangan kadar kemiskinan dari 17.3% kepada 14%. Selain itu, Datuk Seri Hadi turut memperkenalkan dasar lima hari bekerja, satu dasar yang kemudian dicontohi oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2000. Beliau juga turut bertanggungjawab memansuhkan tol Jambatan Sultan Mahmud dan memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan tujuh hari bagi bapa yang menyambut kelahiran anak. Dasar tersebut dituruti oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada tahun 2009 semasa era Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim. Kini, langkah sama diikuti oleh pihak kerajaan menerusi penambahan cuti bersalin sedia ada dari 60 hari kepada 90 hari kepada pekerja sektor swasta sempena Belanjawan 2018.

Walaupun sibuk sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti politik, itu tidak menghalang Datuk Seri Hadi dari terus aktif berkhidmat dan menyumbangkan suara kepada perkembangan Islam di serata dunia sama ada dari segi penulisan atau sumbangan idea. Antara jawatan yang pernah disandang ialah Ahli Jawatankuasa Gabungan Parti-Parti Politik Islam berkenaan isu Palestin di Amman, Jordan pada tahun 1990 dan anggota Jawatankuasa Sekretariat Islam Antarabangsa Mempertahankan Baitulmaqdis. Selain itu, beliau turut dijemput menjadi sebahagian daripada anggota delegasi ulama negara-negara Islam semasa krisis dan membina hubungan rapat dengan parti-parti Islam seperti Ikhwanul Muslimin (Mesir), Hamas (Palestin) dan An-Nahdah (Tunisia). Dan kemuncaknya pada tahun 2014 apabila Datuk Seri Hadi dilantik sebagai Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam satu persidangan di Turki, satu penghormatan bagi kelompok agamawan di negara ini.

Sebagai seorang wakil rakyat, beliau tidak pernah putus mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha memenuhi aspirasi mereka. Atas sebab inilah, mengapa pentadbirannya dianggap memberangsangkan di Terengganu dan kebanyakan polisinya diteruskan oleh kerajaan UMNO/BN selepas tahun 2004. Dan Datuk Seri Hadi juga tidak lekang mengingatkan rakan-rakan perwakilan agar berusaha menjaga hukum Tuhan dan mengelakkan pentadbiran sesebuah kerajaan dari terjebak dengan perkara mungkar. Dan ini ditambah dengan pengenalan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang dilihat mematangkan lagi PAS sebagai sebuah parti politik dan tidak terikut-ikut dengan gaya politik lama. Atas sebab inilah, ramai mengagumi beliau sama ada kawan atau lawan dan ini juga mendorong ramai mengetapikan kepentingan parti demi kepentingan umat Islam. Walaupun kadangkala diasak dengan kontroversi, ia bukannya satu halangan untuk terus menunjukkan teladan yang baik bukan saja pada anggota parti tetapi juga pada orang biasa.

Keperibadian dan kaliber beliau sebagai pemimpin dan wakil rakyat seharusnya dicontohi oleh generasi pemimpin seterusnya. Apa yang baik itu seharusnya dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang. Ini kerana apabila kita bekerja kerana Dia sebagai pemimpin, kita akan dipandang tinggi bukan saja oleh Tuhan tetapi juga oleh manusia. Justeru, tidak salah untuk saya nyatakan Datuk Seri Hadi seorang wakil rakyat yang patut dicontohi ramai.

SUMBER

  1. Malaysia Digest. (2014). Presiden Pas Dilantik Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/514952-presiden-pas-dilantik-naib-ketua-kesatuan-ulama-sedunia.html
  2. A. Rajak, Raziatul Hanum. (2015). Sinar Harian. Abdul Hadi kekal presiden, kalahkan Ahmad Awang. http://www.sinarharian.com.my/politik/abdul-hadi-kekal-presiden-kalahkan-ahmad-awang-1.397737
  3. Endut, Mohd Lazim. (2018). Utusan Malaysia. Abdul Hadi sedia pertahan dua kerusinya. http://www.utusan.com.my/berita/politik/abdul-hadi-sedia-pertahankan-dua-kerusinya-1.643206

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.