Semalam merupakan satu tarikh yang menyedihkan buat peminat sukan badminton negara. Manakan tidak, itulah hari di mana legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya dari dunia badminton selepas tidak dapat kembali ke gelanggang atas nasihat pakar perubatan. Pengumuman ini juga merupakan pengakhiran karier badminton beliau selama 19 tahun yang penuh dengan pelbagai kenangan suka dan duka.

Anak jati Bagan Serai, Perak ini dilahirkan pada 21 Oktober 1982 dan sejak dari kecil, menunjukkan minat terhadap sukan bola keranjang. Tetapi ibunya Khor Kim Choi melarang pembabitan Chong Wei dalam sukan itu untuk mengelak cuaca panas bila bermain di gelanggang luar bola keranjang. Beliau mula diperkenalkan dengan sukan badminton pada usia 11 tahun oleh bapanya Lee Ah Chai dengan membawanya ke sebuah dewan badminton. Bakat semulajadinya sebagai pemain mula dikesan oleh jurulatih Teh Peng Huat dan beliau juga bertanggungjawab menyakinkan Ah Chai bahawa bakat anaknya itu boleh digilap sebagai pemain hebat di bawah bimbingannya. Selepas mendapat izin bapanya itu, Chong Wei mula berlatih dengan Peng Huat selepas waktu persekolahan. Jurulatih pertamanya ini juga turut bertanggungjawab menggilap bakat pemain-pemain lain seperti pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei dan bekas pemain regu wanita/bercampuran negara, Chin Eei Hui.

Bakat Chong Wei sebagai pemain badminton mula dikesan oleh legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek semasa berumur 17 tahun dan hasilnya, beliau diserap ke pasukan kebangsaan. Dan itulah juga permulaan karier badminton beliau yang menyaksikan dominasinya sebagai pemain nombor satu dunia, satu pencapaian yang masih gagal diatasi oleh pesaing-pesaingnya yang lain seperti Lin Dan dan Chen Long walaupun dari segi pencapaian, kedua-duanya merupakan pemenang Kejohanan Dunia. Bakatnya itu digabungkan dengan etika kerja yang kuat dan kesungguhan yang diterapkan Misbun sekaligus mewujudkan kombinasi resepi kemenangan yang hebat.

Bagi yang menonton perlawanan membabitkan Chong Wei, sudah pasti ramai masak dengan pergerakan pantas beliau di gelanggang dan kesungguhannya meliputi setiap inci gelanggang. Dengan etika permainan sebegini, ia sudah membuatkan ramai pesaingnya pening kepala dan hanya beberapa pemain saja yang dapat mengatasi Chong Wei seperti Lin Dan dan Chen Long. Dalam konteks Lin Dan, beliau menggunakan taktik perang psikologi untuk menjejaskan prestasi beliau di gelanggang. Maka tidak hairanlah dalam 40 perlawanan, 28 daripadanya berjaya dimenangi Lin Dan. Sepanjang 19 tahun karier sebagai pemain badminton, beliau memenangi 69 gelaran kejohanan termasuk 46 kejuaraan Superseries BWF (kini dikenali sebagai Jelajah Dunia BWF). Chong Wei juga merupakan pemain nombor satu dunia selama 349 minggu termasuk 199 minggu berturut-turut dari 2008 hingga 2012.

Tetapi satu perkara yang mencetuskan kekesalan dalam diri beliau terutama dalam ucapan pengumuman persaraannya ialah kegagalan meraih pingat emas Sukan Olimpik. Bukanlah satu rahsia semasa Chong Wei berada di kemuncak prestasi dan sebagai pemain nombor satu dunia, harapan negara untuk meraih pingat emas pertama Olimpik disandarkan di bahu beliau. Pada temasya Olimpik 2008, 2012 dan 2016, beliau hanya dapat meraih pingat perak tiga kali berturut-turut. Semasa Olimpik 2008 di Beijing, China dan Olimpik 2012 di London, Britain, Chong Wei tewas di tangan musuh ketatnya Lin Dan. Tetapi pada Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, ramai menyangka peluang meraih emas cerah selepas beliau berjaya mengatasi pesaingnya itu di peringkat separuh akhir. Namun, harapan itu hancur berkecai apabila Chong Wei tewas di tangan Chen Long di peringkat akhir.

Selain dipenuhi dengan pencapaian cemerlangnya di arena tempatan dan antarabangsa, karier badminton Chong Wei turut dibayangi dengan kontroversi sama ada membabitkan jurulatih, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau isu doping. Isu pertelagahan dengan jurulatih bukan sesuatu yang baru bagi peminat badminton negara sama ada membabitkan jurulatih China, Li Mao atau jurulatih Denmark, Morten Frost Hansen. Dalam kes Hansen, pertelagahan ini tercetus sebelum Olimpik 2016 lagi apabila pemain senior seperti Chong Wei tidak lagi dibenarkan menggunakan pemain-pemain junior sebagai rakan pelatih mereka dan membahagikan mereka kepada dua kumpulan pemain.

Tetapi kemuncak kepada semua ini apabila beliau mengalami kecederaan medial ligamen kolateral (MCL) selepas tergelincir dan terjatuh di atas gelanggang di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada tahun 2017. Kecederaan ini berlaku berikutan kewujudan tikar basah di gelanggang, sesuatu yang sudah diadukan kepada Hansen dan Pengurus Besar BAM, Laurence Chew beberapa lama sebelumnya. Keadaan ini mengakibatkan kedua-duanya tidak bertegur sapa dan Chong Wei pernah mengancam untuk meninggalkan BAM. Akibat daripada konflik ini menyaksikan Hansen meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih dan jawatan itu kembali disandang mentor lama Chong Wei, Misbun.

Selain Hansen, Chong Wei juga pernah mempunyai krisis dengan bekas ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock sekitar tahun 2007 terutama selepas kekalahan mengejutnya di tangan Sony Dwi Kuncoro pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia tahun sama. Antara punca konflik ialah Kim Hock meletakkan terlalu banyak tekanan di bahu beliau dan isu berat sebelah dalam soal layanan terhadap pemain. Bagaimanapun, krisis ini berjaya dielak hasil campur tangan Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh menerusi dua pertemuan antara beliau dengan kedua-dua pihak.

Karier Chong Wei turut dihantui dengan isu doping. Isu ini mula timbul selepas beliau diuji positif untuk dadah deksametason, sejenis ubat yang digunakan untuk merawat keradangan semasa Kejohanan Dunia 2014. Jika didapati bersalah, beliau boleh digantung selama dua tahun sekaligus berpotensi menamatkan karier beliau sebelum berkesempatan mencuba merebut pingat emas Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Tetapi hasil siasatan BWF mendapati beliau bersikap cuai tetapi tiada niat untuk menipu selepas mengambil kira keterangan semua pihak. Hasilnya, Chong Wei hanya digantung selama lapan bulan dan kembali aktif pada 1 Mei 2015, sekaligus membolehkannya menambah mata ranking BWF bagi membolehkannya layak ke temasya Olimpik 2016.

Pada tahun 2018, tahun ini juga merupakan permulaan kepada pengakhiran kariernya sebagai pemain badminton negara. Selepas berjaya memenangi Malaysia Masters buat kali ke-12 pada Julai tahun lepas, BAM mengesahkan beliau tidak dapat menyertai Kejohanan Dunia 2018 dan Sukan Asia 2018 atas alasan masalah kesihatan pernafasan sebelum disahkan sebagai kanser hidung. Selepas didiagnosis kanser hidung, Chong Wei mula mendapatkan rawatan di Taiwan selama beberapa bulan sebelum disahkan pulih pada November 2018. Tatkala itu, beliau mensasarkan untuk kembali bersaing pada tahun 2019 termasuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun bagi memenuhi impian memenangi pingat emas pertama Olimpik untuk Malaysia dan meneruskan perseteruan dengan Lin Dan.

Manusia hanya merancang tetapi Tuhan lebih mengetahui segala-galanya. Walaupun sudah pulih daripada penyakit yang dialaminya, itu bukan bermakna Chong Wei boleh diberi lesen aktif seperti biasa. Ini kerana jika beliau berlatih terlalu kuat, wujud kebimbangan kanser hidung yang dialami sebelumnya kembali semula. Dan selepas mencuba beberapa kali sepanjang separuh tahun 2019, Chong Wei akhirnya memutuskan untuk menggantung raket pada 13 Jun 2019. Berita ini juga menandakan pengakhiran era perseteruan Chong Wei-Lin Dan dengan legenda badminton China itu mengakui dalam satu temubual bahawa satu sebab beliau terus aktif ialah Chong Wei. Lin Dan dijangka menggantung raket selepas Sukan Olimpik 2020.

Dan ini menimbulkan satu persoalan baru, siapa pemain seterusnya yang bakal mengisi kelompangan yang ditinggalkan legenda badminton negara itu? Persoalan ini sudah mula timbul sejak tahun 2014 lagi berikutan belum ada pemain yang mempunyai mutu permainan setaraf Chong Wei sekaligus menyaksikan BAM terus bergantung kepada khidmatnya sekalipun usianya semakin meningkat. Ini berbeza dengan kuasa-kuasa badminton lain seperti China dan Indonesia yang terus menghasilkan pemain-pemain pelapis berkualiti sebagai sokongan kepada pemain senior lain.

Bukan sekali dua BAM cuba menghasilkan pemain-pemain baru yang dilihat boleh mengikut jejak langkah Chong Wei tetapi sentiasa berakhir dengan langkah kiri. Kumpulan pertama yang cuba mengikut jejak langkahnya ialah Liew Darren, Chong Wei Feng, Tan Chun Seang dan Chan Kwong Beng sementara kumpulan kedua pula terdiri daripada Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli. Manakala kumpulan ketiga pula terdiri daripada Soong Joo Ven, Lim Chi Wing, Soo Teck Zhi dan Chong Yee Han.

Ketika ini menurut pengarah kejurulatihan BAM yang juga bekas pemain perseorangan negara, Wong Choong Han, sudah wujud beberapa prospek menarik membabitkan tiga pemain bawah 19 tahun iaitu Ng Tze Yong, Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin. Tiga pemain ini sudah berlatih bersama pemain-pemain senior lain iaitu Lee Zii Jia, Cheam June Wei, Leong Jun Hao, Muhd Ziyad Tah, Tan Jia Wei, Joo Ven dan Chi Wing sejak Januari lepas. Menurut Choong Han, ketiga-tiga pemain ini bukan saja berbakat tetapi mempunyai keazaman dan keinginan untuk berjaya. Ketiga-tiga pemain ini dijangka akan menyertai enam hingga lapan kejohanan satelit untuk separuh kedua tahun ini bagi melihat sejauh mana pencapaian mereka. Dari situ, jika mereka terus menunjukkan peningkatan, tidak mustahil beberapa kejuaraan satelit bakal dimenangi mereka pada penghujung tahun 2020.

SUMBER

1. AFP. (2019). Chong Wei’s retirement leaves ‘Super Dan’ ploughing lonely Olympic furrow. New Straits Times. https://www.nst.com.my/sports/badminton/2019/06/496244/chong-weis-retirement-leaves-super-dan-ploughing-lonely-olympic

2. BBC. (2015). Lee Chong Wei: Badminton star given eight-month ban for doping. https://www.bbc.com/sport/badminton/32478719

3. Peter, Fabian. (2019). Chong Wei: My biggest regret is not winning Olympic gold. New Straits Times. https://www.nst.com.my/sports/badminton/2019/06/496186/chong-wei-my-biggest-regret-not-winning-olympic-gold

4. Paul, Rajes. (2007). BAM chief wants Chong Wei and Kim Hock to improve relationship. The Star. https://www.thestar.com.my/sport/other-sport/2007/08/31/bam-chief-wants-chong-wei-and-kim-hock-to-improve-relationship/

5. Paul, Rajes. (2017). Chong Wei ready to quit BAM due to Dane’s ‘high-handed action’. The Star. https://www.thestar.com.my/sport/badminton/2017/02/08/from-frosty-to-icy-chong-wei-ready-to-quit-bam-due-to-danes-highhanded-action/

6. Paul, Rajes. (2018). Chong Wei has early stage nose cancer, confirms BAM. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/09/22/bam-chong-wei-nose-cancer/

7. Nadkarni, Shirish. (2019). With prodigious natural talent, Lee Chong Wei dominated badminton circuit in a manner no one could. First Post. https://www.firstpost.com/sports/with-prodigious-natural-talent-lee-chong-wei-dominated-badminton-circuit-in-a-manner-no-one-could-6806931.html

8. The Star. (2007). Kim Hock ready to meet BAM over Chong Wei’s outburst. https://www.thestar.com.my/sport/other-sport/2007/08/20/kim-hock-ready-to-meet-bam-over-chong-weis-outburst/ 9. The Star. (2019). Chong Wei calls it quits. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/13/chong-wei-calls-it-quits/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.