Dato Seri Mohamad Hasan: Nakhoda Teknokrat Negeri Sembilan

0
2617
views

Bila kita menyebut nama Dato Seri Mohamad Hasan, pasti ramai mengagumi Menteri Besar Negeri Sembilan yang mempunyai latar belakang teknokrat, sama seperti bekas rakan sejawatnya dari Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Dan bagi peminat setia The Patriots, pasti ramai yang tersenyum mengenang peristiwa beliau membaling kad pengadil sehingga tersangkut di atas pokok pada tahun 1977. Akibatnya, Dato Seri Mohamad dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS). Tetapi siapa sebenarnya beliau di mata rakyat Negeri Sembilan?

Dato Seri Mohamad merupakan anak jati Kampung Kundur Hilir dan dilahirkan pada 2 Mei 1956. Beliau merupakan anak keempat dari enam adik-beradik. Pendidikan formal pertama yang diterima beliau ialah di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau. Selepas menamatkan pembelajaran di situ, Dato Seri Mohamad menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau. Kemudian, beliau menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ampuan Durah, Seremban. Selepas mendapat keputusan cemerlang di Tingkatan Enam, Dato Seri Mohamad melanjutkan pengajian dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa di Universiti Malaya (UM) hingga tahun 1979.

Selepas tamat pengajian, kerjaya pertama beliau ialah sebagai pelatih di Bank Negara. Dari situ, Dato Seri Mohamad diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan perbankan seperti Penolong Pengurus Malayan Banking Berhad (Maybank), Pengurus Public Bank Berhad dan Pengurus Perbankan Korporat untuk Arab Malaysian Merchant Bank. Di Bank Bumiputera inilah, beliau diberi kepercayaan sebagai pengurus besar bank tersebut di London dari 1988 hingga 1992. Selepas beberapa lama berkecimpung dalam dunia perbankan, Dato Seri Mohamad berhijrah ke sektor korporat dengan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cold Storage Malaysia Berhad selama dua tahun. Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Cycle & Carriage Bintang Berhad dari tahun 1994 hingga 2004. Selain itu, Dato Seri Mohamad juga pernah dilantik sebagai anggota lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Khazanah Nasional Berhad dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Beliau turut diberi kepercayaan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan FIMA Berhad dan menjadi penasihat Mercedes Benz Asia Pte Ltd untuk rantau Asia Tenggara.

Boleh dikatakan perjalanan beliau dalam dunia politik bukanlah bersifat kebetulan semata-mata. Ini kerana ada di antara adik-beradiknya aktif dalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Abang sulungnya, Dato Azman Hasan merupakan bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan sementara adik beliau, Dato Abdul Ghani pula pernah berkhidmat sebagai Adun Rantau. Beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 di DUN tersebut dan berjaya menang dengan majoriti 2,770 undi mengatasi Husin Haroon dari Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Selepas dicalonkan sebagai calon DUN Rantau menggantikan adiknya itu, Dato Seri Mohamad berjaya mengekalkan kerusi Rantau dengan kelebihan 6,199 undi mengatasi calon Keadilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard semasa PRU 2004. Berikutan kejayaan besar UMNO/Barisan Nasional pada PRU tersebut, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menggantikan penyandang sebelumnya, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Semasa penggalnya sebagai Menteri Besar, beliau memanfaatkan pengalamannya dalam bidang korporat untuk memajukan ekonomi negeri tersebut. Bagaimanpun, tidak semuanya berjalan lancar kerana timbul dakwaan perpecahan dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO peringkat negeri hingga timbul ura-ura bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas PRU 2008. Bagaimanapun, itu tidak menghalang negeri tersebut dari mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2007 sebanyak 4.3%. Walaupun UMNO/BN di bawah pimpinan Dato Seri Mohamad berjaya mengekalkan majoriti pasca-PRU 2008, kejutan yang dibawa Pakatan Rakyat (PR) pada PRU tersebut mendorong beliau melakukan sesuatu yang radikal.

Untuk penggal keduanya sebagai Menteri Besar, Dato Seri Mohamad hanya menetapkan tempoh perkhidmatan Exco selama dua tahun saja pada semua anggota Exco yang dilantik. Menurut beliau, penetapan tempoh tersebut merupakan satu mesej kepada semua bahawa mereka perlu bekerja kuat demi memastikan mandat yang diberi tidak disia-siakan. Jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh dua tahun, maka mereka akan digantikan dengan mana-mana Adun yang mampu bekerja. Amaran itu bukan saja terpakai kepada anggota Exco UMNO tetapi juga kepada wakil Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) peringkat negeri. Hasilnya pada tahun 2010, tiada sebarang rombakan Exco dibuat oleh Dato Seri Mohamad membabitkan pengguguran atau penambahan Exco baru. Dan pada penggal kedua beliau sebagai Menteri Besar, Negeri Sembilan terus mencatat pertumbuhan ekonomi membanggakan dengan KDNK pada tahun 2011 dan 2012 mencatat 5.2% dan 6.2%. Sementara hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan pula rendah dan terkawal iaitu RM254 juta dan menjadi satu-satunya negeri yang membayar hutang secara tunai kepada Kerajaan Persekutuan. Walaupun masih dihambat dengan ura-ura perletakan jawatan sebagai Menteri Besar, itu tidak menghalang kepimpinan UMNO/BN negeri mengekalkan majoriti dalam DUN Negeri Sembilan pada PRU 2013.

Dan pada penggal ketiga ini pula, Dato Seri Mohamad mengorak langkah dengan mengadakan Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2045. Beliau melihat sudah tiba masanya negeri ini mencapai status negeri maju sama seperti Melaka dan Johor. Menerusi rancangan tersebut, penekanan akan diberi pada sektor pertanian, industri herba, bioteknologi, pelancongan, pembuatan dan hartanah. Tujuan perancangan ini ialah bagi memberi keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar. Antara konsep projek yang sedang dirancang ialah Malaysia Visionary Valley (MVV), Agropolis dan Biodiversiti. MVV merupakan projek jangka panjang membabitkan Seremban dan Port Dickson serta merupakan kesinambungan kepada projek Greater KL. Sementara Agropolis pula memfokuskan kepada konsep bandar pertanian dan membabitkan beberapa daerah seperti Jempol, Tampin dan Kuala Pilah. Manakala pembangunan diversiti pula memfokuskan kepada daerah Jelebu yang dilihat berpotensi sebagai elemen kestabilan biodiversiti negeri dan sumber air utama negeri.

Semasa penggal 2013 hingga 2018 ini juga, Negeri Sembilan terus mencatat prestasi ekonomi yang membanggakan. Pada tahun 2015 saja, negeri berjaya melepasi sasaran menarik pelaburan RM1 bilion. Dan trend ini berterusan hingga tahun ini. Antara faktor peningkatan pelaburan di Negeri Sembilan ialah dasar pentadbiran negeri yang bersifat mesra pelabur dan bilangan tanah yang sesuai untuk para pelabur mengembangkan lagi operasi syarikat mereka. Disebabkan ini juga, ia membolehkan Dato Seri Mohamad membentangkan belanjawan berimbang Negeri Sembilan berikutan kedudukan ekonomi negeri yang baik. Untuk Belanjawan Negeri 2018, kerajaan negeri memperuntukkan belanjawan sebanyak RM412 juta berbanding RM391 juta untuk belanjawan sama tahun 2017.

Melihat kepada prestasi cemerlang beliau sebagai pentadbir di peringkat negeri, maka tidak hairanlah wujud ura-ura parti ingin mencalonkan Dato Seri Mohamad bertanding di peringkat Parlimen untuk PRU 2018 untuk mengisi jawatan Kabinet. Bagaimanapun, khabar tersebut dinafikan beliau dan untuk pilihan raya kali ini, DUN Rantau masih lagi kawasan pilihan untuk bertanding. Dan seperti biasa, ura-ura perletakan jawatan kembali timbul setiap kali musim PRU. Bagi Dato Seri Mohamad, itu merupakan asam garam berpolitik dan beliau tidak ambil pusing langsung. Ini kerana keutamaannya sebagai Menteri Besar ialah memastikan mandat yang diberi bukan saja dapat memajukan negeri tetapi juga memastikan rakyat terus kekal sejahtera di bawah pentadbiran beliau. Maka bukanlah sesuatu mengejutkan mengapa ramai termasuk dari luar Negeri Sembilan mengagumi ketokohan menteri besar teknokrat ini.

Waqaf Saham

SUMBER

1. Utusan Malaysia. (2004). Mohamad Hasan MB Negeri Sembilan yang baru. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

2. Utusan Malaysia. (2008). Mohamad angkat sumpah MB Negeri Sembilan. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

3. Utusan Malaysia. (2008). 9 muka baru Exco Negeri Sembilan. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

4. Sheikh Said Al-Jabri, Farabi. (2010). Utusan Malaysia. Exco NS dilantik semula. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_16.htm

5. Utusan Malaysia. (2013). N.S catat pertumbuhan KDNK 6.2 peratus 2012. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130731/ek_18/NS-catat-pertumbuhan-KDNK-62-peratus-2012

6. Utusan Malaysia. (2013). Negeri Sembilan peneraju ekonomi baik negara. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130802/re_07/Negeri-Sembilan-peneraju-ekonomi-baik-negara

7. Z Ismail, Ainol Amri. (2015). Utusan Malaysia. Negeri Sembilan dipacu cemerlang. http://m.utusan.com.my/rencana/negeri-sembilan-dipacu-cemerlang-1.47723

8. The Malaysian Times. (2016). Negeri Sembilan maju menjelang 2045. http://www.themalaysiantimes.com.my/negeri-sembilan-maju-menjelang-2045/

9. The Malaysian Times. (2017). Mohamad nafi spekulasi bertanding di Parlimen PRU akan datang. http://www.themalaysiantimes.com.my/mohamad-nafi-spekulasi-bertanding-di-parlimen-pru-akan-datang/

10. Khan, Ameer. (2017). OrangNogori.com. Kenali Tok Mat Hasan Menteri Besar Negeri Sembilan. https://www.orangnogori.com/kenali-tok-mat-hasan-menteri-besar-negeri-sembilan.html

11. Ahmad Rodzi, Tuty Haryanti. (2018). Berita Harian. Kewangan terancang Belanjawan 2018 Negeri Sembilan. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/11/355897/kewangan-terancang-belanjawan-2018-negeri-sembilan

Previous articleMista’arvim/Musta’rabin – Unit Risikan & Komando Elit Israel
Next articleDakwah: Kerja Ustaz Atau Kerja Ummah?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE