“Datok Sri Amar diRadja nama nja
Sangatlah faham soerat Enggris nja
Lama di England dalam sekola nja
Wakil moetalak Sultan pada nja
Dia mendjadi secretaris nja Beginda
Orang nja pintar lagi moeda
Hilmoe nja banjak didalam dada
Lama diEuropa tinggal nja soeda
Berbagialah Sultan dapat manteri
Seperti Datok Sri Amar bidjak bistari
Sangat lah pandei tiada terpri
Memboeat perdjandjian Johor negri.”

– Syaer Almarhoem Beginda Sultan Abu Bakar di Negeri Johor oleh Na Tian Piet

Dato Seri Amar Diraja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak berpakaian rasmi pembesar Johor (sumber foto koleksi peribadi Dang Ku Puteri)

Siapakah Dato Seri Amar Diraja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak?

Abdul Rahman Bin Wan Andak yang bergelar Datuk Seri Amar DiRaja adalah pembesar dalam pentadbiran Negeri Johor di era Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim. Beliau merupakan Permata Jauhar yang banyak menyumbang jasa dalam mengekalkan kedaulatan negeri Johor dari diletakkan seorang penasihat/residen oleh Inggeris. Beliau sangat tegas dan berpendirian teguh. Beliau tidak teragak-agak menentang/menolak usul dan pendapat yang diberikan oleh Inggeris jika tidak membawa keuntungan kepada Johor. Inggeris sangat membenci Abdul Rahman dan berasa selagi beliau berada didalam pentadbiran negeri, cita-cita Inggeris untuk menjajah Johor tidak akan berjaya.

~PENDIDIKAN~

Dato Seri Amar Di Raja mendapat pendidikan awal dibawah Muhammad Ibrahim Bin Abdullah Munsyi (kemudian bergelar Dato Bentara Dalam) yang merupakan pengetua di Sekolah Melayu Telok Belanga, Singapura. Kepetahan dan kebijaksanaan beliau menambat hati Maharaja Abu Bakar yang ketika itu masih belom dikurniakan cahayamata. Pada tahun 1871 Maharaja Abu Bakar menghantar anak saudaranya Ungku Othman Bin Ungku Abdul Rahman melanjutkan pelajaran ke England dan baginda menitahkan agar Abdul Rahman mengiringi anak saudaranya serta melanjutkan pelajaran disana. Mereka meninggalkan England pada 23 Februari 1871. Sepanjang berada di England, selain menimba ilmu, beliau banyak memerhati dan mempelajari selok belok cara pemikiran orang-orang Inggeris. Pendidikan Inggeris dan pengalaman sosial yg ditimba menjadi bukti penting dalam kerjaya masa depannya yang cemerlang sebagai orang yang paling berpengaruh dan berjaya di Johor.

~KERJAYA~

Selepas tamat belajar di England, pada 19 Jun 1878 beliau mula berkhidmat dalam Perkhidmatan Kerajaan Johor (Johore Civil Service). Pada tahun 1883 beliau dilantik menjadi Penolong Setiausaha dan Ketua Penterjemah. Pada tahun 1884 beliau dinaikkan pangkat menjadi setiausaha peribadi kepada Maharaja Abu Bakar dan sekaligus sebagai Setiausaha Hal Ehwal Luar.

Diantara tahun 1874 hingga 1895 Johor berada dikemuncak kemajuan,kepesatan ekonomi dan kemodenan, banyak perubahan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Johor. Maharaja Abu Bakar mewujudkan Majlis Jumaah Diraja Johor, Jemaah Menteri dan pertambahan jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kerja Awam, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Laut (Shahbandar), Jabatan Kesihatan dan Pesuruhjaya Daerah. Mereka yang menjawat terdiri daripada kalangan kerabat Diraja, para pembesar dan sahabat-sahabat baginda sendiri. Beberapa jawatan bergelar telah dicipta dalam jabatan pentadbiran. Dalam masa yang sama sekumpulan warga eropah yang menjadi sahabat kepada Maharaja Abu Bakar juga dilantik menjadi penasihat peribadi.

Sir Frederick Weld dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat pada 1880 menggantikan Sir Archibald Edward Harbord Anson (1877-1880). Sikap Weld terlalu opitimis dalam perancangan untuk meletakkan seorang residen di Johor. Jika Johor menerima seorang residen secara automatik Johor akan menyertai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay State) yang terdiri daripada Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pahang. Tindakan Weld yang mencampuri urusan pentadbiran Johor telah membuatkan Maharaja Abu Bakar perlu mengambil langkah menyekat beliau.

Sir Frederick Weld Gabenor Negeri-Negeri Selat 1880-1887 ( sumber foto National Archives Of Singapore)

Peluang pertama Abdul Rahman Andak datang pada tahun 1885 apabila terpilih sebagai salah   seorang penasihat senior untuk perundingan dalam Perjanjian Anglo-Johor di London. Bersama dengan Ungku Mohd Khalid Bin Temenggong Tun Ibrahim dan Dato Abdullah Bin Tahir (Dato Seri Setia Raja/Pesuruhjaya Polis Johor), mereka mengiringi Maharaja Abu Bakar belayar ke England pada 24 Mei 1885. Rombongan ini berjaya menemui Queen Victoria.

Setelah beberapa bulan berbincang dan mencapai kata sepakat berhubung isi-isi perjanjian, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian setia yang baru bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan Johor dan kerajaan Inggeris. Anglo-Johor Treaty ini ditandatangani pada 11 Disember 1885 di Pejabat Tanah Jajahan di London. Maharaja Abu Bakar  menandatangi perjanjian tersebut bagi pihak kerajaan Johor dan kerajaan Inggeris diwakili oleh Frederick Stanley. Perjanjian ini disaksikan oleh Abdul Rahman dan Robert G W Herbert.

Dengan perjanjian ini Maharaja Abu Bakar telah berjaya diiktiraf sebagai pemerintah yang sah bagi negeri Johor dan jajahan takluknya dengan bergelar Sultan Abu Bakar. Dalam perjanjian ini juga baginda berjaya mengekalkan negeri Johor sebagai sebuah negeri yang bebas dan berdaulat. Perjanjian ini berjaya mengenepikam negeri Johor daripada dimasukkan  ke dalam sistem Residen dibawah pemerintahan Inggeris. Ini adalah kali pertama secara rasmi Abdul Rahman berjaya menyekat Inggeris dan Weld dalam mencampuri urusan pentadbiran negeri Johor.

Selepas perjanjian Anglo-Johor Treaty pihak gabenor tidak mencampuri urusan pentadbiran Johor seaggresif seperti sebelumnya. Selepas kegagalan Weld, Sir Cecil Clementi Smith ( 1887-1893) pula menggantikan Weld. Selepas Smith, William Edward Maxwell (1893-1894), Sir Charles Bullen Hugh Mitchell (1894-1899) dan James Alexander Swettenham (1899-1901).

SETIAUSAHA KERAJAAN YANG PERTAMA

Pada tahun 1893 Abdul Rahman Andak telah dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang pertama. Tugas utama yang dilakukan olehnya adalah mengawal hubungan diplomatik di antara kerajaan Johor dengan pihak Inggeris.  Tugas yang dilakukan sememangnya amat berat. Beliau harus memastikan hubungan diantara kerajaan Johor dan Inggeris berjalan lancar dan seimbang supaya Inggeris tidak dapat mengambil kesempatan. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik dan lancar.Tetapi di pihak Inggeris beliau dianggap sebagai batu penghalang cita-cita mereka.

Selama menjadi setiausaha sulit kepada Sultan, beliau seorang penasihat yang amat dipercayai oleh  Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim ketika berurusan dengan Pejabat Kolonial di Singapura dan London. Setiap nasihat yang diberikan sangat bernas dan memberi manfaat kepada Johor. Dibawah pengaruh beliau, Sultan Abu Bakar enggan menerima penasihat Inggeris dan berjaya mengekalkan kemerdekaan Johor. Richard Olaf Winstedt ada menulis didalam bukunya bahawa Abdul Rahman secara amnya mentadbir negeri Johor. Sir Cecil Smith juga mengesyaki bahawa Abdul Rahman yang merangka surat balasan Sultan kepada pihak Gabenor di Singapura dan London. Abdul Rahman juga antara yang merangka Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang pertama dicipta di kalangan negeri-negeri Melayu, yang dikuatkuasakan pada tahun 1895. Kebijaksanaan Abdul Rahman dalam pentadbiran telah menimbulkan rasa kecewa  dikalangan pegawai-pegawai Inggeris kerana masih gagal campur tangan dalam pentadbiran Johor

Selepas kemangkatan Sultan Abu Bakar pada tahun 1895, Inggeris mula menunjukkan sikap campur tangan semula. Inggeris mula merancang 3 pelan strategik untuk mencampuri urusan pentadbiran Johor. Yang pertama mempengaruhi Lembaga Penasihat Johor (Johor Advisory Board) di London. Kedua meneruskan rancangan pembinaan landasan keretapi di Johor. Dan yang terakhir menyingkirkan Abdul Rahman dalam pentadbiran dengan cara mengeruhkan hubungan baiknya dengan Sultan Ibrahim.

Lembaga Penasihat Johor (Johor Advisory Board) di London telah diasaskan oleh Sultan Abu Bakar selepas termeterainya Perjanjian Anglo-Johor 1885. JAB telah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Johor. Objektif utama penubuhannya yang terdiri daripada orang-orang ternama dan sahabat-sahabat Sultan Abu Bakar yang tinggal di London adalah untuk mendapatkan nasihat dan pertolongan teros dari Queen Victoria dan Kerajaan Inggeris tanpa perlu melalui pejabat Gabenor di Singapura. Pihak Inggeris di Singapura mula merencana rancangan untuk mempengaruhi anggota JAB di London dalam memberikan nasihat kepada Sultan Ibrahim.

Ketika Sultan Ibrahim menaiki takhta pada tahun 1895, baginda sangat muda dan baru berusia 22 tahun, terlalu sedikit pengalaman dalam hal ehwal pentadbiran negeri. Oleh itu baginda lebih cenderung mencari Abdul Rahman untuk mendapatkan bimbingan, rujukan dan nasihat. Abdul Rahman juga telah banyak memberi idea-idea yang sangat berharga untuk menjamin kedudukan baginda sebagai pemerintah  yang mempunyai kedaulatan yang mutlak bagi negeri Johor yang merdeka.

Selepas Sultan Ibrahim menaiki takhta, banyak khabar angin dilemparkan terhadap baginda oleh para kerabat dan rakyat dengan memburuk-burukkan cara pemerintahan baginda.  Antara khabar angin dari kalangan kerabat bahawa baginda tidak membayar gaji dan elaun kerabat. Ketika baginda mula mengambil alih takhta, perbendaharaan negeri dikatakan hampir kosong dan butiran buku kira-kira wang hasil daripada pajakan tanah dan cukai-cukai dari para Kangchu Cina yang patut diterima tiap-tiap bulan tidak dipungut dan ada tunggakan yang tidak dijelaskan mengikut jadual yang ditetapkan akibat daripada ketidakcekapan dan kecuaian para pegawai dalam menguruskan kewangan negeri. Perbendaharaan negeri menghadapi masalah kewangan yang sangat kritikal.

Atas nasihat Abdul Rahman, Sultan Ibrahim merombak semula sistem pengurusan didalam pejabat perbendaharaan. Hanya anak melayu  yang berpendidikan, berpengalaman dan berkaliber dipilih menjadi pegawai pemungut cukai dan juruaudit di Pejabat Perbendaharaan. ‘Arahan Keras’ telah dikeluarkan kepada ketua-ketua jabatan, tiada bayaran boleh dilakukan melainkan dengan perintah yang ditandatangan oleh baginda. Malah tiada jabatan dibolehkan membeli secara tunai atau hutang peralatan pejabat melainkan dengan kelulusan baginda. Pejabat Kolonial sedar bahawa kerajaan Johor mengalami masalah kewangan yang serius oleh itu mereka mengambil langkah mempengaruhi Pihak Lembaga Penasihat dengan mencadangkan Johor untuk menerima pinjaman 200,000 Pound Sterling dengan syarat Johor menerima Juruaudit Inggeris dalam pentadbiran. Tindakan ini secara automatik Johor menerima seorang pegawai Inggeris dalam pentadbiran, selangkah buat Inggeris memulakan penjajahan. Atas nasihat Abdul Rahman rancangan ini ditolak. Hasil dari tindakan tegas baginda terhadap jabatan-jabatan kerajaan dengan melakukan perbelanjaan berhemah, dalam masa yang singkat masalah kewangan negeri Johor dapat diatasi. Wang yang dikutip bukan sahaja mencukupi malah berlebihan sehingga hutang-hutang besar dapat dibayar mengikut waktu yang ditetapkan.

Sir Frank Swettenham kemudiannya dilantik menjadi Gabenor pada 1901 selepas  James Alexander Swettenham. Swettenham pernah menegur secara sinis sikap Sultan Ibrahim yang mempunyai perwatakan seperti bondanya Encik Besar Zubaidah @ Cecilia Catherina Lange yang berketurunan Eurasian. J.M Gullick ada menyebut didalam bukunya Rulers and Residents: Influence and Power in the Malay States 1870-1920, Gabenor Swettenham pada tahun tahun 1903 dan Gabenor Anderson pada tahun 1905 mencadangkan supaya Sultan Ibrahim berangkat bersemayam di luar negara  dan melantik Jumaah Pangkuan Raja bagi memerintah dan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh  kaum kerabatnya iaitu masalah kewangan negeri yang kritikal.  Cadangan kedua-dua gabenor tersebut sekadar hendak menunjukkan baginda seorang pemerintah yang gagal dan tidak layak menjadi pewaris takhta di mata rakyat Johor. Harapan mereka gagal. Dengan kedaulatan, ketabahan dan kecekapan Sultan Ibrahim, serta nasihat dari Jumaah Menteri yang setia, cubaan menjatuhkan kredibiliti baginda sebagai Sultan Johor berjaya digagalkan.

Sir Frank Swettenham Gabenor Negeri-Negeri Selat 1901-1904 (Sumber foto National Archives Of Singapore)

Selepas kegagalan strategik pertama melalui Lembaga Penasihat Johor, Inggeris meletakkan Swettenham untuk menjalankan strategik kedua pula iaitu merancang pembinaan landasan  keretapi di Johor untuk menghubungkan Negeri-negeri Bersekutu (FMS) dengan Singapura. Swettenham menawarkan dua cadangan, yang pertama pihak FMS membina landasan dan memberi pinjaman kepada Johor dalam kos pembinaan. Kedua Johor membiayai kewangan sendiri tetapi pembinaan landasan adalah tetap dari pihak  FMS.

Abdul Rahman bertegas bahawa kerajaan Johor berhak menguruskan pembinaan landasan keretapi sama ada pembiayaan sendiri mahupon bantuan pinjaman kewangan dari pihak Inggeris. Sultan Ibrahim juga bimbang jika membenarkan pihak FMS menguruskan pembinaan landasan keretapi secara tidak langsung Inggeris telah selangkah masuk dalam urusan pentadbiran negeri Johor.  Perbincangan ini berlarutan sehingga tiada kata sepakat dapat diwujudkan antara kedua-dua pihak.

Sir John Anderson Gabenor Negeri-negeri Selat 1904-1911 (sumber foto National Archives of Singapore)

Sir John Anderson dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat pada 1904 menggantikan Swettenham. Kini tugas Anderson pula melaksanakan strategik ketiga iaitu  menyingkirkan Abdul Rahman. Selain menyingkiran Abdul Rahman tugasnya menyambung perbincangan projek pembinaan landasan  keretapi yang tergendala supaya  dapat diteruskan. Anderson pernah menggelar Abdul Rahman sebagai ‘Little Rascal’.

Antara fitnah yang dilemparkan oleh Anderson terhadap Abdul Rahman, beliau menjual rahsia kerajaan kepada golongan Cina. Ia  bermotifkan politik untuk melabelkan Abdul Rahman sebagai pengkhianat di mata Sultan. Selain Anderson, pelbagai cacian dan hinaan dilemparkan  terhadap Abdul Rahman oleh pegawai Inggeris yang lain di Singapura. Sir Cecil Smith ada menulis tentang Abdul Rahman “as a clever little fellow but an absolute nobody among the Malay aristocrats”.

Yang lain melabelkan Abdul Rahman sebagai  “corrupt” dan  “a mischievous little dog”. Swettenham pula pernah menyebut bahawa Abdul Rahman “a bad adviser for anyone, quite unscrupulous  and dangerous because he speaks English and has to do with Europeans all his life.” Sebenarnya mereka semua berasa sangat sakit hati dan cemburu akan kepintaran Abdul Rahman. Mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa orang melayu adalah bangsa yang pintar. Jika ada 10 orang lagi seperti Abdul Rahman di Tanah Melayu nescaya Inggeris pasti mengambil masa lebih lama atau langsung tidak mampu dan berjaya menjajah negeri-negeri Melayu.

Pada 5 April 1904, Dato Bentara Dalam iaitu Dato Muhammad Ibrahim Bin Abdullah Munsyi yang memegang jawatan Timbalan Menteri Besar telah meninggal dunia. Kekosongan jawatan Timbalan telah diisi oleh Abdul Rahman atas perkenan Sultan Ibrahim. Manakala jawatan Setiausaha Kerajaan pula diambil alih oleh Dato Mohamed Bin Mahbob yang sebelumnnya memegang jawatan Pesuruhjaya Kerajaan bagi Muar selama 9 tahun (1895 – 1904). Manakala Dato Jaafar Bin Haji Mohamed kekal sebagai Menteri Besar Johor.

Gandingan ini merupakan gandingan yang mantap untuk mengekalkan kedaulatan Sultan Ibrahim sebagai pemerintah dan mempertahankan kemerdekaan negeri Johor. Hubungan kekeluargaan yang rapat antara mereka bertiga dengan Sultan Ibrahim menambah lagi kelancaran pentadbiran negeri. Perkahwinan Dato Jaafar dengan Wan Emon dan  Abdul Rahman  dengan Wan Embek yang merupakan sepupu kepada Sultan Ibrahim. Manakala Sultanah Maimunah suri Sultan Ibrahim adalah anak saudara kepada Dato Mohamed.

Hasil perbincangann kedua-dua pihak, akhirnya pembinaan landasan keretapi berjaya diteruskan  dan disiapkan. Dari segi kos pembinaan, kerajaan Johor telah mendapat pinjaman dari pihak Inggeris dengan pembayaran balik selama 15 hingga 20 tahun. Manakala pengurusan keretapi adalah dibawah kerajaan Johor. Upacara istiadat perasmian telah diadakan di stesen Johor Bahru pada 31 September 1908.

Perjalanan pertama dimulakan di stesen ini hingga bersambung dengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang bersempadan antara Batu Anam sebelah Johor dengan Gemas di Negeri Sembilan. Jika  penumpang dari Singapura hendak ke Pulau Pinang mereka harus menyeberang dengan kapal dari Woodlands ke Johor Bahru. Dari Johor Bahru perjalanan keretapi teros ke Seberang Perai kemudian menyeberang sekali lagi dengan kapal untuk sampai ke Pulau Pinang.

Anderson masih tetap tidak berputus asa untuk menyingkirkan Abdul Rahman. Semakin hari Anderson cuba  mengeruhkan hubungan baik Abdul Rahman dengan Sultan Ibrahim. Pelbagai tekanan, helah dan fitnah dilakukan oleh Anderson untuk menyingkirkannya. Akhirnya strategik ketiga yang digalas Anderson telah berjaya, Sultan Ibrahim terpedaya dengan fitnah yang dilemparkan Anderson kepada Abdul Rahman. Pada Mac 1909 Abdul Rahman bersetuju untuk ‘dibersarakan’ dengan dibayar sebanyak £1000 setahun dan ‘dipindahkan’ ke England.

Pada April 1909 Abdul Rahman bersama ahli keluarganya telah belayar ke England meninggalkan Singapura. Abdul Rahman bukan ‘dibuang negeri’ seperti yang telah ditulis dalam kebanyakkan buku. Jika beliau ‘dibuang negeri’ kenapa ke England? Kenapa tidak ‘dibuang negeri’ ke tanah jajahan Inggeris yang lain seperti India atau pon negara-negara Afrika dan pulau-pulau terpencil kerana beliau sangat dibenci Inggeris. Tujuan Abdul Rahman dipindahkan ke England supaya Inggeris mampu memantau pergerakan dan mengawalnya. England umpama ‘rumah kedua’ buat Sultan Ibrahim, jika Abdul Rahman berhubung dengan Sultan Ibrahim  atau para pembesar – pembesar Johor yang datang kesana  pasti pergerakannya  dalam pengetahuan Inggeris.

Johor Royal Council

Majlis Jumaah Diraja Johor adalah badan berkuasa tertinggi bagi negeri Johor. Dianggotai oleh lima orang ahli. Sultan Ibrahim , Dato Mohamed bin Mahbob (SUK Johor),Dato Seri Amar Di Raja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak (Timbalan MB Johor dan Setiausaha Sulit Sultan); dua lagi ahli adalah orang Inggeris (Sir Arthur Henderson Young sebagai Setiausaha Kolonial Negeri-negeri Selat dan seorang lagi dipercayai peguam bagi pihak Sultan). Sultan Ibrahim akan mempengerusikan semua mesyuarat.Segala usul akan dibentang dan dibincangkan didalam mesyuarat sebelum keputusan dibuat bersama. Sistem pemerintahan ini untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Sultan bukan diktator.

Johor Royal Council berdiri dari kiri Dato Abdul Rahman Andak, Dato Mohamed Bin Mahbob , Sultan Ibrahim.Duduk dari kiri Sir Arthur Henderson Young dan peguam bagi pihak Sultan (sumber foto koleksi peribadi Dang Ku Puteri)

PENASIHAT AM INGGERIS PERTAMA

Penyingkiran Abdul Rahman merupakan satu kehilangan besar buat Johor kerana telah kehilangan ‘mastermind’ dalam tunggak pentadbiran kerajaan. Atas desakan Inggeris akhirnya Sultan Ibrahim mengalah dan menerima seorang Penasihat Am Inggeris setelah berbincang dengan para ahli Jumaah Menteri. Douglas Graham Campbell dilantik menjadi General Adviser pertama pada Januari 1910 dengan beberapa syarat tertentu. Status pegawai Inggeris  dan pegawai Melayu adalah sama.

Anak Melayu Johor diberi keutamaan dalam mengisi jawatan kerajaan. Semua pegawai Inggeris  dan pegawai Melayu berpakaian seragam kecuali General Adviser. Bendera British tidak boleh dikibarkan lebih tinggi dari bendera Johor.Bahasa rasmi adalah kedua-duanya iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris. Sultan masih mengekalkan keseluruhan kuasa dalam pentadbiran dan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri.

Selepas ‘dipindahkan’ ke England dan bermastautin di London, hubungan Abdul Rahman  dengan Sultan Ibrahim tidak terputus seperti yang diharapkan oleh Inggeris. Abdul Rahman diamanahkan menjadi pemerhati bagi pihak Sultan Ibrahim dalam mengawasi anakanda-anakanda baginda iaitu Tunku Ismail, Tunku Ahmad dan Tunku Abu Bakar yang melanjutkan pelajaran di England.

Douglas Graham Campbell Penasihat Am Pertama Johor (sumber foto National Potrait Gallery https://www.npg.org.uk)

Pada 1918, kerajaan Inggeris memohon pinjaman dari kerajaan Johor. Atas perbincangan Sultan Ibrahim bersama para pembesarnya, mereka bermuafakat dari memberi pinjaman kepada kerajaan Inggeris, lebih baik baki pinjaman $11,052,000 yang dipinjam ketika pembinaan landasan keretapi dilunaskan semuanya. Pinjaman ini berjaya diselesaikan 7 tahun lebih awal dari tempoh pembayaran balik seperti dalam perjanjian yang ditandatangani. Sultan Ibrahim berjaya membuktikan kepada Inggeris bahawa baginda berjaya mentadbir negeri dan menguruskan kewangannya sendiri tanpa perlu campur tangan mereka.

~ LEGASI PERSURATAN ~

Pada tahun 1888, Abdul Rahman Andak bersama Muhammad Ibrahim Munsyi (kemudian bergelar Dato Bentara Dalam) membuka lembaran baru dalam memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu dengan mengasaskan Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) di Johor Bahru. Walaupun berpendidikan Inggeris, beliau mewujudkan kesedaran  memperjuangkan kemajuan bahasa Melayu secara berkumpulan melalui PBMPB. Pakatan ini bertujuan untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar pengetahuan bahasa Melayu itu lebih mudah disebarkan kepada orang Melayu. Usaha pertama pakatan ini  menterjemahkan istilah atau perkataan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Beberapa perkataan baru  yang dicipta ketika itu dan kekal hingga sekarang adalah seperti Setiausaha, Pejabat dan Kerja Raya. Pendekatan yang diamalkan Abdul Rahman termasuk usaha melahirkan ramai bijak pandai Melayu melalui pendidikan amat membimbangkan Inggeris. Oleh itu sejak awal lagi wujud ‘taktik kotor’ untuk menyingkirkan beliau bagi mengelakkan pengaruhnya teros berkembang.

Abdul Rahman tetap dikenang dalam usahanya mengasaskan PBMPB.Antara 1935 hingga 1947, PBMPB menghasilkan 34 buku, 16 daripadanya mengenai bahasa yang meliputi perkamusan, tatabahasa, ejaan dan daftar kata, manakala 18 lagi mengenai Sejarah, Kebudayaan dan Laporan.

Dalam bidang peristilahan pula, PBMPB memainkan fungsi yang besar dengan mencipta beberapa istilah baru seperti Pesuruhjaya, Warta, Jurucakap, Jadual Waktu dan Timbalan. Abdul Rahman dianggap sebagai pemimpin pertubuhan yang memberi nafas kepada organisasi itu. Namun begitu pertubuhan itu tidak kekal dan pada 1904 usaha dibuat untuk menghidupkannya kembali. Organisasi ini semakin tidak bermaya sehinggalah pada 1934, baginda Sultan Johor bersetuju memberi bantuan RM2,000. Nama Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Diraja. Gelaran ‘Diraja’ dianugerah oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar pada 14 April 1935. Sumbangan awal Abdul Rahman itu diakui banyak memberi kesan dalam perkembangan bahasa Melayu sehingga membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada Jun 1956 sebelum ditukar nama kepada Dewan Bahawa Pustaka (DBP) pada September 1956.

Abdul Rahman juga telah membuat beberapa perubahan dalam sistem pendidikan. Beliau bertanggungjawab menguatkuasakan penggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan negeri Johor. Beliau juga memberi  penekanan terhadap penggunaa tulisan jawi didalam semua surat-surat rasmi kerajaan. Majlis Jumaah Negeri juga bersetuju dalam surat menyurat hendaklah  ditulis dalam bahsa Melayu dengan bertulisan Jawi.

~ PERMATA JAUHAR ~

Kebijaksanaan Abdul Rahman memang tiada tandingan. Abdul Rahman adalah pakar dalam hubungan dan dasar luar negara. Beliau telah mengembara jauh untuk mempromosikan Johor diperingkat antarabangsa. Anataranya di Chicago pada tahun 1893 dan Adelaide 1894 untuk pameran ‘Johore State Regalia’.

Ketika beliau menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, beliau telah membuat beberapa peraturan-peraturan serta beberapa jenis  prosedur dalam perkhidmatan awam dan perbendaharaan. Kepintaran Abdul Rahman selama berkhidmat dalam pentadbiran negeri, beliau telah merangka dan merancang serta menjadi penasihat  kepada Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim.Sepanjang keberadaan Abdul Rahman dalam pentadbiran, beliau berjaya  membawa kemajuan, kemakmuran sekaligus menyekat usaha Inggeris  dalam menempatkan seorang Residen/Penasihat Am. Trio beliau sebagai (Timbalan Menteri Besar Johor) bersama Dato Jaafar Bin Haji Mohamed (Menteri Besar Johor) dan Dato Mohamed Bin Mahbob (S/U Kerajaan Johor) didalam pentadbiran negeri berjaya mengekalkan Johor bebas dari pengaruh dan campurtangan Inggeris. Sesungguhnya Abdul Rahman merupakan individu yang paling lantang menyekat dan  menentang pengaruh Inggeris dalam pentadbiran negeri Johor. Kerana kelantangan tersebut beliau merupakan satu-satunya pembesar Johor yang sangat dibenci Inggeris.

~ ANUGERAH KEBESARAN~

Sepanjang berkhidmat dalam pentadbiran negeri Johor, Abdul Rahman dianugerahkan dengan beberapa darjah kebesaran dari Sultan Johor, kerajaan Inggeris, kerajaan Austria dan kerajaan Turki.

  1. Darjah Paduka Mahkota Johor (DPMJ/Commander) dengan membawa gelaran Dato Seri Amar Di Raja pada tahun 1886 oleh Sultan Abu Bakar.
  2. Dato Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ/Grand Commander) pada 1892
  3. Darjah Kerabat Johor Yang Amat di-Hormati (The Most Esteemed Family Order of Johore)
  4. CMG (1891)
  5. Order Of Franz Joseph (Austria)
  6. Order Of The Osmanish And The Madjidies (Turki)

~ KELUARGA~

Abdul Rahman dilahirkan pada 13 Jun 1859  di Telok Belanga Singapura.Bapanya Dato Wan Andak Bin Daeng Meng Bin Daeng Abdul Rahman Bin Daeng Sitarpulah Bin Daeng Perpatah Bin Daeng Indera Berma dari keturunan Raja Chempa/Kembayat Bukit Mor Muar.Dato Wan Andak dilantik sebagai Penghulu di Lenga Muar kemudiannya sebagai Pegawai Daerah di Segamat (Buluh Kasap/Jementah & Tangkak) pada tahun 1895.Dato Wan Andak berkahwin dengan Hawa Binti Abdullah yang merupakan adik kepada Ana Binti Abdullah (ibu Dato Jaafar Bin Haji Mohamed) dan sepupu kepada Rejab Bin Panglima Perang Dapat (Kisah Pelayaran Ke Riau/Asst.Director of Shahbandar).Mereka adalah cucu  kepada Cik Buruk Binti Anak Orang Kaya Pahlawan Omar Semantan Pahang yang berkahwin dengan Abdul Jamil (Raja Timur) dan Panglima Perang Besar Daeng Mohd Salleh Bin Panglima Perang Raja Daeng Awang.

Hasil perkahwinan Dato Wan Andak bersama Hawa mendapat 5 anak

1.Mohamed

2.Selamah berkahwin dengan Major Dato Sulaiman Bin Jawa

3.Halimah

4.Safiah berkahwin dengan Awang Bin Daeng Bachok Bin Daeng Persilik Bin Daeng Meng

5.Abdul Rahman

Isteri kedua Dato Wan Andak pula bernama Rahmah Binti Haji Othman Bin Tok Muhammad Tahir Bin Tok Abdul Jabbar.Sepupu kepada Dato Jaafar Bin Haji Mohamed dan juga anak saudara kepada Laksamana Kapal Perang Wan Abu Talib Bin Wan Nong Yahya (Director Of Shahbandar), Dato Wan Mohamad Don Bin Wan Nong Yahya dan Dato Penggawa Timur Wan Jaafar Bin Wan Nong Yahya. Bersama Rahmah dikurniakan 3 anak

1 .Ahmad SMJ, PIS (1886 – 25 Mei 1936) berkahwin dengan Datin Wan Embong Bin Dato Wan Mohammad Don Bin Wan Nong Yahya .Ahmad berkhidmat sebagai guru di Muar kemudian berhidmat di   Legal Adviser Office dan General Adviser Office dan merupakan PA kepada General Advisor Richard Olaf Winstedt (1931-1935 ) dan Walter Evelyn Pepys (1935 – 1940)

2.Abu Bakar

3.Kalthom berkahwin dengan Cikgu

~ PERKAHWINAN ~

Abdul Rahman berkahwin sebanyak dua kali. Pertama dengan Wan Embek @ Embok  Binti Wan Abu Talib Bin Wan Nong Yahya yang meninggal dunia pada tahun 1885 ketika Abdul Rahman mengiringi Maharaja Abu Bakar ke England. Antara adik beradik Wan Embek adalah Wan Emon @ Embun (isteri kedua Dato Jaafar Bin Haji Mohamed) dan Major JMF  Dato Haji Wan Yahya (suami Datin Aishah Binti Rejab Bin Panglima Perang Dapat).Wan Embek , Wan Emon dan Major Dato Wan Yahya adalah sepupu kepada Sultan Ibrahim. Dengan Wan Embek dikurniakan seorang cahayamata perempuan diberi nama Rahmah. Rahmah berkahwin dengan Dato Abdullah Bin Dato Jaafar dan dikurniakan 4 cahayamata.

Aguste (Gustel) Reis (sumber foto Family Of Tok Abdul Jabbar)

Perkahwinan kedua Abdul Rahman dengan  Auguste (Gustel) Reis pada tahun 1895 di London. Satu majlis sambutan kepulangannya bersama isterinya  dari Eropah telah diadakan di kediaman Almarhum Ungku Abdul Majid Bin Temenggong Tun Ibrahim. Aguste adalah anak perempuan Herman Katz (dieja Cutts mengikut rekod istana) iaitu pemilik Katz Bros. Ltd yang merupakan sebuah gedung di Singapura. Herman Katz telah dianugerahkan Dato ‘Paduka Mahkota Johor’ oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1890 atas perkhidmatan yang telah diberikannya semasa lawatan baginda ke Frankfurt German. Herman Katz juga telah menjadi pengiring Prince Henry dari Prussia Jerman semasa lawatannya ke Johor pada  24 Februari 1898. Bersama Aguste , dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu Mansor, Maarof dan Murad.

Maaruf, Mansur dan Murad (sumber foto Family Of Tok Abdul Jabbar)

PERTEMUAN TERAKHIR ABDUL RAHMAN DENGAN SULTAN IBRAHIM 

Pada 1929 Sultan Ibrahim telah berangkat ke England dan menginap di Grovernor House, berhampiran dengan Marble Arch Hyde Park. Ketika Sultan Ibrahim masuk ke ruang menanti, AbdulRahman telah pergi kearah baginda sambil dipimpin dalam keadaaan  uzur , lalu mencium tangan baginda dengan linangan air mata sambil mengucapkan kesyukuran dapat bertemu dengan baginda semula dan memohon beribu-ribu ampun. Kemudian Abdul Rahman mempersembahkan sebuah sebuah potret lukisan minyak Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abu Bakar dengan pakaian rasmi dan bintang kebesaran. Lukisan ini adalah koleksi peribadi Abdul Rahman yang selama ini sentiasa digantung dikediamannya. Dengan rasa sedih baginda mengucapkan  terima kasih diatas pemberian tersebut dan diarahkan gambar tersebut dibawa pulang ke Johor. Dengan rasa gembira Abdul Rahman lalu mencium tangan baginda sekali lagi dengan linangan air mata dan memohon pulang selepas berbicara sebentar dengan Sultan Ibrahim.

Hari dan waktu itu adalah pertemuan terakhir baginda dengan Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak. Akibat keuzuran pada 10 September 1930 beliau telah menghembuskan nafas terakhir di usia 71 tahun di London dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Working. Beberapa tahun kemudian Aguste meninggal dunia dan dikebumikan dimakam yang sama dengan Abdul Rahman.

Abdul Rahman Andak, 13 Jun 1859 – 10 Sep 1930 (aged 71) at Greater London, England. Burial at Brookwood Cemetery Brookwood, Woking Borough, Surrey, England.PLOT 128 M1 Old Muslim Section MEMORIAL ID: 101301228·(Sumber http://www.brookwoodcemetery.com/abdul-rahman-andak/)

Pada bulan May 1927, Sultan Ibrahim telah menitahkan Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Majid (Timbalan Menteri Besar) ke London untuk memujuk dua anak Abdul Rahman yang bernama  Murad dan Maaruf pulang ke Johor dan berkhidmat dalam pentadbiran negeri. Murad mengambil jurusan kedoktoran dan merupakan pelajar terbaik kursus. Manakala Maaruf mengambil jurusan kejuruteraan awam. Tetapi kedua-dua mereka menolak pelawaan tersebut kerana hendak berada disisi ibubapa mereka di London.

 

Sri Lalang @ Istana Mestika Embun (sumber foto Wakaf Tunku Ampuan Mariam)

~SERI LALANG SEBAGAI KEDIAMAN RASMI~

Kediaman rasmi  Abdul Rahman diberi nama Seri Lalang. Terletak diantara Jalan Sri Lalang dan Jalan Abdul Rahman Andak Johor Bahru. Pada 1930 kediaman tersebut diambil alih oleh Tunku Ampuan Besar Mariam dan dinamakan Istana Mestika Embun @ Palace Of Radiant Jewel. Kemudian Tunku Ampuan Besar telah mewakafkan istana tersebut sebagai pusat pendidikan bagi anak-anak melayu perempuan Islam Johor menimba ilmu. Istana tersebut kemudian menjadi Kolej Tunku Ampuan Mariam. Kolej Tunku Ampuan Mariam telah berpindah ke tempat baru. Kini tanah wakaf tersebut menempatkan Sekolah Rendah Islam Johor Bahru.

Untuk makluman para pembaca bahawa Dato Seri Amar Diraja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak bukan abang kepada Tan Sri Taib Bin Andak. Mereka berlainan bapa.Bapa Tan Sri Taib adalah Andak Bin Majok. Manakala bapa Dato Seri Amar adalah Dato Wan Andak Bin Daeng Meng. Namun mereka dari keturunan yang sama iaitu Bugis Champa/Kembayat Bukit Mor tapi jurai yang berlainan.

Sumber :

Hikayat Johor – Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman

Hikayat Johor Penggal Kedua – Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman

PEJUANG TERBILANG JOHOR – Abu Bakar A.Hamid & Md Ismail Zamzam

Sejarah Johor Moden 1855-1910 – Fawzi Basri  & Hasrom Haron

Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855 – 2012 – Dato Rahim Ramli

Salahsilah Dato Wan Andak Bin Daeng Meng Bin Daeng Abdul Rahman Bin Daeng Sitarpulah Bin Daeng Indera Berma Shah  ( Raja Chempa/Kembayat Bukit Mor Muar) disusun semula oleh Dang Ku Puteri

Salahsilah Tun Embong Binti Tun Ahmad+Temenggong Abdul Rahman Bin Temenggong Abdul Hamid disusun semula oleh Jeneral (B) Dato Ariff Bin Dato Awang dan Dang Ku Puteri

Mona Lesa Abdul Mutalib. Puan. (Personal family notes.). Titisan keturunan daripada Cik Burok [Orangkaya Pahlawan Omar Semantan]+Abdul Jamil [Raja Timur] bersama titisan keturunan YAB Dato Mohamed Bin Mahboob Menteri Besar Johor Kedua, melalui anak nya Jamilah [Cik Mas] Binti Dato Mohamed

Abu Bakar Bin Ahmad. Salasilah Tok Haji Mohamed Tahir Bin Tok Abdul Jabbar. Maklumaat di kumpul daripada saudara-mara dan penyelidikan. Ref: [1] Salasilah Toh Jabbar Bin Toh Othman di terbit oleh Othman Bin Dato Abdul Hamid [2] Salasilah Haji Mohamed Bin Tok Abdul Jabbar Bin Tok Othman Bin Tok Ahmad di terbit oleh Dr. Hajjah Aishah Abu Bakar. [3] Salasilah Dato Jaafar Bin Haji Mohamed di terbitkan oleh Jeneral [B] Dato Jaafar Bin Dato Onn [4]. {1}

Dr.Christopher Stephen Gray. Johore 1910 – 1941 Studies in the Colonial Process. (May 1978). A dissertation presented to the Faculty of the Gradutate School of Yale University, in Candidacy for the Degree of Doctor of Philosophy.

Dato Jaafar Bin Haji Mohamed. Menteri Besar pertama Johor. (Cacatan peribadi [personal papers]). Personal notes and papers passed down to his children after his death in 1919.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.