Ramly Burger, ‘street food’ yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia. Sebut sahaja nama Ramly Burger, pasti ramai orang tahu akan kewujudan burger tersebut. Hampir di setiap kawasan, pasti ada sahaja gerai-gerai yang menjual burger ini terutamanya pada waktu malam.

Penjualan burger yang menggunakan produk daripada syarikat yang cukup sinonim dengan nama Ramly Burger ini juga menjadi punca rezeki pada sesetengah orang yang berniaga dengan menggunakan produk Ramly Burger bagi menyara diri dan keluarga.

Terima kasih kepada Dato’ Ramly bin Mokny, pencetus idea penghasilan daging burger Ramly ini. Atas cetusan idea beliau, kita dapat menikmati burger yang seakan sudah sebati dengan tekak anak Malaysia.

Permulaan Dato’ Ramly Bersama Ramly Burger

Dato’ Haji Ramly bin Mokni dilahirkan di Tanjung Piandang, Perak sebelum berpindah dan dibesarkan di Sekinchan, Selangor. Kemudian, setelah Dato’ Ramly meningkat dewasa,  beliau pun berpindah ke Kuala Lumpur bagi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Di Ibu Kota, beliau bekerja sebagai seorang pemotong daging di sebuah pasaraya.

Di situ, beliau perhatikan yang makanan sejuk beku terutamanya daging tidak dapat dipastikan secara jelas sama ada ianya halal ataupun tidak. Dari situlah beliau mendapat cetusan idea untuk memproses daging burger sejuk beku yang halal bagi dibekalkan kepada pembeli-pembeli beragama Islam di negara ini.

Dato’ Ramly memulakan perniagaan dengan berbekalkan modal daripada pinjaman Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad selepas Majlis Amanah Rakyat (MARA) menolak permohonan pinjaman beliau berserta dengan sedikit wang simpanan peribadinya.

Pada awalnya, beliau yang dibantu isterinya, Datin Hajjah Shala Siah binti Abdul Manap hanya menggunakan pisau semata-mata tanpa bantuan sebarang mesin dalam pemprosesan daging burgernya dan hanya bekerja dari rumah. Namun begitu, perniagaan beliau kurang mendapat sambutan disebabkan masyarakat di Malaysia pada ketika itu kurang menggemari makanan seperti burger.

Ini semua berubah apabila Dato’ Ramly dan isteri membuka sebuah gerai burger di kawasan Chow Kit. Dari situ, permintaan mula meningkat dari semasa ke semasa dan beberapa tahun selepas itu, mereka mula menubuhkan syarikat yang dinamakan Perusahaan Burger Ramly Mokni Sdn Bhd dan selepas itu mereka berjaya membuka kilang mereka sendiri di Bandar Tun Razak. Semuanya hasil kecekalan Dato’ Ramly dan isteri dalam menempuhi selok belok perniagaan yang ada naik dan turunnya.

Syarikat yang kini bernama Ramly Food Processing Sdn Bhd ini mempunyai kurang lebih 10 anak syarikat di bawah grup Ramly Food Processing Sdn Bhd itu sendiri. Lebih menarik lagi, Ramly Burger kini menggunakan lebih dari 1.5 tan daging setiap hari dalam pemprosesan produk-produknya yang bukan lagi menfokuskan hanya kepada pengeluaran daging burger sahaja, malahan banyak lagi produk-produk lain yang dijamin status halalnya.

Fitnah Terhadap Ramly Burger

Sudah seperti menjadi lumrah kepada syarikat-syarikat yang sedang meningkat saban tahun, pasti aka nada pihak yang kurang senang akan peningkatan itu. Pada beberapa tahun lalu, terdapat pihak yang telah menuduh terdapat DNA Khinzir di dalam produk makanan Ramly.

Ini berikutan dengan sebuah blog yang memaparkan surat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bahawa kononnya terdapat DNA Khinzir pada satu sampel produk makanan Ramly yang telah dikaji jabatan berkenaan.

Namun begitu, Dato’ Ramly dengan tegasnya menidakkan dakwaan jijik tersebut dan menyatakan yang syarikat beliau amat mementingkan aspek halal dan haram dalam penghasilan produk makanan mereka.

Fitnah terhadap syarikat perusahaan Dato’ Ramly tidak terhenti di situ sahaja, Ramly Burger juga pernah menerima dakwaan daripada pihak tidak bertanggungjawab bahawa kononnya Syarikat Ramly ini telah dibeli oleh seorang pemilik bukan bumiputera.

Fitnah sekali lagi berjaya ditepis apabil Pengurus Kanan Pemasaran Ramly Burger mengeluarkan kenyataan yang syarikat Ramly Burger tidak pernah dijual kepada mana-mana pihak. Beliau juga menyatakan yang dakwaan tersebut hanyalah sebuah usaha untuk menjatuhkan perniagaan mereka.

Kejayaan Ramly Burger

Atas kejayaan dan kecemerlangan berpanjangan syarikat Ramly Burger, mereka telah menerima anugerah daripada Bank Pembanganan dan Malaysia Berhad sebanyak tiga kali dalam masa sedekad iaitu Anugerah Projek Terbaik pada tahun 1982, Anugerah Pelanggan Pembangunan pada tahun 1984 dan Anugerah Usahawan Jaya pada tahun 1992.

Tidak terhenti di situ, dalam memastikan syarikat berjaya mengeluarkan produk dalam kuantiti yang lebih besar, mereka telah melabur sebanyak lebih RM15 juta bagi tujuan pembesaran dan pembelian mesin yang lebih berteknologi tinggi di kilang Ramly Burger di Batu Caves.

Hal ini dilaksanakan atas sebab ianya dijangka mampu membuatkan syarikat mencapai matlamat syarikat dengan baiknya. Dalam pada masa itu, Ramly Burger telah diluluskan permohonan pembiayaan syariah daripada SME Bank untuk membiaya pembelian bahan mentah untuk penghasilan produk Ramly Burger.

Semua ini jelas menunjukkan yang Ramly Burger merupakan sebuah syarikat Islam Bumiputera yang berjaya dalam aspek pembekalan makanan dan bahan mentah.

Ulasan Penulis

Ramly Burger boleh dijadikan suri teladan buat syarikat-syarikat Islam Bumiputera yang baru hendak berkembang dan berkecimpung dalam dunia perniagaan. Sifat Dato’ Ramly Mokni dan isteri yang cekal dalam menghadapi selok belok perniagaan juga merupakan asas kepada kejayaan syarikat Ramly Burger ini. Semua hal ini boleh peniaga-peniaga contohi dalam usaha untuk berkembang dengan lebih besar suatu hari nanti. Insyallah.

Artikel disumbangkan oleh Sang Taming Marhaen untuk The Patriots.

RUJUKAN :

1. Ramly.com. About Us. http://www.ramly.com.my/about/

2. Orang Perak (2019). Kisah Pengasas Ramly Burger Dari Tanjung Piandang, Perak. https://www.orangperak.com/kisah-pengasas-ramly-burger-dari-tanjung-piandang-perak.html

3. Usahawan.com. Kisah Benar Jutawan Burger. https://www.usahawan.com/uncategorized/kisah-benar-jutawan-burger.html/

4. SELANGOR KINI (2017). Legenda Burger Ramly: Sebut burger, ingat burger Ramly. https://selangorkini.my/2017/12/legenda-burger-ramly-sebut-burger-ingat-burger-ramly/

5. Nur Shahila Rosly (2014). Dato Haji Ramly Mokni (Pengasas Ramly Burger). http://sayapunyablog1.blogspot.com/2014/09/dato-haji-ramly-mokni-pengasas-ramly.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.