Nama Dato’ Onn bin Jaafar tidak asing lagi dalam sejarah tanah air kita, terutamanya apabila berbicara berkenaan tokoh-tokoh nasionalis Melayu zaman pra-kemerdekaan negara. Dalam penulisan pendek ini, penulis akan berbicara berkenaan biografi ringkas tokoh nasionalis ini dan juga berkenaan tokoh-tokoh pemimpin negara dan tokoh sarjana dalam kalangan ahli keluarga besar mereka.

Tokoh yang dilahirkan pada tanggal 1895 di Johor Bahru ini merupakan anak ketiga kepada pasangan Dato’ Jaafar bin Hj. Muhammad iaitu Menteri Besar Johor pertama dengan isterinya yang bernama Rugayah Hanim, seorang wanita berbangsa Turki Kaukasan. Oleh itu, Onn berdarah kacukan Melayu Bugis-Turki Kaukasan dari jurai kedua-dua belah ibu bapanya.

Onn dijadikan anak angkat oleh Sultan Ibrahim al-Masyhur, Sultan Johor ketika itu dan dihantar belajar ke England. Sekembalinya beliau ke tanah air, beliau menuntut pula di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Beliau kemudiannya berkhidmat di bawah kerajaan Johor pada zaman kolonial British dan zaman pendudukan tentera Jepun dengan pelbagai jawatan dan jabatan. Beliau juga pernah bekerja sebagai wartawan dan pengarang di sebuah syarikat akhbar dan majalah tempatan.

Selepas tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu, semangat nasionalisme rakyat Tanah Melayu semakin membara terutamanya selepas pihak British mengumumkan pelaksanaan dasar Malayan Union. Pada awal tahun 1946, Dato’ Onn telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor. Pada bulan Mac tahun tersebut, puluhan perwakilan persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu menyertai Kongres Melayu pertama yang bertempat di Padang Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Dalam kongres tersebut, persepakatan termeterai dengan cadangan penubuhan satu pertubuhan Melayu yang menentang dasar Malayan Union.

Akhirnya pada bulan Mei 1946, ketika berlangsungnya Kongres Melayu ketiga di Istana Besar Johor Bahru, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR / UMNO) telah ditubuhkan dengan Dato’ Onn sebagai presiden pertamanya. Ketika beliau memimpin UMNO juga, Sultan Ibrahim Johor telah melantiknya sebagai Menteri Besar Johor yang ketujuh menggantikan abang seibunya. Penulis akan ceritakan berkenaan ahli keluarganya selepas ini.

Perjuangan UMNO menentang pelaksanaan dasar Malayan Union berjaya apabila pihak British terpaksa memansuhkan pelaksanaan dasar tersebut dan Persekutuan Tanah Melayu berjaya dibentuk pada tahun 1948. Pada tahun 1951, Dato’ Onn melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor untuk memberi perhatian pada kepimpinannya dalam UMNO. Pada tahun yang sama juga, beliau telah dilantik oleh pihak Bristish sebagai Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri dalam kabinet Sistem Ahli Tanah Melayu bagi melatih rakyat tempatan menerajui hal ehwal pentadbiran kerajaan. Beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) atau sekarang dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dato’ Onn cuba mengusulkan keahlian UMNO dibuka untuk rakyat Tanah Melayu bangsa lain tetapi usul tersebut ditolak. Akhirnya beliau meletak jawatan sebagai presiden UMNO dan tempatnya digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Selepas itu, beliau menubuhkan pula Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang membuka keahliannya untuk semua rakyat Tanah Melayu pelbagai bangsa, namun partinya itu kurang mendapat sambutan. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan sebuah lagi parti politik bernama Parti Negara dan bertanding dalam pilihanraya pertama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 tetapi kalah.

Pada tahun 1959, Dato’ Onn menang bertanding dalam pilihanraya persekutuan di kawasan Kuala Terengganu Selatan dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada awal tahun 1962 kerana serangan jantung. Beliau dikebumikan di Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru. Tamat cerita ringkas berkenaan perjalanan hidup dan karier politik beliau.

Sekarang, berbicara berkenaan keluarga besar Dato’ Onn. Apa yang menariknya ialah beliau dikelilingi oleh keluarga tokoh pemimpin dan tokoh sarjana. Sepertimana yang telah dinyatakan tadi, ayahnya sendiri, Dato’ Jaafar merupakan Menteri Besar Johor yang pertama (1886-1919), bahkan beliau masih memegang rekod sebagai Menteri Besar Johor paling lama pernah berkhidmat setakat ini iaitu selama 33 tahun.

Tapi sebelum itu, ketika zaman pentadbiran Temenggung Daeng Ibrahim, ayah saudara sebelah bapa kepada Dato’ Jaafar iaitu Abdullah bin Muhammad Tahir atau lebih dikenali sebagai Encik Long Menteri merupakan menteri yang berkhidmat di bawah Temenggung Daeng Ibrahim. Apabila Encik Long Menteri meninggal dunia, jawatan tersebut kosong dalam tempoh yang lama sebelum jawatan Menteri Besar Johor diwujudkan dan Dato’ Jaafar dilantik sebagai Menteri Besar Johor pertama. Negeri Johor adalah negeri di Tanah Melayu yang paling awal mewujudkan jawatan tersebut yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri Tanah Melayu yang lain.

Dato’ Onn dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ketujuh (1947-1950) ketika beliau masih memimpin parti UMNO. Sebelum itu, dua orang abang sebapanya, seorang abang seibunya dan seorang sepupunya pernah menjawat jawatan yang sama. Dua orang abang sebapanya itu ialah Dato’ Abdullah bin Jaafar dan Dato’ Mustapha bin Jaafar yang merupakan Menteri Besar Johor ketiga (1923-1928) dan keempat (1928-1931).

Bapa mereka, Dato’ Jaafar pernah berkahwin dengan lima orang wanita iaitu Aishah, Wan Emon, Maimunah, Rugayah Hanim dan Selamah. Hasil perkahwinan tersebut, melahirkan 15 orang anak iaitu 3 orang anak dengan Aishah termasuklah Dato’ Mustapha, 2 orang anak dengan Wan Emon termasuklah Dato’ Abdullah, seorang anak dengan Maimunah, 8 orang anak dengan Rugayah Hanim termasuklah Dato’ Onn, dan seorang anak dengan Selamah. Jadi Dato’ Onn mempunyai 14 orang adik-beradik sebapa.

Selepas Dato’ Mustapha bersara, sepupu sebelah ayah mereka iaitu Dato’ Abdul Hamid bin Yusof bin Hj. Muhammad dilantik sebagai Menteri Besar Johor kelima (1931-1934). Apabila Dato’ Abdul Hamid meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan, abang seibu kepada Dato’ Onn iaitu YAM Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid dilantik menggantikannya sebagai Menteri Besar Johor keenam (1935-1947). Oleh itu, daripada Menteri Besar Johor pertama sehingga keenam kecuali kedua, mereka semua ahli keluarga Dato’ Onn.

Baik, sepertimana Dato’ Jaafar, salah seorang isterinya iaitu Rugayah Hanim yang juga merupakan ibu kepada Dato’ Onn juga pernah berkahwin beberapa kali sebelum itu dan melahirkan ramai zuriat pada setiap perkahwinannya tersebut.

Perkahwinan pertama Rugayah Hanim adalah dengan adinda kepada Sultan Abu Bakar Johor iaitu Ungku Abdul Majid ibni Temenggung Daeng Ibrahim. Hasil perkahwinan tersebut melahirkan dua orang anak iaitu Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid iaitu Menteri Besar Johor keenam seperti yang telah dinyatakan di atas tadi, dan seorang lagi ialah Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid iaitu bapa kepada Allahyarham Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz, seorang tokoh sarjana dan negarawan yang banyak menyumbang jasa dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebajikan negara. Anaknya pula iaitu Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz merupakan satu-satunya mantan Gabenor Bank Negara wanita setakat ini.

Setelah suami pertamanya meninggal dunia, Rugayah Hanim berkahwin pula dengan seorang berketurunan Arab Hadramaut-Yamani yang berhijrah ke Singapura, bernama Syed Abdullah bin Syed Mohsin al-Attas. Perkahwinan tersebut melahirkan Syed Ali bin Syed Abdullah al-Attas yang juga merupakan bapa kepada Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Alatas dan Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, kedua-dua mereka merupakan tokoh sarjana negara yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Anak-anak mereka berdua pula seperti Prof. Dr. Syed Farid bin Syed Hussein Alatas, Dr. Sharifah Munirah binti Syed Hussein Alatas dan Prof. Dr. Syed Ali Tawfiq bin Syed Naquib al-Attas juga merupakan tokoh-tokoh sarjana yang amat disegani. Senang cerita, ramai dalam kalangan keluarga al-Attas mereka merupakan tokoh-tokoh sarjana negara yang terkemuka.

Apabila Syed Abdullah al-Attas menceraikan Rugayah Hanim, Rugayah Hanim berkahwin pula dengan Dato’ Jaafar bin Hj. Muhammad dan hasil perkahwinan tersebut melahirkan seramai lapan orang anak termasuklah Dato’ Onn sendiri. Jadi, Dato’ Onn mempunyai seramai 11 orang adik-beradik seibu. Keseluruhannya, beliau mempunyai seramai 17 orang adik-beradik kandung iaitu 7 orang daripada mereka sebapa sahaja, 3 orang seibu sahaja dan tujuh orang seibu sebapa.

Tidak terhenti di situ, sepertimana yang kita semua maklum, salah seorang anak kepada Dato’ Onn iaitu Tun Hussein bin Onn merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga (1976-1981) dan terkenal dengan gelaran Bapa Perpaduan dalam sejarah Malaysia. Salah seorang anak Tun Hussein pula iaitu Datuk Seri Hishammuddin bin Hussein merupakan menteri kabinet yang berkhidmat di pelbagai kementerian kerajaan persekutuan sejak tahun 1995 sehingga kini. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO.

Kesimpulannya, ramai dalam kalangan ahli keluarga besar Dato’ Onn Jaafar merupakan tokoh pemimpin dan tokoh sarjana yang memberi sumbangan besar pada agama, bangsa dan negara. Bak kata pepatah, “Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.” Walaupun lahir dalam keluarga elit dan bangsawan, Dato’ Onn lebih mementingkan perjuangan bangsa dan negara daripada harta kekayaan. Salah seorang cucu saudaranya, Datuk Mohamed Abid pernah berkata, ketika Dato’ Onn meninggal dunia, dalam akaun banknya cuma tinggal wang sebanyak RM 300 sahaja dan RM 30 dalam simpanan sakunya.

Perjuangan Dato’ Onn Jaafar dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain wajarlah diambil iktibar, dikenang dan dihargai, kerana tanpa usaha perjuangan mereka, kita tidak dapat mengecapi nikmat kemerdekaan dan keamanan negara pada hari ini. Bagi mereka yang beragama Islam, sama-samalah kita sedekahkah al-Fatihah dan doakan kesejahteraan roh-roh mereka, semoga ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diredhai.

 RUJUKAN:3

M.A Fawzi Mohd. Basri, “Datuk Jaafar Haji Mohamad, Menteri Besar Johor yang Pertama, 1886-1919,” Jebat, Bil. 2, 1972/73, hlm. 1-6, UKM.

 Mehmet Ozay & Ekrem Saltik, “The Myth and Reality of Rukiye Hanim in The Context of Turkish Malay Relations (1864-1904), “Journal of Humanity and Society (Insan & Toplum),” 5(9), Jun 2015, hlm. 55-74.

Aidil Farina Omar & Azmul Fahimi Kamaruzaman, “Konteks Historiografi Syed Muhammad Naquib al-Attas,” Jurnal Tuah, Vol.1, 2020, hlm. 24-40, KUIM.

“Dato’ Onn Dies, Tengku Orders A State Funeral,” The Straits Times, 20 Januari 1962, hlm. 1, dari laman web rasmi Agensi Kerajaan Singapura NewspaperSG, https://eresources.nlb.gov.sg.

“Remembering Onn Jaafar,” dalam laman web akhbar The Star online, 10 Mei 2006, dirujuk pada Ogos 2021, https://www.thestar.com.my/nation/2006/05/10/remembering-onn-jaafar.

“Presiden UMNO Pertama, Dato’ Onn Jaafar,” artikel dalam laman web rasmi UMNO, dirujuk pada Ogos 2021, https://umno.org.my/presiden/datuk-onn-jaafar/.

Temubual online penulis dengan pengkaji sejarah Johor, Dang Ku Puteri yang juga waris Panglima Perang Dapat bin Panglima Perang Besar Daeng Mohd. Salleh. Panglima Perang Dapat merupakan adik beradik seibu dengan Dayang iaitu nenda kepada Dato’ Jaafar Muhammad.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.