Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz – Tokoh Agamawan Hebat

408

Semalam, umat Islam kehilangan seorang lagi permata agama yang sentiasa berjuang memartabatkan institusi maahad tahfiz negara. Siapa tidak kenal Allahyarham Tuan Guru Dato Abu Hassan Din al-Hafiz, seorang ulama yang tidak jemu berdakwah dan menyebarkan ilmu untuk pengetahuan masyarakat. Kegigihannya mempertahankan kebenaran buatkan ramai tidak senang tetapi bikin ramai menyanjung ketegasannya terutama dalam soal agama.

Dato Abu Hassan merupakan anak jati negeri Perlis dan mempunyai sembilan adik beradik. Salah seorang daripada mereka ialah susuk figura yang amat dikenali ramai iaitu Allahyarham Tuan Guru Dato Haron Din, seorang pakar perubatan Islam dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Dewan Ulama PAS. Semasa kecil, beliau pernah bersekolah menengah di Sekolah Inggeris Derma sebelum bertukar ke Sekolah Agama Arab Al-Alawiyyah kerana bapanya, Lebai Din merasakan sekolah tersebut tidak sesuai dengan pembangunan sahsiah beliau. Tak lama selepas itu, Dato Abu Hassan menyertai sebuah maahad tahfiz dan memfokuskan usaha kepada penghafalan Al-Quran. Pada usia 21 tahun, beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1969 dan kekal di sana selama tujuh tahun.

Selepas tujuh tahun berkelana di Mesir, Dato Abu Hassan pulang ke tanah air dan mula bekerja di Pusat Islam, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 1976. Tidak sampai setahun selepas itu, beliau kemudiannya ditukarkan ke Masjid Negara dan berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara. Pada tahun 1984, beliau dipinjamkan ke Istana Negara dan berkhidmat sebagai Mufti Istana Negara (nama jawatan ditukar kepada Pegawai Agama Istana Negara atas titah perintah Almarhum Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail yang ketika itu menjalankan peranan sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong) sehingga bersara pada tahun 2006.

Terdapat banyak cerita menarik beliau semasa berkhidmat di Istana Negara. Semasa era Sultan Iskandar, Dato Abu Hassan merupakan satu-satunya pegawai agama istana yang berani menegur baginda kerana memakai gelang dan rantai emas. Walaupun baginda pada mulanya murka dengan teguran beliau, tetapi baginda akur dan terharu dengan teguran Dato Abu Hassan. Sejak itu, kedua-duanya terus mempunyai hubungan baik walaupun selepas Sultan Iskandar kembali ke Johor. Malah, kerana bimbangkan kesihatan beliau, pada satu ketika Sultan Iskandar menitahkan Dato Abu Hassan dirawat di Wad Diraja Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Ini bagi membolehkan ulama ini mendapat khidmat rawatan terbaik yang disediakan.

Selain itu, beliau juga tidak teragak-agak menegur sesiapa saja dari golongan pemerintah sama ada dari parti kerajaan atau pembangkang ketika itu. Ini kerana menurutnya, kebenaran itu harus ditegakkan tanpa memilih siapa kelompok sasarannya. Walaupun sedar dengan kedudukan abangnya yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Dewan Ulama PAS, itu bukan bermakna beliau cenderung kepada mana-mana parti politik. Sebarang teguran yang diberi bertujuan agar menjadikan ummah menjadi lebih baik. Tetapi itu tidak menghalang dirinya daripada digam (dilarang menyertai mana-mana program RTM) selama berbelas-belas tahun dan terbaru, tidak dibenarkan menerima undangan ceramah agama di Johor pada tahun lepas. Walaupun halangan sebegini amat merenyahkan tetapi pada beliau, tugasnya sebagai dai’ terus berjalan seperti biasa.

Salah satu buku yang mendapat sentuhannya ialah kitab Furu’ al-Masail terbitan Telaga Biru. Kitab ini asalnya merupakan kitab karangan Sheikh Daud al-Fathani berkenaan soal jawab permasalahan agama dan walaupun sudah ditulis lebih 100 tahun lepas, isi kandungannya masih tetap sesuai dengan keadaan semasa hari ini. Selepas mengadakan solat sunat istikharah, Dato Abu Hassan menulis semula kitab berkenaan dengan kaedah penulisan moden agar ia dapat difahami oleh para pembaca di luar sana dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Dan kesungguhannya menyampaikan ilmu berterusan sehingga ke akhir hayatnya. Beberapa jam sebelum Dato Abu Hassan dijemput Ilahi, beliau sempat memberi ceramah bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan semalam. Kuliah Maghrib beliau berkisar tentang kemuliaan Ramadan dan apa amal ibadat yang boleh dilakukan sepanjang bulan tersebut. Hujah yang disampaikan bukan saja jelas tetapi ada ketikanya, beliau turut bergurau dengan para jemaah yang khusyuk mendengar. Tetapi Allah lebih menyayangi beliau dan beliau pergi selama-lamanya pada 7.30 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan balu Rosbi Shabudin, tujuh orang anak dan 13 orang cucu. Semoga Allah mengampuni dan merahmati ulama hebat yang sentiasa mengajarkan ummah ilmu yang bermanfaat sebagai amalan dan panduan dalam kehidupan seharian.

SUMBER

1. Zainol, Fadzli. (2019). Ustaz Abu Hassan Din dikebumikan lepas Asar hari ini. Utusan Malaysia. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ustaz-abu-hassan-din-dikebumikan-lepas-asar-hari-ini-1.892600

2. Gerak.Gempur.Tripod.com. (2006). ‘PAS pun tak, Umno pun tak”. http://gerak.gempur.tripod.com/mac/2hbApril.htm

3. Muhamad, Khairul Ashraf. (2019). Perginya Almarhum Tuan Guru Dato Abu Hassan Din al-Hafiz. Facebook. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10157341386023104&set=a.10152405821988104&type=3&theater

4. Dani, Mazizul. (2018). ‘Saya terkilan sedikit saja.’ Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/301309/saya-terkilan-sedikit-saja

5. Utusan Malaysia. (2019). ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’, kuliah terakhir Ustaz Abu Hassan Din. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/andainya-ini-ramadan-terakhir-kuliah-terakhir-ustaz-abu-hassan-din-1.892559

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.