Negeri Sembilan telah banyak melahirkan pejuang-pejuang orang Melayu. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan negeri ini sebagai gedung pejuang Melayu. Antara nama masyhur yang dilahirkan di negeri ini adalah seperti Pendeta Za’ba, Dato’ Siamang Gagap dan Yamtuan Antah.

Ramai antara kita yang tidak mengenali pejuang-pejuang orang Melayu terutama yang berada di sekitar 1920-an. Sedangkan pejuang pada era itulah yang merupakan tulang belakang kepada kejayaan orang Melayu pada hari ini. Beliau yang saya maksudkan ialah Undang Luak Rembau yang ke-18. Nama yang telah diilhamkan kepada pemikir orang Melayu ini ialah Abdullah bin Hj. Dahan.

Beliau telah dilahirkan di Kampung Tanjong, Rembau pada tahun 1900. Beliau merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik hasil perkahwinan Hj. Dahan bin Hj. Ibrahim dengan Salmah binti Daud. Datuk Abdullah merupakan seorang pemimpin yang berjiwa nasionalis Melayu.

Walaupun Datuk Abdullah dilahirkan dalam golongan bangsawan dan terdidik dengan nilai-nilai kelas atasan, beliau tidak mempunyai kehidupan yang mewah pada zaman kanak-kanaknya. Suasana kampung telah memberikan beliau gambaran awal tentang  kehidupan orang-orang Melayu pada ketika itu. Akibat daripada perkara itu, beliau ingin melihat bangsanya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dalam apa jua bidang.

Sekitar era 1920-an, ketika tiada siapa yang berani bersuara terhadap orang Inggeris, Datuk Abdullah telah menjadi antara orang terawal untuk mengkritik British secara terbuka. Beliau dengan berani telah mempersoalkan tindakan British yang melantik bangsa asing dan bukannya orang Melayu untuk menjawat jawatan penting di jabatan kerajaan.

Beliau turut menggesa kerajaan British agar memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang Melayu berbanding bangsa lain di Tanah Melayu. Hal ini kerana beliau tidak mahu bangsa lain mengambil  hak-hak yang sepatutnya menjadi milik orang Melayu sebagai penduduk bumiputera. Beliau juga meminta agar pihak British memberikan lebih banyak peruntukan untuk Tanah Rizab Melayu.

Ketika Zaman Kemelesetan, British terpaksa membuang ramai pekerja termasuk pekerja orang Melayu untuk mengurangkan kos yang amat tinggi bagi mentadbir Tanah Melayu pada waktu itu. Beliau dengan tegas melarang kerajaan British daripada membuang pekerja Melayu. Sebaliknya beliau menyuruh mereka membuang pekerja daripada bangsa lain terlebih dahulu.

Dasar pendidikan Inggeris pada era 1920-an bukanlah ingin memajukan orang Melayu malah menyebabkan orang Melayu jauh ketinggalan. Dalam hal ini, hanya pemimpin orang Melayu sahaja yang mampu menanam kesedaran dalam diri orang Melayu mengenai kepentingan ilmu. Datuk Abdullah telah menegaskan bahawa orang Melayu sepatutnya berdampingan dengan buku-buku bagi membolehkan meraka memperoleh ilmu pengetahuan yang amat penting dalam kehidupan.

Datuk Abdullah telah menghantar sepucuk Surat kepada Residen British di Negeri Sembilan untuk membenarkan Sekolah Perempuan Melayu ditubuhkan di Rembau. Hasilnya, sekolah tersebut berjaya dibuka walaupun mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung. Hal ini disebabkan oleh orang Melayu masih berfikiran konservatif dan dalam menerima transisi pembaharuan. Selain itu, Datuk Abdullah turut menghantar surat kepada pihak British agar mewajibkan kehadiran remaja perempuan ke sekolah kerana merekalah yang bakal mendidik anak-anak Melayu pada masa akan datang.

Seterusnya, hasil daripada inisiatif beliau sendiri, sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Inggeris yang pertama di Rembau dapat didirikan iaitu Undang Rembau English School. Di samping itu, Trade School juga berjaya dibuka di Rembau. Perkara ini menunjukkan bahawa beliau mengambil serius dalam pendidikan orang Melayu. Beliau juga ingin melihat bangsanya menjadi lebih baik berbanding bangsanya.

Selanjutnya, Datuk Abdullah telah membawa pembaharuan dalam aspek pendidikan dengan menubuhkan ‘Waris Fund’ iaitu satu pertolongan kepada anak-anak waris bagi mendapatkan pendidikan. Tujuan utama tabung ini diwujudkan adalah untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan bagi membolehkan anak-anak waris yang miskin mendapatkan pendidikan yang tinggi.

Hal ini kerana mereka merupakan bakal pemimpin yang akan memegang jawatan penting dalam pentadbiran adat seperti jawatan Undang dan Datuk-Datuk Lembaga. Beliau sedar bahawa pentingnya golongan terpelajar dalam mentadbir sesuatu kawasan. Atas inisiatif yang telah dilakukan ini, ramai anak-anak waris berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris .

Dalam aspek sosial, Datuk Abdullah meminta agar pihak British mengambil orang Melayu sebagai pekerja dan diberikan pangkat yang tinggi di jabatan-jabatan kerajaan. Perkara ini berikutan daripada orang Melayu yang layak menjawat pegawai daerah hanya diberikan pangkat yang lebih rendah seperti penolong pegawai daerah. Datuk Abdullah yakin bahawa anak-anak bangsanya juga mampu mengisi jawatan-jawatan penting di negara ini.

Tidak ketinggalan juga, beliau merupakan salah seorang perintis kepada penubuhan Malay Regiment (Rejimen Askar Melayu). Datuk Abdullah bersama-sama pemimpin orang Melayu yang lain seperti Raja Sir Chulan ,Yamtuan Antah dan Sultan Alang Iskandar Shah telah mengemukakan rancangan ini di mesyuarat Federal Council pada tahun 1920. Hasilnya, pada 1 Mac 1933 telah ditubuhkan Malay Regiment.

Tujuan utama penubuhan Malay Regiment adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada orang-orang Melayu yang kebanyakan hidup sebagai penganggur pada waktu itu. Selain itu, tujuan lain Malay Regiment ditubuhkan adalah untuk menggantikan askar-askar asing di Tanah Melayu yang boleh dipersoalkan taat setianya kepada negara. Inilah antara perubahan drastik yang telah dilakukan oleh Datuk Abdullah dalam aspek sosial di negara kita.

Seperti yang diketahui umum, Tanah Melayu pada era 1920-an dalam bidang ekonomi sangatlah tidak memberangsangkan. Orang Melayu pada ketika ini sangat jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain. Mereka masih lagi berfikiran jumud kerana setia dengan sistem ekonomi lama yang berbentuk sara diri berbanding bangsa-bangsa lain yang mula mengamalkan sistem ekonomi kolonial.

Dengan keadaan ini pastinya orang Melayu gagal bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang mula menceburi bidang-bidang yang menguntungkan seperti perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Dalam hal ini, Datuk Abdullah lah yang telah berjaya  mengubah keadaan ini melalui beberapa perubahan.

Antaranya ialah beliau telah menubuhkan syarikat-syarikat kerjasama dengan tujuan untuk memajukan ekonomi orang Melayu dalam aspek pertanian iaitu penanaman padi. Beliau telah menggalakkan penanaman padi dilakukan secara besar-besaran. Perkara ini juga bertujuan untuk mengekalkan Tanah Simpanan Melayu.

Apabila sudah banyak hasil yang dikeluarkan, Datuk Abdullah telah mengirim surat kepada pihak British agar menghentikan pembelian beras import kerana beras yang dihasilkan di Tanah Melayu jauh lebih baik kualitinya. Untuk membuktikan kesahihannnya, pihak British telah menghantar wakil untuk menguji padi di Titi Serong, Perak. Hasilnya, pihak British mendapati bahawa padi yang dikeluarkan di Tanah Melayu lebih bermutu tinggi berbanding padi import.

Selain itu, idea penubuhan Koperasi Luar Bandar di kampung-kampung dapat mengelakkan kemunculan orang tengah yang bersifat lintah darat dan hanya mementingkan diri mereka sahaja. Perkara ini juga dapat memudahkan petani untuk mendapatkan sumber kewangan seterusnya dapat memajukan tanaman dan memperbanyakkan pengeluaran padi mereka. Hal ini menunjukkan bahawa Datuk Abdullah merupakan seorang pemimpin yang amat  menonjolkan kesedaran dan kecintaan terhadap masa depan bangsanya sendiri. Perubahan ini merupakan titik permulaan bagi kemajuan ekonomi Malaysia pada hari ini. Tanpa beliau, mungkin Malaysia tidak mampu untuk mencapai kemajuan seperti pada hari ini.

Izharnya, orang Melayu seharusnya menjadikan beliau sebagai ikon untuk berjaya kerana beliau merupakan seorang yang berani dan lantang menyuarakan pendapat beliau demi kemajuan bangsanya. Pihak British juga turut mengiktiraf kehebatan Datuk Abdullah dengan mengurniakan bintang C.B.E..

Jadi, jelaslah bahawa Datuk Abdullah Bin Haji Dahan yang sebenarnya merupakan pemangkin kepada kejayaan orang Melayu pada pada hari ini. Kita sebagai generasi masa kini masyarakat Melayu sewajarnya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada benteng orang Melayu ini. Beliaulah punca orang Melayu dapat mentadbir negara sendiri dan dapat menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan. Jika Datuk Abdullah mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing pastinya orang Melayu masih berada pada tahap yang sama atau mungkin menjadi pengemis kepada bangsa lain di tanah air sendiri.

Perjuangan Datuk Abdullah terhenti apabila beliau diserang penyakit ganjil yang akhirnya telah menyebabkan beliau kembali ke rahmatullah pada usia yang sangat muda iaitu pada 15 Oktober 1939. Walaupun Datuk Abdullah telah lama meninggal dunia, jasa dan pengorbanan beliau masih diingati oleh seluruh penduduk Tanah Melayu sebagai seorang pemimpin yang telah berjaya mencetuskan idea untuk memerdekakan Tanah Melayu dan berjaya menaikkan taraf masyarakat Melayu kepada sebuah bangsa yang bermaruah dan berintegriti. Jasa dan pengorbanan beliau sewajarnya diingati dan diabadikan di setiap muzium agar tidak luput ditelan arus pemodenan.

Artikel kiriman Hairul Faizi untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Jangan hirau warna bendera, Kerana itu penyebab huru hara, Jangan kisah pengikut siapa, Asalkan dia pembela bangsa. Hairul Faizi bin Hairulnizam merupakan seorang anak muda yang berusia 19 tahun. Meminati bidang penulisan yang berkaitan dengan fakta dan sejarah. Berpegang teguh kepada semangat berilmu untuk berjasa digarapkan sekali dengan misi untuk mendidik bangsa. Bercita cita untuk membawa aura penulisan yang lebih menarik untuk menambat hati anak muda . Di barisan hadapan sebagai pembela, Ilmu di dada menabur jasa, Semakin memuncak cita-cita, Semakin tunduk pada yang Esa.

Comments are closed.