You either die a hero or live long enough to see yourself become a villain.” Demikian kalam Harvey Dent yang ramai pasti ingat. Sebab, ia amat dekat dengan realiti – khususnya realiti insan-insan tersakiti. Cuma, ‘tersakiti’ ini taklah mesti ‘orang buat kita’. Kadang, kita sendiri buat kita. Dengan berperangai tidak wajar misalnya.

Antara contoh berperangai tak wajar ini termasuklah kuat menuding dan kurang berunding. Juga terlebih beriya dan terlalu memaksa – yakni memaksa takdir agar orang sementara menjadi selamanya.

Apa-apa yang ‘terlalu’ ini biasanya beracun. Terutama bila diadun dengan elemen cinta. Sebab cinta ini jika diimarah, sifatnya membina. Tetapi jika disirami amarah, ia bertukar membinasa. Baik membinasakan diri sendiri, pasangan, mahupun orang yang tak berkenaan.

Mungkin, misal paling sesuai dalam menggambarkan situasi ini (bagaimana cinta mengubah seorang hero menjadi villain) adalah kisah seorang ‘datin’ dari Russia yang bernama Darya Nikolayevna Saltykova.

Darya lahir pada 1730. Dia merupakan cahaya mata buat pasangan Nikolai Avtonomovich dan Anna Davydova. Keluarga ini boleh kata keluarga kayangan. Mereka memiliki hubungan rapat dengan banyak keluarga kehormat Russia, seperti Tolstoy, Davidov, dan Musin-Pushkin. Dengan latar belakang begini, Darya membesar dalam kesempurnaan. Pendidikannya bagus. Peribadi pun elok.

Potret ini selalu diguna untuk merujuk Darya. Tapi sebetulnya, ini Darya lain; Darya Petrovna Saltykova. Bukan Darya Nikolayevna Saltykova

Elok ini… kalau kita pertimbangkan sisi beragama dia lah. Sebab, Darya masa mudanya dikatakan rajin mengunjungi tempat-tempat suci dan menderma sana-sini. Tabiat ini pula konsisten walau selepas berkahwin. Mungkin pengaruh suami banyak membantu. Sebab si suami (Gleb Saltykov) juga seorang bangsawan.

Dia bekerja sebagai pengawal diraja. Adiknya adalah skandal Catherine the Great. Dan anak saudaranya pula bertugas mengasuh putera-puteri di istana. Justeru menerusi perkahwinan dengan Gleb, kehidupan Darya semakin dipayungi payung kuning. Cuma payung masih sekadar payung. Tetap tidak kalis takdir.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Belum 10 tahun berumah tangga, Darya kehilangan suami (sekitar tahun 1755). Lantas, dia pun mewarisi segala harta. Harta ini berupa sebuah estet luas yang lengkap bersama 600 orang pekerja. Ikutkan, kurang tepat sebenarnya kalau sebut pekerja. Sebab mereka ini lebih mirip dengan hamba yang bebas dikerah segala tenaga.

Dan bak kata pepatah, “Manusia diuji bila memiliki segala-galanya.” Harta. Kuasa. Nama. Semua ini dipunyai Darya. Justeru tanpa peneman dan penjaga di sisi, peribadi Darya bertukar korup. Tidak pasti ‘bertukar’ atau ‘semakin’ korup.

Tapi yang pasti, kelunturan empati Darya semakin ketara selepas dia gagal dalam percintaan kali kedua. Kali ini bersama Nikolay Tyutchev yang juga seorang bangsawan. Hubungan ini tidak diketahui bermula sejak bila – sama ada sewaktu Gleb masih hidup atau selepas dia meninggal dunia.

Sejarah hanya tahu yang selepas bertahun-tahun mereka bercinta, Darya akhirnya disidai. Nikolay mengisterikan wanita lain. Ada versi kata dia buat begitu kerana tawar hati dengan perangai kasar Darya. Walau apapun sebabnya, perkara ini menimbulkan habis sisi bengis dalam diri Darya.

Siat kulit hidup-hidup antara penderaan yang dibuat oleh Darya

Bayangkan, hal pertama yang dibuatnya selepas ditinggalkan adalah menyuruh seorang hamba pergi bakar rumah Nikolay. Mujur, hamba ini menjunjung tinggi nilai moral. Perintah Darya tidak dituruti. Sebaliknya, dia berpesan kepada Nikolay supaya berhati-hati. Dan Nikolay, seakan tahu segila mana Darya boleh buat, memilih untuk berpindah jauh.

Tinggallah Darya di estet tidak keruan. Geramnya lantas dilepaskan kepada para hamba. Terutama yang perempuan, dan yang muda-muda. Ciri bersasar begini memang mengisyaratkan sesuatu – betapa, Darya gagal menelan hakikat perpisahannya dengan Tyutchev di samping berdendam yang disulami cemburu.

Justeru sejak itu, hamba-hamba perempuannya menjadi mangsa dera. Berbagai-bagai bentuk penderaan dicatatkan. Bermula dari seringan-ringan membaling kayu ke kepala, hingga ke menyimbah air panas ke badan, sampailah ke tahap memijak perut hamba yang hamil. Dia juga kerap menyebat punggung hingga tulang kelihatan, membakar hidup-hidup, dan mengikat mereka di tengah kesejukan tanpa seurat benang.

Semua ini, dilakukannya atas alasan ‘mendisiplinkan’. Konon, penderaan itu adalah sebentuk hukuman atas kecuaian atau kemalasan mereka sendiri. Tapi semua yang melihat pun tahu ia sekadar sembang. Mustahil mendisiplinkan sampai mati. Kalau sekali saja terjadi, masih masuk akal lagi. Tapi sejarah merakamkan yang Darya mendera 138 orang hamba sampai mati!

Ivanovski Convent, tempat Darya dipenjara

Kekejamannya terbongkar selepas 22 aduan dibuat. Aduan ke-22 dilakukan pada tahun 1762, oleh Sakhvely Martynov si penjaga kandang yang kehilangan tiga orang isteri akibat didera. Enam tahun kemudian, selepas puas siasatan dijalankan, Darya akhirnya ditahan dan jenayahnya disabitkan.

Namun memandangkan hukuman mati dimansuhkan sejak 1754, maka dia hanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Sebelas tahun juga dia dikurung di Ivanovsky Convent, sebelum dipindahkan ke sebuah biara dan meninggal dunia di sana 21 tahun kemudian, iaitu di usia 71 tahun. Betapa, hampir separuh usianya dihabiskan dalam penjara gara-gara dendam dalam bercinta – dendam yang menghakis habis statusnya dari seorang bangsawan kepada seorang majikan bertopengkan syaitan.

RUJUKAN

Klevantseva, Tatiana. (nd). Prominent Russians: Darya Saltykova. Russiapedia.

Milne, Andrew. (2020, 26 January). Meet Darya Saltykova, The Russian Blood Countess Who Slaughtered 138 of Her Serfs For Fun. All That Interesting.

Wagner, B.B. (2020, 25 July). Darya Saltykova: Cruel Russian Aristocrat with a Taste of Murder. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply