Date Masamune: Naga Jepun Bermata Satu

22

Sejak kali pertama gambaran portretnya terpampang di skrin televisyen lama yang disambungkan PlayStation 2, penulis yang merenung wajahnya berulang-ulang kali, berasa sungguh tertarik dan kagum dengan aura seorang karakter ini. Ya betul, tokoh Daimyo tersohor zaman awal Azuchi-Momoyama bernama Date Masamune adalah karakter yang disebutkan itu. Date dan Masamune masing-masing berbunyi seperti sebutan ‘te’ dalam perkataan teko dan ‘ne’ dalam nenek.

Kiranya nama Date Masamune bukanlah sesuatu yang terlalu asing lagi buat masyarakat hari ini. Selain menjadi ikon sejarah dan kebudayaan Jepun yang masyhur, Date Masamune juga banyak dijadikan karakter dalam siri permainan. Tanyalah mana-mana gamer yang kerap menghabiskan masa dengan siri permainan seperti Nobunaga’s Ambition, Onimusha, Kessen, Sengoku Basara, Warrior Orochi, Samurai Warriors, Nioh atau apa-apa permainan yang bertemakan Zaman Perang Antara Wilayah (Sengoku Jidai), nescaya nama ini merupakan antara nama yang paling diingati mereka.

Ataupun bagi mereka yang agak berimaginasi dan gemar menulis tentang kisah alternatif tokoh-tokoh zaman Sengoku Jidai di platform seperti Wattpad dan Archive of Our Own, besar kebarangkalian tanpa diselitkan karakter Masamune, suatu ‘fanfic’ itu tidak akan berhasil kerana auranya yang tersendiri. Gayanya yang memukau, ‘cool’ dan mempesonakan sudah tentu menjadi ramuan penting bagi menarik minat pembaca-pembaca ‘fanfic’ yang rata-ratanya perempuan. Begitu juga dengan siapa-siapa yang pernah menyelusuri permainan Otome atau Dating Simulation bertema Sengoku, pasti kenal dengan Masamune. Kerapkali karakter Sanada Yukimura juga digandingkan dengannya.

Bagi peminat anime, mungkin anime yang bertajuk Masamune-kun no Revenge pernah sekali menjadi tontonan saudara-saudari. Mungkin juga light novel atau manganya yang diadaptasi menjadi anime ini pernah kalian baca. Dengan protagonisnya yang bernama Masamune, plot anime ini tertumpu kepada percintaan berlatarbelakangkan zaman persekolahan remaja. Kalau diikutkan, agak cliché sebenarnya. Adapun demikian, Masamune-kun no Revenge yang dikategorikan dalam genre harem dan komedi romantik ini tidak langsung ada kena mengena dengan fakta sejarah atau kronologi kehidupan Date Masamune yang akan dihuraikan sebentar sahaja lagi.

Puak Date 


Mon atau lambang puak Date


Mengikut catatan sejarah zaman Edo, puak Date (juga dipanggil Idate) merupakan salah satu daripada sebahagian kecil puak samurai yang masih wujud sehingga ke hari ini. Puak Date didakwa mula-mula ditubuhkan pada akhir abad ke-12 oleh Fujiwara no Kamatari iaitu salah seorang ahli bangsawan dari keluarga Fujiwara yang asalnya berketurunan Maharaja Jepun. Merujuk kepada Azuma Kagami, seorang pengikut Shogun Minamoto no Yoritomo yang mengasaskan Keshogunan Kamakura bernama Hitatchi Ninyoudosai telah menduduki kawasan Isa di Mutsu untuk beberapa lama. Keturunannya pula telah mengambil nama Date dan mendirikan penempatan di sekitar kawasan tersebut.

Pada era Nonboku-chō di mana menyaksikan pergolakan kuasa di Jepun dengan terbahaginya sistem pentadbiran kepada dua iaitu di Northern Court, Kyoto dan di Southern Court, Yoshino, puak Date telah berpihak kepada Southern Court dan memerangi puak-puak yang setia kepada Keshogunan Ashikaga yang menunjangi Northern Court. Walau bagaimanapun, Northern Court menang pada akhirnya dan majoriti kawasan Date dirampas.

Puak Date juga terkenal dengan pilihan lambangnya yang di atas. Lambang atau mon Date dalam rajah di atas dikenali sebagai Take-ni-Suzume yang membawa maksud Burung Pipit dan Buluh. Kita dapat melihat dua ekor burung pipit dikelilingi batang buluh serta pucuk buluh yang tumbuh bercambah di tepinya.

Date Masamune (伊達 政宗) dilahirkan di Istana Yonezawa pada 5 September 1567 dalam puak Date yang terletak di kawasan Tōhoku sekali gus menjadi pewaris kepada keturunan pemerintah-pemerintah wilayah yang berkuasa. Anak pertama kepada Daimyō Date Terumune dan cucu kepada Date Harumune ini digelar Bontenmaru dan kemudiannya Tojiro semasa zaman kanak-kanaknya. Mengapa Terumune memilih nama Masamune? Kerana ketua puak Date yang ke-9 juga bernama Masamune. Terumune berharap anaknya mampu menjadi sehebat moyangnya kerana moyangnya ini pernah dengan masyhurnya merampas balik banyak kawasan Date yang dijajah Northern Court pada zaman Noboku-chō serta meningkatkan semula reputasi puak.

Perkahwinan Politik dan Yoshihime

Untuk memastikan keselamatan puak, perkahwinan politik merupakan sebahagian daripada norma masyarakat ketika itu. Masamune merupakan anak kepada Terumune dan Mogami Yoshihime. Ketika itu, Terumune memerlukan seorang anak lelaki untuk menjadi pewaris puak. Daimyō Terumune pula sememangnya terkenal dengan sifat lemah-lembut dan taat kepada ajaran agama.


Peta menunjukkan lokasi beberapa buah puak Sengoku Jidai termasuklah Date dan Mogami

Dikhabarkan apabila selesai utusan Date mempersembahkan cadangan perkahwinan ini kepada bapanya Yoshimori, Yoshimori bertanyakan pula kepada Yoshihime tentang akal fikirannya. Yoshihime dengan pantas bersetuju serta berkata, “Jika dapat ku lahirkan seorang bayi lelaki, akan ku bawa lari pewaris takhta itu sebagai tebusan ke sini, berserta kepala suamiku bersama.”

Bapanya terkejut mendengar kata-kata anaknya itu. Tidak disangka yang anaknya sungguh berani dan tekad untuk melakukan apa-apa saja demi kebaikan puak Mogami. Perlu diingatkan bahawa puak-puak pada zaman ini saling bercakaran. Perkahwinan politik bukanlah satu jalan muktamad yang menjanjikan keamanan abadi. Hanya mereka yang naif akan berfikir sedemikian.

Lahirnya Masamune

Maka, Masamune pun dilahirkan. Terumune sangat gembira sehinggakan beliau melanggar pantang larang dengan masuk ke bilik persalinan melihat bayinya yang baru lahir. Pelan kejam Yoshihime pula tertangguh kerana beliau mengandung anak yang kedua. Yoshihime juga semakin lembut hati dengan layanan penuh mesra yang diberikan Terumune kepadanya.

Masamune membesar seperti ditatang minyak yang penuh, disayangi kedua-dua orang tuanya ketika mana Jepun sedang berperang sesama sendiri. Sebuah kuil bernama Shifuku dibina khusus untuk Masamune. Dua pembantu juga dipilih iaitu Date Shigezane (sepupu) dan Katakura Kojuro (adik angkat ibu susuan Masamune). Jurulatih peribadi bagi seni menggunakan tombak pula ialah Okano Sukezaemon Harutoki. Semasa berumur dua tahun, sarjana Confucian Aida Koan ditugaskan mengajar Masamune mengenai tatacara ajaran Confucius.

Dengan segala persiapan, Masamune pun membesar menjadi seorang yang gagah. Beliau juga menunjukkan kebolehan dalam upacara teh (tea ceremony) dan berpuisi. 

Krisis Mogami

Karakter Mogami Yoshiaki dalam permainan Nobunaga’s Ambition

Dengan harapan tinggi yang diberikan kepada Masamune oleh para pegawai puak Date, Yoshihime berpaling arah dan mula memberikan lebih kasih sayang kepada adiknya, Tsukimaru (Kojiro, bukan Kojuro). Sampai pula kepada Yoshihime berita pergeseran antara bapanya dan abang sulongnya, Yoshiaki. Yoshihime segera berangkat ke Yamagata untuk meleraikan persengketaan mereka dengan izin suaminya. Pertempuran demi pertempuran tercetus.

Yoshihime akhirnya tiba dan menasihatkan kedua-dua ahli keluarganya itu untuk berhenti bertelagah kerana konflik seperti ini bak peribahasa, yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Dengan auranya yang mengancam, Yoshihime berjaya menenangkan keadaan. Jika Terumune seorang yang lemah lembut dan pasif, Yoshihime pula seorang yang agresif dan berkarisma. Mungkin itulah sebab mengapa Masamune menjadi seorang yang serba-serbi hebat kelak.

Mata Tersembul Keluar

Selain dididik oleh sarjana Confucian, Masamune juga diajar oleh seorang sami terkenal yang bernama Kousai Osho. Osho tidak memberikan sebarang layanan istimewa kepada Masamune hanya kerana kedudukannya. Latihan keras terus diberikan bertubi-tubi. Osho juga tidak hanya menumpukan kepada jasmani tetapi juga aspek yang paling penting, rohani anak muridnya itu.

Pernah sekali, Osho menunjukkan sejambak bunga kepada Masamune dan ditanyakan warnanya. Masamune menjawab, “Ungu.” Osho membalas, “Saya tidak tanya warnanya yang dilihat dari mata kasar, saya tanya apa yang kamu nampak dalam hati kamu. Sesungguhnya, jika kamu melihatnya dengan hati, maka bunga ini akan kelihatan lebih cantik.” Beberapa hari kemudian, Osho memanggil Masamune dan memarahinya, “Kamu kata warnanya ungu tetapi kenapa sudah perang kekuningan? Adakah kamu menipu hari itu?!”. Masamune menjawab sambil memejamkan mata, “Warna bunganya masih ungu, wahai guruku, kerana saya melihatnya menggunakan hati.” Osho tersenyum dan berpuas hati dengan jawapan Masamune.

Watak Masamune seperti dalam permainan popular Sengoku Basara

Ketika berumur 5 tahun, satu kejadian telah berlaku. Masamune ketika itu sedang sakit kerana diserang demam campak. Nak dijadikan cerita, demamnya itu amatlah dahsyat sekali sehingga mata kanannya dijangkiti kuman. Biji matanya tersembul keluar dari soket mata kanan serta tergantung di situ. Lantas direntapnya biji mata itu dan dimamahnya. Mengapa? Kerana bagi Masamune, matanya yang tersembul keluar itu hanya akan memberi beban kepadanya dalam pertempuran. Sifat tidak teragak-agak yang ditunjukkan memberikan gambaran betapa uniknya personaliti yang empunya diri.

Kehilangan matanya ketika kecil inilah yang membawa panggilan Naga Bermata Satu buat Masamune. Juga dipanggil Dokuganryū dalam bahasa Jepun.

Perkahwinan

Ketika berusia 13 tahun (rekod lain mengatakan 15, 16 tahun), Masamune dikahwinkan dengan Tamura Kiyoaki dari puak Tamura. Usianya yang muda tidak bermaksud Masamune tidak matang, malahan sebaliknya. Perkahwinan ini bukan sahaja bertujuan untuk bersekutu dengan Tamura tetapi juga sebagai syarat untuk majlis datang umur (coming-of-age) yang mahu dijalankan segera.

Kebiasaannya, majlis ini dijalankan bagi mereka yang berusia 18 tahun tetapi tidak bagi Masamune kerana bapanya Terumune mahu Masamune turun merasai suasana di medan perang demi meningkatkan moral dan semangat puak Date yang sedang memerangi puak Soma.

Pertempuran Pertama

Sebelum Masamune turun ke medan perang buat pertama kali, sami Osho berpesan dengan nada yang tegas kepadanya agar berperang bukan kerana kemarahan terhadap musuh. Sebaliknya, kasihanilah mereka, hancurkan impian mereka yang sia-sia dan tunjukkan jalan yang benar.

Masa ini, umurnya baru 14 tahun. Satu Mesyuarat Perang (War Council) diadakan di istana dan proses merekrut orang ramai bermula. Alangkah terkejutnya Daimyō Terumune apabila mendapat tahu seramai 43,700 orang samurai dan pahlawan menyambut kempen seruan perangnya itu hanya kerana Masamune akan bertempur bersama.

Terumune berkeriut kerana pada masa-masa biasa, beliau yang merupakan pemerintah wilayah (Daimyō) pun hanya mampu merekrut lebih kurang 20,000 orang. Hal ini menunjukkan betapa popularnya nama Masamune dalam kalangan rakyat jelata.


Date Shigezane dalam anime Sengoku Night Blood

Tahun berikutnya, bala tentera Masamune digerakkan untuk menakluk istana Omori yang dikawal puak Soma. Sekelip mata sahaja istana tersebut jatuh. Dengan momentum yang melambung tinggi, Masamune dan dua orang pembantunya Kojuro dan Shigezane menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan. Istana Kanatsu yang dikawal puak Ashina pula dikepung bala tentera Masamune. Gabungan tentera Ashina, Soma, Ouchi dan Hatakeyama berusaha memecahkan kepungan Date. Pertempuran tercetus di sepanjang Sungai Abukuma.

Walaupun digasak hebat oleh tentera dari 4 puak musuh, pasukan Masamune tidak menunjukkan sebarang kelemahan. Akhirnya, musuh-musuhnya berundur. Istana Kanatsu pula ditakluk apabila pengikut Ashina membelot dan membunuh ketua mereka, Ashina Jubei. Bekalan beras dirampas dan kempen perang diteruskan. Kali ini, Istana Marumori pula tumpas.  Seterusnya, Istana Kayanama mengalami nasib yang sama.

Pada waktu ini jugalah, Daimyō Oda Nobunaga dari puak Oda yang dijangka pasti menyatukan seluruh tanah Jepun telah dikhianati panglimanya sendiri, Akechi Mitsuhide di Kuil Honnō. Ketika itu, puak Oda telah pun menakluki hampir 1/3 kepulauan Jepun! Insiden di Honnō-ji ini telah mengubah landskap feudal Jepun secara keseluruhannya.

Daimyō Date Masamune

Ketika berusia 17 tahun, Masamune telah dilantik menjadi Daimyō puak Date apabila bapanya mengambil keputusan untuk bersara.

Tidak seberapa lama, salah seorang pegawai Date bernama Ouchi Sadatsuna membelot dan berkhidmat dengan puak Ashina di Aizu. Masamune melancarkan perang ke atas Ashina dengan serta-merta. Panglima Ashina, Inawashiro Morikuni berjaya memberhentikan kemaraan Masamune. Berang, Masamune menuju ke Otemori (kubu Sadatsuna) menggunakan tipu helah lalu menakluki istana tersebut. 800 orang pembelot dibunuhnya.

Puak Hatakayema yang berada di Miyagi (selatan Iwate) mahu berdamai dengan Masamune. Ketuanya, Yoshitsugu beberapa kali cuba berdamai dengannya namun ditolak Masamune kerana beranggapan yang Yoshitsugu ini bukanlah seorang individu yang boleh dipercayai. Bila-bila masa saja mereka boleh mungkiri perjanjian kalau dibuat. Yoshitsugu tidak mahu mengalah dan memujuk pula Terumune. Sekarang, segala kuasa dan keputusan terletak sepenuhnya kepada Masamune, bukannya dirinya.

Gugurnya Bapa Kesayangan

Portret Date Terumune

PTerumune yang lembut hatinya itu, mengajak Yoshitsugu untuk menjamu selera sambil berbincang. Keesokan harinya, setelah mengucapkan penghargaan kepada tuan rumah atas layanan baik yang diberikan, Yoshitsugu dan beberapa orang pengikutnya telah menculik Terumune sambil diacukan pedang katana di lehernya. Mereka segera beredar. Pengawal-pengawal istana tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut Terumune dibunuh penculiknya itu jika cuba menghalang.

Masamune yang baru sahaja pulang dari sesi melatih burung helang (falconry) terkejut dengan berita yang didengarnya itu. Persis kilat, tentera beristinggar Date (arquebus) segera dilancarkan untuk menyelamatkan bapanya itu. Drama kejar-mengejar berlanjutan sehinggalah ke tebing Sungai Abukuma.  Tenteranya segera membidik senapang ke arah penculiknya itu. Terumune pula berteriak dari jauh, “Masamune! Arahkan mereka untuk segera tembak bedebah ini. Jangan hiraukan ayah.”

Masamune teragak-agak. Lagipun, sebagai seorang anak, Terumune ialah bapanya yang telah banyak berjasa. Dalam suasana hiruk-pikuk, Yoshitsugu mengambil kesempatan mengelar leher bapanya dan melarikan diri ke Nihonmatsu. Hancur berkecai hati Masamune melihat bapanya longlai dan rebah ke bumi. Kiranya, inilah pengajaran paling pahit buat sepanjang hayat untuk dirinya. Ada juga kisah lain yang mengatakan bahawa Yoshitsugu juga mati dan gagal melarikan diri.

Dendam Yang Membara

Untuk membalas dendam atas kematian bapanya, bala tentera Date dikerahkan untuk menyerang puak Hatakeyama yang bersekutu dengan puak Satake, Ashina, Soma dan beberapa puak tempatan. Pertempuran tercetus. Percaturan Masamune serba tidak menjadi. Berkemungkinan besar kerana kemarahannya telah mempengaruhi cara beliau berfikir. Ego Masamune pula kian menebal kerana dia percaya akan kemampuannya untuk menang. Tentera Date yang berjumlah 7000 orang berlindung di dalam Kubu Motomiya menunggu serangan 30,000 tentera gabungan musuh.

Satu demi satu kubu berhampiran jatuh ke tangan musuh. Salah seorang panglimanya, Moniwa Yoshinao juga terbunuh. Kubu utama Motomiya semakin dihampiri musuh. Yang menghalangnya hanyalah sebatang sungai dan sebuah jambatan. Masamune tercedera teruk bertempur di atas jambatan tersebut. Keadaan amat parah sehinggakan kem utama Date dipindah ke sebuah rumah usang berhampiran sungai tersebut.

Sami Osho yang juga terlibat dalam pertempuran itu memukul Masamune dengan tongkatnya berkali-kali. “Bukankah sudah diajar dahulu? Jangan membunuh kerana dendam. Sekarang lihatlah di sekelilingmu, berapa ramai yang mati? Macam mana kamu hendak bertanggungjawab kepada keluarga mereka? Jika kamu terus begini, lebih baik kamu bunuh diri. Syaitan seperti kamu hanya akan menyusahkan rakyat biasa jika kamu menakluki seluruh kawasan Oshu!” Tengking Osho berkali-kali. Masamune hanya tunduk diam.

Keesokan pagi, Masamune mendapat berita gembira apabila musuhnya telah berundur kerana salah satu puak musuh, Satake, telah diserang oleh puak Satomi. Walaupun mereka telah berundur, pertempuran kali ini disifatkan sebagai satu kekalahan teruk bagi Masamune. Mungkin kerana sifatnya yang agresif dan tingkahlaku yang mudah berubah-ubah, Masamune digelar Naga Bermata Satu.

Ibu Durjana

Dalam masa yang sama, ibunya, Yoshihime berkomplot untuk menjatuhkan Masamune dan digantikan dengan adiknya, Kojiro. Menggunakan alasan yang Masamune sudah tidak siuman lagi selepas menyebabkan kematian ramai tentera Date dalam pertempuran sebelum ini, mereka yakin komplot ini ada justifikasinya. Semenjak awal lagi, Kojiro lebih disayangi Yoshihime berbanding Masamune.

Insiden terjadi apabila Yoshihime bersama Kojiro makan bersama Masamune setelah lama tidak ketemu. Arak dituangkan lalu diminum Masamune. Kojiro dengan pantas menghunuskan katananya untuk membunuh Masamune. Terkejut, Masamune bingkas bangun dan mencapai pedangnya berdekatan. Berlakulah pergelutan antara kedua-duanya. Kesudahannya, Kojiro mati dibunuh Masamune yang cedera ringan. Yoshihime pula diberi pengampunan penuh oleh Masamune.

Penakluk Oshu

Rajah menunjukkan wilayah Oshu pada zaman Sengoku

Rajah menunjukkan wilayah Oshu pada zaman Sengoku

Kini, Masamune tidak lagi membenarkan emosi mengawal dirinya. Beliau melancarkan beberapa siri serangan terhadap jiran sekeliling demi meluaskan pengaruh Date. Masamune sudah lama berhasrat untuk menakluki seluruh wilayah Oshu. Sejak kecil lagi beliau telah memikirkan perancangan jangka masa panjang untuk menaklukinya. Perancangan ini dipanggil, ‘Perancangan 10 Tahun Oshu’ kerana dalam perancangannya itu, beliau menggambarkan Oshu mampu ditaklukinya dalam masa 10 tahun.

Kemudian, tibalah Pertempuran Suriagehara, pertempuran terbesar dan terakhir bagi Masamune sebelum dapat menakluki seluruh kawasan Oshu. Dalam pertempuran ini, Date berjaya memujuk Iwanashiro Morikuni dari puak Ashina untuk berpaling tadah. Tentera Date berjumlah 23,000 manakala tentera Ashina dan sekutunya berjumlah 16,000.

Istana Kurokawa, salah satu istana hebat pada zaman itu digegarkan dengan kemaraan tentera Masamune. Tentera Ashina berduyun-duyun keluar dari istana dan bergabung dengan tentera bantuan yang dihantar musuh-mush Date. Kedua-dua pihak memulakan pertempuran di Suriagehara, tidak jauh dari situ. Ternyata skil dan kemahiran tentera Date yang jauh lebih berpengalaman, ditambah pula dengan strategi ulung Masamune, berjaya menghancurkan pasukan musuh. Kurokawa ditakluk dan puak Ashina lenyap dari peta Jepun.

Maka, layaklah Masamune digelar sebagai Penakluk Oshu. Satu gelaran yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana pemerintah sebelum ini.

Pertempuran ini dianggap sebagai pertempuran terakhir bagi Masamune dalam kempen peluasan kuasa puaknya kerana ketika ini, sebahagian besar Jepun telah pun ditakluki oleh dua puak berkuasa, sama ada puak Toyotomi atau puak Tokugawa. Ketika ini Toyotomi Hideyoshi telah pun menjadi Shogun dan Ieyasu Tokugawa dilantik menjadi Kanselor Jepun. Tiada lagi ruang untuk Masamune meluaskan kuasa. Menentang salah satu puak di atas adalah perkara bodoh yang tidak akan dilakukan sesiapapun yang berfikiran wajar.

Akhirnya, puak Date dibawah pemerintahan Masamune berkhidmat sebagai ‘vassal’ untuk Toyotomi dan seterusnya Tokugawa selepas Pertempuran Agung Sekigahara yang menyaksikan penyatuan Jepun.

Pengepungan Odawara

Masih ada satu puak yang berdegil tidak mahu tunduk kepada kekuasaan Toyotomi iaitu puak Hojo. Puak Hojo amat yakin dengan kemampuan Istana Odawara yang dianggap salah satu istana terhebat pada zaman itu, sebaris dengan istana Himeji, Osaka dan Azuchi. Hideyoshi tidak mahu berlengah lagi dan melancarkan kempen menakluki Odawara. Masamune diperintah untuk membantu dalam kempen ini.

Menggunakan kelicikannya, Masamune memberi pelbagai alasan untuk melengah-lengahkan tenteranya. Ini kerana, jika mereka sampai lewat, pertempuran sudah hampir tamat dan tentera Date tidak perlu bertempur serta dapat mengelakkan kematian. Masamune juga menjangka, jika pertempuran itu dimenangi Hideyoshi, kemungkinan besar anginnya juga dalam keadaan yang baik. Maklumlah, sudah menang perang.

Namun, Hideyoshi tidak kurang bijaknya juga. Segala percaturan Masamune dapat dihidunya satu persatu. Setelah pertempuran tamat, Masamune tiba dengan pakaian serba indah dan berkualiti, dengan wajah yang tiada sedikit pun tanda ketakutan. Hideyoshi yang marah hanya tersenyum tetapi menghukumnya dengan memindahkan kawasan pemerintahan puak Date dari Aizu ke Yonezawa yang lebih rendah bilangan koku. Koku melambangkan hasil kekayaan sesebuah kawasan itu.

Iwadeyama, Perang Korea dan Tentera Flamboyan

Setelah beberapa tahun berkhidmat untuk Hideyoshi, Masamune dikurniakan daerah Iwatesawa. Beliau berpindah ke situ dan menukarkan namanya menjadi Iwadeyama. Sebuah istana juga dibina di puncak Iwadeyama. Selama 13 tahun puak Date membangunkan kawasan tersebut. Masamune dengan bangganya berjaya menjadikan Iwadeyama sebagai salah satu pusat perkembangan ekonomi dan politik.

Pada tahun 1592, Masamune dengan tenteranya seramai tiga ribu orang (kontinjen terawal) telah menyambut seruan Hideyoshi untuk turut serta dalam kempen Perang Korea. Menariknya, tidak seperti sebelum ini di Odawara, Masamune dengan segera mengerahkan tenteranya ke Kyoto untuk perarakan ketenteraan pra-peperangan apabila mendapat arahan Hideyoshi. Tidak berlengah walaupun sedikit.  Perarakan ini bukan sahaja dihadiri Toyotomi Hideyoshi dan para bangsawan di Imperial Court malah Maharaja Jepun sendiri turut berkenan mencemar duli sebagai tanda sokongan. 

Masamune berbuat demikian kerana berfikiran jika beliau sampai lewat, bukan saja Hideyoshi akan marah sekali lagi, malah akan memaksa pasukannya bertempur di barisan hadapan (vanguard) dalam medan perang di Korea sebagai hukuman. Ini amatlah berbahaya dan merugikan puak Date. Tidak cukup dengan itu, Masamune telah menempah khas baju perisai hitam (bercampur emas di beberapa bahagian badan) dan topi berbentuk kon untuk tenteranya semata-mata untuk perarakan tersebut.


Hasil seni karakter Date Masamune bertema warna hijau dalam permainan Samurai Warriors 3

HBiasa di medan perang, tentera Date memakai perisai bertemakan warna biru. Ada juga rekod yang mengatakan bukan warna biru tetapi hijau kerana perbezaan perspektif warna zaman tersebut dan zaman sekarang serta masalah penggunaan perkataan. Walau bagaimanapun, imej tenteranya yang serba hitam keemasan dengan topi kon yang aneh telah menarik perhatian seluruh hadirin. Hadirin bersorak gembira melihat tentera Date.

Malah, Shogun Hideyoshi sendiri merasa sangat kagum dengan apa yang dilihatnya. Dalam hatinya, beliau mengagumi hasil kekayaan emas yang dimiliki puak Date sehinggakan perisai mereka pun disaluti warna emas. Ini merupakan salah satu helah genius Masamune. Hal ini kerana, dengan pasukan tenteranya yang kelihatan sungguh mengancam, sudah tentu Hideyoshi akan menugaskan mereka sebagai tentera yang berkawal berhampiran unit kendalian Hideyoshi. Tidaklah perlu untuk ke Korea dalam masa yang terdekat. Sangkaannya tepat.

Menurut legenda, keghairahan inilah yang membawa kepada terhasilnya perkataan ‘Dateotoko’ atau ‘Datemono’. Datemono bermaksud individu atau kumpulan yang menonjol, menarik perhatian, bergaya, berwarna-warni (lebih dari satu dua warna) tetapi dalam masa yang sama, tetap menakjubkan dan mengagumkan. Istilah flamboyant juga digunakan di sini. Dateotoko pula membawa maksud seseorang yang berpakaian berwarna-warni atau seseorang yang menggunakan lebih dari satu senjata serta orang tersebut kelihatan beradab (refined) atau menarik (attractive). Sekali gus ini membawa kepada kebarangkalian yang Masamune sememangnya bukan calang-calang hensem.

Ketika di Korea, Masamune berkhidmat dengan cemerlang dalam beberapa pertempuran serta membantu tentera Jepun yang terkandas di sana.

Baju Perisai Kalis Peluru

Sebahagian tenteranya juga dilengkapi baju perisai kalis peluru! Sesiapa yang pernah main permainan Total War Shogun barangkali pernah melihat salah satu unit unik puak Date yang dipanggil Date Bulletproof Samurai. Betapa hebatnya pemikiran Masamune sehingga mampu menghasilkan sesuatu teknologi yang jauh ke hadapan. Ini juga menggambarkan keberanian tentera Date. Satu-satunya tentera yang tidak takut untuk berhadapan dengan peluru maut yang dimuntahkan ratusan istinggar dalam satu-satu pertempuran.

Walau bagaimanapun, efektif atau tidak masih tidak diketahui kerana didakwa perisainya berat dan juga kos penghasilannya yang mahal.

Pertempuran Agung Sekigahara dan Pembukaan Sendai

Dalam pertempuran ini, Masamune berpihak kepada tentera gabungan puak Tokugawa ataupun juga dikenali sebagai Eastern Army. Shogun Toyotomi Hideyoshi sudah meninggal dunia dan digantikan dengan anaknya Hideyori yang masih muda. Ishida Mitsunari, salah seorang pegawai paling berkuasa dalam puak Toyotomi telah menjadikan Hideyori sebagai boneka. Rata-rata samurai marah dengan tindakan Ishida yang mengutamakan kepentingan dirinya sendiri.

Siri pertempuran di Utara bermula apabila Masamune bersama-sama Mogami Yoshiakira berjaya menghalang Uesugi Kagekatsu daripada membantu Western Army dengan mengepung Hataya. Tentera Date kemudiannya menyerang Istana Fukushima dan menaklukinya.

Tugu Date Masamune di Sendai

Kejayaan ini melicinkan pergerakan tentera Tokugawa ke Barat (untuk tiba di Sekigahara) kerana segala gangguan sudah dihapuskan. Pertempuran Sekigahara berakhir dengan kemenangan bergaya Eastern Army. Masamune pula dihadiahkan kawasan Sendai di mana beliau membina satu istana baru di Aoba. Sendai kemudiannya berkembang maju sehingga menjadi hab perdagangan dan bandar yang hebat. Di kawasan pertama kali Masamune tiba di Sendai, sebuah tugu peringatannya telah dibina. Hari ini, tugu ini menjadi salah satu tarikan pelancongan bagi sesiapa yang melancong ke Sendai.

Warkah Masamune Untuk Pius Paul V

Pada tahun 1613, Masamune menghantar salah seorang pegawai samurainya, Hasekura Rokuemon Tsunenaga untuk menyertai satu ekspedisi ke Eropah untuk tujuan mengadakan perjanjian perdagangan dengan negara di benua itu. Paderi Sotelo yang dibuang negeri ke Sendai atas kesalahan menyebarkan ajaran Kristian yang bertentangan dengan undang-undang telah ikut serta dalam ekspedisi itu. Buat masa ini dalam sejarah, inilah ekspedisi pertama Jepun ke Eropah.

Sebuah kapal perang galleon yang berinspirasikan Barat telah dibina di pelabuhan Tsuki-no-Ura di Miyagi, Sendai. Projek ini mendapat persetujuan Keshogunan Tokugawa. Kapal perang ini dinamai San Juan Bautista dan Date Maru dalam bahasa Jepun. Menariknya, kapal ini mempunyai jata keluarga Hasekura yang berbentuk Swastika dipercayai berasal daripada ajaran Buddha.

Reka bentuk Jata keluarga Hasekura


Kapal Date Maru tiba di California selepas meredah lautan Pasifik. Pelayaran diteruskan ke Acapulco, Mexico dan Mexico City. Dalam perjalanan, ramai pelayar yang memeluk Kristian dan dibaptiskan. Setibanya di Sepanyol, mereka menghadap Raja Philip III dan Tsunenaga memeluk Kristian serta dibaptiskan menjadi Francisco Felipe Faxicura. Rombongan mereka disambut dengan meriah oleh kerajaan Sepanyol tetapi tiada perjanjian yang dimuktamadkan lagi.

Seterusnya, Tsunenaga meneruskan pelayaran ke Rom untuk menyampaikan sekeping warkah yang ditulis Masamune kepada Pius Paul kelima, ketua agama Kristian Katolik. Rombongan Jepun itu menyerahkan dua keping warkah, satu dalam bahasa Jepun dan satu lagi dalam bahasa Latin. Kandungan warkah tersebut menyatakan dua benda, bahawa tabligh Kristian dijemput datang ke Jepun dan perjanjian perdagangan antara Mexico (yang dijajah Sepanyol) dengan Jepun. Warkah tersebut masih boleh dijumpai di Arkib Vatican hari ini. Antara kandungan warkah tersebut berbunyi,

Kissing the Holy feet of the Great, Universal, Most Holy Lord of The Entire World, Pope Paul, in profound submission and reverence, I, Idate Masamune, King of Wōshū in the Empire of Japan, suppliantly say:

The Franciscan Padre Luis Sotelo came to our country to spread the faith of God. On that occasion, I learnt about this faith and desired to become a Christian, but I still haven’t accomplished this desire due to some small issues. However, in order to encourage my subjects to become Christians, I wish that you send missionaries of the Franciscan church. I guarantee that you will be able to build a church and that your missionaries will be protected. I also wish that you select and send a bishop as well. Because of that, I have sent one of my samurai, Hasekura Rokuemon, as my representative to accompany Luis Sotelo across the seas to Rome, to give you a stamp of obedience and to kiss your feet. Further, as our country and Nueva España are neighbouring countries, could you intervene so that we can discuss with the King of Spain, for the benefit of dispatching missionaries across the seas.”

Warkah berbahasa Latin yang ditulis Masamune

Dapat dilihat bahawa Masamune menamakan dirinya sebagai King of Wōshū iaitu Oshu. Pius bersetuju untuk menghantar missionaries Kristian ke Jepun tetapi menyerahkan keputusan perjanjian perdagangan kepada Raja Sepanyol. Ada juga rekod yang menyatakan kemungkinan Masamune mengirimkan pedang samurai kepada Pius.

Namun, misi Tsunenaga gagal kerana tindakan Keshogunan Tokugawa yang mengharamkan penyebaran agama Kristian dan menjatuhkan hukuman bunuh kepada penganutnya.

Sanada Yukimura dan Masamune

Pada tahun 1614-1615, puak Tokugawa melancarkan serangan habis-habisan ke atas kubu terakhir pengikut Toyotomi di Osaka, dikenali sebagai Kempen Musim Salji dan Musim Panas Pengepungan Osaka. Pernah sekali, kerana bosan tiada serangan yang dibuat pasukan sekutunya, Masamune bertindak memerintahkan pasukan istinggarnya untuk melepaskan tembakan serentak (volley) beberapa kali di belakang pasukan sekutunya sendiri supaya mereka melancarkan serangan. Sudah tentu, ini memberi reputasi buruk kepadanya. Sekali lagi, sifatnya yang tidak dapat dijangka jelas kelihatan dalam insiden ini.

Berbalik kepada peperangan ini, salah satu pertempuran dari banyak-banyak pertempuran yang berlaku ialah Pertempuran Dōmyōji.

Dalam pertempuran inilah dipercayai Masamune dan seteru setandingnya, Yukimura mungkin telah berlawan antara satu sama lain. Pertempuran inilah yang memberi inspirasi kepada fanfiction hari ini yang kerap mengaitkan Masamune dan Yukimura sama ada dalam permainan ataupun anime seperti Sengoku Basara.

Sanada Yukimura dan Date Masamune dalam Sengoku Basara

SKemangkatan Ieyas

Ketika Ieyasu sedang nazak pada tahun 1616, Masamune yang datang melawatnya telah membacakan satu puisi Zen. Ini menyerlahkan lagi personalitinya yang penuh beretika. Walaupun Ieyasu tidak pernah mempercayai Masamune sepenuhnya, namun rekod perkhidmatannya memang baik. Sejak zaman Toyotomi lagi.

Satu kata-kata hikmat Masamune yang masih diingati sehingga ke hari ini ialah, “Sifat mulia yang berlebihan akan menjadikan seseorang itu kaku; kebaikan yang melampaui batas akan menjadi kelemahan.” (Rectitude carried to excess hardens into stiffness; benevolence indulged beyond measure sinks into weakness).

Kesimpulan

Pada 27 Jun tahun 1636, Date Masamune menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang. Anaknya, Tadamune menggantikan beliau sebagai Daimyō Date.

Kesimpulannya, perjalanan hidup Masamune penuh dengan warna-warna. Sifatnya yang lantang, berani, agresif tetapi licik dan genius dalam mengatur strategi menjadikannya sebagai seorang yang serba boleh. Beliau juga terbukti sebagai seorang pemerintah yang bijaksana dan berwawasan mirip Oda Nobunaga kerana penerimaannya terhadap orang luar dan teknologi asing yang dibawa.

Cuma satu benda yang penulis yakin Masamune sesalkan sangat sehingga akhir hayatnya adalah kegagalannya menyatukan seluruh Jepun.

Maka, tidaklah menghairankan apabila Masamune pernah mengeluh tentang nasibnya. “Alangkah baiknya jika aku dilahirkan 10 atau 20 tahun lebih awal. Sudah tentu aku dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Toyotomi Hideyoshi, Tokugawa Ieyasu dan Oda Nobunaga. Ketika itu, tidak mustahil untuk ku menyatukan seluruh negara ini.”

Rujukan:

Date. (n.d.). Retrieved December 29, 2018, from http://koei.wikia.com/wiki/Date

Date Masamune. (n.d.). Retrieved December 29, 2018, from http://badassoftheweek.com/index.cgi?id=584119921490

Masamune Date. (n.d.). Retrieved December 29, 2018, from http://koei.wikia.com/wiki/Masamune_Date

Museum. (n.d.). Welcome to Date Masamune historical perspective. Retrieved December 29, 2018, from http://www.date-masamune.jp/eng.php

Seal, & West. (2017, September 30). Date Masamune. Retrieved December 29, 2018, from https://wiki.samurai-archives.com/index.php?title=Date_Masamune

Strusiewicz, C. J. (2018, February 19). The Samurai Who Met The Pope. Retrieved December 29, 2018, from https://www.tokyoweekender.com/2018/02/the-samurai-who-met-the-pope/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.