Beberapa hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyentuh soal dasar penswastaan semasa ditanya Datuk Seri Ismail Mohamad Said (BN-Kuala Krau) dalam sesi Parlimen hari ini. Dan seperti biasa, beliau menyifatkan saiz perkhidmatan awam ini terlalu besar dan perlu dikecilkan termasuk menimbang prospek melaksanakan semula Dasar Penswastaan Negara yang dilakukan pada tahun 1983. Tetapi sebelum kita membawang tak tentu hala, apa itu dasar penswastaan sebenarnya?

Sejarah Dasar Penswastaan

Dasar penswastaan merujuk kepada proses perpindahan pemilikan sesebuah entiti atau aset milik kerajaan kepada pihak swasta. Apabila proses tersebut selesai, kerajaan tidak lagi menjadi pemilik sesebuah entiti atau aset berkenaan. Sejarah penswastaan ini sebenarnya bukan perkara baru kerana ia banyak muncul dalam lipatan sejarah. Dalam Tamadun Yunani, kebanyakan perkhidmatan kerajaan diserahkan kepada pengurusan pihak swasta. Sementara Empayar Rom pula menyaksikan kelibat individu dan syarikat swasta melakukan pelbagai perkhidmatan seperti kutipan cukai, mengupah tentera upahan, projek pembinaan dan korban untuk kuil dewa-dewi Rom.

Pada abad ke-20 pula, negara pertama yang menggerakkan dasar ini ialah rejim Nazi Jerman menerusi pemindahan aset dan institusi kerajaan secara besar-besaran antara 1933 hingga 1937. Kebanyakan penerima proses penswastaan ini ialah organisasi-organisasi yang ada kaitan dengan rejim itu sendiri. Tetapi ia hanya menjadi popular pada tahun 80-an di seluruh dunia menerusi langkah penswastaan yang diperkenalkan Margaret Thatcher. Semasa era Thatcher, banyak institusi atau aset kerajaan diswastakan seperti British Telecom (1984), Rolls Royce (1987) dan Rover Group (1988).

Dasar Penswastaan Negara

Thatcher berbuat demikian kerana percaya dasar ini boleh menghapuskan elemen korupsi dalam sosialisme dan memberi peluang kepada orang ramai menikmati kebebasan mereka. Tujuan di sebalik dasar ini untuk memastikan kuasa sesebuah negara dikurangkan dan mengukuhkan kuasa rakyat. Idea sebegini yang memberi ilham kepada Tun Dr Mahathir untuk melakukan perkara sama pada tahun 1983.

Menerusi ucapannya dalam Persidangan Industri Sekuriti di Malaysia pada tahun 1984, beliau melihat kerajaan tidak bijak menguruskan sesebuah perusahaan dengan licin walaupun dengan bantuan unsur monopoli dan kuasa kerajaan. Beliau berpandangan penswastaan merupakan langkah terbaik kerana pihak swasta lebih bermotivasi dan bijak dalam soal pengurusan. Ini sekaligus boleh menambahbaik prestasi ekonomi negara dan khususnya perkhidmatan awam yang diterjemah dalam bentuk pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Sektor awam kerajaan bukan sahaja terlibat dalam menggubal dan melaksanakan dasar-dasar utama kerajaan tetapi juga terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia. Saiz sektor awam telah berkembang dengan begitu pesat sekali pada tahun 1970-an dan 1980-an dengan perbelanjaan sektor awam meningkat dari 28% pada tahun 1975 kepada 36% pada tahun 1982. Situasi ini dianggap membawa beban kewangan yang besar kepada pihak kerajaan. Selain itu, keadaan ekonomi yang meleset ketika itu turut menyumbang kepada pengenalan Dasar Penswastaan ini.

Semasa diperkenalkan, dasar ini mempunyai beberapa objektif iaitu:

1. Membantu pihak kerajaan mengurangkan beban kewangan mereka. Pada masa lepas, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, landasan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya. Perbelanjaan ini terus meningkat dari semasa ke semasa dan kadar pulangan balik dianggap terlalu lambat dan sangat rendah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa menyelenggara perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan pengurusan. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya pada ketika itu dan menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus.

2. Membantu menambahbaik kecekapan dan produktiviti kerja. Pencapaian kebanyakan perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian masih belum memuaskan walaupun mendapat akses monopoli dan pelbagai bentuk sokongan kerajaan.Dengan menswastakan beberapa perkhidmatan kerajaan ditambah dengan kepakaran dan akses peluang yang diberi oleh pihak swasta, ini dapat menambahbaik perkhidmatan tersebut.

3. Menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan negara. Menerusi dasar ini, lebih banyak syarikat swasta yang diwujudkan secara langsung atau tidak langsung dapat meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak kerajaan juga dapat menambah pendapatan menerusi kutipan cukai pendapatan dari syarikat-syarikat yang berkenaan.

4. Pembahagian sumber dan kecekapan. Lebih banyak penglibatan kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak penguasaan kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan yang dibuat pula berdasarkan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kerajaan mencerminkan nilai pasaran. Harga barangan tersebut berasaskan subsidi dan sumber yang diperuntukkan itu untuk pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap. Subsidi dan pengekalan sikap yang berkehendakkan kebajikan akan menggalakkan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan. Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang negara keseluruhannya.

Kredit: Nikkei Asia

5. Mempercepat pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar Penswastaan dilihat membuka lebih banyak ruang penyertaan syarikat-syarikat Bumiputra bagi memenuhi aspirasi DEB.

Bagi memastikan dasar ini berjalan lancar, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa di Unit Perancang Ekonomi. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Unit Perancang Ekonomi dan dianggotai oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Hasil mensyuarat jawatankuasa ini, pihak jawatankuasa mengeluarkan dua garis panduan bagi memudahkan kerja penswastaan beberapa perkhidmatan oleh kementerian atau jabatan iaitu Garis Panduan Mengenai Penswastaan Untuk Kegunaan Pihak Swasta dan Garis Panduan Mengenai Penswastaan Untuk Agensi-Agensi Kerajaan. Dua garis panduan ini dikeluarkan pada 21 Januari 1985.

Antara bentuk penswastaan yang dijalankan semasa dasar ini dilaksanakan ialah penjualan aset atau ekuiti yang melibatkan penjualan syarikat-syarikat kerajaan seperti Malaysia Airlines (MAS), Edaran Otomobil Berhad (EON) dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC). Ada juga membabitkan pajakan yang melibatkan pemindahan hak menggunakan aset kerajaan untuk tempoh tertentu seperti sebuah pusat penyembelihan khinzir di Shah Alam dan Depoh Baikpulih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, kerajaan juga menguruskan kontrak pengurusan yang melibatkan penggunaan kepakaran pengurusan sektor swasta untuk menguruskan sesebuah entiti kerajaan di mana mereka dibayar yuran pengurusan seperti pemasaran masa siaran Radio Malaysia, akitiviti pemasaran RISDA dan soal pengurusan loji penapisan air di Empangan Semenyih.

Semasa penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir turut menswastakan projek-projek baru kemudahan awam yang biasakan diuruskan sektor awam seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Laluan Kedua Ke Singapura (Second Link) dan projek bekalan air ke Ipoh. Bentuk penswastaan ini dirangka berdasarkan garis panduan yang ditentukan dalam strategi perlaksanaan dasar penswastaan. Bentuk penswastaan ini dipilih mengikut ciri-ciri aktiviti organisasi yang akan diswastakan bagi memastikan kelancaran perlaksanaan dasar berkenaan.

Pro dan kontra

Dasar ini sudah tentu ada pro dan kontranya. Bagi para penyokong dasar ini, terdapat beberapa kelebihan seperti:

1. Mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

2. Menurunkan kadar cukai.

3. Penumpuan kekayaan di mana ia diterjemah dalam bentuk lebih banyak pelaburan yang merangsang modal pasaran dan menambah peluang pekerjaan.

4. Syarikat lebih bersifat jangka panjang dalam setiap projek mereka berbanding kerajaan yang dilihat bersikap jangka pendek dalam setiap usaha mereka.

5. Menambah unsur persaingan dalam pasaran.

Bagaimanapun, dasar ini tidak terlepas dari pelbagai kritikan termasuk di Malaysia. Antara pelbagai kritikan yang dilemparkan ialah:

1. Ketiadaan unsur ketelusan semasa proses penswastaan yang membawa kepada unsur salahguna kuasa dan rasuah terutama membabitkan pihak kerajaan dan swasta.

2. Hanya memberi sedikit kesan pada peningkatan kecekapan dan produktiviti pekerja.

3. Syarikat yang diswastakan tidak mengambil kira soal kepentingan awam kerana keutamaan mereka menjurus kepada soal keuntungan. Justeru, ini mendorong mereka mengenakan caj lebih mahal daripada memikirkan aspek kualiti penawaran perkhidmatan kepada pengguna.

4. Kerajaan terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan yang diswastakan. Selain itu, sekiranya perkhidmatan yang diswastakan mengalami kerugian dan berhadapan prospek muflis, kerajaan juga tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil alih semula perkhidmatan dengan harga yang jauh lebih tinggi.

5. Penurunan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berbanding semasa ia masih menjadi milik kerajaan.

6. Pemecahan industri-industri yang mengakibatkan wujud kekeliruan siapa yang seharusnya bertanggungjawab lebih-lebih lagi bila berlakunya tragedi atau pengambilalihan sesebuah syarikat.

7. Kerajaan tidak berpeluang menikmati keuntungan tambahan dari sesebuah aset atau institusi kerana keuntungan ini dinikmati oleh para pelabur luar.

8. Prospek melihat aset atau institusi yang diswastakan jatuh ke tangan pihak asing sekaligus mencetuskan isu pemilikan aset.

9. Kehilangan peluang pekerjaan lebih-lebih lagi bila pemilik baru memilih mengurangkan bilangan pekerja yang menyertai entiti swasta yang baru diwujudkan.

Jika ada yang merasakan ombak penswastaan ini merupakan jalan terbaik untuk menambahbaik ekonomi negara, anda salah. Menurut Profesor Richard Lachmann dari Universiti Negeri New York, dasar penswastaan menyukarkan lagi sebarang usaha pembangunan negara menggunakan sumber dan kekuasaan yang dimiliki.

Sebarang slogan yang menyokong penswastaan seperti kos rendah tidak semestinya baik kerana ia boleh saja mengundang kerosakan jangka panjang. Beliau juga melihat pihak swasta terlalu mementingkan keuntungan dan hanya mementingkan kelompok tertentu sahaja sekaligus berlawanan dengan agenda kerajaan yang menyediakan perkhidmatan awam kepada semua pihak tanpa membeza-bezakan sesiapapun.

Atas sebab inilah, wujud usaha di serata dunia di mana negara-negara berusaha mendapatkan semula aset atau institusi yang telah diswastakan. Di Malaysia misalnya, syarikat pengendali konsesi lebuhraya iaitu PLUS Expressway yang sebelum ini di tangan pihak swasta kini diletakkan di bawah penguasaan kerajaan melalui dua entiti kerajaan iaitu UEM Group (pegangan 51%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (pegangan 49%).

Di Amerika Syarikat pula, mereka berjaya mendapatkan semula 85% akses perkhidmatan air kembali kepada pihak awam sementara 80% rangkaian bekalan elektrik Jerman kini dikawal dan diuruskan pihak berkuasa tempatan dan wilayah. Bak kata John McDonnell yang merupakan Chancellor of the Exchequer (sama taraf dengan Menteri Kewangan) bayang-bayang Parti Buruh, dasar penswastaan hanya menguntungkan kelompok tertentu dan merugikan rakyat untuk jangka masa panjang. Jadi soalan saya kepada empunya badan yang berkenaan, masih rasa dasar penswastaan jalan terbaik?

SUMBER

1. Suhael Adnan, Ahmad, Parzi, Mohd Nasaruddin dan Idris, Rohaniza. (2019). Berita Harian. Ada opsyen pindah pegawai awam ke swasta – PM. https://www.bharian.com.my/…/ada-opsyen-pindah-pegawai-awam…

2. Edwards, Chris. (2017). Cato Institute. Margaret Thatcher’s Privatization Legacy. https://object.cato.org/…/cato-journal/2017/2/cj-v37n1-7.pdf

3. Kirkby, Henry. (2013). The Guardian. Privatisation: the good, the bad, and the ugly. https://www.theguardian.com/…/12/privatisation-good-bad-ugly

4. McDonnell, John. (2017). The Independent. The privatisation of our public services has been national failure – it’s time to take back control. https://www.independent.co.uk/…/privatisation-failure-energ…

5. Lewis, Michael. (2018). MoneyCrashers.com. What Is Privatization of Public Services – Definition, Pros & Cons. https://www.moneycrashers.com/privatization-definition-pub…/

6. Lachmann, Richard. (2017). TheConversation.com. Can the government save money by privatizing prisons, Medicare and other functions? https://theconversation.com/can-the-government-save-money-b…

7. Pettinger, Tejvan. (2017). EconomicsHelp.org. Advantages and problems of privatisation. https://www.economicshelp.org/…/advantages-of-privatisation/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.