China di sepanjang zaman imperialnya mempunyai tradisi hubungan luar negara yang agak lama. Dari Dinasti Qin hingga Dinasti Qing, peradaban tamadun di China memberi kesan ke atas negara-negara jiran dan negara-negara yang lebih jauh, sementara budaya China sendiri juga berubah secara beransur-ansur oleh pengaruh luar juga.

Pada zaman pra-moden, teori hubungan luar China menyimpulkan bahawa empayar-empayar yang pernah wujud di China sebagai Dinasti Celestial (dinasti alam semesta/syurgawi) iaitu sebagai pusat peradaban dunia, dengan Maharaja China menjadi pemimpin dunia yang bertamadun.

Pandangan sebegini menjadikan China sama dengan ‘semua di bawah mandat syurga.’ Semua negeri lain dianggap sebagai negeri jajahan di bawah pemerintahan China. Selebihnya adalah negeri pengikut secara langsung.

Sebab itu tidak terkejut sangat bila ada beberapa tempoh ketika hubungan luar negara China kadang-kala akan menerima tindak balas ‘boikot’ hingga dipinggirkan, ia kerana pandangan mereka bahawa seluruh dunia yang lain sebagai miskin dan mundur serta tidak banyak yang mampu dunia lain tawarkan.

Walaupun begitu, China tetap merupakan pusat perdagangan penting sejak awal sejarahnya lagi. Banyak interaksi China dengan dunia luar melalui Jalan Sutera. Ini termasuk pada abad kedua Masehi, mereka pernah berhubung dengan perwakilan Empayar Rom, dan pada abad ketiga belas, mereka berhubung dengan pengembara Venetian, Marco Polo.

Kepentingan dasar luar China sering juga disasarkan untuk mengekang ancaman penceroboh yang digelar “barbar” (seperti Xiongnu, Mongol, Turkik, dan Jurchen) dari utara. Ia dilaksanakan dengan kaedah ketenteraan, contohnya ser*ngan secara aktif seperti kempen ke utara atau pertahanan yang lebih pasif seperti yang dizahirkan oleh Tembok Besar China.

China juga membentuk hubungan persekutuan melalui ikatan perkahwinan dengan kaum kerabat diraja kerajaan-kerajaan asing yang dikenali sebagai ‘heqin’, atau ‘perkahwinan damai.’

Dalam kebanyakan tempoh, dasar luar China sangat jauh dan sangat penting. Antara contoh kes seperti itu adalah semasa pelayaran laksamana sida-sida Zheng He dari Dinasti Ming yang menjalin hubungan dengan beberapa kerajaan Melayu di Asia Tenggara, termasuklah Kesultanan Melaka.

DINASTI QIN

Walaupun terdapat ramai raja-raja dinasti Shang dan Zhou memerintah sebelum Dinasti Qin, pada tahun 221 SM, pemerintah Negara Qin, Qin Shi Huang, adalah yang pertama berjaya menyatukan seluruh China di bawah satu empayar yang bersatu dan seragam dikenali sebagai Dinasti Qin. Di bawah kepemimpinannya dan masyarakat yang berpandukan pada kepatuhan yang kuat terhadap falsafah perundangan, negaranya di sempadan barat yang pernah terpencil berjaya menakl*ki semua Negara-negara Berper*ng di China kuno.

Wilayah China juga diperluas hingga ke Mongolia Dalam dan Manchuria di utara, dan dengan ekspedisi tentera laut dikirim ke selatan, orang-orang asli Yue di Guangdong dan Vietnam utara (yang kemudian dikenali sebagai Jiaozhi, dan kemudian Annam semasa Dinasti Tang)  juga diserap ke dalam pemerintahan China.

DINASTI HAN

Zaman Dinasti Han (202 SM – 220 Masehi) adalah zaman titik permulaan dalam sejarah hubungan luar Imperial China. Selama pemerintahan Maharaja Wu (Liu Che atau Wudi) yang panjang sekitar 141-87 SM, perjalanan duta besar bernama Zhang Qian telah membuka hubungan China dengan banyak wilayah Asia yang berbeza buat julung kalinya. Semasa melakukan perjalanan ke wilayah barat untuk menjalin hubungan sekutu dengan negara Yuezhi bagi menentang pencerobohan Xiongnu, Zhang ditahan oleh suku Xiongnu selama bertahun-tahun, tetapi dia membawa pulang laporan terperinci mengenai tanah yang sebelum itu tidak pernah diketahui oleh orang China.

Ini termasuklah maklumat perjalanannya ke kerajaan Yunani-Hellenic, iaitu kerajaan Fergana (Dayuan) dan Kerajaan Yunani-Bactrian (Daxia), serta laporan tentang Anxi (Parthia), Tiaozhi (Mesopotamia), Shendu (India), dan Wusun, Nomad Asia Tengah.

Setelah perjalanannya itu, laluan darat yang terkenal dari Jalan Sutera dari China yang menuju ke Empayar Rom telah dibuka. Maharaja Wu juga terkenal dengan penakl*kannya dan kempen yang berjaya melawan Xiongnu. Dia turut berper*ng melawan Kerajaan Wiman Joseon untuk menubuhkan Empat Wilayah Komandri Han di Manchuria, salah satunya didirikan di Korea utara, Komandri Lelang.

Menjelang 111 SM, Maharaja Wu menakl*ki Vietnam utara. Ia berada di bawah pemerintahan Kerajaan Nanyue sejak pegawai angkatan laut Qin, Zhao Tuo memutuskan hubungan dengan pemerintah pusat di tanah besar semasa kejatuhan Dinasti Qin dan penubuhan Dinasti Han. Namun misi perdagangan China yang harus diteruskan tidak terbatas pada perjalanan daratan sahaja.

Pada abad ke-2 SM, China telah berlayar melintasi Asia Tenggara dan menuju ke Lautan Hindi, mereka tiba di India dan Sri Lanka melalui laut sebelum Rom. Laluan laut ini digunakan bukan sahaja oleh para pedagang dan diplomat, tetapi juga mubaligh agama dari China untuk mencari teks Buddha India yang lama bagi diterjemahkan dari bahasa Sanskrit ke bahasa Cina.

Pada tahun 148 Masihi, putera Parthian, Arsaces yang dikenali orang China sebagai An Shigao adalah orang yang pertama menerjemahkan teks Buddha ke dalam bahasa Cina. Terdapat ramai mubaligh Buddha yang lain, termasuk mubaligh dari Yuezhi dan mubaligh Buddha Kushan dari utara India yang memperkenalkan agama Buddha ke China.

Maharaja Ming dari Han yang mendirikan Kuil Kuda Putih pada abad ke-1 Masihi disimpulkan oleh penulis China abad ke-6, Yang Xuanzhi sebagai pengenalan dan pengiktirafan secara rasmi agama Buddha di China. Juga pada abad ke-1 Masihi, China menjalin hubungan melalui laut dengan orang Yayoi di Jepun, yang dihuni oleh apa yang disebut oleh orang China sebagai orang Wa.

Pada abad yang sama juga, China turut menjalin hubungan dengan Kerajaan Funan, yang berpusat di wilayah yang sekarang terletak di Kemboja, tetapi sebahagian lagi tersebar ke sekitar Burma, Laos, Thailand, dan Vietnam.

Jeneral Han, Ban Chao (32-102 Masihi) menakl*ki semula wilayah-wilayah di Wilayah Barat (Lembangan Tarim moden di Turkestan Timur) setelah mendesak Xiongnu keluar dari wilayah tersebut. Ini termasuk kerajaan Kashgar, Loulan, dan Khotan, yang dikembalikan ke kekuasaan China. Namun, ketika sedang berper*ng melawan Xiongnu, dia melakukan perjalanan melintasi Pegunungan Pamir dan jauh ke Asia Tengah dan bahkan ke Parsi, yang kemudian dikuasai oleh Kerajaan Parthian.Dia tiba di Laut Kaspia, kemudian mengirim utusannya Gan Ying untuk tiba ke Rom (Daqin) yang masih jauh. Gan Ying mungkin mencapai sejauh Laut Hitam dan Syria era Rom, tetapi berpatah balik. Tidak pasti dia berjaya tiba ke sana atau tidak, tetapi dia bagaimanapun membawa kembali laporan tentang Empayar Rom, dan ada bukti selanjutnya bahawa kunjungan kedutaan Rom ke China berlaku.

ZAMAN ENAM BELAS KERAJAAN

Walaupun diperkenalkan pada zaman Dinasti Han, zaman perpecahan Enam Belas Kerajaan (220-589) yang huru-hara menyaksikan berkembangnya agama Buddha dan berlakunya perjalanan ke wilayah asing yang diilhamkan oleh mubaligh Buddha.

Terdapat sami dari India seperti Kumarajiva (344-413) dari Kucha yang pergi ke China untuk menterjemahkan teks berbahasa Sanskrit ke dalam bahasa Cina. Terdapat juga ramai orang China yang melakukan perjalanan ke luar negeri untuk mendapatkan dan menerjemahkan teks Sutras Buddha ke dalam bahasa Cina, seperti sami dari China, Faxian (337-422), yang pada usia tuanya melakukan perjalanan ke Sri Lanka, India, dan Nepal.

Dari China, agama Buddha memasuki Korea pada tahun 372. Pertama kali dipraktikkan di negara bahagian utara Goguryeo, dan akhirnya akan berkembang menjadi agama Buddha Korea yang khas. Seperti yang tercatat dalam “Nihon Shoki”, agama Buddha di Jepun diperkenalkan pada tahun 552 dengan misi keagamaan yang dikirim oleh Seong dari Baekje, penguasa salah satu dari tiga kerajaan Korea.

ZAMAN TIGA KERAJAAN

The Three Kingdoms atau Zaman Tiga Kerajaan (220-280) adalah zaman yang melibatkan peper*ngan tanpa henti di antara tiga pihak yang bersaing menuntut hak ke atas warisan kuasa Dinasti Han.

Ketiga-tiga perpecahan kuasa warlord-warlord China ini terheret ke dalam bentuk tiga negara yang saling mengisytiharkan diri masing-masing sebagai maharaja baru dan saling berper*ng, menjadikan penglibatan dalam satu pertikaian penting ketika itu adalah satu keperluan.

Ia berterusan sebelum Dinasti Han jatuh sepenuhnya sehingga mereka tidak mampu menguruskan secara serius berkaitan sebarang hal dasar luar dan tidak lagi melakukan perjalanan ke luar negeri.

Namun kerajaan Shu Han di barat menguasai orang Hmong di barat daya, yang kemudian dikenal sebagai Nanman, sebagaimana kerajaan Wu Timur konsisten mendominasi Vietnam Utara.

Walau bagaimana pun, terdapat satu lagi kunjungan kedutaan Rom yang dicatatkan telah tiba ke China dan mengunjungi istana Maharaja Cao Rui (226-239) di negara bahagian utara Empayar Cao Wei.

Berkemungkinan besar dikirim oleh Alexander Severus. Duta dari Rom yang lain dicatat pada tahun 284, kemungkinan besar dihantar oleh Carus. Kunjungan duta Empayar Rom ini adalah aktiviti hubungan Sino-Roman terakhir yang dicatat oleh China pada era ini.

DINASTI JIN

Dinasti Jin ditubuhkan pada tahun 265 (setelah menakl*ki Shu Han) oleh keluarga bangsawan Sima yang pernah berkhidmat untuk Empayar Cao Wei, dan menakl*ki kerajaan Wu Timur pada tahun 280, sehingga mengakhiri era Tiga Kerajaan.

Namun, negara itu dilemahkan dan terdedah oleh Per*ng Lapan Putera dari 291 hingga 306. Ini memungkinkan suku Xiongnu yang telah menyerap budaya China untuk menawan kedua-dua ibu kota bersejarah China di Luoyang dan Chang’an, memaksa saki baki pentadbiran Jin untuk melarikan diri  selatan ke Jiankang (Nanjing).

Suku Xiongnu kemudian menubuhkan pemerintahan di utara di bawah kerajaan Han Zhao. Zaman Dinasti Jin menyaksikan agama Buddha dan terus berkembang.

DINASTI SUI

Maharaja Wen dari Sui memerintah di utara China sejak tahun 581, dan menakl*ki Dinasti Chen di selatan pada tahun 589, sehingga menyatukan kembali China di bawah Dinasti Sui (581-618). Dia dan penggantinya Maharaja Yang memulakan beberapa kempen ket3nteraan.

Vietnam Utara direbut kembali melalui penakl*kan, ketika itu terdapat pendudukan sementara Kerajaan Champa di selatan Vietnam. Mereka juga melancarkan kempen yang gagal melawan kerajaan Korea di utara iaitu Goguryeo semasa zaman Tiga Kerajaan Korea, yang telah menghabiskan bukan hanya angkatan tentera Sui tetapi turut mengurangkan hasil pendapatan kerajaan.

Terusan Besar China disiapkan semasa era Dinasti Sui, meningkatkan perdagangan kaum pribumi antara China utara dan selatan melalui terusan dan jalan sungai. Salah satu aktiviti diplomatik yang ditekankan dari zaman dinasti yang pendek umur ini adalah kunjungan duta Pangeran Shōtoku dari Jepun ke China yang diketuai oleh Ono no Imoko pada tahun 607 Masihi.

DINASTI TANG

Dinasti Tang (618-907) merupakan satu lagi wakil titik tertinggi bagi ‘Kerajaan Tengah’ (gelaran terhadap China waktu itu) dari segi kekuatan ketenteraannya, penakl*kan dan pengiktirafan dari kerajaan bawahan dan jajahannya, perdagangan luar negeri, dan kedudukan pusat politiknya dan status kebudayaan yang terunggul di Asia Timur.Salah satu pemerintah yang paling bercita-cita tinggi adalah Maharaja Taizong (r. 626-649). Dia memulakan beberapa kempen per*ng yang sangat signifikan dalam sejarah China, yang kebanyakannya menentang kumpulan-kumpulan Turkik yang kuat di Asia Tengah. Ini termasuklah kempen menentang Tujue Timur, Tuyuhun, Tufan, negara Xiyu di Lembangan Tarim, dan Xueyantuo.

Dalam menjalin hubungan sekutu yang kuat dengan Kerajaan Silla di Korea, gabungan Tang-Silla memeroleh kemenangan yang besar ke atas Kerajaan Baekje Korea dengan sekutunya Yamato Jepun ketika Pertemp*ran Baekgang pada tahun 663.

Maharaja Taizong juga menyer*ng Korea utara dalam usaha untuk membantu  sekutu mereka, Kerajaan Silla dalam menumpaskan kerajaan pesaingnya Goguryeo di utara. Tujuan lain Taizong menyer*ng Korea utara adalah untuk mengamankan wilayah sebuah komandri lama China di Korea utara yang telah hilang sejak Kerajaan Goguryeo merebutnya dari Dinasti Jin pada abad ke-4. Namun, wilayah Goguryeo jatuh ke tangan Silla, bukan Dinasti Tang.

Hubungan perdagangan China semasa Dinasti Tang diperluas ke barat di Semenanjung Arab, Afrika Timur, dan Mesir. Ramai penulis kontemporari dari negara asing menggambarkan kapal-kapal China, barang-barang China dibawa ke pelabuhan asing.

Di antara pengarang China, penulis Duan Chengshi (w. 863) menggambarkan perdagangan di Somalia Afrika Timur dan antara 785 hingga 805 ahli geografi China Jia Dan menggambarkan rumah api yang didirikan di Teluk Parsi, yang kemudiannya disahkan oleh penulis Muslim al-Mas’udi dan al-Muqaddasi.

Islam mula diperkenalkan di China bermula pada zaman pemerintahan Maharaja Gaozong (r. 649–683), ketika ketibaan rombongan para pedagang dan pendakwah dari Arab seperti Sa’d ibn Abi Waqqas, bapa saudara kepada Nabi Muhammad.

Pelabuhan laut di Guangzhou di selatan China menjadi salah satu pelabuhan terbesar di dunia, yang menjadi tumpuan pengembara asing dari seluruh Asia maritim. Ibu kota Tang di Chang’an menjadi terkenal sebagai bandar metropolis berbilang budaya yang dipenuhi dengan pelawat asing, orang kenamaan, pedagang, utusan, dan mubaligh.

Para sami Buddha Cina seperti Xuanzang (w. 664) melakukan perjalanan ke luar negeri ke tempat-tempat seperti India untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mengumpulkan relik peninggalan Buddha, dan menerjemahkan teks Sutras tambahan ke dalam bahasa Cina.

Walaupun pemerintahan Maharaja Xuanzong dari Tang (r. 712–756) dilihat sebagai titik kemuncak Dinasti Tang, pada tahun-tahun terakhir pemerintahannya terjadi salah satu pemberont*kan yang paling mem*snahkan dalam sejarah China.

Orang Cina Tang telah merekrut begitu ramai orang-orang Turki Asia Tengah ke dalam angkatan t3ntera mereka. Salah seorang darinya ialah An Lushan (703–757), seorang lelaki Sogdian-Turk yang menjadi komander t3ntera dan kegemaran peribadi gundik Maharaja Xuanzong, Yang Guifei.

Dia bertanggungjawab menghasut hingga tercetusnya Pemberont*kan An Lushan, yang menyebabkan kem*tian berjuta-juta orang, mengorb*nkan aset-aset milik Dinasti Tang di Asia Tengah, dan membuka jalan untuk orang-orang Tibet menyer*ng China dan menduduki ibu kota di Chang’an sementara.

Dinasti ini pulih di bawah Maharaja Xianzong (805-820) tetapi tidak pernah mencapai kembali zaman kemuncak kekuatan ketenteraan dan politiknya. Namun, kesan yang tidak disengajakan akibat pemberont*kan itu adalah pelonggaran sekatan pemerintah terhadap perdagangan.

Walaupun abad ke-9 bergolak secara politik, ekonomi China diakui terus maju, diperkuat oleh perdagangan luar negeri. Pihak Jepun mengirim kedutaan ke Dinasti Tang pada tahun 894, yang akhirnya dihentikan oleh Maharaja Uda hasil pujukan Sugawara no Michizane.

LIMA DINASTI DAN SEPULUH KERAJAAN

Zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan (907-960) adalah zaman perpecahan dan per*ng saudara China antara Dinasti Tang dan Dinasti Song. Ia terkenal kerana kali pertama memperkenalkan ser*ngan Api Yunani (atau formula yang serupa dengan yang asli) hasil dari hubungan orang China di Arab.

Api Yunani kemudian diterapkan pada ciptaan baru China, penyembur api dengan piston berganda, yang digunakan dalam pertemp*ran selama era Lima Dinasti dan Dinasti Song.

DINASTI SONG

Teori politik China sebagai pusat diplomasi dunia banyak diterima di rantau Asia Timur, kecuali pada zaman kelemahan China seperti Dinasti Song (960-1279).Sepanjang era Song Utara (960-1279), maharaja China terpaksa menerima dan mengiktiraf kekuasaan Khitan Khaghan, pemerintah nomad Dinasti Liao (kerajaan Khitan) yang berpusat di Manchuria sebagai sebuah kerajaan yang setara dengan mereka.

Ketika suku Jurchen menggulingkan Dinasti Liao dalam pemberont*kan yang dibantu oleh Dinasti Song, Jurchen kemudian berpaling tadah melawan Dinasti Song dan menakl*ki utara China sejauh selatan Sungai Huai.

Pentadbiran Selatan Song (1127-1279) kemudian dipaksa untuk mengakui penguasa Jurchen yang dikenali sebagai Dinasti Jin Agung sebagai penguasa mereka. Kemudian bangsa Mongol pula menakl*ki Dinasti Jin pada tahun 1234, juga dengan bantuan yang diberikan oleh Song, namun Dinasti Song sekali lagi ditakl*k pada tahun 1279.

Dengan kerajaan-kerajaan yang telah menyerap budaya China dan berkuasa di utara seperti Xia Barat atau dikenali oleh Mong sebagai kerajaan Tangut, orang Cina Dinasti Song terpaksa terlibat dalam kemahiran menguruskan hubungan diplomasi.

Dua orang negarawan dan saintis terkenal Shen Kuo (1031-1095) dan Su Song (1020-1101) dikirim sebagai duta Song ke Dinasti Liao untuk menyelesaikan perselisihan berkaitan sempadan. Shen Kuo menegaskan sempadan Song yang sah di utara dengan mengorek kembali dokumen pentadbiran lama yang diarkibkan dan perjanjian yang ditandatangani antara dinasti Song dan Liao.

Su Song juga menegaskan sempadan sah Song dengan cara yang sama, dia hanya mempraktikkan kelebihannya dalam ilmu pengetahuan kartografi dan pemetaan yang luas untuk menyelesaikan masalah perselisihan sempadan yang panas.

Perdagangan maritim China meningkat secara mendadak ketika era Song, dengan pelabuhan yang sibuk di Quanzhou memainkan peranan sebagai kepala. Perdagangan maritim di luar negeri meningkat oleh industri pembuatan kapal yang berkembang pesat di wilayah Fujian pada abad pertengahan. Ia juga ditingkatkan oleh revolusi ekonomi Song dan kehadiran ramai pelabur dalam misi perdagangan maritim yang kaya dan siap siaga.

Terdapat beberapa misi diplomatik terkenal yang dihantar ke China dari negara-negara asing semasa Dinasti Song. Ini termasuklah kunjungan oleh duta Al-Hakim bi-Amr Allah, duta dari Empayar Fatimiyyah di Mesir ke istana Maharaja Zhenzong pada tahun 1008, dan juga kunjungan duta kepada Kulothunga Chola I dari Dinasti Chola di India ke istana Maharaja Shenzong pada tahun 1077.

Walaupun zaman kegemilangan Buddhisme China berakhir pada zaman Dinasti Tang, masih terdapat sami Buddha Cina yang berpengaruh. Ini termasuklah sami Buddha Zen, Wuzhun Shifan (1178-1249), yang mendidik pelajar Jepun seperti Enni Ben’en (1201-1280). Setelah kembali ke Jepun dari China, dia kemudian menyumbang kepada penyebaran fahaman Zen di Jepun dan membantu dalam pembentukan Tōfuku-ji.

DINASTI YUAN (MONGOL)

Dinasti Yuan (1271-1368) adalah bahagian paling timur dari sebesar-besar keluasan Empayar Mongol yang luas (membentang dari Asia Timur hingga Eropah Timur), yang dibahagikan menjadi empat kekhanatan bermula dengan per*ng pewarisan takhta pada tahun 1260.Pemimpin-pemimpin Mongol seperti Genghis Khan, Ögedei Khan, Mongke Khan, dan Hulagu Khan berjaya menakl*k kerajaan Tangut (Xia Barat) dan Dinasti Jin Agung di utara China, serta menyer*ng Korea di bawah Dinasti Goryeo, mengubahnya menjadi negara bawahan yang diperintah secara tidak langsung.

Pemerintah Mongol menarik pasukan tentera mereka setelah raja Korea bersetuju untuk memindahkan ibu kotanya kembali ke daratan dari Pulau Ganghwa.

Pemimpin Mongol, Kublai Khan akhirnya menakl*ki Dinasti Song Selatan pada tahun 1279. Kublai adalah pemimpin yang bercita-cita tinggi yang mempergunakan tentera Korea, China, dan Mongol untuk menyer*ng Jepun pada dua kesempatan yang berasingan, namun kedua-dua kempen tersebut akhirnya gagal. Dia juga gagal dalam beberapa ser*ngan terhadap kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara seperti Dai Viet dan Empayar Majapahit.

Dinasti Yuan meneruskan legasi perdagangan maritim tinggalan dinasti Tang dan Song. Kapten kapal Dinasti Yuan yang dikenali sebagai Wang Dayuan (fl. 1328-1339) adalah yang pertama dari China yang melakukan pelayaran jalan laut melalui Laut Mediterranean semasa lawatannya ke Maghribi di Afrika Utara.

Salah satu penekanan diplomatik pada masa ini adalah kedutaan besar Yuan ke Empayar Khmer Kemboja di bawah pemerintahan Indravarman III, yang dipimpin oleh utusan Zhou Daguan (166-1346) dari tahun 1296 hingga 1297.

Dalam laporannya kepada istana Yuan, Zhou Daguan menggambarkan tempat-tempat seperti Angkor Wat dan kehidupan seharian penduduk Empayar Khmer. Pada tahun-tahun awal pemerintahan Kublai Khan, Marco Polo (1254-1324) mengunjungi China, mungkin sampai ke ibu kota Song sebelumnya di Hangzhou, yang digambarkannya dengan sangat mengagumkan keindahan pemandangannya.

DINASTI MING

Maharaja pertama Dinasti Ming (1368–1644), Maharaja Hongwu (r. 1368–1398), adalah ketua gerakan Pemberont*kan Serban Merah ketika dia mengalahkan pemimpin-pemimpin China yang menjadi pesaingnya dalam pemberont*kan dan kemudian memaksa pemimpin Mongol dari Dinasti Yuan  untuk melarikan diri ke utara, kembali ke padang rumput di Mongolia. Dinasti Ming terlibat dalam konflik lanjuyan dengan pihak Mongol selepas itu, beberapa kes di antaranya ada yang berjaya, dan yang lainnya tidak. Contoh yang terakhir adalah Krisis Tumu pada tahun 1449, di mana Maharaja Zhengtong ditawan oleh Mongol dan tidak dibebaskan sehingga setahun kemudian.

Maharaja Hongwu mengizinkan utusan asing mengunjungi ibu kota di Nanjing, tetapi menggubal larangan tegas undang-undang perdagangan maritim swasta oleh pedagang China yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara.

Kemuncak diplomatik tertinggi pada zaman Ming adalah misi dan ekspedisi maritim yang sangat besar oleh Laksamana Zheng He (1371-1433), komander sida-sida yang disayangi Maharaja Yongle (r. 1402-1424).

Zheng He berlabuh di sebahagian besar dunia Asia, termasuk di Borneo, negeri-negeri Melayu seperti Kesultanan Melayu Melaka, Sri Lanka, India, Parsi, Arab dan Afrika Timur. Sementara itu, China di bawah Yongle menyer*ng Vietnam utara pada tahun 1402 dipercayai kerana mengganggu kerajaan-kerajaan Melayu, dan mereka kekal berada di sana hingga tahun 1428, ketika Le Loi memimpin pemberont*kan kaum pribumi yang berjaya menentang penjajahan China.

Misi diplomatik ke negeri-negeri bawahan yang besar seperti ini dihentikan setelah Zheng He, dengan tempoh pengasingan di Ming, ditambah dengan keperluan untuk mempertahankan wilayah pesisir timur China yang besar daripada pencerobohan lanun-lanun Jepun.

Walaupun dibatasi oleh negara-negara, perdagangan secara keseluruhannya tidak dilarang. Setibanya mereka pada awal abad ke-16, Portugis boleh berdagang dengan orang China di Tuen Mun, walaupun terdapat beberapa permusuhan di antara kedua belah pihak berikutan penakl*kan Portugis terhadap Kesultanan Melaka pada 1511.

Dinasti Ming juga berdagang dengan serius dengan orang Sepanyol, mereka mengirim banyak kapal perdagangan China setiap tahun ke Filipina untuk menjual barang-barang China sebagai ganti perak yang dilombong dari koloni Sepanyol di Dunia Baru.

Terdapat begitu banyak perak Sepanyol yang memasuki China sehingga mata wang perak yang dicetak Sepanyol menjadi perkara biasa di China. Namun, lonjakan mata wang perak Sepanyol sebagai medium pertukaran juga membawa inflasi besar kepada ekonomi China. Dinasti Ming berusaha untuk menukar mata wang perak menjadi mata wang tembaga, tetapi kemerosotan ekonomi telah pun berlaku.

Sementara itu, Dinasti Ming di bawah Maharaja Wanli (1572-1620) terlibat dalam per*ng yang agak merugikan untuk mempertahankan Korea melawan Jepun. Bupati Jepun, Hideyoshi Toyotomi (1537-1598) dan pendahulunya Oda Nobunaga (1534-1582) membawa era Azuchi-Momoyama yang makmur di feudal Jepun, mengakhiri era bergolak pada zaman Sengoku.

Walau bagaimanapun, Jepun melakukan ser*ngan besar-besaran ke Korea dari tahun 1592 hingga 1598. Tujuan Jepun adalah untuk menyer*ng Ming di China yang sedang maju, tetapi untuk melakukannya Jepun perlu menggunakan Semenanjung Korea sebagai tapak pementasan antara Laut  Jepun dan Laut Kuning.

Walaupun pada awalnya berhasil, usaha Toyotomi dinodai dengan kejayaan tentera laut Joseon pimpinan laksamana Yi Sun-shin (1545-1598). Sepanjang per*ng, Dinasti Ming mengalami kerugian yang besar, dan telah menghabiskan banyak hasil sumber untuk mengirim pasukan darat ke Korea dan meningkatkan keupayaan angkatan laut Korea dalam pertemp*ran seperti Pertemp*ran Noryang Point.

Penurunan ekonomi Ming oleh inflasi diperburukkan lagi oleh kegagalan sumber tanaman, kebuluran, wabak secara mengejut dan pemberont*kan agraria yang dipimpin oleh individu seperti Li Zicheng (1606–1644), Dinasti Ming jatuh pada tahun 1644. Jeneral Ming, Wu Sangui (1612  –1678) telah memihak pemberont*k di bawah Li, tetapi kerana merasa dirinya dikhianati ketika salah seorang gundiknya dirampas oleh Li, dia bertindak membiarkan bangsa Manchu di bawah Maharaja Shunzhi (1638-1661) memasuki jalan utara dan menyer*ng utara China dari  pangkalan mereka di Manchuria.

Para mubaligh Jesuit pertama yang mengunjungi China adalah semasa Dinasti Ming. Yang paling terkenal adalah Jesuit dari Itali Matteo Ricci (1552-1610). Matteo terkenal di China dan Barat kerana banyak sebab. Dia adalah yang pertama menterjemahkan teks klasik China ke dalam bahasa Latin, dan yang pertama menterjemahkan nama ahli falsafah China yang paling terkenal Kong Fuxi sebagai Confucius.

Bersama dengan paderi Jesuit yang lain, dia adalah orang Eropah pertama yang memasuki Kota Larangan di Beijing, semasa pemerintahan Maharaja Wanli.  Matteo Ricci dan rakan cinanya yang dibaptis, ahli matematik, ahli astronomi, dan ahli agronomi Xu Guangqi (1562-1633), adalah orang pertama yang menterjemahkan risalah matematik Yunani kuno “Euclid’s Elements” ke dalam bahasa Cina.

DINASTI QING

Salah satu masalah yang melanda kedutaan Barat ke China adalah amalan kowtow. Para diplomat Barat memahami bahawa bersujud bermaksud menerima ketuanan dan keunggulan Maharaja China lebih tinggi berbanding raja-raja mereka, ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima.

Hubungan diplomatik pertama antara China dan Barat berlaku dengan pengembangan Empayar Rom di Timur Tengah pada abad ke-2, Rom memperoleh keupayaan untuk memajukan sistem perkapalan dan perdagangan di Lautan Hindi. Kumpulan pertama orang yang mengaku sebagai kedutaan Rom ke China dicatat pada tahun 166, enam puluh tahun setelah ekspedisi ke sebelah barat oleh jeneral Dinasti Han, Ban Chao.Mereka datang kepada Maharaja Huan Dinasti Han, “dari Antun (Maharaja Antoninus Pius), raja Daqin (Rom)”. Walau bagaimanapun, ketika Antoninus Pius meninggal dunia pada tahun 161, meninggalkan kerajaan kepada putera angkatnya Marcus Aurelius (Antoninus), konvoi tiba pada tahun 166, dan kedua Maharaja yang dikenali dengan nama “Antonius” menimbulkan kekeliruan tentang siapa yang mengirim duta.

Kemudian, pada tahun 1665, ketika penjelajah Rusia bertemu dengan bangsa Manchu di wilayah timur laut China hari ini. Dengan menggunakan bahasa umum Latin, yang menurut pemahaman orang Cina sebagai bahasa mubaligh Jesuit, maharaja China dan tsar Rusia merundingkan Perjanjian Nerchinsk pada tahun 1689, yang menggambarkan sempadan antara Rusia dan China, yang sebahagiannya kekal hingga hari ini.

Dalam beberapa kaedah, perjanjian ini merupakan titik tolak. Rusia tidak berurusan melalui Kementerian Hal Ehwal Negara Bawahan, melainkan melalui kementerian yang sama dengan Mongol yang bermasalah, yang berfungsi untuk mengakui status Rusia sebagai bukan negara bawahan yang membayar ufti. Sejak itu, pandangan dunia China terhadap semua bangsa lain sebagai bawahan mereka mula terurai.

Pada tahun 1839, Maharaja China telah mengharamkan candu di China kerana kesan buruknya terhadap warganegara China dan kesan buruknya terhadap budaya China; Kerajaan British, bagaimanapun, melihat candu sebagai keuntungan yang besar untuk perdagangan komersial, kerana importnya akan membantu mengimbangkan defisit perdagangan British yang besar dengan China. Ini akhirnya membawa kepada Per*ng Candu.

Pada tahun 1793, maharaja Qianlong menolak tawaran meluaskan perdagangan dan hubungan luar negeri oleh diplomat Britain George Macartney.

Baik orang Eropah mahupun orang China tidak pernah mengetahui bahawa kunjungan kedutaan Belanda akan menjadi peristiwa yang terakhir melibatkan bangsa Eropah tunduk hormat di hadapan Maharaja China dalam konteks hubungan luar monarki tradisional China.

Mewakili kepentingan Belanda dan Syarikat Hindia Belanda, Isaac Titsingh pergi ke Beijing pada tahun 1794-96 untuk perayaan ulang tahun keenam puluh pemerintahan Maharaja Qianlong. Rombongan Titsingh juga melibatkan Andreas Everardus van Braam Houckgeest yang berketurunan Belanda-Amerika, yang menerangkan secara terperinci mengenai misi kedutaan ini ke imperial China dan tidak lama kemudian ia diterbitkan di akhbar-akhbar Amerika Syarikat dan Eropah.

Pandangan tentang dunia China tidak banyak berubah semasa era Dinasti Qing kerana perspektif sinosentrik China terus dikhabarkan dan diperkuatkan oleh dasar dan praktik yang sengaja dirancang untuk meminimumkan sebarang bukti kelemahannya yang semakin ketara dan kekuatan Barat yang terus berkembang. Selepas misi Titsingh, tidak ada lagi duta besar bukan Asia yang dibenarkan bahkan mendekati ibu kota Qing sehingga kesan dari Per*ng Candu mengubah segalanya.

Rujukan:

  • Relations During Imperial China : https://www.ibiblio.org/chinesehistory/contents/03pol/c05s01.html
  • Fairbank, J. (1969). China’s Foreign Policy in Historical Perspective. Foreign Affairs, 47(3), 449-463.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.