Darussalam, Malikul Adil & Konsep Perbandaran Melayu

0
999
views

Teori saya seawal-awal gelar Darul pada negeri Melayu merujuk kepada kota raja atau ibu negeri tempat pemerintah bersemayam bukan untuk wilayah jajahan takluknya. Ini bermakna Darussalam pada Aceh, Pasai, Palembang(zaman Demang Lebar Daun!), Pahang, Melaka dan Batu Sawar(Johor) adalah gelaran untuk sebuah city-state yang menjadikan Islam sebagai falsafah dan perundangan asas. Kalau di Atas Angin kita ada konsep Madinatussalam di Baghdad yang dibina pada tahun 762-766 masihi dan lagi Darussalam di Sawahili.

Madinatussalam atau Kota Bulat(The Round City) dibina melalui kepakaran geometri dan teknologi Parsi dan Sindhi(pusat intelektual Veda dan Buddhisme) sedikit sebanyak menerapkan konsep ‘mandala’ agama Vedik menzahirkan sesebuah ibukota kerajaan sebagai bayangan ‘kerajaan langit’. Metaforanya istana Khalifah Banu Abbas bergelar Darul ‘Imarah atau al-Qasr dan juga Jami'(masjid) merupakan pusat kepada makrokosmo dan mikrokosmo alam ini selaku penjawat jawatan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Semua dikelilingi pula mengikut hirarki premis-premis kerajaan, bangsawan dan rakyat terbanyak yang lain.

Ironinya konsep mandala ini begitu terkenal di Alam Melayu sejak zaman Kedah Tua dan Srivijaya apabila kota-kota raja dianggap suci dan pusat bersemayamnya bayangan tuhan di muka bumi(devaraja). Konsep ini kekal dipertahankan sehingga abad ke-19 atau ke-20 masihi apabila kerajaan Melayu masih membina istana mereka mengikut perancangan mandala ini dan adat bertawaf mengelilingi istana yang terletak di pusat kota yang dianggap sebagai Gunung Mahameru sebanyak 7 kali masih berjalan dalam adat-adat pertabalan, kemangkatan dan perkahwinan diraja.

Disamping konsep ‘kota sejahtera’ Madinatussalam saya juga berpendapat bahawa penerapan konsep ‘Malikul Adil’ yakni gelaran awal dari zaman Banu Saljuq dan Kesultanan Delhi yang diterapkan kedalam lingkungan raja-raja Melayu yang menyalin masuk ke dalam agama Islam secara besar-besaran sekitar abad ke-12 dan ke-13 masihi merupakan indikasi kewujudan falsafah politik dan ekonomi Islam yang disandang pemerintah. Pemerintah tersebut mendiami dan mentadbir suatu-suatu pusat politik dan pusat ekonomi masyarakat Islam. Aspek-aspek kemasyarakatan tersebut tidak dapat dipenuhi tanpa peranan raja dan kota yang menjadi premis kerajaan baginda. Pendek kata ciri-ciri sebuah Darussalam mestilah wujud seorang Malikul Adil.

Bertitik tolak daripada itulah maka Malikul Adil dikehendaki menjalankan beberapa kriteria pemerintahan yang idealistik dan moralistik mengikut hukum adat Melayu sediapurba yang disesuaikan dengan kanun-kanun Islamiah seperti kewujudan beberapa kanun zaman langka di Semenanjung dan Sumatera misalnya Kanun Melaka, Kanun Aceh, Kanun Dato’ Kota Setar, Kanun Pahang, dan lain-lain. Hal inilah menarik minat saya untuk memerhati apakah ia menetapkan peruntukan untuk aspek perancangan dan pentadbiran sebuah bandar(kota pelabuhan), kota, pura, pekan, pelabuhan atau kampung.

Kelmarin semalam pensyarah kami Prof. Arshad Islam didalam kelas ‘Islamic City’-nya menerangkan kepada kami akan kewujudan kriteria sebuah perbandaran menurut Imam asy-Syafie yang sofistikated antaranya adalah ia mesti ada pasar, madrasah, hammam(rumah mandi), penempatan dan … Selain itu penetapan ciri sebuah perbandaran yang ideal mestilah memiliki keelokan pada keselamatan, cuaca, sumber airnya, aturan ketetapan matawangnya, kesihatannya dan yang paling penting kewujudan instituti fekah yang menjamin kemakmuran kehidupan bermasyarakat dan beragama di sesebuah penempatan Islami. Kita sedia maklum bahawa negarakota-negarakota Melayu lebih dari cukup memenuhi kriteria-kriteria tersebut.

Sebenarnya kota awal Islam di Alam Melayu berbeza dengan kota asli di Atas Angin kerana Islam pada mulanya menjadi elemen tempelan dan ekstra yang berkembang dari bentuk kota asli pra-Islam tapi hal ini berubah dengan berdirinya kerajaan Pasai Samudrah, Melaka dan Kedah dan disusuli kerajaan-kerajaan keturunan mereka yang semuanya menjadikan elemen perancangan bandar dan senibina infrastruktur berasaskan Islam. Misalnya jika masjid mungkin binaan sendiri sendiri pada zaman Singapura Lama ia menjadi sebahagian kompleks istana di tengah tengah negeri pada zaman Melaka dan Johor. Apakah juga wujud institusi Islamiah selenggaraan kerajaan seperti di kota-kota Atas Angin seperti madrasah, kutubkhanah(pusat persuratan dan perpustakaan rasmi kerajaan) , mahkamah, zawiah, sepengetahuan kita akan kewujudan institusi yang menerapkan pentadbiran Islam di premis-premis perdagangan pada zaman itu?

Saya perhatikan isu perbandaran Melayu tidak berapa diteroka dan hampir tak ada dalam silibus ‘Islamic City’ di univesiti-universiti. Karya Spahic Omar dan lain-lain hanya banyak mengambil model-model Asia Barat. Amat rugi jika kita orang rantau Melayu tidak mengembangkan pengetahuan perbandaran Melayu-Islam dan masih terikut-ikut model asing sebagai model ideal. Kewujudan elemen pra-Islam dalam kota-kota Melayu zaman Islam tidak bermakna ia tidak islami bahkan ia menjadikan kita unik sebagai model tamadun hibrid yang berupaya beradaptasi dengan elemen luar untuk maju ke hadapan.

Ini jugalah nasihat saya kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam.

Allahua’lam

-tm

Gambar: Pertukangan awal 1900-an dari Borneo menggambarkan sebuah masjid di Mandala Negara. (Tropenmuseum Digital Collection)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.