Darurat: Tanah Melayu Dan Ego Pentadbiran British

2847
views

Meski insiden serangan oleh anggota komunis telah berlangsung di seluruh negara secara berselerak pada 16 Jun 1948, insiden di beberapa ladang di Sg. Siput, Perak, menarik lebih perhatian daripada pihak British. Pertamanya kerana ia melibatkan warga mereka sendiri, dan keduanya adalah kerana amaran yang dilemparkan oleh komunis berkenaan niat mereka menyasarkan peladang-peladang Eropah.

Perasaan panik harus dikawal, kerana setengah dozen ladang di kawasan tersebut menggaji hampir 12,000 pekerja, dan jika tercetus panik, sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Satu ketumbukan kecil askar Gurkha telah dihantar ke Ladang Elphil bagi menyuraikan pekerja yang sudah mula berhimpun.

Keesokannya, Penasihat British kepada Sultan Perak sampai ke Ladang Sg. Siput. Nampaknya apa yang berlaku belum cukup untuk membuatkan pihak British sedar bahawa ada ancaman sedang merebak dan bakal meletus menjadi bahaya yang lebih besar. Seorang pegawai Polis bertanya kepada Penasihat tersebut, kenapa keretanya tidak diiringi oleh sebarang pengawal. Dengan bongkak, dia hanya menjawab bahawa tiada apa yang patut ditakutkan, memandangkan dia mempunyai tongkat, dan isterinya. Sedang pihak British di Tanah Melayu memandang enteng masalah ini, satu persatu estet dan banglo serta kumpulan pekerja terpencil menjadi sasaran.

Bob Thompson kemudiannya memanggil para peladang dan pelombong ke satu mesyuarat di Perak Club, yang terletak tidak jauh dari pejabatnya. Seorang demi seorang mereka tiba, masing-masing melampiaskan rasa kecewa dengan kurangnya tindakan oleh pihak pemerintah di bawah seliaan Sir Edward Gent, Komisyener Tinggi Tanah Melayu. Permintaan mereka untuk dibekalkan dengan senjata dan perlindungan telah diketepikan oleh Gent, yang menganggap mereka terlampau panik.

Tanpa mereka ketahui, Gent sebenarnya tidak berapa sukakan golongan ini. Ketika satu mesyuarat, A.F.N. Churchill, seorang penjawat awam Tanah Melayu, telah mencatatkan di dalam diarinya bahawa Gent telah berkata bahawa golongan peladang membuatkannya berasa mual dan malah tanpa keperluan, memintanya menyediakan pengawal keselamatan di setiap banglo ladang. Gent, pada pandangan peladang dan pelombong Eropah ini, adalah ibarat biawak hidup yang tidak berkesan dalam menjalankan tanggungjawabnya mengawal keadaan ketika itu.

Edward Gent

Sudahnya, satu rombongan terdiri daripada wakil peladang dan pelombong bertolak ke Kuala Lumpur, mendesak supaya satu perjumpaan diadakan dengan Gent. Antara yang terlibat adalah Donald Wise. Sepanjang pertemuan selama setengah jam itu, kumpulan itu meghentam Gent dengan teruk dan mendesak sesuatu dilakukan. Akhirnya, Gent bersetuju untuk mengisytiharkan Darurat di Ipoh dan Sg. Siput, Perak, serta sebahagian daripada negeri Johor.

Walaubagaimanapun, dia enggan mengisytiharkan Darurat yang sama di kawasan-kawasan lain Tanah Melayu. Sekurang-kurangnya, itulah yang berlaku hingga keesokannya apabila suratkhabar Straits Times menyuarakan ultimatum daripada seluruh peladang dan pelombong di Tanah Melayu dengan kata-kata “Govern or Get Out” (kawal keadaan atau berambus) di dalam editorialnya.

Dalam masa 24 jam, Gent dipaksa untuk meluaskan pengisytiharan darurat ke seluruh Tanah Melayu. Dia membekukan cuti kesemua anggota Polis dan malah memanggil balik anggota dan pegawai Polis yang sedang bercuti di Britain. Dia juga meminta bantuan daripada pihak Tentera untuk membantu pasukan keselamatan sivil, dan dengan itu, anggota-anggota Polis dibekalkan dengan Sten gun. Baki bekalan senjata yang ada turut diberikan kepada para pelombong dan peladang yang tahu menggunakannya.

Pihak kerajaan pada ketika itu juga diberikan hak untuk menggeledah, menahan dan menjalankan perintah berkurung. Malah, perancangan juga diadakan untuk membentuk pasukan Special Constabulary (SC) bersenjata untuk mengawal ladang-ladang dan lombong-lombong yang terletak jauh daripada pandangan umum.

Wise dan beberapa orang lagi yang mempunyai pengalaman semasa di dalam pasukan Tentera telah diarahkan untuk melatih anggota-anggota pasukan ini, walaupun tanpa sasaran latihan atau tembakan peluru hidup memandangkan jumlah peluru yang dibekalkan hanya terhad kepada 5 butir seorang setiap bulan, dan penggunaan peluru juga tertakluk kepada birokrasi yang memerlukan setiap peluru yang dilepaskan untuk dikira dan direkodkan.

Sementara itu, kerajaan British nampaknya masih belum nampak betapa runcing keadaan ketika itu. Perhatian mereka lebih terarah ke Vietnam dan Korea. Sedangkan, ada di kalangan pegawai British di Tanah Melayu sudah menjangkakan bahawa keadaan akan bertukar menjadi satu peperangan dalaman.

Sten Gun
Kepala tali pinggang SC (Special Constabulary)

Bagaimana pula keadaan pertahanan pada ketika itu?

Di atas kertas, Tanah Melayu kelihatannya mempunyai kelebihan yang ketara. Sementara Chin Peng mempunyai ketumbukan berkekuatan 5,000 orang, pasukan keselamatan Tanah Melayu pula mampu mengumpulkan 10,223 anggota dan pegawai Polis (walaupun tanpa kelengkapan perisai) dan 11 batalion Tentera – 3 daripada Rejimen Askar Melayu, 6 Gurkha dan 2 British iaitu Seaforth Highlanders dan 1st King’s Own Yorkshire Light Infantry.

Kelihatannya, Tanah Melayu mempunyai kemampuan pertahanan yang kukuh. Namun, itu semua adalah sekadar ilusi. Sebaik peperangan bermula, pasukan komunis mengatasi jumlah sebenar anggota pasukan Tentera yang ada ketika itu. Setiap batalion yang ada mampunyai hanya sekitar 900 anggota, yang mana 500 orang diperlukan bagi membolehkan operasi hutan dijalankan oleh baki 400 anggota. Jadinya, 5,000 anggota Chin Peng yang terlatih berhadapan dengan hanya 4,000 anggota Tentera Tanah Melayu, dan sangat sedikit di antara mereka yang terlatih atau berpengalaman dalam pertempuran di hutan.

Anggota Tentera daripada Rejimen Askar Melayu

Lebih mengucar-kacirkan keadaan adalah keadaan pemerintahan pada masa itu. 9 negeri-negeri Bersekutu mempunyai Sultan masing-masing beserta penasihat British, yang diletakkan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan manakala Negeri-negeri Selat pula diperintah oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Singapura pula diperintah berasingan sebagai Jajahan Mahkota. Keadaan tersebut menyulitkan pentadbiran Gent yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi pada ketika itu.

Meski dia seorang yang cemerlang daripada segi teori dan merupakan bekas pelajar Oxford, dan bersemangat untuk membawa perubahan ke Tanah Melayu selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat yang sangat runcing antara dia dan pegawai-pegawai perkhidmatan awam British yang pulang kembali ke Tanah Melayu sleepas perang.

Dia menggelar mereka sebagai “Briged Lama” dan mereka pula sangat tidak menyukainya. Ramai di kalangan Penasihat Sultan telah memberi amaran kepadanya tentang persediaan yang dibuat oleh komunis sejak tahun 1947, tetapi dia telah mengenepikan segala amaran tersebut. Malah, pelbagai nasihat yang diberikan kepadanya tidak dipedulikan, sedangkan Penasihat Sultan itu semuanya mempunyai lebih banyak pengetahuan tentang keadaan Tanah Melayu ketika itu.

Anggota Gurkha menjalani latihan

Salah seorang pegawai British yang tidak segan-silu berhadapan dengan Gent ialah Kolonel John Dalley – yang dikenali kerana mengetuai pasukan “Daley Desperados” cuba mempertahankan Singapura sebelum jatuh ke tangan Jepun pada 1942. Pada tahun 1947, Daley telah menulis kepada Gent, mendesaknya agar mengambil tindakan terhadap aktiviti anggota komunis berpakaian seragam yang berkhemah dan menjalankan latihan di hutan.

Satu salinan surat itu telah dihantar kepada H.B Langworth – komisyener Polis pada ketika itu. Jawapan balas Langworth? Tiada aktiviti sebegitu sedang berjalan seperti dilaporkan. Ini menyebabkan Dalley panas hati, lalu menulis memorandum 3-mukasurat kepada Gent, menasihatinya tentang apa yang harus dilakukan. Dia juga telah menulis kepada Malcolm MacDonald – Komisyener Tinggi Asia Tenggara, yang bertanggungjawab mengkoordinasi fungsi-fungsi pentadbiran berkaitan kepentingan British di rantau ini.

John Dalley

MacDonald mula dilanda kerisauan apabila membaca laporan Dalley lalu menghantarnya ke London. Ternyata anggaran Dalley sangat tepat – 5,000 kekuatan pejuang komunis ditambah 250,000 elemen Min Yuen. MacDonald lalu membuat keputusan untuk terbang ke Tanah Melayu bagi menemui sendiri Gent. Gent berkeras enggan mengubah pendiriannya – bahawa tiadaa ncaman besar di Tanah Melayu ketika itu.

MacDonald lantas memutuskan untuk menghantar surat ke London terus. Draf surat itu ditunjukkan kepada Gentsekiranya ada sebarang perincian yang hendak diubahnya. Gent tidak menambah apa-apa. Hasilnya, Whitehall di London memberi jawapan balas – Gent harus dipecat serta-merta dan berita itu harus disampaikan oleh Dalley sendiri. Pada 29 Jun 1948, Gent dipanggil kembali ke Britain.

Malcolm MacDonald

Sebelum berangkat kembali ke Britain,Gent berbincang kembali dengan Dalley. Ternyata ianya sudah terlambat. Hanyapada ketika itu, dia menyedari bahawa elemen komunis yang disangkanya sekadar omongan kosong, merupakan bahaya yang sebenar. Empat hari kemudian, dalam perjalanannya, pesawat yang dinaiki Gent telah bertembung dengan sebuah pesawat lain di ruang udara London. Sir Edward Gent terbunuh di dalam kejadian itu…=WRA=