Dari Pelacur Menjadi Ratu Lanun Yang Menggerunkan

0
5940
views
Lanun di Laut Cina Selatan

Tangan yang lembut mengayun buaian, jangan disangka tidak mampu menggegarkan dunia. Mungkin itulah peribahasa yang sesuai untuk satu watak dalam sejarah China iaitu Ching Shih apabila daripada kehidupan sadis dan menyedihkan sebagai seorang pelacur menjadi raja lanun yang pada zaman kemuncaknya, mengawal lebih 70, 000 anak buah lanun-lanun dibawahnya. Mendengar sahaja pendahuluan tentangnya pun kita dah rasa teruja?

Sejarah hebat Ching Shih yang merupakan anak jati Guangdong, Selatan China ini lahir pada 1775. Nama kelahirannya ialah Shil Xiang Gu. Apabila meningkat dewasa, dia bekerja sebagai seorang pelacur di rumah pelacuran terapung di Canton. Kejelitaan Ching Shih harum apabila dibualkan oleh banyak orang. Ia telah menarik perhatian salah seorang lanun ketika itu, Zheng Yi yang mengetuai Armada Panji Merah (Red Flag Fleet) dan mengidamkan untuk memperisterikan Ching Shih.

Terdapat pelbagai catatan yang menceritakan tentang penyatuan mereka berdua. Ada yang mengatakan bahawa Zheng Yi telah menjarah rumah pelacuran tersebut dengan armadanya, dan mengarahkan dibawakan Ching Shih kepadanya lalu mereka pun berkahwin. Dalam kisah yang lain pula mengatakan ketika Zheng Yi meminta agar Chih Shih bersetuju untuk berkahwin dengannya, maka Ching Shih menawarkan syarat untuk dipatuhi oleh Zheng Yi. Ching Shih harus mempunyai kuasa di dalam armada lanun yang dipimpin oleh Zheng Yi dan setiap harta yang dijarah oleh armada kapal Zheng Yi, harus dikongsikan sama rata dengannya. Bersetuju dengan cadangan Zheng Yi, maka mereka pun berkahwin dan bermulalah kisah Red Flag Fleet diketuai oleh pasangan suami isteri Zheng Yi dan Ching Shih.

Red Flag Fleet dibawah pimpinan Zheng Yi dan Ching Shih semakin maju. Daripada 200 buah kapal, jumlah kapal yang bersama armada ini mencecah sehingga 1800 buah kapal. Kru armada Red Flag Fleet pula mencecah sehingga 70, 000 orang lanun ketika kematian Zheng Yi selepas 6 tahun berkahwin dengan Ching Shih. Angka yang sangat menakjubkan ini mungkin dicapai oleh kerana mereka berdua mengadakan pakatan dengan dengan ketua lanun bernama Wu Shi’ Er, membentuk Pakatan Lanun-Lanun Kantonis.

Kematian Zheng Yi tidak sesekali menghumbankan kehidupan Ching Shih kembali ke lembah pelacuran, sebaliknya Ching Shih mengambil alih posisi nahkoda dan ketua untuk armada yang ditinggalkan oleh Zheng Yi. Sudah tentu, Ching Shih melakukannya dengan sokongan anak angkat yang diambilnya ketika perkahwinan dengan Zheng Yi iaitu Chang Pao. Maka bermulalah pemerintahan Ching Shih ke atas armada kapal yang ditinggalkan Zheng Yi.

Waqaf Saham

Ching Shih (kanan) bertarung

Mengejutkan, pemerintahan Ching Shih adalah sangat tersusun dan menakjubkan. Ching Shih seperti mewujudkan kerajaannya tersendiri dalam kalangan armada kapal tersebut. Dibawah pimpinan Ching Shih, setiap lanun-lanunnya terikat pada undang-undang dan percukaian. Sebagai contoh, apa-apa harta yang dijarah dan dirampas, hendaklah dipersembahkan dihadapan Ching Shih. Biasanya 80 peratus dari bahagian harta yang dirampas, akan disimpan di dalam tabung kapal sendiri manakala selebihnya boleh dikongsi di kalangan lanun yang merampas.

Bahkan, Ching Shih merupakan seorang pejuang hak wanita yang sangat mengagumkan. Sebagai contoh, kalau ada tawanan lanun yang merupakan kaum wanita, mereka yang dikira sebagai “hodoh” harus dilepaskan. Kalau ada lanun yang berhasrat memperisterikan mana-mana tawanan wanita yang cantik, mereka terikat pada janji untuk menjaga wanita itu sehabis baik dan sebarang usaha kecurangan akan dibalas dengan hukuman mati. Begitu juga dengan jenayah rogol, adalah diharamkan sama sekali.

Para lanun yang merogol tawanan wanita akan dihukum mati. Dan sesiapa yang meninggalkan armada (deserter), mereka juga akan diburu dan dihukum dengan sangat menyeksakan. Misalnya, telinga akan dipotong. Pokoknya selain daripada sistem undang-undang dan percukaian yang wujud dalam Red Flag Fleet, hukuman yang menakutkan dan mengerikan juga menjadi sebahagian daripada pemerintahan Ching Shih sendiri.

Pemerintahan Ching Shih juga dipenuhi dek penguasaan ke atas kampong-kampung di perairan China daripada Canton sehinggalah ke Macau. Banyak kampong-kampung perairan ini terpaksa membayar cukai perlindungan sendiri ke atas Ching Shih. Selain daripada merompak dan menjarah, Ching Shih juga dikatakan mengedar dan menyeludup Candu ke dalam China.

Oleh sebab itu, mungkin Ching Shih digelar sebagai “The Terror Of South China”. Tidak hairanlah sedemikian, kerana dikatakan juga bahawa armada-armada kapal China, Portugis malahkan British sendiri kalah dengan Ching Shih, memaksa kerajaan China ketika itu menawarkan pengampunan kepada semua lanun-lanun dengan harapan untuk menghapuskan penguasaan Ching Shih di lautan.

Ching Shih akhirnya menyerah diri kepada kerajaan China selepas dia dijanjikan pengampunan dan dibiarkan untuk menyimpan harta rampasannya. Dalam masa yang sama, Ching Shih hanya perlu melutut di hadapan Zhang Bai Ling, seorang pegawal kerajaan yang diarahkan untuk mengendalikan kes Ching Shih. Dalam masa yang sama, Zhang Bai Ling harus menjadi saksi kepada perkahwinan antara Ching Shih dan Chang Pao, yang merupakan anak angkatnya yang diambil ketika berusia 15 tahun ketika perkahwinannya dengan Zheng Yi dahulu. Maka berakhirlah karier lanun Ching Shih.

Dia kemudian mengabadikan sisa-sisa hidupnya dengan membuka rumah perjudian di Canton, selain perkahwinannya dengan Chang Pao telah dihadiahkan seorang anak diantara mereka. Usianya agak panjang apabila hanya pada angka 69 tahun barulah Ching Sih meninggal dunia sebagai salah satu daripada lanun yang paling berjaya dalam sejarah, mengatasi legenda lanun seperti Blackbeard dan Kapten Kidd.

Previous articleDiplomasi Vs. Konfrontasi
Next articleNasionalisme China Dalam Filem ‘Ip Man’
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.