Sebuah batu bersurat tulisan Pallava telah ditemui di kawasan Kedukan Bukit, Palembang oleh seorang Belanda bernama M. Batenburg pada tahun 1920. Secara ringkasnya, batu bersurat yang dikenali sebagai Prasasti Kedukan Bukit tersebut menceritakan mengenai seorang tokoh bernama Dapunta Hyang yang melaksanakan satu perjalanan suci (mangalap siddhayatra) dari sebuah tempat bernama Minanga Tamvan menuju ke Matajap diiringi oleh 200 orang pawang dan lebih kurang 20000 tentera. Prasasti Kedukan Bukit turut mencatatkan tahun peristiwa tersebut mula berlaku iatu pada tahun Saka 605 yang bersamaan dengan tahun 683 Masihi. Dua baris terakhir prasasti tersebut menceritakan bahawa Dapunta Hyang berjaya membina sebuah wanua Srivijaya yang gemilang (laghu mudita datang marwuat wanua Criwijaya jaya siddhayatra subhiksa).

Sebuah lagi prasasti ditemui di Talang Tuwo, juga di Palembang oleh Louis C. Westenenk pada tahun yang sama Prasasti Kedukan Bukit ditemui. Prasasti yang dikenali sebagai Prasasti Talang Tuwo tersebut mencatatkan tarikh “tahun Saka pada hari kedua bulan terang bulan Chaitra” yang bersamaan dengan tarikh 23 Mac 684 Masihi. Prasasti ini pula menceritakan mengenai seorang raja bernama Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang membina taman bunga dan kebun buah-buahan yang indah dinamakan “Sriksetra” untuk kegunaan segala makhluk malah prasasti tersebut turut mendoakan kebahagiaan dan kebaikan kepada raja yang membina taman tersebut.

Dapunta Hyang Sri Jayanasa sehingga kini dianggap sebagai pengasas empayar Srivijaya yang bermula sejak akhir abad ke-7 Masihi. Sejarah hidup baginda masih tidak diketahui dengan jelas tetapi dasar-dasar pemerintahan baginda mungkin dapat difahami melalui dua jenis sumber. Sumber pertama ialah dari prasasti-prasasti berbahasa Melayu kuno dan bertarikh akhir abad ke-7 Masihi yang ditemui di kawasan selatan Sumatera. Selain Prasasti Kedukan Bukit dan Prasasti Talang Tuwo, terdapat juga Prasasti Telaga Batu (bertarikh 683 Masihi) dan Prasasti Kota Kapur (bertarikh 686 Masihi).

Kewujudan prasasti-prasasti tersebut bukan sahaja menunjukkan bukti kewujudan bahasa Melayu kuno sejak abad ke-7 Masihi, malah prasasti-prasasti tersebut dapat memberi gambaran mengenai sistem pentadbiran dan politik awal Srivijaya pada masa pemerintahan Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Sumber kedua pula ialah catatan-catatan perjalanan seorang sami Buddha dari China bernama Yijing (I-Ching) yang pergi melanjutkan pelajaran dalam agama Buddha di Nalanda, timur laut India dengan menggunakan jalan laut melalui kawasan Asia Tenggara pada akhir abad ke-7 Masihi.

Patung Dapunta Hyang Sri Jayanasa, pengasas Empayar Melayu Srivijaya yang terdapat di Muzium Kebangsaan Indonesia. 

Dapunta Hyang Sri Jayanasa Sang Penakluk

Yijing mula berlayar dari Kwangtung, selatan China pada akhir tahun 671 Masihi dengan menumpang sebuah kapal orang Parsi (Po-ssu) sehingga singgah sebentar di sebuah tempat bernama Fo-Shih. Beliau tinggal di Fo-shih selama enam bulan sehingga beliau pergi pula ke sebuah tempat bernama Mo-lo-yu dan tinggal di sana pula selama dua bulan. Dari Mo-lo-yu, beliau bergerak ke negeri Kiet-cha dan hanya sekitar tahun 672, barulah Yijing melanjutkan pelayarannya ke pelabuhan Tamralipti (Tan-mo-lo-ti) kemudian bergerak sehingga sampai ke Nalanda, sebuah universiti pengajian agama Buddha yang terletak di timur laut India.

Sepuluh tahun kemudian setelah menghabiskan pembelajarannya di Nalanda, beliau kembali semula ke Fo-shih sekitar tahun 685 Masihi dan mendapati bahawa negeri Mo-lo-yu sudah menjadi sebahagian dari negeri Fo-shih (Shih-li-fo-shih). Kepulangan Yijing pada tahun 685 Masihi (pada masa Mo-lo-yu menjadi sebahagian dari Shi-li-fo-shih) berlaku satu tahun selepas tarikh yang tercatat pada Prasasti Talang Tuwo (684 Masihi) di mana prasasti tersebut mencatatkan Dapunta Hyang Sri Jayanasa sebagai pemerintah Srivijaya (Shih-li-fo-shih dalam sebutan Cina). Hal ini bermakna Dapunta Hyang Sri Jayanasa sendiri sebagai pemerintah Srivijaya telah berjaya menakluk Malayu (Mo-lo-yu) sebelum tahun 685 Masihi.

Malayu (Mo-lo-yu) dipastikan terletak di kawasan Muara Jambi, selatan Sumatera kini. Penaklukan Malayu ke dalam kekuasaan Srivijaya adalah penting untuk Srivijaya menguasai perdagangan dan mengukuhkan kuasa politiknya. Dalam usaha untuk menguasai perdagangan di selat Melaka, Srivijaya haruslah mengalahkan dan menguasai pesaing-pesaing terdekatnya termasuklah Malayu.

Kedudukan Malayu yang strategik sebagai pusat perdagangan dan kaya dengan penghasilan emas dianggap memberi saingan ketat kepada Srivijaya.  Penaklukan Malayu bukan sahaja menyingkirkan pesaing ketat yang paling hampir malahan Srivijaya juga berjaya menguasai perdagangan di Muara Jambi dan penghasilan emas yang banyak di hulu sungai Batang Hari. Sehingga hari-hari akhir kerajaan Srivijaya, pelabuhan Malayu menjadi salah satu wilayah terpenting yang menyumbang kepada kemakmuran Srivijaya sebagai penguasa perdagangan di Selat Melaka.

Dasar perluasan kuasa Dapunta Hyang Sri Jayanasa tidak berhenti setelah Malayu berjaya ditundukkan. Prasasti Kota Kapur yang ditemui di Pulau Bangka, berdekatan Palembang menunjukkan bahawa Srivijaya meneruskan dasar perluasan kuasanya dengan menguasai pulau tersebut, setahun selepas laporan Yijing yang mencatatkan penguasaan Malayu oleh Srivijaya.

Prasasti Kota Kapur memuatkan mantera serta sumpahan kepada sesiapa yang ingkar kepada “kadatuan Srivijaya” dan diakhiri dengan dua baris perkataan yang menceritakan mengenai persediaan Srivijaya pada tahun Saka 608 (bersamaan tahun 686 Masihi) untuk melaksanakan sebuah lagi ekspedisi ketenteraan ke atas pulau Jawa yang dikatakan tidak mahu mengakui kekuasaan Srivijaya.

Adalah dipastikan bahawa pada masa tersebut, Srivijaya sedang melancarkan perluasan kuasa ke atas kerajaan Tarumanagara yang terletak di barat pulau Jawa berseberangan dengan Selat Sunda. Kedudukan Tarumanagara yang menguasai jalan perdagangan di Selat Sunda menjadikannya sasaran perluasan kuasa Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang seterusnya.

Kerajaan Tarumanagara yang sebelum ini dikatakan menghantar utusan ke China sekitar tahun 666 hingga tahun 669 Masihi kemudiannya tidak kedengaran lagi oleh sumber-sumber China setelah dikuasai oleh Srivijaya. Menjelang abad ke-8 Masihi, kekuasaan Srivijaya mungkin sudah meliputi seluruh kawasan selatan pulau Sumatera termasuklah pulau Bangka serta di kawasan Jawa Barat.

Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang dianggap sebagai pemerintah awal Srivijaya telah mengukuhkan kuasa kerajaannya dengan menguasai mana-mana pelabuhan-pelabuhan terdekat yang menjadi pesaing kepada Srivijaya.

Srivijaya mengambil peluang keuntungan yang banyak hasil daripada dua keadaan yang berlaku pada masa tersebut iatu bermulanya penglibatan orang Cina secara langsung dalam perdagangan maritim Asia Tenggara dan kemerosotan empayar Funan sebagai kuasa maritim yang penting di Asia Tenggara.  Hal ini menunjukkan juga bahawa Dapunta Hyang Sri Jayanasa merupakan seorang pemerintah yang mempunyai wawasan yang tinggi dan pandai memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan kekuasaannya.

Dapunta Hyang Sri Jayanasa juga dikatakan membina kekuasaan melalui hubungan baik dengan masyarakat orang laut dan masyarakat pedalaman. Hubungan baik ini sudah tentu membawa keuntungan kepada kerajaannya sendiri kerana orang laut dapat menyumbangkan tenaga untuk mengawal jalan perdagangan maritim dan untuk tujuan ketenteraan manakala penduduk kawasan pedalaman dapat menyumbangkan komoditi berharga dari kawasan tersebut seperti hasil hutan, rempah ratus, emas dan wangi-wangian untuk diperdagangkan. Semua ini dilakukan untuk membina sebuah kekuasaan maritim yang dapat mengawal perdagangan antarabangsa di Selat Melaka dan Selat Sunda.

Dapunta Hyang Sri Jayanasa Pemerintah Ulung

Kekuasaan Srivijaya semakin besar pada masa pemerintahan Dapunta Hyang Sri Jayanasa namun kekuasaan yang besar ini boleh sahaja musnah akibat kekacauan dan serangan musuh. Negeri-negeri yang baru diserap masuk ke dalam kekuasaan Srivijaya mungkin akan mencetuskan pemberontakan. Mungkin juga ada dalam kalangan pengikut raja sendiri yang tidak setia dan ingin membuat khianat. Tambahan pula, kekuasaan yang besar seperti Srivijaya pula memerlukan sebuah sistem pentadbiran yang lebih sistematik untuk memastikan keamanan dalam negeri.

Dapunta Hyang Sri Jayanasa dikatakan telah mengambil langkah mengatasi masalah tersebut dengan mengeluarkan prasasti-prasasti persumpahan. Leonard Andaya telah membahagikan prasasti-prasasti tinggalan kerajaan Srivijaya bertarikh akhir abad ke-7 Masihi kepada dua pengkelasan umum iatu prasasti peringatan terhadap sesuatu peristiwa penting dan prasasti persumpahan. Prasasti-prasasti peringatan sebagai contoh adalah Prasasti Kedukan Bukit (memperingati siddhayatra ke Matajap) dan Prasasti Talang Tuwo (memperingati pembinaan taman Sriksetra).

Prasasti-prasasti persumpahan pula adalah Prasasti Telaga Batu, Prasasti Kota Kapur, Prasasti Karang Brahi dan sebagainya. Kesemua prasasti tersebut berasal dari kawasan selatan pulau Sumatera. Secara umumnya, semua prasasti persumpahan peninggalan kerajaan Srivijaya (pada masa pemerintahan Dapunta Hyang Sri Jayanasa) mempunyai isi kandungan yang hampir sama ; ancaman dan sumpahan buruk kepada sesiapa sahaja yang ingin menderhaka kepada kekuasaan Srivijaya. 

Prasasti Telaga Batu merupakan prasasti persumpahan yang mempunyai tujuh kepala naga dan sebuah muncung air di bahagian bawah prasasti tersebut. Prasasti ini dikatakan telah digunakan oleh kerabat diraja, bangsawan dan individu lain yang berkait rapat dengan pemerintah Srivijaya dalam upacara persumpahan bagi memastikan taat setia mereka kepada pemerintah. Upacara persumpahan itu dilakukan dengan cara meminum air yang dituang ke atas prasasti tersebut.

Apa yang menariknya, prasasti tersebut mengandungi senarai nama-nama jawatan, pekerjaan dan kedudukan yang terdapat dalam kerajaan Srivijaya seperti yuvaraja (putera mahkota), rajakumara (putera-putera diraja), dandanayaka (hakim diraja yang melaksanakan kuasa penghakiman bagi pihak raja), kumaramatya (menteri-menteri yang bukan keturunan diraja), parvanda (ketua tentera diraja), bhupati (ketua wilayah), senapati (ketua tentera wilayah), nayaka (pengutip cukai), pratyaya (pengurus harta diraja), kayasatha (kerani), tuha an vatakurah (penyelia perdagangan), puhawang (pelaut), vaniyaga (saudagar dagang) sehinggalah ke hulun haji (hamba-hamba raja).

Senarai jawatan dan pekerjaan dalam prasasti tersebut adalah mungkin terdiri daripada mereka yang mampu membawa mudarat dan berpotensi menjadi pengkhianat. Pengkhianat boleh sahaja terdiri daripada putera-putera raja dan ketua-ketua tempatan yang boleh mencetuskan pemberontakan, pelaut-pelaut yang boleh disogok oleh musuh atau hamba raja yang boleh menceroboh ruang peribadi raja. Sesiapa yang disebut jawatan dan pekerjaannya dalam prasasti tersebut tidak setia pada pemerintah dan menderhaka, maka mereka akan disumpah dengan perkara-perkara buruk.

Berdasarkan ayat terakhir prasasti tersebut yang mencatatkan persediaan Srivijaya untuk menundukkan Jawa, dapatlah diketahui motif utama penghasilan prasasti-prasasti persumpahan tersebut. Keberangkatan tentera Srivijaya ke Jawa akan menyebabkan berkurangnya kekuatan pertahanan dalam negeri. Hal ini boleh mencetuskan pemberontakan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan dasar politik Dapunta Hyang dan ingin membebaskan diri dari kekuasaan Srivijaya.

Ini terus mendorong Dapunta Hyang menghasilkan prasasti-prasasti persumpahan tersebut yang mencatatkan ancaman kepada sesiapa sahaja yang ingin melawan kekuasaan baginda. Ancaman bukan sahaja terhad kepada sumpahan, malah ancaman penghapusan oleh kuasa ketenteraan juga diberikan khususnya kepada golongan elit dan pembesar tempatan yang ingin memberontak bebas dari penguasaan Srivijaya

Lokasi prasasti-prasasti persumpahan tersebut diletakkan di kawasan-kawasan yang strategik yang menjadi tumpuan, menurut Andaya. Sebagai contoh, Prasasti Kota Kapur diletakkan di pulau Bangka berhampiran Selat Bangka yang menjadi laluan kapal-kapal yang bergerak antara wilayah selatan Sumatera dan pulau Jawa. Prasasti Karang Brahi diletakkan di hulu sungai Batanghari yang merupakan jalan perdagangan sungai terpenting terutamanya dalam memperdagangkan komoditi emas yang dihasilkan di kawasan pedalaman Jambi.

Sebuah lagi prasasti persumpahan, Prasasti Palas Pasemah diletakkan di wilayah Lampung yang menjadi tempat pengumpulan hasil-hasil komoditi dagang dari Jawa dan Lampung. Penghasilan prasasti-prasasti persumpahan tersebut menunjukkan Dapunta Hyang Sri Jayanasa merupakan seorang pemerintah yang tegas dan tidak teragak-agak akan menggunakan kekerasan untuk menghapuskan ancaman kepada kerajaannya.

Kewujudan jawatan-jawatan dan pekerjaan-pekerjaan yang tercatat dalam Prasasti Telaga Batu menunjukkan wujudnya masyarakat yang mempunyai organisasi sosial yang agak teratur pada zaman Srivijaya. Prasasti Telaga Batu memberi gambaran menarik mengenai stratifikasi sosial dalam masyarakat Melayu kuno pada zaman tersebut.

Jawatan-jawatan seperti ketua hakim diraja, ketua ketenteraan, ketua wilayah, penyelia perdagangan, kerani, pengutip cukai dan saudagar dagang menunjukkan pemerintahan Srivijaya pada masa pemerintahan Dapunta Hyang Sri Jayanasa mempunyai sistem pentadbiran yang sistematik dengan pengkhususan kerja mengikut jawatan masing-masing. Hal ini membuktikan ketinggian ketamadunan yang wujud dalam mandala Melayu tersebut jauh sebelum kewujudan Kesultanan Melaka.

RUJUKAN

Andaya, Leonard Y. 2008, Leaves of the Same Tree : Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka, University of Hawai’i Press.

Coedes, George, 1975, Australian National University Press, The Indianized States of Southeast Asia.

Hall, Kenneth R., 1985, University of Hawaii Press, Maritime Trade and State Development in Early Southeast Asia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, bernasabkan Bugis berbangsakan Melayu. Seorang anak Parit Buntar, Perak yang baru sahaja mencapai umur layak mengundi, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Seorang pencinta sejarah, dan sentiasa berusaha mendalami ilmu sejarahnya selagi masih diizinkan bernyawa olehNya.

Comments are closed.