Dakwah: Kerja Ustaz Atau Kerja Ummah?

0
729
views

“Eh! Tak nak lah. Saya tak berani nak berdakwah sebab ilmu saya belum cukup.”

Alaa dekat sini dah ramai ustaz dan ustazah. Biar mereka buat kerja masing-masing. Tak mungkin nak makan gaji buta kan?”

“Saya ni belum jadi alim lagi. Takut perkara yang disampaikan jadi bid’ah pula.”

Situasi yang amat menyayat hati apabila kita amati dengan teliti keadaan umat zaman kini. Pengertian dakwah bukan saja tidak difahami dengan pemahaman yang menyeluruh, malah lebih parah lagi apabila ada sesetengah golongan yang memberikan kata-kata kesat kepada para da’i. Ironinya, mereka merasakan maksiat yang dilakukan ialah halal dan tidak perlu peraturan yang spesifik untuk menidakkan perbuatan ini. Namun jika ada orang yang menasihati ke arah kebaikan, maka mereka ini akan diletakkan 1001 syarat yang ketat untuk ‘melayakkan’ dakwah itu dilakukan.

Perkara ini jelas menjadi kontradiksi dalam ajaran Islam dan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat. Dakwah merupakan sunah baginda Nabi Muhammad SAW yang sangat tidak merugikan malah menjamin ‘saham’ kita di akhirat kelak. Namun sayang seribu kali sayang, sunah ini semakin lama semakin ditinggalkan dan dilupakan dek zaman.

PENGERTIAN DAKWAH.

Dakwah secara literalnya membawa erti mengajak. Manakala dari kaca mata istilah syarak pula, beberapa ulama ada menyuarakan padangan mereka antaranya :

  • Menurut Ibn Taimiyah, dakwah bermaksud ajakan yang menyeru untuk mendekatkan diri kepada Allah Maha Pencipta dan beriman kepada-Nya, berdasarkan kepada risalah yang telah dibawa oleh Rasul-Nya dengan cara membenarkan semua yang dikhabarkan serta mentaatinya.
  • Menurut Dr. al-Sayyid Muhammad al-Wakil, dakwah kepada Allah bermaksud menghimpunkan manusia pada kebaikan serta menunjukkan jalan-jalan kepada kebaikan serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
  • Syeikh Fathi Yakan pula ada menyebutkan bahawa dakwah ditakrifkan sebagai satu perbuatan meruntuhkan dan membina semula. Maksud meruntuhkan ialah menghapus semua amalan jahiliah sama ada melibatkan pemikiran, akhlak dan sistem. Lalu, dibina masyarakat menurut acuan Islam meliputi segenap aspek dalam kehidupan.

Habis, apa yang Allah kata?

Saudara, sangat banyak sebenarnya firman Allah SWT berkait tentang dakwah ini. Antaranya dalam surah al-Imran ayat 104 mafhumnya,

“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru (dakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat kebaikan serta menegah kepada segala keburukan. Dan demikian, mereka ialah orang-orang yang berjaya.”

Ada juga disebutkan dalam surah al-Asr ayat 1-5 berkenaan perihal menyeru kepada kebaikan dan bersikap sabar dalam setiap perbuatan.

Jadi, secara kesimpulannya, dakwah dapat dirumuskan bahawa perbuatan ini bukanlah mengajak semata-mata, bahkan juga meliputi usaha membina dan membentuk peribadi masyarakat ke arah Islam dalam usaha merealisasikan pengabdian diri hanya kepada Allah SWT sahaja.

Persoalannya, dapatkah dakwah dapat dijalankan sendirian sedangkan perkara ini melibatkan pembinaan satu tembok besar yang kukuh?

KERJA SIAPA SEBENARNYA?

Berbalik kepada tajuk utama artikel ini. Sebenarnya, dakwah ini kerja siapa? Umat atau cukup setakat ‘Pak Lebai’ yang berserban dan berkopiah? Atau cukup dengan adanya badan-badan berautoriti seperti mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah dikira lepas tanggungjawab dakwah? Atau, sudah cukup dengan kita menggerakkan jari pada layar sentuh dan papan kekunci gajet kita? Jadi, dakwah ini kerja siapa sebenarnya?

Nabi SAW pernah bersabda, “Apabila telah Nampak secara jelas kejahatan di muka bumi, maka Allah SWT akan menurunkan seksa-Nya kepada penduduk bumi.”

Maka bertanya Aisyah RA, “Walaupun dalam kalangan mereka ada yang mentaati Allah SWT? Maka jawab Nabi Muhammad SAW, “Ya. Tapi kemudian mereka dikembalikan kepada rahmat Allah iaitu syurga.”

Ibnu Hajar Asqolani memberikan pandangannya berkaitan hadis di atas. Beliau berkata,

“Dalam hadis tersebut terdapatnya peringatan dan ancaman yang sangat keras terhadap golongan yang berdiam diri daripada nahi mungkar. Apatah lagi memberikan simpati dan keredaan serta membantu kepada terjadinya perbuatan mungkar tersebut. Sama-sama kita memohon keselamatan kepada Allah.”

Setiap seorang daripada kita sebenarnya tidak terlepas daripada kewajipan dakwah. Masing-masing mempunyai kemampuan dan kelebihan dalam sesuatu perkara untuk mengajak manusia ke arah kebaikan. Tanggungjawab ini tidak sewajarnya dipundakkan kepada ustaz atau syeikh semata-mata. Malahan, setiap individu wajib berusaha melakukan usaha dakwah mengikut kemampuan yang dimiliki.

Tidak kira pangkat mahupun harta, hatta sebagai seorang tukang sapu sampah sekalipun wajib untuk berusaha merealisasikan usaha dan kesinambungan amalan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat ini. Andai saja kita masing-masing mendiamkan diri dan berpeluk tubuh, lepas tangan dengan kebobrokan yang terjadi, apa yang bakal berlaku kepada umat akan datang? Islam bagaimana yang ingin kita wariskan?

ALAMAK! AKU TIADA BEKAL!

Untuk pergi mendaki gunung misalnya, kita sudah pasti akan menyediakan pelbagai kelengkapan yang baik, betul? Bermula dengan makanan, pakaian ganti, ubat-ubatan hatta persiapan telefon pintar dan kamera sekalipun, kita akan siapkan dengan sempurna. Sewaktu mendaki gunung, sudah pasti kita akan sangat bersiap siaga dengan segala kemungkinan. Andai ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti kecederaan, kita sudah siap dengan ubat-ubatan yang kita bawa.

Namun, bagaimana sekiranya yang berlaku adalah sebaliknya? Kaki kita tertusuk duri atau kayu sewaktu dalam pendakian ke puncak dan kita tidak membawa kelengkapan atau medical kit yang lengkap. Apa yang bakal berlaku? Mungkin tak perlu untuk diberikan jawapan di sini kerana minda para pembaca di luar sana – bawah alam sedar – sebenarnya sudah pun memprediksi jawapannya, bukan? Ya ; cedera.

Samalah perihalnya dengan berdakwah. Berdakwah merupakan perjalanan pendakian bukan setakat jalan landai yang panjang, bahkan menuju puncak reda Allah yang begitu tinggi darjatnya. Kalau pendakian ke puncak gunung yang setinggi 2000 meter saja pun kita sudah menyediakan kelengkapan yang sangat lengkap, inikan lagi perjalanan akhirat yang berhujung dengan syurga atau neraka. Persiapan tidak sewajarnya umpama melepas batuk di tangga!

Saudaraku sekalian, terlampau banyak persiapan yang digariskan sebagai bekal kepada seorang pengajak kebaikan. Para sahabat dan alim ulama banyak memberikan panduan kepada kita hatta di dalam al-Quran sendiri banyak ayat yang menggariskan cara-cara untuk menjadi seorang pendakwah yang baik. Akhirnya, sebaik-baik contoh dan suri teladan akan berbalik kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

  • Kukuhkan akidah dan asas-asas Islam : Tuan-tuan dan puan-puan, bahtera yang baik semestinya mempunyai tiang serta layar yang kukuh. Tak mudah patah dan robek walau dihempas badai dan gelombang. Begitu juga dengan manusia. Akidah merupakan binaan asas yang harus dibina dengan padu dan mantap. Biarlah apa-apa pun yang menerjah, andai akidah dan tauhid kita sudah mantap nescaya akan dapat kita cantas.

Adapun asas-asas lain seperti ilmu fiq, tasawuf, al-Quran, solat dan banyak lagi dapat kita umpamakan sebagai layar-layar kepada bahtera tadi. Kukuh layarnya, maka benarlah arah laluan bahtera tadi. Namun, anda robek sahaja walaupun satu layar, nescaya terombang-ambinglah bahtera tadi pada gelora dan badai yang menggila.

  • Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan : Layaknya Nabi Muhammad SAW yang sanggup dilempar dengan batu sehingga darah baginda menyembah bumi oleh penduduk Thaif, tetapi baginda mengendahkan sakit yang dihadapi. Malah, baginda tetap menyampaikan risalah murni Islam di tempat-tempat lain.

Sirah ini menjadi analogy mudah kepada kita semua. Seorang da’i seharusnya bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam setiap kebaikan yang dilakukan di samping tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Hiraukan segala ludah dan cemuh, hatta Nabi Muhammad SAW sendiri pun sering dituduh, inikan lagi kita yang imannya rapuh. Berusaha sehabis baik dalam menyebarkan kebaikan kerana ganjaran sebenar adalah di syurga kelak.

  • Knowledge Is Power : Ungkapan yang ringkas ini pernah disebutkan oleh ahli falsafah dari Inggeris, Francis Bacon. Perkara ini seiring dengan garis panduan yang diberikan oleh Syeikh Fathi Yakan dalam kitabnya Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam? Beliau berkata bahawa para da’I sewajarnya memiliki ilmu pengetahuan yang luas serta bersikap bijaksana dan sentiasa bersabar.

Sehubungan dengan itu, seorang da’I yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya yang tersendiri sudah tentu akan menjadi magnet dan menarik orang lain akan mendekat kepada Islam. Maka, di sinilah jalan ‘perang’ ini terbentang luas untuknya.

  • Tak kenal maka tak cinta : Menjadi satu kewajipan kepada para da’I supaya dia dapat berkenalan terlebih dahulu dengan mad’u (penerima dakwah). Satu batu asas yang seringkali dianaktirikan oleh para da’I ialah tidak mengambil tahu tentang latar belakang, pola pemikiran dan pandangan mad’u tersebut berkenaan dengan Islam. Impaknya, dakwah yang dilaksanakan tidak mencapai hadaf yang dirancang.

Apabila kita sudah mengenal seseorang mad’u, kita akan temui pintu-pintu untuk kita ketuk lalu masuk dengan langkah yang disenangi ke dalam hati penerima dakwah tersebut. Bukannya main terjah saja.

  • Kemahiran komunikasi : Kata-kata itu umpama air yang mengalir. Air yang gemalai alirannya mendatangkan ketenangan dalam sanubari. Manakala air yang ganas hempas geloranya maka akan mengundang resah dan gelisah. Apabila hati menjadi gundah, maka sudah menjadi fitrah kepada kita sebagai manusia yang lemah akan berpindah kepada yang menghilangkan gundah.

Para da’I seharusnya menguasai kemahiran berkomunikasi dengan baik. Jangan disebabkan kita yang tersilap tutur budi bicara dan tutur katanya mad’u semakin lari dan menjauh daripada Allah SWT dan Islam itu sendiri. Beza orang, beza peribadinya. Beza peribadi, beza susun atur bicaranya.

Banyak lagi sebenarnya bekalan-bekalan yang perlu kita bawa sebagai seorang da’I agar tidak menjadi fitnah kepada dakwah dan Islam yang dibawa. Diingatkan sekali lagi bahawa tugas dakwah ini merupakan kerja umat. Bukan ustaz bukan, juga ‘Pak Lebai’ berserban semata-mata.

CABARAN DAN HALANGAN.

Bencana yang sering menimpa atas setiap diri para da’I ialah sikap menyendiri dan buah fikiran yang beku dan tidak berkembang. Syeikh Fathi Yakan menyebutkan dalam penulisannya Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam? bahawa perkara ini terjadi atas faktor takut akan sesame manusia dan menghadapi masyarakat. Solusi bagi permasalahan ini adalah para da’I harus menyiapkan keyakinan diri daripada segi mental dan fizikal agar tidak mudah hanyut oleh omongan lancing masyarakat.

Antara cabaran yang ‘menghiasi’ jalan-jalan dakwah ini ialah pengorbanan masa, wang dan juga tenaga. Para da’i sewajarnya tidak harus takut untuk menghulurkan semua yang dimiliki ke jalan Allah SWT. Sama-sama kita telusuri sirah para sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf yang menyumbangkan kesemua hartanya pada jalan Islam walhal beliau ialah orang terkaya pada waktu itu.

Sama-sama kita hayati maksud ayat al-Quran, Surah at-Taubah ayat 111,

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan balasan syurga. Disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah maka antara mereka ada yang terbunuh dan membunuh. Balasan syurga itu sebagai janji yang benar di dalam kitab-kitab Taurat, Injil dan al-Quran, dan siapakah yang lebih menyempurnakan janji-Nya selain Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu dan ketahuilah bahawa jual-beli itu ialah kemenangan yang besar.”

Ayat ini boleh dijadikan pegangan kepada para da’I untuk terus semangat dan istiqamah dalam gerak kerja kebaikan yang dijalankan. Kerana perkara yang dijanjikan datangnya langsung daripada ‘Tuan’ kita!

KITA DAH TANAM, APA TUAIANNYA?

Melalui jalan dakwah, umat Islam tidak gentar lagi untuk berdiri pada paksi kebenaran. Tidak lagi menegakkan benang yang basah, malah faham dan akur kepada fungsi manusia selaku khalifah yang diturunkan di muka bumi ini dan tunduk pada paksi peraturan Allah. Pengabdian yang hakiki juga dapat dibentuk iaitu menyembah Allah SWT dan sekaligus menghapuskan perhambaan sesame manusia.

Dakwah yang berintikan kalimah tauhid telah memberikan erti kemerdekaan yang sebenar dan melahirkan umat yang berjiwa tenang serta cinta akan kedamaian. Segala kezaliman dan ketidakadilan akan dapat dibendung dengan izin Allah. Kebejatan moral akan dapat ditangani sekaligus melahirkan biah solehah dalam kalangan umat Islam khususnya di ibu pertiwi tercinta kita.

KESIMPULANNYA.

Adakah mampu Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dibina secara berseorangan? Lalu, bagaimana untuk mengangkat seguni simen dan pasir ke tingkat yang ke-90? Adakah wajar kita katakana bahawa Menara Burj Khalifa dibina hanya dengan seorang arkitek sahaja?

Jadi, sekiranya kita bersetuju bahawa bangunan-bangunan pencakar langit yang bersifat duniawi ini harus dibangun dan dibina dengan menggunakan beribu-ribu tangan dan tenaga, mengapa kita tidak boleh bersepakat bahawa dakwah juga harus digembleng tenaga bersama-sama? Bahkan dakwah merupakan binaan yang tinggi sehingga menentukan jatuh bangunnya Islam itu sendiri.

Bagaimana mungkin dakwah dikatakan jalan yang penuh emas dan permata sedangkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bermandi darah juga berhiaskan luka parah? Adakah masuk akal dikatakan dakwah ini adalah semata-mata ‘bajet alim’ sedangkan as-Syahid Imam Hassan al-Banna juga syahid pada jalan ini?

Tepuk dada, tanya iman.

Sumber bacaan :